Tuesday, March 20, 2012

Ghairah Mengejar Hidayah

Hidayah adalah milik mutlak Allah SWT. Akhir-akhir ini kita banyak didedahkan dengan pelbagai penghijrahan individu-individu muslim ke arah kebaikan dari pelbagai jenis kelompok masyarakat. Artis, pelajar, masyarakat awam dan sebagainya. Sungguh, saya bahagia dan berbunga-bunga hati melihat perubahan mereka. Timbul persoalan di hati, apakah faktor yang menyumbang kepada perubahan mereka ini? Penghijrahan yang amat menyejukkan setiap hati yang melihat.

Apakah pandangan sahabat? Pendapat kalian, apakah faktor utama yang mendorong kepada perubahan mereka?

Ibu bapa?

Anak?

Kawan-kawan?

Masyarakat sekeliling?

Ustaz atau ustazah?

Atau….

Diri sendiri?
*********************

Saya memulangkan jawapannya pada hati sahabat-sahabat. Hanya kalian yang memahami jiwa dan hati sendiri. Namun, jawapan dari pihak saya adalah diri sendiri. Bagi saya, diri sendirilah yang menjadi faktor dan pemangkin yang kuat kepada penghijrahan dan perubahan setiap insan. Kita seringkali membaca kalam Allah SWT yang berkisar tentang ikhtiar dan qudrah atau kemampuan untuk berubah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap manusia yang akan digunakan untuk merubah diri sendiri ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Allah memberikan manusia pilihan untuk membuat keputusan di antara hidayah atau sesat, dan Allah SWT tidak akan mengubah nasib mereka sehinggalah mereka sendiri berkeinginan untuk mengubahnya. Dan jika mereka tidak ingin cenderung membawa diri ke arah kebaikan, maka selayaknya untuk Allah SWT menurunkan siksa dan bencana ke atas mereka tanpa ada siapapun untuk menolong.

            Jom kita telusuri dari hati yang suci, firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 11, maksudnya :

Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Sahabat-sahabat yang saya sayangi kerana Allah,

Lalu apakah lagi alasan kita untuk tidak mahu merubah diri ke arah kebaikan? Apakah lagi alasan yang ingin kita kemukakan di hadapan Allah SWT kelak? Adakah kita ingin menyalahkan Allah di atas dosa dan kesalahan yang dipilih sendiri oleh kita? Marilah sahabat-sahabat, berhijrahlah kita semua ke arah kebaikan. Masuklah ke dalam Islam secara sepenuhnya.

Mungkin nanti akan ada yang berkata…

“Aku dah banyak sangat melakukan dosa, tak layak untuk bertaubat”

“Mahukah Allah mengampuni aku? Terlalu banyak dah dosa yang aku lakukan..”

“Aku belum bersedia untuk berubah”

“Urm…nanti-nantilah bertaubat..”

Dan sebagainya…

Sahabatku….

Pasti setiap manusia itu melakukan kesalahan, namun setiap yang pernah berdosa, apabila mereka mula menyedari kesilapannya dan memohon keampunan kepada Allah serta berhijrah kepada kebaikan, sesungguhnya tidak akan sia-sia penghijrahan itu, kerana Allah SWT telah menjanjikan kepada kita, dengarkanlah kata-kata Allah yang mulia, dalam Surah Ali Imran, ayat 135 yang bermaksud:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan Yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang Yang beramal.”

Maka, masihkan lagi kita ingin bertangguh-tangguh untuk melakukan kebaikan? Masihkah kita ingin berlengah untuk membawa perubahan diri agar lebih dekat kepada Allah? Marilah sahabat-sahabat…jangan pernah bertangguh ketika hati disuntik rasa ingin berubah kepada kebaikan, kerana kita belum pasti, apakah ada lagi suntikan kali kedua untuk kita. Bersegeralah dalam mengejar kebaikan, kerana kita juga tidak pernah dan tidak akan dapat menjangka bilakah masanya Allah akan mengambil nyawa kita. Maka ketika nyawa telah sampai di kerongkong, tiadalah gunanya lagi keinginan untuk melakukan kebaikan. Tiada gunanya lagi untuk kita bertaubat. Allah…berilah kami kesempatan masa itu.

Ingin saya kongsikan di sini, saya sangat mengagumi sifat Wardina. Bukan kerana kecantikan rupa parasnya, bukan kerana popularitinya, tapi saya mencintainya kerana keghairahannya mengejar hidayah Allah, kerana keghairahannya mencari ilmu, kerana kecantikan budi pekertinya. Maklum mengenali siapa Wardina sebelum ini, namun siapa sangka beliau akan menjadi seperti sekarang. Adakah dia menemui hidayah itu dengan hanya bercekak pinggang, lalu hidayah turun menyapa hati?

Tidak sahabat. Hidayah itu hadir ketika mana hatinya terusik di hadapan Ka’abah. Ia hadir ketika beliau mula membuka hatinya untuk menerima kebenaran. Allahu Rabbi. Siapalah yang memegang hati ini, melainkan Allah jualah yang menguasainya, dan Dia jualah yang mencampakkan hidayah ke dalam hati ini untuk berubah ke arah kebaikan. Hinggalah kini, kita melihat Wardina jauh berbeza dengan dirinya yang sebelumnya. Siapakah yang menjadi penguat hatinya? Al-Quran. Siapakah yang diletakkan sepenuh pergantungan? Allah. Apakah yang membuatkan hatinya sentiasa tenang dan tabah dalam menerima segala ujian? Pengharapan terhadap cinta dan redha Ilahi ke atasnya.

Allahu Akbar! Benarlah kata-kata yang selama ini saya dengar. Mereka yang dahulunya jahil, apabila diberikan hidayah oleh Allah Ta’ala akan menjadi lebih baik dan mulia kerana kesedarannya terhadap dosa-dosanya yang lalu. Lalu, apakah kita masih ingin tunduk menghinakan diri dan terus-menerus dalam kejahilan, walhal wujud di sekeliling kita pintu-pintu untuk mengecapi hidayah? Berubahlah untuk kebaikan. Bukan hanya demi kebaikan diri, malah berubahlah demi Allah, nescaya bukan hanya dirimu yang akan terpelihara, malah ia akan memberi tempias keberkatannya kepada orang disekeliling sebagaimana yang berlaku pada Wardina. Sungguh saya kagumi beliau dan mendoakan beliau dikekalkan di dalam hidayah hingga ke akhirnya.

Berhijrahlah wahai diri kepada redha Allah dan berdoalah….moga kita sentiasa berada di dalam hidayah.

"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".


"Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam keimanan dan agamamu, serta tetapkanlah kami dalan ketaatan kepadamu."

Wallahu a’lam…

                                

[Artikel ini khusus saya tujukan kepada diri sendiri. Moga dapat juga memberikan ketukan iman di hati sahabat-sahabat yang membaca. Insya-Allah]



Friday, March 9, 2012

Usrah Memang 'Boring'

Dulu apabila disebut usrah, sayalah orang yang paling malas sekali nak join. Sejak di Maahad Johor lagi (tingkatan 6) saya didedahkan dengan usrah di surau asrama (sebelah bilik je) daripada kakak-kakak yang datang dari IPT. Sahabat-sahabat saya yang lain setiap hari Sabtu, lepas kami gotong-royong akan pergi berjumpa kakak tersebut untuk berusrah, tapi saya, akan ber'usrah' makan di bilik bersama kawan2 dorm. Kawan-kawan ada juga mengajak untuk join sekali usrah, tapi entah kenapa, saya sungguh-sungguh tidak berminat. Seingat saya, sekali sahaja saya pergi ke liqa' tersebut, untuk menonton video yang kakak usrah tersebut kongsikan (itu pun sebab nak tengok video je). Kami satu dorm sememangnya satu kepala, ber'usrah' dan berukhuwah di bilik sendiri (teruk kan..? jangan ikut cara kami).

Itu first saya dikenalkan dengan usrah. Perkenalan yang tidak sempurna dan hanya mengikut-ikut sahaja membuatkan saya memberikan impression yang kurang best pada usrah. Bagi saya pada masa itu usrah ini hanyalah dalam bulatan, membincangkan isu-isu agama, kami anak usrah mendengar dan naqibah memberikan pengisian. Sungguh! Saya merasa sangat bosan untuk hadir ke usrah pada ketika itu. Mungkin juga kerana di MJ dulu, saya berada di dalam biah solehah, suasana islamik dan menyelesakan. Jadinya usrah atau tidak, saya masih terpelihara dalam suasana Islam.

Namun lain jadinya apabila saya ditakdirkan berada di UKM. Selama sebulan pertama di UKM, saya merasa sedikit bebas tanpa kawalan, tapi still juga saya tidak boleh berbuat apa. Namun, selepas sebulan, masuk ke dua bulan, tiga bulan saya merasakan sesuatu kekosongan. Akhirnya saya mula mencari-cari majlis ilmu atau jujurnya saya mencari usrah! Ini kerana suasana di UKM membuatkan saya tidak boleh bersendiri, saya perlu ada teman yang memandu dan mengingati.

Akhirnya saya menyertai usrah umum daripada satu persatuan, konsep usrah dalam fkiran saya masih tidak dapat diubah kerana begitulah pendekatan yang digunakan dalam usrah umum ini. Dan selepas itu, saya mula menuntut usrah daripada satu persatuan lain pula di UKM yang mengusrahkan setiap ahlinya, iaitu Ikatan Studi Islam UKM. Namun, usrah saya masih lesu dan tidak berjalan. 

Naik ke tahun 2, saya terus ditaklifkan menjadi naqibah ISIUKM dalam masa saya masih kurang pengetahuan tentang usrah, namun saya terima dan cuba belajar. Tapi saya akui di sini, usrah yang dikendalikan oleh saya kurang menarik, kerana saya melaksanakannya berdasarkan konsep usrah yang masih tidak berubah. Iaitu liqa' ilmi samada di masjid, fakulti dan sebagainya. Saya berusaha memaknakan usrah (dengan makna tadi) hingga mungkin anak usrah saya bosan, dan akhirnya *3 rukun usrah pun kami tidak lepas. Saya membuat kesimpulan, usrah saya yang ini kurang berjaya kerana kurang pengalaman, mungkin. 

*3 rukun usrah : taaruf (mengenali), tafahum (memahami), takaful (membantu)...

Di tahun 3, saya mendapat usrah baru. (Seronok dapat usrah lagi, dengan mengharapkan komitmen yang lainn sikit!). Tapi saya masih contact dengan adik-adik yang sebelum ini, cuma mereka juga semakin sibuk apabila meningkat tahun 2. So, dengan pengalaman sebelum ini, dan penerangan tentang usrah yang banyak memecahkan tembok dan kesalahfahaman saya selama ini tentang usrah, membuatkan saya bersemangat untuk menjadikan usrah saya ini satu keseronokan. Seronok berusrah atau hobiku adalah usrah. Mungkin? Dan alhamdulillah, setakat ni saya sangat bahagia dengan komitmen adik2 dalam berusrah dan partner yang baik, banyak membantu menyeronokkan usrah ini. Kami berusrah di kedai makan, di MFC, di padang dan sebagainya. Bukan hanya di masjid atau dalam liqa' semata-mata. 

Hakikatnya sahabat, usrah ini bukanlah hanya dalam liqa' yang kita sangka selama ni. Saya diperbetulkan tanggapan tentang usrah ini banyaknya setelah saya bergelar naqibah. Naqibahlah yang memandu perjalanan usrah, namun ahli-ahli usrah adalah mereka yang mengindahkan usrah. Tiadanya ahli usrah, tiada gunanya naqibah. Usrah menuntut komitmen daripada kesemua pihak. Usrah ini di mana-mana, hatta di dalam FB pun kami boleh berusrah. Jika ada juga sahabat2 yang berfikiran macam saya tentang usrah sebelum ini, jom betulkan kembali pemikiran kita. Usrah sangat seronok sebenarnya, sehinggakan masalah-masalah peribadi kita, tiada yang lebih kita percaya untuk kongsikan melainkan dengan ahli usrah kita. 

Usrah itu keluarga. Maka, maknakanlah keluarga anda sebagaimana anda memaknakan keluarga sebenar anda. Makan minum bersama, ketawa menangis bersama, berkongsi suka duka dan sebagainya. InsyaAllah...usrah hingga ke akhirnya...

Kitalah yang membentuk usrah kita seronok atau boring. So, teruskan usrah!, sampai anda rasa seronok. Saya dah merasainya, anda?

*Credited to usrah ISIUKM! <3

Usrah tunjang tarbiyyah. Lemah tarbiyyah, lemahlah gerakan. 


~A lot of luv to Amani, Afifah, Azzyati, Ainun, Fatin, dan Nik Zainab. Tak lupa kepada partner yang baik; Hidayah..<3 <3

*Sayu rasanya dah nak abis tempoh pengajian di UKM, dan meninggalkan adik2 usrah Sandwich yang sangat2 saya sayangi... Papepun, pesan akk pada adik2 Sandwich yang disayangi, teruskan komitmen adik2 dalam usrah sehingga adik-adik rasa, tak adanya usrah, tak seronok..^_^
Akk sayang adik2 semua kerana Allah..

Friday, March 2, 2012

Akidah Inilah Yang Memuliakan Kita



Kesibukan dalam mengendalikan beberapa urusan menyebabkan saya telah membiarkan blog ini tidak ter-update agak lama (jika dibanding dengan sahabat saya yang telah sempat mengupdate hampir 3 ke 4 post). Banyak isu yang ingin saya kongsikan sebenarnya, tapi kekangan masa yang tidak memberi kesempatan saya menulis, akhirnya semua itu terbuku di dalam fikiran semata. Pagi ini, ahlhamdulillah saya dilapangkan masa oleh Allah untuk saya berkongsi.

ISU KEKEJAMAN BASHAR AL-ASSAD

Saya melihat isu di Syria berbeza dengan isu di Mesir, Libya dan lain-lain. Kekejaman yang berlaku di Syria bukan sekadar isu kemanusiaan atau politik, ia juga merupakan isu akidah. Bashar al-Assad melakukan kekejaman kepada rakyat Syria yang berakidahkan Ahli Sunnah wal Jama’ah (ASWJ) yang bertentangan dengannya yang merupakan seorang Syiah dan juga seorang pemerintah kuku besi. Maklum mengetahui, ini adalah antara kesan-kesan Arab Spring yang berlaku bermula akhir tahun 2010 (betulkan jika saya silap) yang dimulai dengan revolusi di Tunisia yang akhirnya merebak ke Syria.

Betapa kejamnya Bashar al-Assad dan konco-konconya membuatkan saya menjadi semakin risau dengan nasib rakyat Syria yang semakin teruk diperlakukan. Saya ada menonton satu video kekejaman askar-askar yang masih memihak kepada Bashar al-Assad, mereka memaksa seorang lelaki yang diseksa di tengah-tengah jalan untuk mengucapkan “La ilaha illa Bashar Assad”  (tiada Tuhan melainkan Bashar Assad!!). Saya rasa ini satu perbuatan yang menambah lagi kelayakan untuk beliau dibunuh dengan segera. Perlakuan beliau ini juga melayakkan beliau layak untuk digelar Firaun Zaman Moden!

Namun begitu, saya melihat kekuatan yang luar biasa ada pada rakyat Syria kini adalah keyakinan kental mereka terhadap pertolongan dan perlindungan Allah kepada mereka serta yakin yang tiada berbelah-bagi kepada janji Allah Ta’ala akan kemenangan yang pasti tiba buat Islam. Melihat satu video di mana beribu rakyat Syria yang berkumpul dan bertempikkan kalimah Lailaha Illallah, kalimah Allah, beramai-ramai membaca surah al-Nasr dan laungan-laungan takbir dan tahmid membuat saya meremang dan mengagumi mereka. Tiada nikmat yang lebih indah melainkan nikmat merasai kemanisan iman dan nikmat berjuang di jalan Allah menegakkan kalimahNya di atas keruntuhan kezaliman dan kejahilan.

Tapi yang sangat menyedihkan saya ialah kurangnya pendedahan di media berkenaan keadaan dan nasib saudara kita di sana menyebabkan ramai yang masih menganggap biasa isu yang berlaku di Syria kini. Maka, tanggungjawab setiap daripada kita adalah untuk menyebarluaskan isu kekejaman Bashar Assad ini dengan harapan semua umat Islam seluruh dunia, dan khususnya Malaysia mengetahui dan cakna dengan keadaan mereka, sekaligus menimbulkan rasa keterikatan akidah dan kemanusiaan untuk membantu dan mendoakan yang terbaik untuk mereka di sana.  Doa sering saya iringkan buat saudara seakidah di sana. Sesungguhnya syahid itu pengakhiran indah buat pejuang Islam.


ISU HUDUD MANTAN PERDANA MENTERI, DR. MAHATHIR

Hukuman hudud yang merupakan perlembagaan undang-undang yang didapati secara jelas di dalam al-Quran dan Hadith, yang ditaklifkan daripada Allah SWT kepada seluruh umat Islam sering dijadikan bahan mainan dan diperlekehkan oleh golongan yang berkepentingan. Isu ini semakin menjadi-jadi di Malaysia khususnya apabila kita semakin menghampiri Pilihanraya Umum. Setiap kali hampirnya kepada pilihanraya, pasti isu ini akan ditimbulkan antaranya seperti, “relevenkah lagi hudud?”, “hudud tidak sesuai di Malaysia yang berbilang kaum”, “hudud dipolitikkan”, dan sebagainya.

Terkini, kita dikejutkan dengan satu video yang memaparkan Mantan Perdana Malaysia yang ke 4; Tun Dr. Mahathir Mohamad mengupas isu hudud ini di dalam satu program di Sarawak (ruj: http://www.youtube.com/watch?v=2fEZNoDKez8&feature=youtu.be). Antara isi yang beliau katakan adalah bahawa hudud ini adalah rekaan ahli feqah, bukan hukuman yang ada dalam al-Quran dan ini bermaksud beliau mengatakan hudud ini bukan daripada Allah, tapi rekaan manusia iaitu ahli feqah. Kenyataan beliau ini sangat bertentangan dengan apa yang kita sedia maklum bahawa hudud ini jelas termaktub di dalam al-Quran dan banyak boleh didapati dalam surah al-Nur, al-Maidah dan lain-lain. Confirmlah hudud ini daripada Allah, kerana al-Quran itu kalam Allah. Adakah dia juga ingin mempertikaikan al-Quran?

Selain itu, beliau juga mempersoalkan keaadilan hudud. Apabila dikata hudud ini daripada Allah, maka Allah itu Maha Adil, pastilah  Ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak mengkaji hudud dengan kebijakkan dan genius yang telah Allah kurniakan kepadanya. Jujur, saya sendiri mengakui dan mengagumi kegeniusan akal dan pemikiran Dr. Mahathir dalam pelbagai perkara, namun melihat tindakan beliau apabila mula berkata-kata pada perkara yang beliau tiada ilmu padanya, seolah-olah beliau meludah ke langit, yang akhirnya terkena pada mukanya sendiri apabila beliau dikecam oleh kenyataannya sendiri. Inilah kata pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Dan jika beliau tidak mengakui kesalahannya dan bertaubat serta kembali mengucap dua kalimah syahadah memperbaharui imannya, maka takut-takut buruk padah itu bukan hanya di dunia, malah dibawa ke akhirat yang selamanya.

Oleh itu, di sini saya menyeru untuk Dr. Mahathir kembali bertaubat dan jangan ulangi lagi kesilapan ini kerana ini juga bukan isu biasa, tapi ia isu akidah yang diwajibkan iman kepadanya tanpa pertikaian, dan dihukumkan fasiq atau kufur kepada yang mempertikai dan menolaknya. Nauzubillahi min dzalik. Moga kita dipelihara daripada sifat-sifat golongan munafiq.


MASA SEMAKIN MENCUMBURUI

Saya memang suka tulis panjang-panjang, mesti anda penat dan malas nak baca dah kan? Tapi, satu saja niat saya ketika menulis post ini, saya ingin menyebarkan apa yang saya rasa dan berkongsi apa yang patut dikongsi, mudah-mudahan ada yang tidak tahu menjadi tahu, dan yang dah tahu bolehlah bantu membetulkan kesilapan dalam penulisan ini. Saya sangat menghargainya. Akhir kalam, moga Allah redha dalam setiap huruf dan penulisan ini, moga berkat padanya dapat membantu menyebarkan hidayah Islam ke seluruh alam.

Masa semakin mencumburui, ada taklifan lain yang perlu diselesaikan. Terima kasih kepada semua yang sudi membaca. Pagi yang ceria, mudah-mudahan dilancarkan segala urusan pada hari ini. Wallahu a’lam..


**Kepada sahabat saya Asiyah Yusra, kerana ukhuwah yang manis ini, saya letak juga gambar ini sebagai hiasan post kali ini. Moga awak gembira. Nice picture for the nice person.  (^_^)



~wajah-wajah insan yang menceriakan hidup saya~
"we are bonded by aqidah"