Sunday, April 22, 2012

Dialah ALLAH!


Hampir setiap kata-kata, malah setiap saat sekalipun, ketikamana saya berada di dalam kelas Kajian Teks Usuluddin yang diselia oleh pensyarah Dr. Abdull Rahman Mahmud, saya pasti akan tersentuh dan memuhasabah diri dengan setiap kata-kata yang ditutur oleh beliau. Seolah-olah pada semester ini, Allah memberikan kepada saya kelas ini sebagai muhasabah mingguan tentang keimanan dan akidah dalam diri. Kelas ini mengajar saya menghayati kesucian dan kesempurnaan Allah sebagai Tuhan Sekalian Alam.

Betapa Allah SWT itu sesempurna di atas segala kesempurnaan. Hanya dua ayat yang diajar kepada kami sepanjang kuliah diberikan, iaitu pemahaman dalam menghayati kalimah ‘LA ILAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH.”

Kalimah ini bukan sekali dua disebut dalam sehari, bahkan ia disebut sepuluh kali dalam sehari, itu pun jika hanya dikira sebutan wajib dalam solat iaitu ketika tahiyyat tanpa tambahan kepada mereka yang sering berzikir dan menyebut-nyebut kalimah suci ini. Namun, sekali kita berzikir dalam menyebut kalimah ini, apakah yang dapat kita faham tentangnya? Adakah kita memasukkan dengan kefahaman kita yang sebenar atau kita hanya menyebut-nyebut kalimah itu tanpa penghayatan dan pemahaman yang sebenar?

Selalu kita faham, makna kalimah LA ILAHA ILLALLAH ialah tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Namun Imam Ibn Hazm dalam matan Ummu al-Barahin beliau mengatakan makna yang tepat adalah TIADA TUHAN YANG WAJIB ADA MELAINKAN ALLAH SWT (namun beliau tidak menolak makna tadi). Maka, dengan keadaan Allah yang wajib ada itu, menuntut kita untuk menyembah dan mengharap dengan sepenuh pengharapan kepadaNya, kerana kita hanyalah makhluk (harus wujud), yang tidak akan wujud melainkan dengan sebab Allah SWT ingin mewujudkan kita dengan rahmatNya.

Penjelasannya begini, siapa yang mampu mengangkat tangan dan mengaku bahawa dia yang menjadikan dirinya sendiri? Pasti tidak ada kerana kita secara fitrah dan sains mengakui bahawa kita adalah makhluk (yang dijadikan) oleh khaliq (yang menjadikan) dan dibentuk oleh yang membentuk (al-musawwir).

Oleh sebab itu, secara logik akalnya, jika kita yang menjadikan diri sendiri atau ibu bapa yang menjadikan kita, pastinya yang menjadikan itu mempunyai kuasa untuk membentuk dan menentukan jantina, raut wajah dan keadaan fizikal kita seperti yang kita inginkan. Dan selain itu yang menjadikan juga pastinya berkuasa pada yang diciptakan. Namun hakikatnya, diri kita sendiri tidak mampu mengawal setiap aliran darah dan degupan jantung serta setiap kelipan mata. Nah, ini menunjukkan betapa kita ini sangat lemah dan memerlukan kepada yang tidak lemah untuk bergantung dan berharap.

Maka, siapa mereka yang tidak lemah dan maha berkuasa itu? Akal kita terhenti pada mencapai hakikat ini, maka dengan sifat kerahiman Allah SWT, Dia mengutuskan nabi dan melalui al-Quran sampai kepada kita memberitakan kesinambungan hakikat ini, iaitu Dialah Allah Jalla wa ‘Azza yang Maha Berkuasa dan tempat setiap makhluk bergantung harap, kerana Dialah Tuhan Yang Menjadikan kita.

ketika kita telah hilang kepercayaan kepada makhluk, 
pasti kita akan kembali mempercayai bahawa, 
Tiada Yang dapat diberikan sepenuh kepercayaan,
melainkan hanyalah kepada ALLAH.

Dan betapa pemurahnya Allah SWT, Dia tidak meminta dan mengharap kepada makhluk atas segala nikmat dan pemberian yang diberikan. Kerana sempurnanya sifat Allah SWT adalah dengan berdiriNya dengan sendiri tanpa bantuan yang lain. Allah jua tidak memerlukan kepada makhluk untuk beribadah kepadaNya. Akan tetapi, ibadah kita kepada Allah adalah untuk menunjukkan rasa SYUKUR kita kepada Tuhan Sekalian Alam yang telah menjadikan kita dan memberikan pelbagai nikmat dan kurniaan kepada kita sejak kita lahir hinggalah kini. Setiap hembusan dan helaan nafas, degupan jantung, aliran oksigen, darah dalam badan, keseimbangan badan, setiap saluran dan organ yang tidak dapat dicapai oleh manusia, tapi dijaga dan diuruselia dengan sungguh sistematik diberikan kepada manusia dan makhluk lain tanpa kita sedar ini tidak langsung Allah menuntut pembayaran kepadaNya.
Tetapi, mengapa masih hannya sedikit daripada kalangan hamba itu bersyukur??
Allah..

Semuanya ini menuntut kesedaran dalam diri betapa sebenarnya makhluk khususnya manusia itu terlalu bergantung harap kepada Allah. Tiada kita tanpa kasih-sayang Allah, hancurlah kita jika Allah menginginkan. Walaupun kita sering bertindak lalai dan leka dengan segala pemberian dan nikmat serta tujuan kehidupan ini, Allah tetap meneruskan pemberian dan nikmat kepada kita tanpa pilih kasih. Menunjukkan peluang demi peluang Allah berikan pada manusia untuk kembali kepadaNya walau beribu kali dosa dan maksiat kita telah lakukan. Sekali lagi dalam entry ini, saya mengatakan, sesungguhnya nikmat Allah itu sangat luas, dan sebagaimana kita merasa luasnya nikmat ini, luas lagi pintu taubat dan keampunan yang Allah bukakan kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya.

Setakat ini sahaja untuk perkongsian ini. Seterusnya akan disambung dalam entry seterusnya.

Wallahu a’lam..



Saturday, April 14, 2012

Specially for You


~forgive me~

Sahabat,
Di kala aku dirasakan berjauhan,
Ketahuilah aku sedikitpun tidak meniatkan,
Aku bukan insan sempurna yang sentiasa dianggapkan,
Aku cumalah insan biasa yang sering melakukan kekhilafan,
Kekhilafan yang terpalit jua pada kalian,
Yang seringkali aku abaikan..

Temanku,
Tiada kata yang mampu ku lafazkan di saat ini,
Ketika hati tidak tenteram lagi,
Merasakan dosa dan silap yang tidak terhapus lagi,
Khususnya kepada kalian,
Sahabat seperjuangan dalam perjalanan..

Maafkanku sahabat,
Kerana mengabaikan hak dalam persahabatan,
Kerana seringkali menurut kehendak diri,
Hingga meletakkan keinginanmu ketepi..

Namun ketahuilah,
Walau dirimu merasai aku jauh darimu,
Namun hakikatnya aku juga merindui saat suatu masa dahulu,
Tapi apakan daya,
Aku sering mengikut rentak sendiri,
Tanpa memperdulikan siapa pun di sisi..

Sungguh!! Aku tidak pernah memperduli,
Namun kini aku menyedari,
Sikapku ini seringkali menyakiti,
Insan-insan yang aku sayangi..

Namun sahabat,
Jika dirimu serik dengan sikap ini,
Janganlah pernah membuangku ke tepi,
Namun tetaplah menasihatiku di sini,
Kerana aku bukan insan sempurna,
Aku hanyalah insan biasa..
Yang memerlukan kalian sebagai menguat diri..

_specially dedicated to both of you_Suriani dan Kak Hayati_

And to all my friends.. I love all of you because I love Allah..


-PTSL-
15 April 2012
12.58 pm