Tuesday, January 18, 2011

Kekasih Halalku.... 1 kisah yang menarik..: (Part 3)

Seusai urusan di surau, semua bersurai...

“Raudhatus Sakinah!” Langkahnya terhenti apabila nama manisnya dipanggil. “Assalamualaikum Raudhatus Sakinah.” Dia membalas ucapan salamku, “Waalaikumussalam Hanif Al-Radzi.” Aku tersenyum lalu berkata, “Sebenarnya, saya ada hal nak cakap dengan awak. Semua hal-hal yang ingin saya katakan pada awak ada dalam surat ini. Harap awak baca sampai habis dan tolong jangan buang surat ini. Lagi dua minggu akan ada Konvoi UIA, harap dapat jumpa awak lagi. Assalamualaikum.” Dia menjawab ringkas, “InsyaAllah, saya akan baca. Waalaikumussalam, Lina pun tengah tunggu saya tu.” Kami sama-sama pergi menuju ke destinasi masing-masing. Aku menarik nafas lega setelah memberinya surat itu. Surat itu aku tulis khas untuk menyuntingnya.

Assalamualaikum saudari Raudhatus Sakinah..

Maaf kerana mencuri masa saudari. Saya cuma ingin memberitahu saudari sesuatu. Mungkin dulu ramai yang mengenali saya sebagai seorang lelaki yang ‘playboy’. Mungkin termasuk juga saudari kerana Lina Ziana adalah rakan saya juga. Mungkin dia ada bercerita tentang saya pada saudari. Tapi, itu semua tiga bulan yang lepas. Hidup saya terus berubah dengan kehadiran saudari. Allah telah menganugerahkan saya hidayah. Saya kembali bertaubat padaNya. Saya terpikat dengan imej muslimah yang menjadi identiti hidup saudari. Memang susah ingin mencari yang solehah. Walaupun UIA, masih ramai lagi pelajarnya yang di luar sana tidak menutup aurat. Di dalam UIA, bertudung. Tapi, bila berada di luar, tudungnya hilang. Tidak ada rasa malu tapi berasa megah dengan menayangkan aurat-aurat mereka.

Sikap saya berubah sejak saya mula mengenali saudari melalui tazkirah-tazkirah di surau, blog saudari dan daripada rakan saudari sendiri, Lina Ziana. Saya ingin menjadikan saudari sebahagian dari hidup saya. Saya pasti, saudari faham maksud saya. Saya telah pun berbincang dengan kedua ibu bapa saya. Mereka tiada halangan. Cuma sekarang, saya ingin bertanyakan pada saudari. Jika saudari setuju, insyaAllah selepas habis belajar hujung bulan ini, saya akan pergi ke rumah saudari untuk berjumpa dengan kedua ibu bapa saudari. Saya tahu hukum-hukum agama. Memang dulu saya lalai dan asyik hendak berseronok saja. Mungkin sebab itulah saya digelar ‘playboy’. Asyik sangat dengan perempuan. Tapi, itu semua sejarah saya. Saya tak pernah pegang tangan-tangan yang cuba menggoda saya. Baru sekarang saya mula mendalami hukum-hukum agama. Allah memerintahkan agar menundukkan pandangan dalam surah An-Nur, ayat 30 hingga 31.. Patutlah saudari selalu menundukkan pandangan ketika berdepan dengan saya. Baru kini saya faham. Islam tidak pernah ajar kita tentang bercinta atau ‘couple’ sebelum nikah. Perkara itulah yang sering saya lakukan dulu. Tapi sekarang, tidak lagi! Saya takkan buat! Saya hanya ingin merasai nikmat cinta halal yang mendapat redha Allah iaitu cinta selepas nikah. Sebab itulah saya nak jadi kekasih halal saudari. Saya mohon saudari balaslah surat saya ini dengan jawapan YA atau TIDAK. Saya menghormati apa pun jawapan yang bakal saudari berikan. Wassalam.

Ingin menjadi kekasih halal Raudhatus Sakinah,

-Hanif Al-Radzi-

Setiap hari, aku menunggu pembalasan surat daripada dia. Sudah seminggu suratku itu tidak berbalas. Pembelajaranku akan berakhir pada hujung bulan ini. Ada lagi seminggu saja. Dua minggu lagi akan ada Konvoi. Aku ada kejutan untuk dia. Aku ikhlas ingin jadikannya permaisuri hidupku. Aku akan terus bersabar menunggu jawapan daripadanya. Semua ini memerlukan masa.

“Lina, Raudhatus Sakinah ada cerita apa-apa tak dekat kau? Aku dah lama tak nampak dia. Ada apa-apa yang berlaku ke dekat dia? Hari ini hari terakhir aku. Lagi dua minggu barulah kita jumpa lagi,insyaAllah.” Muka Lina Ziana tidak ceria seperti selalu. Dia nampak sedih dan muram saja. “Hanif, aku sokong kalau kau nak kahwin dengan dia. Tapi, aku tak tahulah apa jawapan dia. Dia sekarang ni memang sibuk sikit. Minggu ni kan dia semester terakhir. InsyaAllah kalau umur ada lagi, nanti kita jumpa di Konvoi. Aku akan pergi dengan Ina. Jangan risau.” Lina Ziana cuba mengukir senyuman. Aku mengucapkan salam padanya dan beredar dari situ. Aku ingin berjumpa dengan sahabat karibku pula, Shahrizal.

“Rizal, jaga diri baik-baik. InsyaAllah nanti kita jumpa lagi di Konvoi. Kau memang kawan baik aku yang terbaik. Hehe. Aku nak balik dah ni. Assalamualaikum.” Aku menyalaminya dan tergesa-gesa beredar dari situ kerana teksi sudah menunggu. Hatiku terasa berat untuk pergi. Kakiku juga seakan membeku tidak mahu berganjak meninggalkan seseorang. Aku kuatkan juga hatiku. Aku percaya pada Allah. Andai aku dan dia punya jodoh, kami pasti akan bertemu lagi. InsyaAllah. Selamat tinggal UIA. Selamat tinggal Raudhatus Sakinah. Semoga umurku panjang untuk bertemu denganmu lagi.

Hari ini, genaplah dua minggu aku meninggalkan UIA tercintaku. Aku masih tertanya-tanya kenapa Raudhatus Sakinah masih belum membalas suratku. Tapi, aku tetap akan menanti jawapan darinya. Aku sedang bersiap-siap ingin mengikuti Konvoi UIA di Taman Seri Cahaya, Shah Alam hari ini. Semoga aku dapat bertemu dengan dia.

Setelah semua orang datang, kami berkumpul di satu tempat khas. Lelaki dan perempuan duduk berasingan. Mereka hanya duduk di atas tikar yang di bawahnya rumput. Kami berkelah sambil berjumpa dengan kawan-kawan lama. Alhamdulillah, Raudhatus Sakinah datang. Dia bersama dengan Lina Ziana. Mukanya agak lain. Pucat dan bibirnya kering. Kenapa ya? Aku asyik bertanya pada diriku sendiri.Tanpa melengahkan masa, Shahrizal menjemputku untuk menghiburkan rakan-rakan yang datang. Mereka membawa radio yang boleh dipasang CD. Aku meminta Shahrizal memasangkan nada lagu ‘Kekasih Halal’ daripada kumpulan Wali Band. Di saat itu, berdebar hatiku ingin menyanyi lagu tersebut.

“Lagu yang bakal saya nyanyikan ini adalah khas buat si dia yang bertudung merah. Dengarkanlah.” Semua mata yang ada di situ memandang ke arah Raudhatus Sakinah. Hanya dia seorang yang memakai tudung labuh merah seperti yang dimaksudkanku. Dia terkejut dan mukanya mula merah kerana tersipu-sipu malu. Aku mula menyanyi.

Lagu ini ku nyanyikan khas buatnya kerana mempunyai maksud yang ingin aku sampaikan padanya. Aku harap dia akan membalas suratku.

Selesai saja aku menyanyi, satu tepukan gemuruh berkumandang. Aku melihat ke arah Raudhatus Sakinah. Dia hanya mampu tersenyum. Bibirnya nampak kering. Mungkin keadaan panas menyebabkan bibirnya kekeringan. Dia duduk bersama teman-temannya. Sedang aku asyik perhatikan dia, aku terlihat satu cecair merah mengalir melalui hidungnya. Darah! Dia sakit ke? Atau keadaan panas yang menyebabkannya jadi begitu? Aku nampak dia cepat-cepat mengelap darahnya itu supaya tidak dikesan oleh sesiapa. Tapi, dia gagal kerana aku telah berjaya mengesannya! Risau hatiku dibuatnya. Ya Allah, bantulah dia.

Saat semua orang sedang leka menikmati hidangan makanan BBQ, tiba-tiba kecoh ada orang pengsan, perempuan. Aku cuba melihat siapakah orangnya? Tapi, kesemua perempuan mengerumuninya. Aku terdengar mereka menyebut-nyebut nama Ina. Adakah yang pengsan itu Raudhatus Sakinah? Tak mungkin! Aku inginkan kepastian daripada Lina Ziana. Aku memanggil namanya dengan nada yang agak kuat kerana suasana amat bising pada waktu itu.

“Lina, siapa yang pengsan tu?” Dengan muka yang serba salah dan sedih, dia memberitahuku, “Ina

pengsan tiba-tiba tadi. Aku dah suruh Syafira dan Ainul hantarkan dia ke hospital dengan segera.

Sebenarnya dia….” .............



*continue to part 4...

0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)