Wednesday, February 15, 2012

Rinduku Tidak Terluah

Banyak perkara yang berlaku pada diriku dalam masa beberapa bulan terdekat ini. Kecewa, sedih, rindu, gembira, teruja dan sebagainya, masing-masing berebut untuk menguasai perasaan pada ketika itu. Entah kenapa, aku sendiri tidak terfikir. Semuanya berlaku selepas abah terbang menuju ke destinasi tujuan dakwahnya. Semakin membuatkan saya merasakan, di manakah abah? Kepada siapa perlu saya luahkan?

Ramai orang kata, saya selalu menyebut abah, telefon abah, cerita pasal abah, mengada-ngada dengan abah dan macam-macam lagi. Asyik-asyik abah, mana mak? Jawapan saya, bukanlah saya melupakan mak, bukanlah saya mengabaikan mak, saya ada juga bercerita dan telefon mak. Saya pun sayang mak, tiada beza dengan abah. Cuma lain sikit sahaja, sebab saya rasa saya lebih rapat dengan abah. Bak kata seorang kakak motivator, ianya perkara biasa, anak lelaki akan rapat dengan mak, dan anak perempuan akan rapat dengan abah. Kerana kecenderungan pada gender yang berbeza. Mungkin benar kata-kata kakak tersebut.

Kata kakak tu juga, untuk mengelak daripada pengaruh cinta kepada yang tidak sepatutnya, maka cintailah dan layanlah ahli keluargamu yang lelaki dengan sebaiknya. Sebab itu saya jadi begini mungkin. Kerana merasakan abahlah lelaki yang memahami saya.

Dan, selepas abah pergi hampir sebulan lebih, (saya sendiri tidak ingat tarikh sebenar), banyak perkara yang berlaku pada saya berkaitan soal pelajaran, kekeliruan, kecelaruan, kegagalan dan sebagainya yang saya selalu cerita pada beliau, membuatkan saya terbantut dan tidak tahu ingin bercerita kepada siapa, akhirnya saya hanya menangis sendiri.

Abah, banyak benda ingin saya ceritakan. Saya mempunyai masalah lesen, saya sudah memperolehi keputusan peperiksaan yang akan buat abah tersenyum, saya dah nak masuk sem baru lagi dua tiga hari, saya merancang untuk ke umrah, saya rancang nak sambung belajar tapi masih keliru, saya sedang celaru, saya ada masalah hati dan macam-macam lagi. Semuanya saya nak cerita pada abah, dan selalunya saya akan bercerita dengan pelbagai nada dan emosi, dan abah akan diam dan dengar, akhir sekali abah akan bagi nasihat, untuk redha dengan apa yang berlaku, semuanya dari Allah, mengucapkan tahniah dan macam-macam lagi. Tapi, saya tak dapat luah dalam tempoh sekarang. Nak hubungi abah pun tak tahu macam mana.

Sekarang (ketika menulis post ini), saya merasa semakin rindu dan teringat-ingat pada abah. Rindu untuk mendengar suara abah, wajah abah, ketawa dan marah abah. Abah yang banyak bersabar dengan perangai anaknya yang selalu membuatnya menunggu, kelam-kabut dan kebudak-budakan ini. Hati saya membuak-buak untuk telefon abah, tapi...apakan daya, call cannot reach there..

Saya hanya mampu berdoa, berbaki lagi 3 bulan untuk saya menanti kepulangan abah, (moga saya sentiasa sabar) saya menyerahkan urusan perlindungan dan penjagaan abah kepada Yang Maha Menguasai Alam iaitu Allah SWT, kerana kuasaNya tidak terbatas dengan tempat dan jarak, malam dan siang.

Ya Allah, kembalikanlah abahku dalam keadaannya sihat tubuh badan dan tinggi taqwanya. Amin...


*p/s- maaf jika post kali ini tiada manfaat. sekadar luahan...

Monday, February 13, 2012

:: Yang Memimpin Itulah Pemimpin ::


Lama rasanya meninggalkan blog ini tidak ter-update. Dalam kesibukan di dalam satu program tarbiyah dan kepimpinan, saya mengambil kesempatan menunggu agenda seterusnya untuk berkongsi sedikit cerita di pagi ini (10hb Feb - dalam menunggu untuk pulang ke Bangi).

Hampir empat hari berada di sini, di dalam program pentarbiyahan, banyak perkara yang saya belajar dan perolehi. Khasnya dalam bab kepimpinan. Sesungguhnya kepimpinan ini bukanlah satu perkara yang ringan dan boleh diambil sambil lewa. Kepimpinan adalah satu perkara yang sangat penting hinggakan banyak firman Allah SWT yang memandu manusia tentang kepimpinan dan pemimpin samada dalam bentuk ayat yang jelas ataupun berkias dan mempunyai maksud lain di sebaliknya.


Kita boleh dapati, dalam sirah nabawiyyah sekalipun, ketikamana baginda Nabi Muhammad SAW melepaskan nafas baginda yang terakhir, para sahabat r.anhum tidak terus menguruskan jenazah baginda, namun mereka beransur untuk membincangkan masalah kepimpinan Negara Islam pada ketika itu tentang siapa yang akan menggantikan Nabi SAW sebagai pemimpin. Jelas di lihat di sini, isu kepimpinan lebih lagi didahulukan oleh para sahabat ketika itu berbanding menguruskan jenazah baginda yang mana maklum kita ketahui bahawa, pengurusan jenazah juga termasuk dalam perkara yang perlu disegerakan. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa alihi wasallim..

Maka, kita dapat lihat di sini bahawa, kepimpinan bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan atau diabaikan. Bermula dari fasa melantik pemimpin, melatih pemimpin menjadi pemimpin berkualiti, hinggalah kepada fasa melaksanakan amanah kepimpinan, semuanya dipandang serius dan penting dalam Islam. Sepertimana dapat kita telusuri kisah dalam al-Quran berkenaan cara pentarbiyah Allah SWT kepada Nabi Yusuf a.s dari mula baginda mendapat mimpi, dibuang oleh saudara-saudaranya ke dalam perigi yang merupakan fitnah dalaman baginya, dijadikan hamba oleh al-Aziz dan difitnah oleh permaisuri al-Aziz yang ingin menggodanya, dan akhirnya dipenjarakan dan dikurnikan kelebihan menafsir mimpi, hingga beliau dibebaskan oleh pemerintah pada ketika itu dalam keadaan beliau telah dibuktikan tidak bersalah, dan akhirnya menjadi seorang pemimpin atau menteri kewangan pada ketika itu.

From zero to hero. Itulah yang dapat diamati daripada kisah Nabi Yusuf a.s ini dengan memahami bagaimana tarbiyah yang Allah berikan kepada baginda daripada seorang yang tidak memiliki apa-apa sehinggalah menjadi seorang pemimpin yang disegani. Hebatlah baginda kerana mendapat pentarbiyahan langsung daripada Allah SWT. Namun, hebat juga sahabat-sahabat yang telah dipilih untuk menerajui mana-mana saff kepimpinan khasnya kepimpinan dalam persatuan atau jemaah Islam. Ini kerana anda bukanlah calang-calang manusia yang telah dipilih oleh Allah SWT daripada beratus-ratus sahabat yang lain yang juga sama-sama terkehadapan dalam perjuangan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa':58)



Satu peringatan daripada saya khas buat diri sendiri yang juga tidak lepas dengan pelbagai tanggungjawab dan amanah, sesungguhnya amanah ini bukanlah suatu perkara yang ringan dan boleh diringan-ringankan. Jika tidak, pasti seluruh alam tidak menolak untuk memikulnya, namun maklum mengetahui bahawa gunung-ganang dan alam menolak untuk memikul amanah ini kerana terlalu beratnya dan takutnya mereka, dan manusia menerimanya untuk dipertanggungjawabkan. Namun bukanlah maksud saya di sini untuk membuatkan anda menolak terus amanah yang diberikan, tapi maksud saya di sini, redhalah dengan amanah ini dan laksanakanlah dengan sebagik mungkin serta jadikanlah peringatan-peringatan dari Allah tentang tanggungjawab menjaga amanah ini sebagai satu guideline supaya kita tidak tersasar dan tanpa sedar mengabaikannya.


Amanah atau kuasa dalam kepimpinan bukanlah satu kemuliaan, akan tetapi ia akan menjadi satu kejian dan kesusahan bagi kita jika kita tidak melaksanakannya dan menunaikannya dengan baik dan penuh integriti. Kesusahan dan kejian di dunia dan akhirat bagi yang meremeh-remehkannya, dan menjadi satu kemuliaan dan kebaikan baginya jika dia melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran.

Saya mengucapkan selamat berjuang kepada semua sahabat-sahabat dan khasnya kepada sesiapa jua yang menjadi bakal-bakal pemimpin pada masa akan datang, semoga sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Segala yang terbaik Allah sediakan untuk Islam, maka anda dipilih untuk menerajui kepimpinan gerakan Islam, maka anda pastinya adalah yang terbaik, dan rancanglah yang terbaik untuk Islam. Moga kita diberikan kesempatan oleh Allah untuk melihat kejayaan Islam di bumi Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya. Amin..

Saya menutup artikel ini dengan satu kata-kata yang sering saya dengar berkenaan kepimpinan ini :
خير الأمير خادمهم
“ Sebaik-baik pemimpin adalah khadam mereka “

Waallahu a’lam..