Monday, July 29, 2013

Cabaran Ramadan


Salam Ramadan.

Banyak saya coretkan di FB, bahawa Ramadhan kali ini saya perhatikan memberikan sedikit kelainan buat saya. Mungkin pada cara pandang saya, mungkin juga pada cara saya menyambutnya. Entahlah. Berpuasa sebulan penuh di kampung, dengan komitmen yang ada membantu mak abah menjaga bazaar Ramadhan di Segamat sedikit sebanyak mencabar saya berkomitmen untuk memecut ibadah.

Mana tidaknya, di awal pagi, selepas keletihan di malamnya (balik dari bazaar lewat malam) kualiti rendah, badan meminta rehat. Dan hari bermula lagi dengan berjaga di bazaar, atau menguruskan rumah dan makanan berbuka. Begitulah masa-masa berlalu. Borang muktabaah amal yang dibekalkan sahabat serumah, saya penuhi semampu mungkin, namun kelompongan tetap berlaku. Hingga satu masa yang agak lama, melepasi hampir separuh bulan, saya mengeluh, memikirkan apalah nasib ibadah saya tahun ini. Cemburu kepada sahabat di Bangi yang mampu bersama ‘bersaing’ dan merasai kehidupan Ramadhan yang ‘hidup’.

Tapi, itu yang saya maksudkan apabila saya katakan di FB, kehidupan manusia Allah tentukan berbeza cabarannya, berbeza cara ganjarannya dan berbeza cara perlaksanaan ketaatannya. Thanks to someone, saya lega setelah dijelaskan apa yang dilakukan sekarang juga sebahagian daripada ibadah (ilmu yang kekadang terlupa) dan sedeqah yang berguna. Indahnya Islam bukan hanya di tikar sejadah, namun juga dalam memperbaiki hubungan sesama manusia. Dan apa yang saya lakukan, juga mungkin kalian lakukan adalah sedeqah yang berguna, dengan syarat kerana Allah, hanya ikhlas mendapatkan redhaNya. Dan kenyataan ini, ternyata menenangkan saya. Namun tidak bermakna amalan di atas tikar sejadah perlu ditinggalkan, khususnya di bulan gandaan pahala amalan.

Untuk saya, untuk kalian, satu perkara kita perlu ingat khususnya di bulan Ramadhan ini. Apa jua yang dilakukan adalah menunjukkan diri kita yang sebenar. Sebenar-benarnya, tanpa masuk campur syaitan. Segalanya adalah datang daripada diri kita. Namun, perlu diingat, tanpa syaitan, kita masih ada hawa nafsu, yang sering manusia ‘tuhan’kan. Hawa nafsu itu, datang dari diri kita, bukan satu unsur asing. untuk mendidiknya, juga melalui diri kita. Maka untuk itulah Ramadhan didatangkan, untuk mendidik nafsu dan mengurangkan potensi syaitan mempengaruhi kehidupan manusia. Dan untuk itu kita diajar berlapar dan menahan diri walaupun segala yang kita inginkan ada di depan mata. 

Mafhum sabdaan Rasulullah saw daripada Bukhari Muslim:

"Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar."

Ramadhan juga hadir untuk mengajar manusia menahan keinginan sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah.

Ingatlah, nafsu itu jangan dihambakan hanya 1 bulan, namun di’tuhan’kan pada 11 bulan lainnya!

Dalam shahih Ibn Hibban dan Ibn Qudamah, mafhum hadith:

“Jibril datang kepadaku dan berkata, “Wahai Muhammad, sesiapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan dia tidak mendapat ampunan, maka jika mati dia masuk neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin! Aku pun mengatakan: Amin!”

Beramal selagi mampu, moga Allah pelihara kita daripada nerakaNya dengan keampunan.

Salam Lailatul Qadar.