Friday, January 14, 2011

HADITH AL-IFK (Fitnah Terhadap Saidatina Aisyah r.a.ha) -Part 2-


Aisyah dan ujian yang besar.

Berita bohong dan fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit bagi Ummu al-Mukminin Aisyah r.a.ha, yang mana ia menimpa rumah tangga dan keluarga Nabi SAW yang suci serta keluarga sahabat terdekat baginda SAW iaitu Abu Bakar al-Shiddiq r.a. Hari-hari ini merupakan hari yang susah dan sulit bagi mereka dan berlakunya fitnah ini selama sebulan. Sesungguhnya Aisyah r.a.ha tidak tahu-menahu walaupun sedikit mengenai fitnah yang telah tersebar mengenai kesucian maruahnya. Beliau hanya merasai perubahan sikap dan suasana disekelilingnya dan juga perubahan yang ada pada Rasulullah SAW setelah kepulangannya daripada peperangan Bani Mustaliq. (Ahmad Khalil Jam’ah, 2002: 241).

Saidatina Aisyah r.a.ha ketika masih tidak menyedari fitnah yang sedang berlaku, beliau keluar bersama-sama Ummu Misthah menuju ke tempat menunaikan hajat di malam hari. Pada ketika itu, Ummu Misthah tergelincir di sebabkan pakaiannya sendiri dan beliau melatah mencelakakan Misthah. Mendengarkan perkataan itu, Saidatina Aisyah r.a.ha menegur dengan tegas kerana Misthah merupakan ahli Badar. Lantas, Ummu Misthah menyedari bahawa Aisyah masih tidak mengetahui mengenai berita tersebut, lalu menerangkan dan menceritakan segala perkara yang berlaku dan tuduhan kaum munafiq padanya. (al-Nadawi, 2007: 124-125).

Lalu setelah mendengar cerita itu, Saidatina Aisyah r.a.ha segera pulang dan menemui ibunya dan meminta penjelasan. Seorang wanita Ansar pun datang menemui mereka dan menceritakan segala-galanya dengan terperinci hinggakan kejutan yang diterima ini menyebabkan Saidatina Aisyah r.a.ha jatuh pengsan. Ketika beliau sedar dari pengsan, Rasulullah SAW datang menjenguknya, namun beliau meihat perubahan pada baginda kerana bagida hanya memberi salam dan bertanyakan keadaan Aisyah lalu lantas keluar. Disebabkan melihat kepada peubahan ini, beliau meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menetap sementara waktu di rumah orang tuanya dan Rasulullah membenarkan. (al-Nadawi, 2007: 125).

Keadaan Rasulullah SAW pula makin lama makin merasai bebanan yang tidak tertanggung. Lantas baginda SAW mengambil keputusan untuk meminta pendapat sahabatnya dan dipanggil Saidina Ali bin Abi Thalib dan Usamah bin Zaid r.a.huma. Maka, atas Rasulullah SAW, Usamah bin Zaid menegaskan bahawa beliau tidak dapat membenarkan tuduhan tersebut terhadap Saidatina Aisyah r.a.ha kerana desas-desus itu dianggap sebagai satu perkara yang bohong dan tidak berdasarkan bukti. Tambahan pula, kesemua sahabat dan Rasulullah sendiri mengenali Aisyah sebagai seorang wanita yang shalihah, taat dan bertaqwa. Demikianlah yang dikatakan oleh Usamah bin Zaid.

Berbeza pula keadaannya dengan Saidina Ali k.w.j. dek kerana simpatinya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Lalu beliau menyarankan kepada Nabi agar bertanyakan perihal Aisyah kepada pembantu Aisyah r.a.ha; Barirah kalau-kalau ia mengetahui duduk perkara sebenar. Lalu dibawanya Barirah menemui Baginda SAW. (al-Nadawi, 2007: 127). Maka baginda SAW pun bertanyakan perihal Aisyah r.a.ha kepada Barirah dan Barirah menjawab: “ Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, Aisyah sungguh lebih baik daripada emas yang baik.”

Setelah mendengar penjelasan Barirah, Rasulullah bertanya pula kepada isteri baginda iaitu Zainab binti Jahsy r.a.ha mengenai peribadi Aisyah. Sebagaimana yang telah diketahui, Zainab sering bersaing dengan Aisyah r.a.ha memenangi hati Baginda SAW. Dan sebagaimana telah diceritakan, saudari kandungnya sendirilah yang telah menyokong dan membenarkan fitnah ini. Namun begitu, ketika Rasulullah SAW bertanyakan mengenai Aisyah berhubung peristiwa fitnah ini, Zainab menjawab dengan baik, “Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Dan tiada yang ku ketahui daripada diri Aisyah melainkan kebaikan semata.” (al-Nadawi, 2007: 128).

Turunnya wahyu yang suci.

Setelah pelbagai pandangan didengari, Baginda Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bertemu dengan Aisyah r.a.ha sendiri di rumah mertuanya dan bertanyakan kepadanya secara langsung kerana kaedah ini dilihat sebagai satu kaedah yang terbaik. Maka di rumah Abu Bakar r.a. Rasulullah SAW telah berkata kepada Aisyah r.a.ha.: “Aisyah, engkau telah mendengar sendiri apa yang telah dibicarakan orang tentang dirimu. Hendaklah engkau tetap bertaqwa dan takut kepada Allah. Jika engkau benar melakukan sebagaimana yang dikatakan oleh mereka, cepat-cepatlah bersegera bertaubat kepada Allah. Sesungguhnya Allah menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.” (al-Husaini, 2007: 164).

Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW itu, membuatkan Aisyah menjadi geram dan mendidih kerana ianya berbaur tuduhan. Wajahnya yang putih nampak merah padam menahan kemarahan. Dengan pandangan mata yang tajam, Aisyah memandang kepada kedua orang tuanya, melihat akan apa yang bakal mereka katakan kepada Rasulullah. Akan tetapi keduanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Aisyah mengerti mengapa keduanya berdiam diri kerana hanya dirinya sahaja yang mampu menjawab kata-kata Rasulullah SAW tadi.

Sambil menangis kerana tiada yang membela, Aisyah menjawab kepada Rasulullah SAW: “ Demi Allah, aku tidak akan bertaubat mengenai perkara itu kepada Allah Ta’ala kerana aku tahu bahawa aku tidak melakukannya. Aku tahu, jika aku bertaubat, ianya bererti aku membenarkan semua yang diperkatakan orang mengenai diriku. Allah Maha Mengetahui bahawa aku tidak melakukan perbuatan yang dituduhkan itu. Aku tidak sudi mengakui satu perbuatan yang tidak aku lakukan, namun jika aku membantahnya, tiada yang mahu percaya.” Sambil mengelap air matanya, Aisyah melanjutkan bicaranya: “Aku hanya mampu mengatakan seperti yang pernah dikatakan oleh ayah Nabi Yusuf, “bersabar lebih baik, dan kepada Allah sahajalah aku memohon pertolongan atas apa yang kalian ceritakan.” (al-Quran: Yusuf 12: 18). (al-Husaini, 2007: 165).

Mendengarkan kata-kata Aisyah itu, semua yang hadir mendiamkan diri dan terpaku. Maka, ketika Rasulullah SAW menapak hendak beranjak pulang, perubahan kelihatan pada wajah baginda dan keadaan baginda pada ketika itu nampak begitu berat dan berkeringat membasahi wajahnya kerana beratnya wahyu yang diterima. Padahal waktu itu adalah pada musim sejuk. Aisyah lantas berkata: “Ketika mulai nampak tanda kegembiraan pada diri Rasulullah SAW, baginda benar-benar gembira dan tersenyum. Yang pertama sekali beliau ucapan ialah: “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu.” (Ahmad Khalil Jam’ah, 2002:244). Maka Aisyah menyambut ucapan baginda itu dengan kalimah syukur: “Alhamdulillah.” (al-Husaini, 2007: 166)

Sesungguhnya, Allah Ta’ala telah membersihkan nama Saidatina Aisyah r.a.ha daripada fitnah itu dengan diturunkan wahyu daripada surah al-Nur ayat 11-19 (boleh rujuk di al-Quran) bagi menjelaskan duduk perkara yang sebenar. Ayat ini lalu disusuli dengan ayat hukum kepada mereka-mereka yang menuduh dan menebarkan fitnah mengenai wanita-wanita muslimah yang suci. (rujuk surah al-Nur ayat 23-24).

Maka, sebagai pelaksanaan hukum yang telah ditetapkan Allah SWT ini, mereka golongan yang menyebarkan fitnah dan pembohongan mengenai peribadi Aisyah r.a.ha iaitu Hamnah binti Jahsy, Misthah binti Athathah, Hassan bin Thabit dan lain-lain dijatuhi hukuman sebat sebanyak 80 kali sebatan. Namun, setelah menerima hukuman itu tadi, mereka kembali mendapat kasih-sayang daripada Nabi Muhammad SAW terutamanya Hassan bin Thabit. Baginda juga meminta kepada Abu Bakar agar tidak mengurangkan kecintaan dan kasihnya kepada Misthah, dan Aisyah diminta supaya tetap menyayangi Hamnah binti Jahsy. (al-Husaini, 2007: 168).

Selesai sudahlah permasalahn dan peristiwa terbesar dan gentir dalam kehidupan Baginda SAW dan Aisyah r.a.ha tanpa meninggalkan kesan yang buruk pada kalangan masyarakat muslimin di Madinah. Aisyah r.a.ha cepat pulih kembali kesihatannya dan beliau pulang kepada Baginda di rumahnya, bahkan Rasulullah SAW bertambah sayang dan kasih kepadanya.


apakah pengajaran di sebalik kisah ini? sama2 kita renungkan.....


3 comments:

  1. kisah yang menyayat hati..betapa mulianya pekerti sayyidatina Aisyah r.a..sama2 kita mencontohi keperibadiannya demi mendapatkan gelaran mara'tus soleheh..insyaAllah

    ReplyDelete
  2. insyaAllah....moga kita jua menjadi muslimah yg kuat mnghadapi musibah dn fitnah akhir zmn ini...amin.

    ReplyDelete
  3. Saidatina Aisyah adalah seorang wanita yg sepatutny kita contohi .

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)