Monday, April 13, 2015

Falsafah Ketuhanan Hamka; Menarik!


Bismillah,
Dengan nama Allah,
Saya berkongsi lagi...

Seusai berurusan dengan pejabat dan berjumpa penyelia, maka saya berkeputusan untuk membuat urusan lain, sementara menunggu mesyuarat minggu depan.

Apabila mata, tangan, akal dan pemikiran hanya mengingat pada disertasi, membaca dan menulis berkaitan feminisme, keadaan yang agak 'lengang' ini saya cuba peruntukkan untuk membaca buku di luar bidang.

Aku memilih karya Hamka.
Falsafah Ketuhanan.

Jujur, ini adalah karya pertama Hamka yang saya baca selain membelek Tafsir al-Azhar beliau. Ternyata beliau hebat dalam menulis dan bermain dengan bahasa. Buku yang sepatutnya berat, menjadi mudah untuk difahami.

Hamka memulakan tulisan beliau terhadap karya penting ini dengan membawa sejarah manusia dan agama sejak awal kewujudan. Bagaimana manusia mula melihat alam sebagai satu kuasa agung, menyembah matahari, bulan dan bintang, batu dan pokok, roh yang mati, nenek moyang dan kepercayaan yang membawa kepada pegangan. Namun kesepakatan manusia semuanya, tetap pada mempercayai adanya satu kuasa yang mengatasi atau mengepalai semuanya. Itu kesepakatan kemanusiaan.

Dan kepercayaan ini membawa ahli falsafah meneroka dan mengeluarkan lebih banyak pandangan. Yunani mempercayai puluhan ribu dewa, diketuai Apollos sebagai Dewa Besar, Thales mempercayai asal sesuatu adalah air, Anaximandros, asal yang tidak berkesudahan, Anaximenes, asal sesuatu dari wap, Pythagoras, asal sesuatu ialah angka dan pokok angka adalah SATU.

Lalu Socrates membawa kepada Falsafah Diri, dan dikembangkan oleh Plato dan akhirnya membawa kepada adanya Yang Maha Tunggal, Penggerak kepada segala sesuatu. Yang darinya kita datang dan akan kembali. Falsafah mengiyakannya. Lalu Aristotle menyambung falsafah Plato mengakui dan menyelidiki hakikat kepada Yang Ada itu. Lalu akal manusia berterusan berkembang dari zaman ke zaman menyelidiki alam, tentang ada dan tiadanya, tentang hidup dan kehidupan, dan berterusan ilmu-ilmu falsafah itu hingga mencapai batasnya dalam menentukan ada dan tiadanya itu.

Namun, telah diakui oleh seluruh agama bahawa adanya Yang Ada itu yang menciptakan dan meniadakan. Plato mengatakan itulah puncak Ideal, Tao mengakui itulah Lao Tze. Islam mengatakan itulah Allah. Kita mengatakan itulah percikan fitrah yang ada dalam setiap sanubari manusia yang menuntut pengakuan kepada wujudnya Tuhan itu.

Perjalanan mencari Tuhan itu dinamai fitrah, dan dihujung jalan itu dinamai Islam. Iaitu penyerahan bahawa habislah daya mencari alasan akan tiadanya, maka berserahlah diri menunduk sipu mengakui akan adanya.

Hamka tidak meninggalkan pembacanya sebelum membezakan percaya (iman) dengan turut saja (taqlid).

Iman atau Percaya itu membuat kita tertunduk di hadapan kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa setelah pencarian dilakukan, perjalanan mencari kebenaran itu berlaku. Lalu tibanya pada satu dinding yang tidak dapat ditembusi, maka manusia menginsafi akan Kehebatan Tuhan. Ia melalui perjalanan menggunakan akal.

Beza turut saja (taqlid) ia menurut tanpa akal. Hingga jika dia terkeluar dari suasana biasa yang diturutinya, maka tertanggallah satu per satu pakaian yang diturutinya itu hingga tiada apa lagi yang tinggal padanya, kerana di kiri dan kanannya sudah berubah keadaannya sama sekali, maka dia juga turut berubah. Taqlid ini mudah melabel manusia 'tersesat atau keluar dari agama' jika pendapat yang didengarinya jauh dari apa yang pernah diketahuinya. Kerana ia takut sekali menggunakan akalnya, takut akan ujian akal.

Taqlid ini musuh kemerdekaan akal.
Taqlid merosakkan iman.
Maka jelas bezalah iman itu dengan taqlid.

Dan akhirnya sampai kepada menariknya intisari dalam buku ini, Hamka mula mengaitkan falsafah, teknologi dan sains kepada perjalanan ke arah Tuhan. Keegoan sains dan teknologi, serta falsafah akan hebatnya mereka dalam inovasi dan meneroka alam, menyelediki hingga sekecil-kecil zarah. Hingga kini ada yang turut mengagungkan sains dan teknologi hingga ke tahap Tuhan, Hamka menjawab:

Aturan alam ini, ilmu kita hanya dapat mengetahui akan adanya aturan itu. Kita tidak dapat menciptakan yang lebih baik dari itu. kita hanya menyusun aturan baru yang tidak dapat terkeluar dari aturan yang sedia asli dalam Alam itu. Ikutlah mana ilmu sekalipun, aturan itu tidak dapat dilawan.

Ya, benar sekali.
Hebat bagaimanapun sains dan teknologi, mereka tidak boleh mengubah sunnatullah. Mereka tidak boleh mengubah sifat api yang panas, molekul yang ada dalam air dan udara, aliran-aliran sungai, ombak dan laut dan sebagainya. Sains dan teknologi hanya mampu ekstrak apa yang telah sedia diatur dan disusun oleh Yang Maha Menyusunatur alam ini.

Dan jika sains dan teknologi menolak akan adanya Yang Mengatur, mendakwa alam ini bergerak dengan tabiat alam dan secara nature, maka Hamka mendatangkan hujah-hujah yang sangat menarik untuk diteliti dan diulang baca.

Hinggakan zarah-zarah itu pun bersepakat dalam pergerakan dan aturannya, maka tentulah ada yang mengaturnya. Ia tidaklah bebas malahan terikat dengan aturan dan kesepakatan.

Lagi hujah beliau, jika alam ini tiada pengaturnya. Andaikan sebuah banglo dibina indah oleh seorang arkitek terhebat. Lalu arkitek itu mati, dan rumah itu dibiarkan kosong. Setahun dua tahun, rumah itu akan dikelilingi semak samun, pohon yang tidak terurus, rumah yang gah tadi terlihat usang malah menakutkan. Tanda bahawa tiada yang menguruskan, kerana pengaturnya dan pengurusnya telah mati. Namun, alam ini masih terurus indah, walaupun alam ini mengalami perubahan dan pergerakan dari hari ke hari malah berpuluh ribu tahun sebelumnya. Ini kerana penciptanya, pengurusnya dan penyusunnya tidak mati.

Lihatlah kepada alam ini, maka akan tertunduk malu kita mengakui kebesaran Allah, dan menolak kepada segala dakwaan akan ketiadaan Pencipta Alam ini. Sebagaimana mesej pada kulit muka buku ini, menunjuk kepada alam...:)

Bacalah buku ni kalau nak memahami falsafah ketuhanan dalam bahasa yang mudah, yang penuh analogi indah. Ulasan ini tidak seberapa, tidak sampai 1/3 dari isi buku.

Sampai di sini,
Sekian...

Kita berdiri di tepi laut, kita lihat ombak bergulung. Lalu kita bertanya:
"Mengapa ombak itu bergulung?"

Kerana udara.
"Mengapa udara bergerak?"
Kerana hawa panas!
"Dari mana datangnya panas itu?"
Dari Matahari!
"Siapa yang meletakkan panas pada matahari?"
.... Diam!

-HAMKA-





0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)