Wednesday, April 30, 2014

Renungan Daripada Surah al-Hadid


Assalamualaikum wrwbtuh..

Bismillahi wal hamdulillah... Rasa bersyukur kepada Allah, kerana diberinya masa harini untukku menulis sedikit perkongsian. Ilmu semakin digali, semakin rasa kosong. Ilmu Allah Maha Luas, semakin cuba diselami, semakin banyak yang masih tidak diterokai...

Terima kasih, wahai Allah, Tuhanku yang baik, memberikan masa dan kesempatan ini untukku berkongsi di laman ini setelah sekian lama. Walaupun blog kini bukanlah lagi medium terbaik perkongsian, namun saya masih memilih untuk berkongsi di sini mengenai beberapa perkara yang lebih istimewa daripada perkongsian di medium facebook, twitter dan sebagainya.

Alhamdulillah, terusku lafazkan syukur. Harini saya mengaji dan mula memahami sedikit ayat-ayat yang dibaca, saya terhenti di Surah al-Hadid ayat 23, cuba mengaitkannya dengan ayat sebelum dan selepasnya...

Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui, telah berfirman:

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (22)
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.(23)
Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan yang menghina) dan sesiapa yang berpaling (dari mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (24)

Lalu, saya terdiam. Mengaitkan ayat dengan situasi semasa. Itulah Qada' Qadar daripada Allah. Yang telah lama Dia tetapkan untuk setiap manusia. Yang mana seluruh umat Islam wajib mengimaninya. 

Melihat dalam diri... 
Betapa banyaknya keluhan..
Dan betapa manusia ini, hanya sedikit daripadanya mengenal erti sebenar redha dan ikhlas.

Ayat 23, Allah menyentap rasa saya. Allah seolah sekali lagi berbicara kepada saya.  Kekadang, mudahnya kita merasa gembira dan bangga dengan pencapaian yang diperolehi, bangga mendapat kelebihan berbanding sahabat dan saudara sekeliling. Sedangkan Allah kata, dengan mudah sahaja Allah akan mengambilnya kembali daripada kita.

Juga, apabila manusia itu menerima kehilangan sesuatu, betapa ramai yang menerimanya dengan redha dan ikhlas? Kata mereka keluhan itu biasa, kesedihan itu biasa, kerana kita adalah manusia biasa. Ya betul. Keluhan dan kesedihan itu biasa, namun mengapa Allah katakan sedemikian?

"Supaya kamu tidak bersedih hati..."

Sedangkan Dialah yang lebih memahami hambaNya melebihi segalanya. Maksud ayat ini, saya masih tidak mendapat jawapannya.. Kerana, saya juga masih tetap bersedih bila kehilangan sesuatu. Adakah ia di kalangan mereka yang meletakkan sepenuhnya hati kepada Allah, maka sedikitpun perkara dunia ini, tidak memberi kesan kepadanya..?

Iman saya masih nipis untuk tidak merasa tidak sedikitpun terikat dengan dunia. :'(

Moga Allah ampunkan saya... dan kita semua...