Thursday, December 12, 2013

Syukurku, Dia Abangku..


Bismillah...

Sebelum ini saya ada menceritakan tentang keadaan abang saya yang berbulan di ICU akibat sakit saraf yang dijangkiti daripada sejenis virus. (baca sini: http://mutiaraidamanku.blogspot.com/2013/06/allah-sayang-dia.html). Sedar tak sedar, rupanya dah enam bulan lebih pun. Warded pada bulan Jun 2013, kini Disember 2013 juga sedang melalui zaman pertengahannya, menutup tirai 2013 dan membuka tirai baru. 

Dengan itu, segala pujian dan kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi di atas nikmat dan kasih-sayang yang diberikanNya kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah, thumma alhamdulillah, wa lillahil hamd. Itulah yang sering kita diingatkan, apabila ujian datang, kemanisannya tidak akan dirasa di saat itu, namun kemanisan itu hanya terasa setelah kita melaluinya. Samada berjaya atau tidak, resultnya positif atau sebaliknya, hamba yang suci hatinya, bersih fikirannya, akan merasa hikmah di sebalik kejadian dan ujian. Akan merasa eratnya hubungan si hamba dan Pencipta. Itu kemanisannya. 

Begitu juga yang berlaku pada kami. Dahulu, ketika abang sakit, kami masing-masing mengorbankan masa dan bersama-sama menjaganya, memberikannya semangat dan kekuatan. Ketika itu terasa semakin eratnya hubungan kekeluargaan. Sesama kami adik-beradik, juga sesama anak dan ibu bapa. Banyak perkara boleh dinilai, ketika kesusahan mula menyulitkan keadaan. Di saat inilah akan terujinya keikhlasan, kesanggupan dan perhubungan yang telah terjalin. Tidak kira sesama keluarga, mahupun sesama sahabat, guru dan kenalan. Abang saya beruntung, dikenali dengan baik di kalangan sahabat-sahabatnya. Tidak putus lawatan dan ziarah yang diterima selama beliau berada di ICU. Pekerja di sana juga menyantuni beliau dengan baik. Sungguh saya terharu dan terhutang budi dengan jasa dan layanan baik yang mereka berikan sepanjang abang saya di sana. Hanya Allah tempat kami meminta, untuk menggganjari segala kebaikan mereka dengan sebaik-baik ganjaran.

Kini, abang saya mampu berdiri, berjalan sendiri. Walaupun otot dan fungsinya belum lagi sekuat dulu, namun ia adalah satu perubahan yang positif, dan kami bersyukur untuk itu. Kekuatan yang ada pada beliau sangat saya kagumi. Jatuhnya tidak mematahkan semangatnya untuk berusaha sembuh. Lemahnya tidak mengecewakannya untuk terus berharap. Sakitnya tidak membuatkannya menjadi manusia yang sepi dan bersendiri. Cerianya seperti biasa, walau saya pasti di hatinya ada rasa yang hanya dirinya dan Allah yang mengetahui. Namun dia tidak menunjukkannya. Hanya kekuatan dan azam ditunjukkan untuk menyenangkan hati si ibu, menggembirakan hati si abah yang sentiasa di sisi. Saya bangga dengan abang saya!

Jika di dalam drama-drama, kita hanya melihat kesulitan yang berlaku diakhiri dengan kegembiraan dengan tagline "Lima tahun selepas" "Tujuh bulan selepas" dan tempoh-tempoh yang ditentukan si penulis skrip. Tapi, dunia realiti, masa tidak semudah itu berlalu. Sebulan, dua bulan, dan seterusnya dilalui setiap saat dengan memori dan kejadian. Begitu juga kami, enam bulan dilalui penuh dengan pengalaman baru. Kesulitan dan kesedihan, kegembiraan dan gelak tawa, terisi dengan lebih indah, kerana ia aturan yang bukan ditentukan pengarah atau penulis skrip filem, tapi ditentukan oleh Allah, Pengatur Sekalian Alam. Pengalaman yang hanya dirasai oleh sebahagian yang diuji. Itulah hidup realiti, tidak akan pernah sama dengan perkisahan drama tv. Dan saat-saat itu terus berjalan menandakan masa yang lepas telah pun meninggalkan kita dengan tinggalan kenangan dan sejarah.

Esakan si ibu, gugurnya mutiara-mutiara di kelopak mata si abah menandakan sayangnya mereka kepada permata-permata hati mereka. Allah sayangkan abang saya. Dia kembali ke rumah, ziarah tidak terhenti. Allah menyaksikan, betapa sebaknya saudara-mara, seolah melihat abang yang mendapat nyawa kedua. Beliau diraikan begitu baik. Setiap individu memainkan peranan, menaikkan semangat dan motivasi. Bukan calang-calang manusia yang diuji sebegini, melainkan Allah ingin mendekati dirinya. 

Dan, terima kasih kepada yang sudi mendoakan. Kerana mungkin di antara doa kalian adalah yang mustajab di sisiNya, menjadikan kami kuat dan mampu mengharungi ujian ini dengan baik. Hanya Allah jua yang mampu memberi sebaik-baik ganjaran kepada kalian.

Wahai abang, 
Betapa mereka sayang kepadamu.
Betapa Allah kasih padamu.
Kini kau bangkit semula, setelah berbulan melawan rasa,
Seolah kini nyawa yang kedua,
Alhamdulillah, syukur pada Yang Kuasa.

Wahai kekandaku,
Ujian tiba bukan diminta,
Tapi dihadiahi Dia yang cinta,
Untuk kita mendekat kepadaNya,
Mengubah diri, menjadi yang setia,
Kepada agamaNya,
Kepada suruhanNya.
Agar diri yang 'lahir' itu,
Adalah diri yang baru,
Diri yang sering melafazkan syukur,
Diri yang takut mendekati kufur.

Doaku untukmu,
Abang yang dicintai kerana Allah,
Agar dirimu sentiasa dipelihara,
Menjadi muslim soleh dan musleh.
DiredhaiNya hingga syurga. 
Akanku terus mendoakan..

Hamdan-hamdan lillah!! :)


Ketika mula2 dimasukkan di ICU, Klang. Terima kasih kepada yang mendoakan..
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=600717199946633&set=a.219086238109733.61672.100000250748951&type=3&theater
Selepas hampir tiga bulan di ICU...moment Aidilfitri,
Skrg lagi hensem! :P


Wednesday, November 27, 2013

Kawan Saya :)


Hujan lebat, sangat membantu percambahan idea untuk saya menulis. Alhamdulillah, menyejukkan udara yang masuk ke bilik. Siapa yang tak sukakan hujan? Sedangkan Allah sendiri menggambarkan di dalam firmannya bahawa manusia itu bergembira apabila diturunkan hujan. Hujan modal kegembiraan, juga modal pertambahan nikmat-nikmat kepada sekalian makhluk.

Seiring dengan turunnya hujan, emosi pun sedikit suram dan muram dengan beberapa perkara yang terjadi dua tiga minggu akhir-akhir ini yang seolah merangsang kepada ketidakstabilan emosi. Setelah beberapa perkara mula diselesaikan satu demi satu, muncul lagi yang lain. Itulah kehidupan, tidak akan pernah sunyi daripada cubaan dan ujian, dari pelbagai sudut dan cara. Daripada hal sebegini, saya dapat melihat betapa manusia itu sungguh memerlukan di antara satu sama lain. Tiada manusia yang mampu hidup bersendirian melainkan dia sendiri akan merasa sesuatu yang tidak kena dalam kehidupannya.

Jika melihat dalam aspek hubungan lelaki wanita, terbukti Adam juga memerlukan Hawa. Dalam konteks hubungan sesama keluarga, terbukti si anak memerlukan ibubapanya, dan pasangan suami isteri menginginkan kelahiran cahaya mata. Begitu jugalah dalam hubungan yang lebih umum, samada dalam pelajaran, pekerjaan, persahabatan dan perkenalan secara tidak sengaja. Siapa yang boleh menafi, bahawa kita manusia sangat memerlukan di antara satu sama lain. 

Dan begitu juga bagi saya, insan-insan di sekeliling saya, mereka ada nilaian sentimentalnya pada saya, samada keluarga, kawan sekolah, teman universiti, sahabat jemaah dan yang lain, semuanya ada nilaiannya tersendiri. Walaupun sahabat saya pernah bertanya, apa nilaian dia pada saya, saya mesti tidak tahu untuk menjawabnya, kerana seolah-olah ia hanya saya yang memahaminya dan tidak reti saya ungkapkan dengan perkataan. 

Ulin Nuha (nama rumah sewa saya) baru-baru ini dimaklumkan ada beberapa kekosongan, kerana kedua-dua roomate saya akan check-out bermula awal tahun depan. Ya, semestinya perkara ini sangat memberi kesan kepada saya. Sahabat-sahabat saya, sejak dari dulu, di sekolah, UKM, mahupun sahabat yang lain, banyak memberi pelajaran hidup kepada saya. Dan, kedua-dua yang akan keluar nanti sahabat yang kuat pengaruhnya dalam hidup saya. Saya cakap dengan mereka yang lain, saya sedih jika mereka tiada, tapi mereka anggap saya bergurau. Ah, biarlah.. Asalkan saya faham dan tahu apa yang saya rasa. Kerana saya sahaja yang tahu, apa nilaian mereka di hati saya. 

Kawan, 

Tidak pernah tidak mempengaruhi saya. Semua kawan, ada pengaruhnya pada saya. Mungkin kerana saya jenis mudah dipengaruhi daripada mempengaruhi. Dan alhamdulillah, Allah takdirkan saya dengan kawan-kawan yang baik pengaruhnya pada saya, dan beri saya kekuatan untuk tidak mudah dipengaruhi dengan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan jika ingin Allah redha dengan hubungan yang dibina. Sungguh saya bersyukur, hidup diaturNya dengan baik. Dari sekolah, di maahad, juga kini di universiti, suasana persahabatan yang Allah aturkan, dengan siapa Allah kenalkan, pada siapa Allah alirkan rasa kasih ini, saya tidak pernah sesali. Sekalipun saya bukan yang terbaik, mereka menerima saya untuk menjadi sahabat mereka. Mereka antara sebab siapa saya sekarang. Kawan-kawan saya antara penyebab tingkahlaku saya sekarang. Kawan-kawan saya juga antara sebab cara saya berfikir seperti sekarang. Sampai kekadang saya pernah rasa, apabila terlalu lama pulang ke kampung, saya merasa otak saya tidak bercambah. Kerana saya kurang berbincang isu semasa. Kerana kawan-kawan saya ini, adalah sumber berita saya...:)

Tapi, tak mengapa. Walau ke mana sahabat2 saya pergi, saya tahu mereka pergi untuk kebaikan. Dan semestinya setiap yang bertemu pasti akan ada perpisahannya. Saya pun sudah terbiasa dengannya. Saya redha, kerana walaupun bersendirian, mereka yang beriman pasti akan mengakui bahawa sesungguhnya Allah itu sentiasa ada. Namun sebagai manusia, perasaan itu tidak boleh kita nafikan. Ia adalah lahir secara semulajadi, tindakbalas kepada rasa kasih dan sayang yang wujud untuk satu perhubungan yang mengharapkan cinta kepadaNya.

Untuk sahabat2 saya yang sudahpun kejauhan, doa saya buat kalian yang saya kasihi moga Allah lancarkan segala perancangan dan urusan. Juga untuk yang bakal meninggalkan, saya doakan yang terbaik akan menyusul untuk segala perancangan dan kehidupan kalian. Pergi untuk kebaikan. InsyaAllah... :)

Adios amigos, fi amanillah!!
Wassalam...



Thursday, October 31, 2013

Nervous


Saya sedang buat assignment, tapi terasa nak menulis cerita sikit. Sekarang ni, terasa tak sempat nak berskema dengan tulisan di blog. Maaf atas kekurangan.

Sejak kebelakangan ni, jantung mudah kencang. Macam sekarang ni, jantung saya kencang. Entah kenapa, sudah hampir beberapa bulan hal ni terjadi. Dek kerana kerisauan, kot-kot ada masalah kesihatan ke, saya merujuk ke Pusat Kesihatan UKM minggu lepas, doktor kata saya sihat wal afiat. Jantung je yang laju sikit daripada normal.

Pelik.
Tapi, Alhamdulillah tak ada masalah kesihatan.

Kata doktor, saya cemas (nervous). Darah dan jantung jadi laju dipam sebab saya nervous. Serius pelik! Jujur saya tergelak depan doktor sebab saya nervous? Tapi sebab apa? Sebab apa saya nervous? Entahla...tapi, kederasan jantung ni, memang sangat menguji saya. Kadang-kadang buat saya lelah. Dan cepat berdebar-debar. Letih. Tapi sabar. Allah nak uji. Doktor pun nasihat untuk bertenang kalau jantung laju, dan tarik nafas dalam-dalam....

Tarik....lepas.... huh.... Allahu Akbar!!

Cemburu saya pun menjadi-jadi. Dengan kawan pulak tu. Wallahu a'lam. Sebab sayang makin bertambah untuk mereka kot. Atau emosi berubah-ubah sebab keadaan sistem badan pun tak stabil agaknya. Memang sungguh menguji. Kekadang confuse dengan diri sendiri. Tak tahu signal apa yang sedang dia sampaikan. Mudah-mudahan bukan sesuatu yang tak elok la.

Jantungku,
Berpada-padalah ya,
Jangan sebab dah biasa berdebar, nanti saya salah faham pulak. :P

#sambung asemen!



Sunday, October 27, 2013

Kekurangan yang Normal


Mengecewakan,
Kecewa,
Dikecewakan.

Manusia itu tidak pernah sempurna. Mencari yang sempurna untuk dijadikan sahabat, teman hidup mahupun sesiapa dalam hidup, tidak akan tercapai. Kerana lihat sahaja diri sendiri, sempurnakah kita? Mengharapkan yang sempurna, sedangkan diri sendiri tidak, maka manusia itu diciptakan dengan berbagai kekurangan supaya yang lain dapat menampung kekurangan yang ada padanya. Tidak kisahlah, sahabat, suami/isteri mahupun dalam keluarga bersama adik beradik mahupun ibu bapa.

Kerana itu, saya kekadang muhasabah diri, apabila sahabat melakukan sesuatu yang mengecilkan hati kita, mengecewakan kita, atau kekadang menyedihkan kita. Kerana saya juga tidak terlepas daripada sifat itu. Saya juga sering mengecewakan sahabat atau orang yang saya sayang. Walaupun ia dilakukan tanpa sedar, ataupun tanpa niat, hakikatnya kesilapan yang dilakukan kadang-kadang menimbulkan kesedihan kepada pihak yang terbabit. Jadi, bila terfikir sebegitu, mengapa kita pula ingin berlebih-lebih berurusan dengan kesilapan/kekurangan itu?


Namun, sekuat manakah manusia itu? Dalam pencarian menemui Yang Maha Sempurna iaitu Allah Ta'ala, manusia akan terus diuji dengan bermacam karenah manusia. Untuk itu, bersabarlah, dan terimalah dengan sebaiknya, dengan memahami bahawa manusia itu tiada yang sempurna. Kekurangan yang ada boleh menjadi perkara yang indah dalam hidup, jika kita pandai 'memanipulasikannya'.

Dalam pelbagai ragam ini, ada insan yang boleh menerima kekurangan orang lain, menyerapinya dan menerimanya dengan senyuman, walau kadang senyuman itu pahit. Namun, pada akhirnya mereka kembali saling menyempurnakan, kerana mereka faham, kekurangan itu normal. Pada sisi lain, ada insan yang melihat kekurangan yang ada pada orang lain sebagai sesuatu perkara yang tidak boleh diterima. Sekali kekurangan itu muncul, dia akan menjauhkan, melarikan diri lalu perlahan-lahan membuangnya dari pandangan. Kerana, dalam hidupnya dia mencari yang sempurna.

Bagi saya, walau apa pun, dengan mengakui kekurangan yang ada, kita perlu cuba untuk tidak menjadikan kekurangan itu 'menyusahkan' orang lain. Melainkan ketika kita benar-benar memerlukannya. Dalam soal hati, jaga-jagalah menjaga hati dan berurusan dengannya. Setiap kekurangan yang telah kita lakukan, ia pasti akan berkait dengan hati orang lain. Maka, ringan-ringankanlah lidah untuk mengungkapkan kata maaf. Kerana jika saya, ketika terdetik rasa kecil hati, sedih atau marah, kalimah maaf mahupun yang seerti dengannya yang diucapkan mampu mencairkan hati saya. Hilang terus rasa sedih, marah dan sebagainya tadi.


Kepada sesiapa yang pernah dikecewakan oleh saya, saya minta maaf.
Kepada yang pernah mengecewakan saya, saya sudah lepaskan.
Kerana bagi saya,
Menyimpan rasa kecewa itu lama-lama di dalam diri,
Boleh jadi penyakit, bahkan merosakkan silaturrahim.

Selesai di sini. Jangan dikait di 'sana' ya!

:)

Semoga Allah redha dengan kita semua.

Senyumlah. :)

Sunday, September 22, 2013

Ya Rabb, Jahilnya Aku...


Wahai Rabb,
Hati ini terasa tidak pernah puas,
Mengejar dunia mengejar nama.
Terasa bahagia apabila melihat kejayaan,
Namun tidak ku sedari betapa gelisahnya hati.

Wahai Rabb,
Kekadang aku terlebihkan kepentingan mereka
Melebihi kepentingan Engkau,
Aku inginkan pujian mereka,
Berbanding redhaMu..
Betapa berdosanya aku,
Betapa busuknya hatiku..

Wahai Yang Maha Pengampun,
Aku tahu ketenangan itu daripadaMu,
Aku tahu pentingnya redhaMu,
Namun aku sering terlupa,
Aku sering mengabaikannya,
Keranaku terlupa,
Engkau sedang memerhatikanku,
Malah Engkau sering menyayangiku..

Wahai Allah,
Wahai Allah,
Wahai Allah,
Wahai Allah...

Aku berdosa,
Salah dalam memanfaatkan nikmat,
Salah menggunakan pancaindera yang diberi,
Ampuniku ya Allah,
Kerana kini aku sedar,
Tiada yang mampu memberiku ketenangan
Melainkan apabila hatiku mula mendekatiMu...

Jahilnya aku ya Allah,
Bantulah aku pelihara segalanya..
Di kala semua meninggalkanku,
Aku tahu Engkau tidak pernah mengabaikanku..
Betapa jahilnya aku,
Pada ketika itu...

Allah....
Ampuni aku...
Astahgifurllah...
Astaghfirullah...
Astaghfirullah al-'Azhim...


Tuesday, September 17, 2013

Dari Dia..


Puisi ini dari dia,
Katanya ditujukan untukku,
Penuh makna..

Aku sematkannya di sini,
Agar dapat merujuknya suatu ketika nanti..
Ketika dia bersedia untuk menjelaskan maknanya..


:) <3 div="" nbsp="">


Dari Dia...



HAMBA


Aku tidak punya 
Kerana PEMBERI mengetahui segala
DIA melorongkan aku merasa
Sungguh terasa nikmat, menitis air mata...

Aku tidak punya
Kerana itu kehendak Yang Esa
DIA mengatur segala
Aku sambut dengan gembira...

Aku tidak punya
Itu sudah ketentuanNYA
DIA beri buat sementara
Tetapi aku berdoa moga ia kekal sentiasa...

Aku tidak punya
Kerana itu Hak DIA
Aku hanya menerima

Kerana aku hanyalah seorang HAMBA....


Monday, September 9, 2013

Kosong Dari Memberi


Dah lama saya nak menulis di sini, tapi takut lari dari genre penulisan yang biasa saya tulis. Lama tidak membaca, sebab urusan banyak, buku pun tak banyak pegang. Satu buku dalam 200 pages pun tak habis-habis dibaca. Saya akui, saya tidak serajin sahabat lain membaca. Namun, bersyukur dapat dekat dengan mereka, sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat membaca...:) Jadi, kurang membaca, kurang ilmunya. Kurang ilmu, kuranglah perkongsiannya. 

Itu padan dengan muka sendiri. Jadi, teruslah blog ini tanpa sebarang penulisan yang bermanfaat. Teringatlah pula pada satu pepatah Arab yang sangat mengena dengan diri sendiri pada ketika ini:

"فاقد الشيئ لا يعطيه

Maksudnya, "Orang yang tidak memiliki apa-apa tidak akan boleh memberi apa-apa."

Itulah yang sedang berlaku pada saya. Tiada apa-apa yang baru boleh dikongsikan di sini, membuatkan saya hanya memandang kosong pada blog yang tiada sebarang 'update'. Tiada apa yang boleh diberi.

Orang yang tiada ilmu, tiada apa yang boleh dia kongsikan.
Orang yang tiada makanan, tidak boleh memberi makan kepada orang lain.
Orang yang teringin pada sesuatu, tidak akan dapat mencapainya jika hanya membuat impian dan tiada usaha.
Macam itu jugalah orang yang inginkan keampunan Allah, syurgaNya, namun tiada usaha ke arahnya, maka tiada apa boleh diharapkannya.

Sebab itu, kita perlu rajin. Berusaha untuk mencapai sesuatu agar kita mampu untuk memberi sesuatu. Nasihat kepada diri sendiri yang menulis. Sesungguhnya, kita yang berkata dan menyampaikan itu, lebih kuat akan diuji dengan apa yang dikatakannya. Rupanya bukan mudah nak jadi orang yang baik, kerana bukan semudahnya untuk Allah beri nikmat syurgaNya kepada hamba-hambaNya. Semuanya perlukan usaha. Agar kita ada 'apa-apa' yang boleh 'ditukarkan' dengan syurga Allah.

Sebenarnya, saja nak menukar otak daripada memikirkan perkara yang dah 2-3 minggu saya fikir sehinggalah kini. Membawa pemikiran kepada perkara yang lebih ringan. Letih memikirkan persoalan yang masih tidak ketemu jawapan pasti. So, entry kali ni hanyalah suka-suka untuk melajukan tangan menaip dan menyentuh keyboard dengan sesuatu yang lebih serius berbanding fb dan sewaktu dengannya.

Jadi, ia hanyalah entry yang kosong daripada sebarang pemberian yang bermanfaat. Tiada sesuatu. Janganlah kalian menjadi seperti saya, yang selalu bertangan kosong. Impian banyak, namun usaha tidak seberapa. 

Astaghfirullah. Moga Allah ampunkan kelemahan saya. 
Baru sedikit halangan, mula melatah seperti tiada harapan.
Mujurlah, Allah masih dekatkan saya dengan insan-insan baik. Mengelakkan saya daripada tersasar membuat keputusan. Itulah Rahim Allah, yang sangat memahami hamba-hambaNya.

Ok lah, itu sahaja rasanya untuk entry bersahaja ini. Namun, bersungguh di sini saya memohon sesiapa yang rajin membaca hingga akhir, mendoakan saya dan keluarga dipermudahkan urusan, dihilangkan segala kerunsingan, dikurniakan dengan ketenangan. Mohon keikhlasan untuk doakan kami. 

Jazakumullahu khair jazak. 
Barakallahu fikum.

Andai masalah itu boleh diterbangkan semudah ini...

:)


Tuesday, August 6, 2013

Berkesankah Ramadan?


Membaca buku Transformasi Ramadan tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil cukup menjadi magnet kesedaran saya tentang hakikat Ramadan yang dilihat di sisi pandang yang lain. Moga Allah merahmati penulisnya dan tulisannya yang dapat saya rasakan, ia adalah tulisan dari hati dan pengalaman.


Ramadan datang membawa kebaikan kepada semua segi kehidupan manusia. Kepada ibu bapa, anak, hubungan suami isteri, anak muda yang berkobar semangatnya dan kepada mereka yang kaya sehingga kepada yang papa kedana. Ramadan datang membawa rahmat untuk semua hambaNya.

Sepanjang sebulan yang hampir ke penghujungnya, apakah yang diajar oleh puasa agar meningkatnya nilai TAQWA yang diperlukan oleh semua hamba yang berkehendakkan ampunan Allah?

Ramadan datang membawa satu kaedah latihan.

"Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran.
Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan.

Ketika kita ada segalanya untuk makan dan minum, namun kita memilih untuk tidak makan kerana mentaati Allah. Itulah latihan, Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya dapat meningkatkan daya kawalan diri. 

Itulah TAQWA, kawalan kehendak-kehendak sendiri untuk selamatkan diri, rumah tangga, anak dan suami/isteri."


Ramadan juga datang membawa didikan terhadap nafsu. Mengajar manusia berkata TIDAK kepada sebahagian keinginan nafsu yang membinasa.

"Bertuhankan tuhan yang palsu tidak perlu menyembah busut atau berhala. Cukup dengan berkata A dan nafsu mahukan B, lalu diutamakan nafsunya mengatasi perintah Allah, maka manusia ini telah mengangkat nafsunya sebagai Tuhan! Siapakah golongan itu? Ia itulah golongan yang tidak mampu berkata TIDAK kepada kecenderungan dan permintaan hawa nafsunya sendiri!"

Sekali lagi, Ramadan datang untuk mengajar anak muda khususnya mendidik amarah dengan berkata tidak terhadap kata-kata lucah, nista, maki hamun dan pergaduhan.

Nabi SAW datang mengajar kita menunjukkan ke'jantan'an dengan mengatakan, "AKU BERPUASA" ketika kesabaran mula terkalahkan oleh amarah.

Beratnya Ramadaan,apabila ia berakhir dengan menguji komitmen dan ISTIQAMAH.

"Memang pelik, 
Apabila manusia berbondong-bondong mengejar solat SUNAT tarawih di masjid, tetapi lengah terhadap solat FARDU yang WAJIB sepanjang masa.

Pelik benar,
Apabila sebulan Ramadan diisi dengan al-Quran, tetapi 11 bulan yang lain al-Quran ditinggalkan.

Janggal benar, 
Ramadan aurat ditutup, tetapi bulan-bulan yang lain macam berubah hukum, berubah Tuhan,

Justeru, asing sekali,
Puasa sudah puasa, tetapi SOLAT belum juga!"

ISTIQAMAH ini, membuatkan Nabi saw beruban memikirkan tentangnya seperti yang diriwayatkan sebuah hadith.

Maka, di kesempatan dan kesempitan masa yang masih ada, cubalah hayati Ramadan dengan seikhlasnya. Moga kita datang kepada Syawal membawa suatu diri yang tinggi. Tinggi kerana berjaya meraih diri yang kembali kepada fitrah. Berjaya menundukkan nafsu, berjaya menghidupkan hati dan meringankan tubuh untuk beribadah. Malah, sikap diubah kepada segala jenis kebaikan seperti yang dikehendaki Allah. Inilah golongan yang kembali. Iaitu 'AIDEEN', kembali ke jalan Allah.

Juga, raikanlah Aidilfitri dengan kejayaan membebaskan diri daripada belenggu jajahan nafsu. Aidilfitri dirai sebab kejayaan memerdekakan diri. Inilah golongan 'FAIZEEN'. Golongan yang berjaya mengembalikan dirinya kepada FITRAH yang terbelenggu oleh nafsu.

Ertikanlah Syawal ini dengan penghayatan Ramadan, dengan sebuah diri yang sebenar.

Salam Aidul Fitri daripada saya,
Sakinah Mohammad,

Mohon kemaafan setulus hati,
Semoga Allah menerima setiap amal ibadah sepanjang Ramadan,
Dan panjangkanlah kesyukuran Syawal,
Beriringan puasa sunat enam hari.
Moga Allah memberkati kalian.
Aidilfitri dirai, Ramadan ditangisi,
Moga ditemukan di masa yang lain nanti.

Sama-sama TRANSFORMASIKAN RAMADAN selepasnya.
Wassalam.

^_^


She's Someone...^_^


“Akak, kalau dengar pasal Nabi Muhammad, air mata mesti bercurah-curah,” katanya. Saya mendengar sambil berfikir, “Bagusnya akak ni..!”
“Kinah masih dalam suasana kinah sendiri. Suasana baik, belum lagi terdedah dengan pelbagai jenis manusia,” katanya penuh makna ketika kami bersama di dalam kereta.
“Jiwang syukur pada Allah atas apa yang diberi dan hargai apa yang ada depan mata rasanya ok, kot.” Amboi ayat dia..:)

****************

Allah takdirkan kami bertemu, di tempat yang pencinta ilmu berkumpul. Siapa sangka ukhuwah itu berkembang dengan baik, hingga melarat ke seluruh keluarga. Pertemuan dengan si dia memberi erti yang baik dalam hidup saya. Allah pasti ada sebabNya tersendiri apabila menemukan kami dan menjadikan kami seperti ahli keluarga sendiri. Jelasnya, saya juga bersyukur. Syukur ditemukan dengan insan-insan yang baik padaNya, termasuklan si dia yang dimaksudkan.

                Beragama bukanlah hanya berkisar mengenai hubungan semata-mata dengan Tuhan. Tapi beragama mengajar kita berhubungan juga dengan makhlukNya. Malah, indahnya Islam, berukhuwah keranaNya sahaja Allah menjanjikan lindungan rahmatNya di waktu manusia dipanah terik matahari berjarak sejengkal di atas kepala di Mahsyar nanti. Itu mafhum hadith Nabi saw mengenai 7 golongan yang akan dinaungi dengan payungan Allah antaranya mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Dengan syarat, biarlah kerana Allah.

                Menghayati banyak lagi hadith tentang hubungan sesama manusia ini, khususnya sesama muslim mengajar saya cuba menghubungkan silaturrahim sebanyak mungkin dan sebaik mungkin. Hinggalah mengenali si dia ini, menjadikan saya semakin ‘kreatif’ dalam memaknakan hubungan, dan memanfaatkan teknik-teknik komunikasi dan pengalaman yang sering dikongsi. Si dia yang saya lihat, bukanlah calang-calang manusia biasa yang pernah saya jumpa dalam ‘suasana’ saya. Komitmennya pada agama, dan komitmennya dalam menjaga setiap inci amanah yang tergalas membuat saya cemburu. Tentunya bersamanya semakin hari mengajar saya semakin banyak makna sebuah kehidupan. Kami saling berkongsi.

                Si dia, biarlah dia dan Allah yang tahu. Mungkin juga mereka yang mengenalinya akan mengetahui. Saja saya coretkan sedikit kisah di sini, sebagai satu penghargaan terhadap sebuah ukhuwah yang ikhlas. Terlalu banyak cerita, jika kalian juga mengenali si dia, pasti kalian juga akan ‘sayang’ untuk melepaskannya. Moga Allah memberkati si dia. 

                 Didedikasikan kepadanya yang sedang membaca, di kesempatan indah ini…

Ku dedikasikan khas buatmu,
Sepertimana pernah kau buat untukku,
Walaupun bukan puisi,
Namun hati ini terasa diisi,
Dengan kasih sayang dan rembesan rahmat Ilahi,
Tika aku ditakdirkan mengenali
Insan yang unik ini..:)

Ramadan mulia kian melabuh tirainya,
Betapa aku terasa kelainannya,
Ramadan kali ini engkau di sini,
Menemani hati yang sentiasa resah menanti,
Apakah nafas ini nafas ibadah,
Atau sekadar hembusan nafas biasa…

Syawal ‘kan hadir mengisi haknya,
Kalam ku hulur menuturi kemaafan,
Harapan ibadah dipersembah diterima Ilahi,
Darimu dan juga dari semuanya,
Kekhilafan diakur sepenuh hati,
Moga ukhuwah dirindui syurgawi…

Salam lebaran dariku,
Moga kita benar-benar produk takwa Ramadhan.
^_^



Monday, July 29, 2013

Cabaran Ramadan


Salam Ramadan.

Banyak saya coretkan di FB, bahawa Ramadhan kali ini saya perhatikan memberikan sedikit kelainan buat saya. Mungkin pada cara pandang saya, mungkin juga pada cara saya menyambutnya. Entahlah. Berpuasa sebulan penuh di kampung, dengan komitmen yang ada membantu mak abah menjaga bazaar Ramadhan di Segamat sedikit sebanyak mencabar saya berkomitmen untuk memecut ibadah.

Mana tidaknya, di awal pagi, selepas keletihan di malamnya (balik dari bazaar lewat malam) kualiti rendah, badan meminta rehat. Dan hari bermula lagi dengan berjaga di bazaar, atau menguruskan rumah dan makanan berbuka. Begitulah masa-masa berlalu. Borang muktabaah amal yang dibekalkan sahabat serumah, saya penuhi semampu mungkin, namun kelompongan tetap berlaku. Hingga satu masa yang agak lama, melepasi hampir separuh bulan, saya mengeluh, memikirkan apalah nasib ibadah saya tahun ini. Cemburu kepada sahabat di Bangi yang mampu bersama ‘bersaing’ dan merasai kehidupan Ramadhan yang ‘hidup’.

Tapi, itu yang saya maksudkan apabila saya katakan di FB, kehidupan manusia Allah tentukan berbeza cabarannya, berbeza cara ganjarannya dan berbeza cara perlaksanaan ketaatannya. Thanks to someone, saya lega setelah dijelaskan apa yang dilakukan sekarang juga sebahagian daripada ibadah (ilmu yang kekadang terlupa) dan sedeqah yang berguna. Indahnya Islam bukan hanya di tikar sejadah, namun juga dalam memperbaiki hubungan sesama manusia. Dan apa yang saya lakukan, juga mungkin kalian lakukan adalah sedeqah yang berguna, dengan syarat kerana Allah, hanya ikhlas mendapatkan redhaNya. Dan kenyataan ini, ternyata menenangkan saya. Namun tidak bermakna amalan di atas tikar sejadah perlu ditinggalkan, khususnya di bulan gandaan pahala amalan.

Untuk saya, untuk kalian, satu perkara kita perlu ingat khususnya di bulan Ramadhan ini. Apa jua yang dilakukan adalah menunjukkan diri kita yang sebenar. Sebenar-benarnya, tanpa masuk campur syaitan. Segalanya adalah datang daripada diri kita. Namun, perlu diingat, tanpa syaitan, kita masih ada hawa nafsu, yang sering manusia ‘tuhan’kan. Hawa nafsu itu, datang dari diri kita, bukan satu unsur asing. untuk mendidiknya, juga melalui diri kita. Maka untuk itulah Ramadhan didatangkan, untuk mendidik nafsu dan mengurangkan potensi syaitan mempengaruhi kehidupan manusia. Dan untuk itu kita diajar berlapar dan menahan diri walaupun segala yang kita inginkan ada di depan mata. 

Mafhum sabdaan Rasulullah saw daripada Bukhari Muslim:

"Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar."

Ramadhan juga hadir untuk mengajar manusia menahan keinginan sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah.

Ingatlah, nafsu itu jangan dihambakan hanya 1 bulan, namun di’tuhan’kan pada 11 bulan lainnya!

Dalam shahih Ibn Hibban dan Ibn Qudamah, mafhum hadith:

“Jibril datang kepadaku dan berkata, “Wahai Muhammad, sesiapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan dia tidak mendapat ampunan, maka jika mati dia masuk neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin! Aku pun mengatakan: Amin!”

Beramal selagi mampu, moga Allah pelihara kita daripada nerakaNya dengan keampunan.

Salam Lailatul Qadar.



Wednesday, June 26, 2013

PENJAJAHAN ISTILAH 2.0


Bismillahi walhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah.

Menyambung kembali penulisan berkenaan salah faham berkaitan Islam pada entry Penjajahan Istilah (1) dalam skop pengistilahan. Sebelum itu, jom kita tonton terlebih dahulu satu video yang berkaitan:


Saya temui video ini secara tidak sengaja di YouTube, dan terus merancang untuk mengarang sambungan entry ini. Rasa seperti janji yang tertangguh selagi tidak menulis sambungan ini.

Ok, kalian faham apa yang ingin disampaikan dalam video ini? 

Ia adalah konklusi mudah terhadap makna 'jihad' yang disalahfahami oleh anti-Islam di luar sana sehingga terbitnya pengistilahan yang disalahertikan yang telah saya nyatakan sebelum ini.

Sebelum ini telah saya ceritakan berkaitan istilah Terrorist Islam. Jadi, untuk kali ini saya meletakkan kombinasi makna terhadap 3 istilah berbaki:

                               1. Ekstrimis Islam
                               2. Fundamentalis Muslim
                               3. Moderate Muslim

Apa yang ditakuti oleh Barat adalah semangat jihad umat Islam yang dibawa oleh zaman salafussoleh lagi. Bagi mereka, golongan salafussoleh adalah mereka yang tidak boleh dijadikan contoh. Kesilapan mereka dalam memahami makna jihad dalam istilah yang sebenar membawa mereka kepada kesalahfahaman yang besar ini. Untuk itu, mungkin penerangan ini tidak terlalu terperinci, kerana saya hanya akan menyentuh pada aspek yang penting sahaja.

Ekstrimis dan Fundamentalis Muslim difahami dengan makna yang hampir sama dengan pemahaman mereka berkaitan terrorism Islam. Golongan ini diertikan sebagai orang yang mengidolakan tokoh di zaman salafussoleh dan mengikuti jejak langkah mereka. Mereka yang rajin melaungkan semangat jihad terus dianggap sebagai ekstrimis mahupun fundamentalis. Selain itu, golongan muslim yang berusaha mengembalikan umat Islam kembali kepada Islam yang sebenar, serta berusaha untuk memartabatkan Islam dalam negara juga disebut sebagai golongan fundamentalis dan ekstrimis oleh mereka yang anti-Jihad dan anti-Islam. 

Seperti yang terlihat dalam video tadi, mereka terus menganggap jihad itu sebagai serangan dan perang! Perbuatan-perbuatan seperti pengeboman, kehancuran dan huru-hara. 

Walhal, dalam memahami istilah ekstrimis, Islam mendefinisikan ia sebagai golongan pelampau agama yang telahpun wujud sejak zaman Nabi dan sahabat lagi antaranya golongan yang enggan membayar zakat, mengaku sebagai Nabi dan melampau dalam mengamalkan agama seperti berpuasa dan tidak berbuka, beribadah sepanjang hayat tanpa ingin berkahwin, dan solat sepanjang hari tanpa menunaikan hak jasad. Ini adalah apa yang diertikan sebagai ektrimis dalam Islam, namun disalahertikan oleh yang berkenaan bagi merosakkan lagi imej dan gambaran dunia terhadap Islam.

Mengenai istilah fundamentalis, Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi mengatakan bahawa fundamentalis adalah golongan muslim terbaik. Fundamentalis termasuk di kalangan para ulama' yang faqqih dalam ilmu syariah dan ilmu-ilmu berkaitan Islam, serta yang menyumbang kepadanya seperti istinbat hukum, dan penulisan. Fundamentalis Islam bukanlah seperti apa yang diertikan oleh Barat sebagai golongan yang negatif, walhal fundamental itu sendiri merujuk kepada asas Islam yang berpegang kepada 3 rujukan utama; Al-Quran, Sunnah dan Ijma'.

Ini adalah penjajahan yang mereka lakukan dalam mengistilahkan makna yang berkaitan Islam untuk digambarkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang mengajar keganasan.

Berbeza dengan istilah Moderate Muslim yang mereka definisikan. Moderate Muslim yang diertikan sebagai wasatiyyah dalam Islam diertikan dengan ciri-ciri seperti berikut:

                                  > Muslim yang menolak dan tidak mendokong jihad
                                  > Muslim yang tidak mengidolakan salafussoleh
                                  > Muslim yang cenderung untuk berhubungan dengan negara bukan Islam
                                  > Yang suka meminta pandangan negara bukan Islam dan memerlukan bantuannya
                                  > Berbuat baik kepada negara bukan Islam melebihi negara Islam

....and so on....

Apa yang kita boleh lihat di sini, apabila Barat memberi erti bahawa muslim wasatiyyah yang merupakan sebaik-baik muslim adalah mereka yang sememangnya berpihak kepada mereka, dan tidak berpihak kepada orang Islam. Apakah itu? Logiknya, itukah sebaik-baik muslim yang dimaksudkan oleh Islam? Melebihkan golongan bukan Islam, malah mempertahankannya melebihi saudara seislam. Bila saya meneliti istilah ini, maka baru saya faham mengapa Malaysia kerap dipuji oleh Barat khususnya Amerika Syarikat sebagai negara Islam yang moderate, dan dari mana datangnya konsep Wasatiyyah Najib. Sedaangkan, wasatiyyah yang paling baik adalah apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Prinsip umat Islam yang perlu dipegang :



Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.


Umat Islam makin dikelirukan!

Wallahu a'lam...


Wednesday, June 12, 2013

PENJAJAHAN ISTILAH 1.0


Salam Imtihan,

1stly, saya dedikasikan doa kebaikan khusus buat pensyarah subjek ini; Prof. Dr. Tengku Ghani Tengku Jusoh yang sangat banyak mencurahkan ilmu.. Barakallahu fihi..

*******************

Berkenaan entry kali ni, saya terlalu lama menyimpan topik ini untuk dikongsikan di sini sebenarnya, namun masa tidak mengizinkan, serta susunan ilmu masih 'caca-merba' ketika di awal semester. Info ini saya perolehi dan pelajari secara khusus di dalam subjek I'jaz al-Quran di bawah Jabatan Arab. So, I'jaz al-Quran ini tidaklah membincangkan tentang mukjizat al-Quran yang dibawakan oleh Jabatan Quran Sunnah,  ia lain sikit. Very interesting! Sehinggakan selepas sahaja saya menghabiskan topik ini di dalam kuliah, terus saya 'note' kan di depan desktop untuk update di blog. Tapi, lepas exam semalam, barulah saya rasa dapat nak share dengan lebih tersusun.

Ok, ceritanya begini. Masyarakat dunia sekarang digemparkan dengan pelbagai jenayah dunia yang tidak dipedulikan oleh undang-undang dunia mahupun PBB. Tanpa kita sedari, semua yang direncanakan oleh pihak barat khususnya adalah untuk menjatuhkan serta melemahkan umat Islam. Mungkin kita tidak menyangka bahawa dengan istilah sahaja, Islam dapat dirosakkan. Saya sendiri tak pernah terfikir, namun itulah realitinya.

Selepas peristiwa 11 September 2001, Islam mula dikecam dengan hebat dan istilah-istilah yang directly merujuk kepada Islam diperkenalkan. 4 istilah utamanya yang digunakan untuk menjajah pemikiran umat Islam ialah:

                   1. Terrorisme (الارهاب)
                   2. Extrimist ( المتطرف )
                   3. Muslim Moderate ( المسلم المعتدل )
                   4. Fundamentalis ( المسلم الحق )

Saya akan share tentang istilah ini dalam entry yang berbeza. Supaya tidak terlalu panjang.

Ok, cuba korang klik link ni, sebagai bukti bahawa mereka jelas-jelas menuduh Islam terrorist sebagai penyerang kepada peristiwa 11 Sept 2001. (http://en.wikipedia.org/wiki/September_11_attacks). Wikipedia, yang menjadi database seluruh dunia...

Sememangnya Allah pun dah bagi tahu dalam al-Quran bahawa orang kafir tidak akan berdiam diri selagi kita tidak mengikut agama mereka (QS Al-Baqarah:120). So, disebabkan permusuhan Yahudi dan Nasrani ini kepada Islam, mereka meletakkan kesalahan yang tidak dipastikan ini kepada kumpulan Islam dan terus digelar terrorist. Islam Terrorist menjadi satu istilah yang berjaya tersebar ke seluruh dunia dan mencemarkan imej Islam serta menimbulkan perasaan takut terhadap umat Islam.

Terrorist ini didefinisikan oleh Barat sebagai:
               i)  Seseorang yang membunuh orang awam yang tidak bersalah.
               ii) Seseorang yang melancarkan jihad menentang Barat, melibatkan diri dalam perkumpulan jihad (mujahideen) dan menyokong kumpulan jihad secara terbuka.
              iii) Individu yang mencetuskan jihad di merata tempat.

Can't you see that?
Definisi yang diletakkan pada istilah terrorist ini adalah jelas-jelas pada orang Islam yang membawa ideologi jihad fi sabilillah. Sebab apa mereka takutkan jihad? Kerana dengan berjihadlah, umat Islam menjadi kuat. Jihad dari sudut harta benda, jihad ilmu, jihad hawa nafsu, jihad politik dan sebagainya. Mereka takut umat Islam yang berkualiti.

Mereka juga mengaitkan istilah terrorist ini sebagai kata (الارهاب) dalam istilah Islam (Arab). Walhal, al-irhab adalah satu tindakan yang adil yang diajarkan oleh Allah. Dalam firmannya QS Al-Anfal: 60, al-irhab adalah tindakan mempertahankan diri terhadap ancaman musuh Islam. Juga tindakan menakutkan dan menimbulkan rasa gerun pihak yang mensyirikkan Allah, mengingkariNya dan golongan fasik daripada berbuat jahat. Ia adalah satu polisi untuk melindungi umat Islam khususnya daripada ancaman. Bahkan, Islam adalah agama keamanan, melarang tindakan huru-hara dan menggugat keamanan. Maka, istilah ini sebenarnya tak boleh disamakan dengan terrorisme yang difahami puak-puak Barat ini.

Mereka cuba menunjukkan bahawa Islam adalah agama keganasan dengan tersebarnya istilah ini dan menjadikan dunia melihat bahawa TERRORIST=ISLAM. Dan, bagi saya mereka telah sepenuhnya berjaya hingga pernah timbul fenomena ISLAMOPHOBIA selepas 11 September.


Begitu jugalah dengan apa yang dibuat oleh mereka pada memberikan terminologi kepada istilah-istilah yang di atas tadi. Mereka mendefinisikannya dan mengaitkannya secara langsung dengan Islam mengikut kehendak mereka dengan kefahaman yang salah. Seterusnya saya akan share pada next entry...

#Allahu Musta'an...

Bersambung...


Sunday, June 9, 2013

Susah nak faham...


Kata orang, jaga anak perempuan mahupun menjaga adik perempuan itu susah daripada lelaki. Bagi saya lain. Menjaga adik lelaki dan anak lelaki lebih mencabar. Bukan mudah nak memahami psikologi orang lelaki yang dalam umur yang ingin mengenal dunia dan tercabar dengan pelbagai perkara baru. 

Jika orang lain membaca buku psikologi lelaki dan perempuan untuk mengenal pasangan masing-masing atau untuk lebih memahami partner kerjaya dan kawan, saya pula membaca buku-buku seperti itu untuk cuba memahami seorang adik. Adik yang unik dan lain daripada adik-adik yang lain sifatnya. Memahami dia menjadi seperti satu 'training' bagi saya. Mula-mula faham dia nak A, kita cuba suaikan keadaan untuk memenuhi kehendak A itu, tiba-tiba tidak juga menampakkan perubahan. Kita cuba cara lain, tak juga. Keliru dengan tindakan yang sepatutnya diambil...

Kata sahabat saya, lelaki ni kalau dia mula nampak degil dan keras kepala, panas baran dan tidak mahu mendengar kata, dia pasti terlibat dengan dua benda; Rokok dan Perempuan. Itu yang saya risaukan. Apa nak dilakukan, saya bukan sentiasa di sebelah dia untuk melihat apa yang dia perbuat. Hanya mampu doa Allah jaga dan lindungi dia daripada fitnah dunia dan wanita. 

Menjauhkan ahli keluarga dari azab dan kemurkaan Allah adalah tanggungjawab sesama ahli keluarga yang beriman. Ini yang membuatkan saya terus-terusan memikirkannya..



Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Al-Tahrim: 6)

Selama berbahagia, di usia ini Allah uji. Uji dengan keadaan yang saya mudah memberi nasihat kepada mereka yang bertanya, namun ternyata tidak mudah apabila Allah benar-benar hadapkan ia kepada saya dalam situasi yang sebenar. Saya buntu.

Walaupun diberikan kesenangan, manusia jarang bersyukur. Namun jika dalam kesusahan, manusia mudah kufur. Allah..selamatkan kami daripada kederhakaan.


*******************

Kita ni jadi anak jangan hanya harap mak abah ikut kepala kita dan keinginan kita. Renungkanlah, berapa lama sudah mereka memenuhi keinginan kita sebagai anak, kini kita sudah capai tahap mampu berfikir dengan bijak, akal yang matang, mengapa lagi kehendak kita diminta dipenuhi? Sebenarnya ini masa untuk kita cuba penuhi pula impian mereka. Kita tidak tahu, esok atau lusa adakah mereka masih ada atau sudah diambil Allah...atau apakah kita yang pergi dahulu sebelum sempat berbuat apa-apa kebaikan kepada mereka.

Saya takut penyesalan di akhir waktu. Penyesalan yang tiada guna. Apakah manusia itu masih lalai walaupun telah Allah memberi peringatan-peringatannya dengan kalamNya yang telah tertulis di dalam al-Quran?

Saya cuba, kami mencuba. Moga Allah limpahkan hidayah dan taufiqNya.


Monday, June 3, 2013

Allah Sayang Dia!


Hidup dan mati adalah dua perkara yang berlawanan. Ramai yang mampu menulis tentang erti kehidupan, hakikat kehidupan dan pengalaman kehidupan, namun bukan mudah untuk menggambarkan kematian, menulis tentang hakikatnya dan pengalaman mengenai kematian. Kerana, mereka yang telah mengalami kematian mana mungkin akan menulis berkaitannya, kerana ketika itu tiada lagi istilah perkongsian pengalaman, namun ia adalah masa untuk mengalami dan merasainya sendiri tanpa sesiapa sebagai teman.

Berkata tentang diri sendiri pun, saya sendiri akui saya masih takut untuk mengalami kematian. Entah bila, barulah terasa bersedia mengalaminya. Sebenarnya, ia bukan mudah semudah kata-kata. Ia mujahadah yang lelah tapi berbuahkan kemanisan.

Abang saya, Allah uji dengan penyakit saraf hingga melemahkan seluruh otot untuk bergerak, tambahan dengan asma yang telah lama dihidapi. Allah sayangkan dia. Allah uji dia tanpa henti. Setelah satu, satu lagi. Itu tanda Allah tidak ingin dia terlupa. Saya yakin hikmah itu. Berulang-alik ke hospital menemani satu-satunya abang bersama kakak pada setiap hujung minggu. Saya tahu, saya pergi pun bukan dapat bantu apa. Saya bukan pakar, apatah lagi nak mengetahui mengenai ilmu-ilmu perubatan dan saraf. Namun, satu niat saya agar dia tidak merasa sendiri. Agar dia bersemangat untuk sembuh. Allah sayangkan dia. Saya tahu itu. Ini motivasi untuk saya agar kuat menghadapinya.

Ia memang mudah untuk kita memberi kata semangat, namun dia yang menghadapi terasa perit sekali. Sekali sekala dia menangis. Letih katanya. Paru-paru yang lemah membuatkan pernafasannya naik turun, kekadang terdengar lemah. Saya doa, kami berdoa untuk dia tetap semangat. Namun, air mata yang mengalir di hujung matanya membuatkan kami sekalian lemah. Abang yang dahulunya kuat bergurau, kekadang suka marah, aktif bersukan kini terbaring lemah. Saya cuba kuat, di samping ahli keluarga yang lain. Kalau boleh taknak tunjuk depan dia kami teresak.

Pagi tadi, katil sebelah abang di wad ICU dikosongkan. Pak cik yang mengalami sakit paru-paru meninggal dipanggil Allah untuk kembali kepadaNya (moga Allah merahmati rohnya). Pakcik tersebut telah nazak tiga hari sebelumnya, ditakdirkan Allah Isnin pagi ini masanya tiba. Kami tiba di hadapan wad ICU melihat esakan seorang makcik tua (nenek saudara pakcik). Kami salam dan ucapan takziah diberikan untuk mententeramkan hatinya. Masuk kami ke dalam, melihat wajah abang sayu dan sedih. Air matanya menitis tanpa henti. Dia tanya, pakcik sebelah tu? Saya kata dia dah meninggal. Dia takut. Dia mengadu pada kakak saya untuk sampaikan pesan kepada mak jika dia dah takde. Kami menidakkan. Emosinya terganggu kerana melihatkan keadaan arwah di sebelah katilnya. Nafasnya naik turun. Lemah sekali, berbanding sebelumnya. Kami tak tertahan, air mata mengalir tanpa diminta. Kakak minta diri keluar untuk menenangkan diri. Saya tetap cuba sabar, meneruskan kalam doa-doa syifa' sambil menyapu dadanya. 

Itulah, kematian dan kehidupan. Allah bagi kita kesempatan untuk hidup, supaya kita bersedia untuk mati. Kakak terus memberi kata motivasi dari abah untuk abang, setelah menelefon abah yang di Kelantan. Minta abang terus bersabar, kuat semangat dan meyakini akan hadirnya kematian, namun ada jua kehidupan. Segalanya kembali kepada kehendak Allah. Dia akur, lidahnya terus menyebut kalimah Allah, namun masih bersedih dan takut. Takut untuk mengikuti jejak langkah pakcik di sebelah.

Harini, dia terus sedih. Menangis tak henti. Tiada esakan, namun air mata mengalir tanpa henti. Sakit hati melihatkan keadaannya sedemikian. Saya berharap esok dan seterusnya dia kembali kuat. Syukur, Allah masih pelihara hafazan al-Qurannya, sebagai syifa' untuknya. Ia satu kelebihan buatnya. Syukur...

Ya Allah, saya menyaksikan di sini, abang saya (Abdul Basir bin Mohammad) orang yang baik. Anak yang soleh dan berusaha menjadi pendakwah yang baik untuk agamaMu, Ya Allah. Ujian ini, ringankanlah untuknya, kuatkanlah semangatnya. Ya Rahim, panjangkanlah umurnya, berkatilah usianya. Kau rahmatilah dia, sentiasalah lindunginya dan masukkanlah ketenangan ke dalam hatinya. Setiap kebaikannya, Kau jadikanlah ia asbab untuk kesembuhannya. Ya Allah, kuatkan ototnya, lancarkan perjalanan darahnya dan pernafasannya. Kau nyahkanlah segala penyakit di dalam dirinya. Kembalikanlah dia kepada kami seperti sediakala, ya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Menyayangi.

Nabi mengajar kita untuk berdoa. Saya akui, doa adalah motivasi yang baik. Setelah berdoa saya rasa sedikit lega. Dada menjadi lapang. Saya yakin Allah dengar doa saya. Saya yakin Allah ada rancangan yang baik untuk kami sekeluarga. Saya yakin dan percaya! Allah sayangkan abang!

Dalam Ruqyah, ada doa untuk menghilangkan kerunsingan. Saya baca saya sebak. Doa itu menyentuh hati saya. Setiap kali membacanya membuatkan saya sebak. Doa yang dititipkan dalam Ruqyah, yang diberi oleh seorang kakak dari Darul Syifa', untuk dibaca dan disapu di dada abang. Pagi tadi saya baca, kerana melihat dia terlalu runsing dan bersedih... Allahumma...perkenankanlah...

اَللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ القُرْءَانَ 
رَبِيعَ قَلْبِي وَنُورَ صَدْرِي وَجِلَاءَ حُزْنِي وَذَهَابَ هَمِّي.

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu dan anak kepada amahMu, jiwaku dalam tanganMu, berlaku atas diriku semua keputusanMu, adil segala ketentuanMu ke atas diriku, aku memohon dengan semua nama yang Engkau namakan diriMu atau pun yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkannya sesiapa pun daripada para makhlukMu, atau Engkau tetapkannya dalam ilmu ghaib hanya untuk Engkau sahaja yang mengetahuinya, supaya Engkau menjadikan Al-Quran itu kesegaran hatiku, cahaya dadaku, menghapuskan kesusahanku dan menghilangkan kerunsinganku.

*Diambil daripada hadith. Ia boleh dibaca untuk mewakili dengan menukar gantinama.



Amin, Ya Rabbal 'Alamin...

I miss him, really miss him... :"(

Saturday, March 23, 2013

Kematian


22 Mac 2013

Saya membuka facebook, terpampang terus berita kesyahidan seorang ulama' besar dunia; Fadhilatus Syeikh Saed Ramadhan al-Buthi yang terkenal dengan kehebatan ilmunya dan tulisannya dalam kitab Fiqh al-Sirah serta banyak lagi buku.



Berdebar jantung menyaksikan berita musibah ini. Allah sahaja yang tahu apa yang terjadi pada perasaan saya pada ketika itu. Merasakan satu tamparan musibah yang maha hebat. Terngiang-ngiang cerita kematian ulama' dan tokoh hebat Islam yang dibunuh kejam oleh regim pemusuh Islam. Dan, ia kini terjadi sekali lagi, di zaman saya sudah pandai melihat situasi. Ia terjadi lagi, di zaman saya. Membuatkan saya terasa amat-amat takut akan berita kekejaman dan kehilangan yang besar ini.


23 Mac 2013

Telefon bimbit memberi isyarat mesej, dan saya terus membuka:

"Awak! Adik usrah sy meninggal dlm tido! Pagi tadi, Mahani Hamzah, usul taun 2. Al fatihah."

Sekali lagi saya tersentak!

Allah...lagi berita kematian. "Dy sakit apa kak?" Saya bertanya.

"Takde sakit. Dalam tido."

Inna lillahi wainna ilaihi raji'un...

********************************************

Kematian. Satu yang sangat berjaya memuhasabah saya. Mungkin kerana sudah lama berada dalam zon selesa, Allah memberikan kaedah berbeza untuk menyuntik kembali iman yang semakin pudar.

Kedua-dua berita kematian tadi, amat-amat berjaya memuhasabah saya. Kematian yang mulia; Allahyarham Fadhilatus Syeikh Saed Ramadhan al-Buthi, sangat menyedarkan saya. Allah telah memilihnya untuk kembali kepadaNya dalam keadaan yang baik. Di hari Jumaat yang diberkati, di dalam masjid, ketika sedang memberikan kuliah agama (iaitu di majlis mengingati Allah, di mana para malaikatnya berpusu-pusu untuk memenuhi ruangan di dalam majlis itu). Apakah yang lebih baik, selain kembali kepada Allah, dalam keadaan sedang mengingati Allah dan mengajak manusia ke arah kebaikan?

Lalu saya menyoal diri, apakah agaknya situasi kematian saya apabila maut menjemput? Ia merisaukan saya..

Berita kedua pula, adik junior di jabatan pengajian yang sama. Walaupun saya tidak mengenalinya, tapi ia terasa seolah-olah sangat dekat. Berita yang menganggu jiwa dan ketenteraman saya. Entah kenapa, mendengar berita almarhumah adik ini meninggal dunia dalam keadaan tidur, membuatkan saya merasa risau keadaan saya akan dikembalikan, masa saya dicabut nyawa nanti. Adakah saya sudah bersedia untuk itu? Soalan itu sekali lagi menakutkan saya. Walau ia hanya diungkap main-main pada ketika ini, ia sangat mengganggu saya. Sehingga saya terasa ingin menerbitkan post ini.

Allahu Akbar! Sudahnya, nyatalah kebenaran firman Allah:


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Ali Imran: 185)


Adakah kita berjaya mengecapi syurga, atau gagal lalu dicampakkan ke dalam neraka, semua bermula di titik awal perjalanan kita ke arah itu, iaitu KEMATIAN.

Jika baik keadaan kita ketika menghadapi kematian, insyaAllah baik jualah keadaan kita di dalam kubur (alam barzakh) dan seterusnya. Namun, jika buruk keadaan kematian kita, maka buruklah balasan kita di alam barzakh kelak. Wal'iyyazubillah..

Sesungguhnya, saya sangat risau. Apakah akan berlaku di saat kematian saya nanti? Apakah kita semua sudah bersedia menghadapinya jika sesaat selepas ini, kematian menjemput kita? 

Marilah sama-sama mengingati, bahawa kematian itu akan datang tanpa kita sedari, dan ia akan menjemput kita tanpa mengenal usia.


Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al-Baqarah:201)

Maafkan saya jika saya pernah silap kepada semua. Masa saya juga akan tiba, tanpa saya ketahui ketikanya. Moga Allah merahmati kalian.

Wallahu a'lam.

Monday, March 18, 2013

Kehidupan


Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam tempoh panjang ini, terlalu banyak yang ingin dikongsi, akhirnya ia hanya berlegar-legar di sekitar pemikiran, tanpa digagahkan jari-jari untuk menaip apa yang ingin dikongsi. Petang ini, suasana seolah-olah memaksa jari-jari bermain di keyboard untuk menulis sedikit ilmu yang dapat dimanfaatkan. Namun, pemikiran saya sendiri masih berlegar-legar memikirkan apa yang paling sesuai sekali untuk saya kongsikan.

...................................................................................................................................................................

Sedar atau tidak, sesungguhnya sudah terlalu lama kita diberi nikmat kehidupan oleh Allah SWT untuk terus hidup dengan baik di muka bumi ini. Yang mampu membaca blog saya, mungkin paling muda tidak kurang sudah 10-15 tahun (itu pun jika ada adik-adik yang suka bacaan yang sebegini). 10, 15, 20, 30 tahun, satu tempoh masa yang sungguh lama. 10 tahun kita boleh melihat sebuah negara yang dahulunya bankrup, kini mampu membangun dengan baik. Tempoh 15 tahun, seekor serigala sudah mampu membentuk kawasan jajahannya sendiri dan membina kelompoknya tersendiri sebagai ketua kawanan. Tempoh 20 dan 30 tahun... lagilah terlalu banyak perkara dan perkembangan yang boleh berlaku.

Terlalu panjang hayat yang diberikan Allah untuk manusia terbentuk menjadi insan yang bermanfaat dan hamba yang taat. Cuba kita lihat kembali episod-episod kehidupan kita dahulu. Khususnya selepas kita sudah menjadi hamba yang tertanggung ke atasnya tanggungan dosa dan pahala. Iaitu, ketika kita sempurna menjadi seorang hamba yang mukallaf. Apakah yang telah kita lakukan? Mampukah kita, jika dalam lingkungan umur 20 tahun ini kita dipanggil untuk berdepan dengan Allah SWT, mahupun berdepan dengan soal jawab para malaikatNya yang taat?

Jom kita perhatikan. Kepada sesiapa yang ada diari, cuba buka semula diari anda. Lihat kembali aktiviti anda beberapa tahun yang lepas...dan kini, jawablah pada diri sendiri..

Kekadang, memandang ke belakang itu perlu, supaya kita tidak lagi mengulangi langkahan yang salah pada suatu ketika dulu. Dan juga, agar kita kembali bersemangat dan berusaha menjadi yang terbaik, seperti suatu ketika dulu jika kini kita adalah daripada kalangan mereka yang telah tersilap langkah.

Saya sedikit kesal, apabila melihat ada insan yang cuba menjatuhkan semangat dan keinginan seseorang itu untuk berubah. Untuk melihat ke belakang, saya bukan menyuruh orang lain yang melihat. Empunya dirilah yang perlu mengkoreksi diri. Selain dirinya, tidak perlu sibuk melihat sejarah silam dan masa lalu orang lain. Tidak perlu mengungkit dan mengkisahkan perkara yang sudah lepas. Risau, 'keperihatinan' kita yang melampau terhadap kehidupan orang lain, membuatkan sebahagian individu itu yang berniat untuk berubah, membatalkan niatnya, gara-gara niat sebilangan kecil insan yang cuba mengingatkan kepadanya kembali tentang kesalahan yang lalu.

Moga Allah mengampuni kita jika kita pernah tersilap menilai manusia, dan moga Allah ampuni juga dosa kita jika pernah kita menyakiti sesama manusia. Sesama kita, bermaafan dan lupakanlah dan maafkanlah kesilapan manusia kepada kita, namun, jangan sekali-kali melupakan silap kita pada orang lain sebelum kita berjaya memohon maaf. Pesanan saya, buat diri dan semua yang membaca, koreksilah diri. Apakah yang mampu kita hadapkan di hadapan Allah nanti dalam jangka umur yang cukup lama ini. Apakah usaha dalam menyebarkan dan membantu Islam telah kita lakukan? Dan, berilah semangat kepada sesiapa yang ingin berubah kepada kebaikan. Bantulah mereka walau hanya dengan kata semangat dan sokongan. Moga ia menjadi amal jariah kita.

Wallahu a'lam.

#Doaku untuk keamanan di Lahad Datu.