Thursday, December 12, 2013

Syukurku, Dia Abangku..


Bismillah...

Sebelum ini saya ada menceritakan tentang keadaan abang saya yang berbulan di ICU akibat sakit saraf yang dijangkiti daripada sejenis virus. (baca sini: http://mutiaraidamanku.blogspot.com/2013/06/allah-sayang-dia.html). Sedar tak sedar, rupanya dah enam bulan lebih pun. Warded pada bulan Jun 2013, kini Disember 2013 juga sedang melalui zaman pertengahannya, menutup tirai 2013 dan membuka tirai baru. 

Dengan itu, segala pujian dan kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi di atas nikmat dan kasih-sayang yang diberikanNya kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah, thumma alhamdulillah, wa lillahil hamd. Itulah yang sering kita diingatkan, apabila ujian datang, kemanisannya tidak akan dirasa di saat itu, namun kemanisan itu hanya terasa setelah kita melaluinya. Samada berjaya atau tidak, resultnya positif atau sebaliknya, hamba yang suci hatinya, bersih fikirannya, akan merasa hikmah di sebalik kejadian dan ujian. Akan merasa eratnya hubungan si hamba dan Pencipta. Itu kemanisannya. 

Begitu juga yang berlaku pada kami. Dahulu, ketika abang sakit, kami masing-masing mengorbankan masa dan bersama-sama menjaganya, memberikannya semangat dan kekuatan. Ketika itu terasa semakin eratnya hubungan kekeluargaan. Sesama kami adik-beradik, juga sesama anak dan ibu bapa. Banyak perkara boleh dinilai, ketika kesusahan mula menyulitkan keadaan. Di saat inilah akan terujinya keikhlasan, kesanggupan dan perhubungan yang telah terjalin. Tidak kira sesama keluarga, mahupun sesama sahabat, guru dan kenalan. Abang saya beruntung, dikenali dengan baik di kalangan sahabat-sahabatnya. Tidak putus lawatan dan ziarah yang diterima selama beliau berada di ICU. Pekerja di sana juga menyantuni beliau dengan baik. Sungguh saya terharu dan terhutang budi dengan jasa dan layanan baik yang mereka berikan sepanjang abang saya di sana. Hanya Allah tempat kami meminta, untuk menggganjari segala kebaikan mereka dengan sebaik-baik ganjaran.

Kini, abang saya mampu berdiri, berjalan sendiri. Walaupun otot dan fungsinya belum lagi sekuat dulu, namun ia adalah satu perubahan yang positif, dan kami bersyukur untuk itu. Kekuatan yang ada pada beliau sangat saya kagumi. Jatuhnya tidak mematahkan semangatnya untuk berusaha sembuh. Lemahnya tidak mengecewakannya untuk terus berharap. Sakitnya tidak membuatkannya menjadi manusia yang sepi dan bersendiri. Cerianya seperti biasa, walau saya pasti di hatinya ada rasa yang hanya dirinya dan Allah yang mengetahui. Namun dia tidak menunjukkannya. Hanya kekuatan dan azam ditunjukkan untuk menyenangkan hati si ibu, menggembirakan hati si abah yang sentiasa di sisi. Saya bangga dengan abang saya!

Jika di dalam drama-drama, kita hanya melihat kesulitan yang berlaku diakhiri dengan kegembiraan dengan tagline "Lima tahun selepas" "Tujuh bulan selepas" dan tempoh-tempoh yang ditentukan si penulis skrip. Tapi, dunia realiti, masa tidak semudah itu berlalu. Sebulan, dua bulan, dan seterusnya dilalui setiap saat dengan memori dan kejadian. Begitu juga kami, enam bulan dilalui penuh dengan pengalaman baru. Kesulitan dan kesedihan, kegembiraan dan gelak tawa, terisi dengan lebih indah, kerana ia aturan yang bukan ditentukan pengarah atau penulis skrip filem, tapi ditentukan oleh Allah, Pengatur Sekalian Alam. Pengalaman yang hanya dirasai oleh sebahagian yang diuji. Itulah hidup realiti, tidak akan pernah sama dengan perkisahan drama tv. Dan saat-saat itu terus berjalan menandakan masa yang lepas telah pun meninggalkan kita dengan tinggalan kenangan dan sejarah.

Esakan si ibu, gugurnya mutiara-mutiara di kelopak mata si abah menandakan sayangnya mereka kepada permata-permata hati mereka. Allah sayangkan abang saya. Dia kembali ke rumah, ziarah tidak terhenti. Allah menyaksikan, betapa sebaknya saudara-mara, seolah melihat abang yang mendapat nyawa kedua. Beliau diraikan begitu baik. Setiap individu memainkan peranan, menaikkan semangat dan motivasi. Bukan calang-calang manusia yang diuji sebegini, melainkan Allah ingin mendekati dirinya. 

Dan, terima kasih kepada yang sudi mendoakan. Kerana mungkin di antara doa kalian adalah yang mustajab di sisiNya, menjadikan kami kuat dan mampu mengharungi ujian ini dengan baik. Hanya Allah jua yang mampu memberi sebaik-baik ganjaran kepada kalian.

Wahai abang, 
Betapa mereka sayang kepadamu.
Betapa Allah kasih padamu.
Kini kau bangkit semula, setelah berbulan melawan rasa,
Seolah kini nyawa yang kedua,
Alhamdulillah, syukur pada Yang Kuasa.

Wahai kekandaku,
Ujian tiba bukan diminta,
Tapi dihadiahi Dia yang cinta,
Untuk kita mendekat kepadaNya,
Mengubah diri, menjadi yang setia,
Kepada agamaNya,
Kepada suruhanNya.
Agar diri yang 'lahir' itu,
Adalah diri yang baru,
Diri yang sering melafazkan syukur,
Diri yang takut mendekati kufur.

Doaku untukmu,
Abang yang dicintai kerana Allah,
Agar dirimu sentiasa dipelihara,
Menjadi muslim soleh dan musleh.
DiredhaiNya hingga syurga. 
Akanku terus mendoakan..

Hamdan-hamdan lillah!! :)


Ketika mula2 dimasukkan di ICU, Klang. Terima kasih kepada yang mendoakan..
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=600717199946633&set=a.219086238109733.61672.100000250748951&type=3&theater
Selepas hampir tiga bulan di ICU...moment Aidilfitri,
Skrg lagi hensem! :P