Tuesday, August 7, 2012

Poligami Bukan Sunnah?



Dahulu ketika di dalam kelas, pensyarah pernah bertanya, “Bagaimana Islam yang dikatakan sebagai agama fitrah meraikan fitrah wanita yang tidak suka diduakan, cemburu, padahal Islam membenarkan poligami?” Ketika itu kami sedang membincangkan isu feminisme. Terkelu lidah, tiada jawapan yang kuat dan kukuh. Kerana apa yang kami tahu, poligami dalam Islam adalah sunnah dan digalakkan bagi mengatasi masalah-masalah. Apa yang terlintas di fikiran pada ketika itu hanyalah saya mampu mengatakan, “Islam meraikan fitrah, namun adakah tidak suka diduakan itu adalah fitrah? Atau ia hanya sekadar nafsu atau keinginan? Kerana jika ianya nafsu, Islam pastinya datang bagi mendidik nafsu.” Dan ustaz hanya diam dan tidak mengiakan mahupun menolak. Ustaz menyerahkan kepada kami untuk mencari jawapannya sendiri.

Alhamdulillah, baru-baru ini Allah membuka ruang kepada saya untuk membaca sebuah buku yang sangat banyak memberikan kepada saya kefahaman tentang betapa adilnya Islam menunaikan hak-hak wanita dan betapa Allah SWT itu sangat memahami hati dan meraikan perasaan dan suara wanita. Sungguh lapang ketika membaca buku tersebut, tulisan Fatimah Syarha, Sebarkan Cinta-Mu. Di sini, saya akan berkongsi beberapa pengisian dalam buku tersebut berkaitan poligami yang agak banyak ditekankan dalam buku ini.

Straight to the subject,
Poligami Cuma Harus

Poligami rupanya bukanlah seperti yang saya jangkakan dan salahfahami sebelum ini. Kesalahfahaman saya ini juga, adalah salah faham masyarakat dalam memahami konsep poligami dalam Islam, hinggakan musuh-musuh Islam  berjaya menjadikan isu poligami ini sebagai salah satu keburukan dalam agama Islam yang dituduh sebagai agama yang menzalimi wanita.

Ramai masyarakat gemar menggunakan ayat ‘Poligami itu sunnah’ hingga menimbulkan salahfaham masyarakat bahawa poligami itu adalah mulia, digalakkan dan perlu dilakukan oleh sebahagian orang. Tidak salah untuk mengatakan poligami adalah sunnah, namun, perlu diketahui bahawa perkataan sunnah ini mempunyai pelbagai takrifan mengikut ulama’ Hadith, Fiqh dan Usul. Wajarkah untuk kita menggunakan perkataan sunnah ini kepada poligami jika masyarakat memahaminya dengan makna ulama’ Fiqh iaitu dengan maksud digalakkan? Walhal maksud sebenar sunnah di sini adalah dengan maksud perkara yang dilakukan oleh Nabi SAW, iaitu sebagaimana Nabi juga mentalakkan isteri baginda dan melakukan perhambaan manusia. Namun tidak dikatakan cerai dan perhambaan itu sunnah, maka begitu jugalah poligami, walaupun ia dilakukan oleh Nabi, tapi tidaklah ia bermaksud digalakkan.

Maka, majoriti ulama’ hanya mengatakan bahawa poligami itu harus, dan  bukan sunnah (atau difahami sebagai sunat bagi masyarakat Malaysia, iaitu buat dapat pahala, tinggal tak dapat apa-apa). Oleh itu, perlu ditinggalkan menggunakan ayat ‘Poligami itu sunnah’ dengan menggantikan dengan ‘Poligami cuma harus.’ Dan perlu diingat, bahawa Nabi SAW sendiri mengamalkan monogami (berkahwin dengan seorang sahaja dalam satu masa) bersama Saidatina Khadijah r.anha. selama 25 tahun, sehinggalah Khadijah meninggal, berbanding dengan mengamalkan poligami selama 10 tahun sahaja. Maka, tak salah untuk mengatakan bahawa monogami itu lebih utama daripada poligami.

Syeikh Muhammad Abduh mengatakan bahawa, jika mereka yang benar-benar memahami dan merenungi ayat dalam Surah al-Nisa’ ayat 3 dan ayat 129 yang menyentuh soal poligami ini, pasti akan dapat melihat bahawa poligami dalam Islam merupakan satu perkara yang sangat berat, tidak boleh dilakukan melainkan dalam keadaan yang sangat terpaksa. Ini dapat difahami dalam ayat ke 129 apabila Allah mengatakan bahawa tiada seorangpun di kalangan kamu yang akan mampu berbuat adil, walaupun kamu sangat menginginkannya.

Bagaimana Islam Meraikan Wanita?

Rasulullah SAW merupakan seorang suami yang terbaik untuk dicontohi. Begitupun, kita dapat membaca kisah-kisah kecemburuan isteri-isteri baginda di antara satu sama lain. Namun, baginda dapat menanganinya dengan baik sekali. Oleh sebab baginda sendiri mengetahui bahawa betapa susahnya untuk menguruskan perkahwinan yang mengamalkan poligami, maka baginda lantas menghalang Saidina Ali kwj untuk menduakan puteri baginda; Fatimah al-Zahra’ r.anha dengan anak Abu Jahal. Bahkah, baginda bukan hanya menghalang Ali k.w.j menduakan Fatimah r.anha, namun baginda juga menghalang semua puterinya untuk dimadukan menurut hadith Shahih Bukhari dan Muslim.

Baginda menghalang daripada menduakan puteri-puterinya adalah kerana ingin menjaga agama mereka dan untuk kepentingan akhirat mereka, lantaran takut agama mereka akan rosak disebabkan cemburu. Begitu menurut Imam Nawawi.

Apa peliknya? Tentunya Islam merupakan agama yang sangat meraikan fitrah. Maka, dalam mempersoalkan fitrah berkasih, lumrah kekasih pasti tidak rela cintanya diduakan. Dalam kitab Raudhatul Muhibbin sendiri mengatakan bahawa, fitrah cinta itu mengharapkan penunggalan cinta daripada kekasihnya. Walau sebanyak manapun kita mencintai, kita tidak dapat menafikan ada satu cinta yang kita paling cenderung padanya.

Dalam isu poligami ini, Islam sangat mendengar dan memahami suara hati wanita. Maka, sekiranya si isteri tidak merelakan suaminya untuk berpoligami, kerana risau akan merosakkan agama dan akhiratnya, si isteri berhak memohon untuk diceraikan dan dihormati keputusannya. Ini kerana, dia berhak untuk menjaga agamanya sendiri, lantaran dirinya jualah yang paling memahami perasaannya dan tahap cemburunya. Malah, khulu’ (tebus talak) juga dibenarkan jika si suami enggan menceraikannya. Inilah yang ingin saya katakan di sini, berkenaan hak-hak isteri yang sering dipinggirkan dan dihukum nusyuz oleh golongan-golongan yang tidak memahami. Walhal, sirah sendiri menunjukkan bahawa Fatimah al-Zahra’ sendiri memohon untuk dibebaskan jika Ali k.w.j ingin berpoligami.

Menurut Imam al-Ghazali dan ulama’-ulama’ lain, mereka menegaskan bahawa tiada paksaan dalam perkahwinan. Dengan demikian, wanita itu bebas menerima atau menolak dimadu. Sekiranya sebelum perkahwinan, si isteri khuatir akan dimadukan oleh si suami, dia boleh mengajukan syarat itu dalam perjanjian perkahwinannya (syarat ta’liq). Dan si suami pula, perlu berpegang teguh pada perjanjian itu, sekiranya tidak, hendaklah dia menceraikan isterinya. Ini kerana, hubungan keluarga perlu dibina atas dasar taqwa, keadilan dan kedamaian.

Kesimpulan

Poligami itu harus dilakukan, dengan pertimbangan yang sangat berat dan serius. Bagi wanita, tidak salah untuk mempersoalkan dan ingin mengetahui atau bertanya mengenai hak-haknya, ini kerana Islam tidak menghalang sesiapapun untuk bersuara mendapatkan kebenaran. Bahkan, persoalan-persoalan agama, amat penting untuk mendapatkan jawapannya, jika di hati ada persoalan yang tidak terungkai, kerana takut-takut ia akan membarah hingga membunuh agama seseorang. Namun, dalam bersuara, Islam meletakkan batas-batasnya. Jangan menjadi terlalu taksub kepada salah satu ideologi/pandangan, nescaya taksub itu akan memakan kebenaran walau di depan mata. Bersuaralah dengan ikhlas untuk mencari kebenaran, insyaAllah, Allah Yang Maha Memahami akan menunjukkan jawapannya.

Kepada lelaki, takutilah untuk berlaku zalim kepada wanita, khususnya dalam isu perkahwinan. Sayangilah wanita pendampingmu, selagimana wanita itu masih mentaatimu dalam melaksanakan agama dan tanggungjawabnya, dan telah melengkapi keluargamu dengan sakinah, mawaddah dan rahmah….