Tuesday, August 6, 2013

Berkesankah Ramadan?


Membaca buku Transformasi Ramadan tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil cukup menjadi magnet kesedaran saya tentang hakikat Ramadan yang dilihat di sisi pandang yang lain. Moga Allah merahmati penulisnya dan tulisannya yang dapat saya rasakan, ia adalah tulisan dari hati dan pengalaman.


Ramadan datang membawa kebaikan kepada semua segi kehidupan manusia. Kepada ibu bapa, anak, hubungan suami isteri, anak muda yang berkobar semangatnya dan kepada mereka yang kaya sehingga kepada yang papa kedana. Ramadan datang membawa rahmat untuk semua hambaNya.

Sepanjang sebulan yang hampir ke penghujungnya, apakah yang diajar oleh puasa agar meningkatnya nilai TAQWA yang diperlukan oleh semua hamba yang berkehendakkan ampunan Allah?

Ramadan datang membawa satu kaedah latihan.

"Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran.
Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan.

Ketika kita ada segalanya untuk makan dan minum, namun kita memilih untuk tidak makan kerana mentaati Allah. Itulah latihan, Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya dapat meningkatkan daya kawalan diri. 

Itulah TAQWA, kawalan kehendak-kehendak sendiri untuk selamatkan diri, rumah tangga, anak dan suami/isteri."


Ramadan juga datang membawa didikan terhadap nafsu. Mengajar manusia berkata TIDAK kepada sebahagian keinginan nafsu yang membinasa.

"Bertuhankan tuhan yang palsu tidak perlu menyembah busut atau berhala. Cukup dengan berkata A dan nafsu mahukan B, lalu diutamakan nafsunya mengatasi perintah Allah, maka manusia ini telah mengangkat nafsunya sebagai Tuhan! Siapakah golongan itu? Ia itulah golongan yang tidak mampu berkata TIDAK kepada kecenderungan dan permintaan hawa nafsunya sendiri!"

Sekali lagi, Ramadan datang untuk mengajar anak muda khususnya mendidik amarah dengan berkata tidak terhadap kata-kata lucah, nista, maki hamun dan pergaduhan.

Nabi SAW datang mengajar kita menunjukkan ke'jantan'an dengan mengatakan, "AKU BERPUASA" ketika kesabaran mula terkalahkan oleh amarah.

Beratnya Ramadaan,apabila ia berakhir dengan menguji komitmen dan ISTIQAMAH.

"Memang pelik, 
Apabila manusia berbondong-bondong mengejar solat SUNAT tarawih di masjid, tetapi lengah terhadap solat FARDU yang WAJIB sepanjang masa.

Pelik benar,
Apabila sebulan Ramadan diisi dengan al-Quran, tetapi 11 bulan yang lain al-Quran ditinggalkan.

Janggal benar, 
Ramadan aurat ditutup, tetapi bulan-bulan yang lain macam berubah hukum, berubah Tuhan,

Justeru, asing sekali,
Puasa sudah puasa, tetapi SOLAT belum juga!"

ISTIQAMAH ini, membuatkan Nabi saw beruban memikirkan tentangnya seperti yang diriwayatkan sebuah hadith.

Maka, di kesempatan dan kesempitan masa yang masih ada, cubalah hayati Ramadan dengan seikhlasnya. Moga kita datang kepada Syawal membawa suatu diri yang tinggi. Tinggi kerana berjaya meraih diri yang kembali kepada fitrah. Berjaya menundukkan nafsu, berjaya menghidupkan hati dan meringankan tubuh untuk beribadah. Malah, sikap diubah kepada segala jenis kebaikan seperti yang dikehendaki Allah. Inilah golongan yang kembali. Iaitu 'AIDEEN', kembali ke jalan Allah.

Juga, raikanlah Aidilfitri dengan kejayaan membebaskan diri daripada belenggu jajahan nafsu. Aidilfitri dirai sebab kejayaan memerdekakan diri. Inilah golongan 'FAIZEEN'. Golongan yang berjaya mengembalikan dirinya kepada FITRAH yang terbelenggu oleh nafsu.

Ertikanlah Syawal ini dengan penghayatan Ramadan, dengan sebuah diri yang sebenar.

Salam Aidul Fitri daripada saya,
Sakinah Mohammad,

Mohon kemaafan setulus hati,
Semoga Allah menerima setiap amal ibadah sepanjang Ramadan,
Dan panjangkanlah kesyukuran Syawal,
Beriringan puasa sunat enam hari.
Moga Allah memberkati kalian.
Aidilfitri dirai, Ramadan ditangisi,
Moga ditemukan di masa yang lain nanti.

Sama-sama TRANSFORMASIKAN RAMADAN selepasnya.
Wassalam.

^_^


She's Someone...^_^


“Akak, kalau dengar pasal Nabi Muhammad, air mata mesti bercurah-curah,” katanya. Saya mendengar sambil berfikir, “Bagusnya akak ni..!”
“Kinah masih dalam suasana kinah sendiri. Suasana baik, belum lagi terdedah dengan pelbagai jenis manusia,” katanya penuh makna ketika kami bersama di dalam kereta.
“Jiwang syukur pada Allah atas apa yang diberi dan hargai apa yang ada depan mata rasanya ok, kot.” Amboi ayat dia..:)

****************

Allah takdirkan kami bertemu, di tempat yang pencinta ilmu berkumpul. Siapa sangka ukhuwah itu berkembang dengan baik, hingga melarat ke seluruh keluarga. Pertemuan dengan si dia memberi erti yang baik dalam hidup saya. Allah pasti ada sebabNya tersendiri apabila menemukan kami dan menjadikan kami seperti ahli keluarga sendiri. Jelasnya, saya juga bersyukur. Syukur ditemukan dengan insan-insan yang baik padaNya, termasuklan si dia yang dimaksudkan.

                Beragama bukanlah hanya berkisar mengenai hubungan semata-mata dengan Tuhan. Tapi beragama mengajar kita berhubungan juga dengan makhlukNya. Malah, indahnya Islam, berukhuwah keranaNya sahaja Allah menjanjikan lindungan rahmatNya di waktu manusia dipanah terik matahari berjarak sejengkal di atas kepala di Mahsyar nanti. Itu mafhum hadith Nabi saw mengenai 7 golongan yang akan dinaungi dengan payungan Allah antaranya mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Dengan syarat, biarlah kerana Allah.

                Menghayati banyak lagi hadith tentang hubungan sesama manusia ini, khususnya sesama muslim mengajar saya cuba menghubungkan silaturrahim sebanyak mungkin dan sebaik mungkin. Hinggalah mengenali si dia ini, menjadikan saya semakin ‘kreatif’ dalam memaknakan hubungan, dan memanfaatkan teknik-teknik komunikasi dan pengalaman yang sering dikongsi. Si dia yang saya lihat, bukanlah calang-calang manusia biasa yang pernah saya jumpa dalam ‘suasana’ saya. Komitmennya pada agama, dan komitmennya dalam menjaga setiap inci amanah yang tergalas membuat saya cemburu. Tentunya bersamanya semakin hari mengajar saya semakin banyak makna sebuah kehidupan. Kami saling berkongsi.

                Si dia, biarlah dia dan Allah yang tahu. Mungkin juga mereka yang mengenalinya akan mengetahui. Saja saya coretkan sedikit kisah di sini, sebagai satu penghargaan terhadap sebuah ukhuwah yang ikhlas. Terlalu banyak cerita, jika kalian juga mengenali si dia, pasti kalian juga akan ‘sayang’ untuk melepaskannya. Moga Allah memberkati si dia. 

                 Didedikasikan kepadanya yang sedang membaca, di kesempatan indah ini…

Ku dedikasikan khas buatmu,
Sepertimana pernah kau buat untukku,
Walaupun bukan puisi,
Namun hati ini terasa diisi,
Dengan kasih sayang dan rembesan rahmat Ilahi,
Tika aku ditakdirkan mengenali
Insan yang unik ini..:)

Ramadan mulia kian melabuh tirainya,
Betapa aku terasa kelainannya,
Ramadan kali ini engkau di sini,
Menemani hati yang sentiasa resah menanti,
Apakah nafas ini nafas ibadah,
Atau sekadar hembusan nafas biasa…

Syawal ‘kan hadir mengisi haknya,
Kalam ku hulur menuturi kemaafan,
Harapan ibadah dipersembah diterima Ilahi,
Darimu dan juga dari semuanya,
Kekhilafan diakur sepenuh hati,
Moga ukhuwah dirindui syurgawi…

Salam lebaran dariku,
Moga kita benar-benar produk takwa Ramadhan.
^_^