Monday, June 3, 2013

Allah Sayang Dia!


Hidup dan mati adalah dua perkara yang berlawanan. Ramai yang mampu menulis tentang erti kehidupan, hakikat kehidupan dan pengalaman kehidupan, namun bukan mudah untuk menggambarkan kematian, menulis tentang hakikatnya dan pengalaman mengenai kematian. Kerana, mereka yang telah mengalami kematian mana mungkin akan menulis berkaitannya, kerana ketika itu tiada lagi istilah perkongsian pengalaman, namun ia adalah masa untuk mengalami dan merasainya sendiri tanpa sesiapa sebagai teman.

Berkata tentang diri sendiri pun, saya sendiri akui saya masih takut untuk mengalami kematian. Entah bila, barulah terasa bersedia mengalaminya. Sebenarnya, ia bukan mudah semudah kata-kata. Ia mujahadah yang lelah tapi berbuahkan kemanisan.

Abang saya, Allah uji dengan penyakit saraf hingga melemahkan seluruh otot untuk bergerak, tambahan dengan asma yang telah lama dihidapi. Allah sayangkan dia. Allah uji dia tanpa henti. Setelah satu, satu lagi. Itu tanda Allah tidak ingin dia terlupa. Saya yakin hikmah itu. Berulang-alik ke hospital menemani satu-satunya abang bersama kakak pada setiap hujung minggu. Saya tahu, saya pergi pun bukan dapat bantu apa. Saya bukan pakar, apatah lagi nak mengetahui mengenai ilmu-ilmu perubatan dan saraf. Namun, satu niat saya agar dia tidak merasa sendiri. Agar dia bersemangat untuk sembuh. Allah sayangkan dia. Saya tahu itu. Ini motivasi untuk saya agar kuat menghadapinya.

Ia memang mudah untuk kita memberi kata semangat, namun dia yang menghadapi terasa perit sekali. Sekali sekala dia menangis. Letih katanya. Paru-paru yang lemah membuatkan pernafasannya naik turun, kekadang terdengar lemah. Saya doa, kami berdoa untuk dia tetap semangat. Namun, air mata yang mengalir di hujung matanya membuatkan kami sekalian lemah. Abang yang dahulunya kuat bergurau, kekadang suka marah, aktif bersukan kini terbaring lemah. Saya cuba kuat, di samping ahli keluarga yang lain. Kalau boleh taknak tunjuk depan dia kami teresak.

Pagi tadi, katil sebelah abang di wad ICU dikosongkan. Pak cik yang mengalami sakit paru-paru meninggal dipanggil Allah untuk kembali kepadaNya (moga Allah merahmati rohnya). Pakcik tersebut telah nazak tiga hari sebelumnya, ditakdirkan Allah Isnin pagi ini masanya tiba. Kami tiba di hadapan wad ICU melihat esakan seorang makcik tua (nenek saudara pakcik). Kami salam dan ucapan takziah diberikan untuk mententeramkan hatinya. Masuk kami ke dalam, melihat wajah abang sayu dan sedih. Air matanya menitis tanpa henti. Dia tanya, pakcik sebelah tu? Saya kata dia dah meninggal. Dia takut. Dia mengadu pada kakak saya untuk sampaikan pesan kepada mak jika dia dah takde. Kami menidakkan. Emosinya terganggu kerana melihatkan keadaan arwah di sebelah katilnya. Nafasnya naik turun. Lemah sekali, berbanding sebelumnya. Kami tak tertahan, air mata mengalir tanpa diminta. Kakak minta diri keluar untuk menenangkan diri. Saya tetap cuba sabar, meneruskan kalam doa-doa syifa' sambil menyapu dadanya. 

Itulah, kematian dan kehidupan. Allah bagi kita kesempatan untuk hidup, supaya kita bersedia untuk mati. Kakak terus memberi kata motivasi dari abah untuk abang, setelah menelefon abah yang di Kelantan. Minta abang terus bersabar, kuat semangat dan meyakini akan hadirnya kematian, namun ada jua kehidupan. Segalanya kembali kepada kehendak Allah. Dia akur, lidahnya terus menyebut kalimah Allah, namun masih bersedih dan takut. Takut untuk mengikuti jejak langkah pakcik di sebelah.

Harini, dia terus sedih. Menangis tak henti. Tiada esakan, namun air mata mengalir tanpa henti. Sakit hati melihatkan keadaannya sedemikian. Saya berharap esok dan seterusnya dia kembali kuat. Syukur, Allah masih pelihara hafazan al-Qurannya, sebagai syifa' untuknya. Ia satu kelebihan buatnya. Syukur...

Ya Allah, saya menyaksikan di sini, abang saya (Abdul Basir bin Mohammad) orang yang baik. Anak yang soleh dan berusaha menjadi pendakwah yang baik untuk agamaMu, Ya Allah. Ujian ini, ringankanlah untuknya, kuatkanlah semangatnya. Ya Rahim, panjangkanlah umurnya, berkatilah usianya. Kau rahmatilah dia, sentiasalah lindunginya dan masukkanlah ketenangan ke dalam hatinya. Setiap kebaikannya, Kau jadikanlah ia asbab untuk kesembuhannya. Ya Allah, kuatkan ototnya, lancarkan perjalanan darahnya dan pernafasannya. Kau nyahkanlah segala penyakit di dalam dirinya. Kembalikanlah dia kepada kami seperti sediakala, ya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Menyayangi.

Nabi mengajar kita untuk berdoa. Saya akui, doa adalah motivasi yang baik. Setelah berdoa saya rasa sedikit lega. Dada menjadi lapang. Saya yakin Allah dengar doa saya. Saya yakin Allah ada rancangan yang baik untuk kami sekeluarga. Saya yakin dan percaya! Allah sayangkan abang!

Dalam Ruqyah, ada doa untuk menghilangkan kerunsingan. Saya baca saya sebak. Doa itu menyentuh hati saya. Setiap kali membacanya membuatkan saya sebak. Doa yang dititipkan dalam Ruqyah, yang diberi oleh seorang kakak dari Darul Syifa', untuk dibaca dan disapu di dada abang. Pagi tadi saya baca, kerana melihat dia terlalu runsing dan bersedih... Allahumma...perkenankanlah...

اَللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ القُرْءَانَ 
رَبِيعَ قَلْبِي وَنُورَ صَدْرِي وَجِلَاءَ حُزْنِي وَذَهَابَ هَمِّي.

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu dan anak kepada amahMu, jiwaku dalam tanganMu, berlaku atas diriku semua keputusanMu, adil segala ketentuanMu ke atas diriku, aku memohon dengan semua nama yang Engkau namakan diriMu atau pun yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkannya sesiapa pun daripada para makhlukMu, atau Engkau tetapkannya dalam ilmu ghaib hanya untuk Engkau sahaja yang mengetahuinya, supaya Engkau menjadikan Al-Quran itu kesegaran hatiku, cahaya dadaku, menghapuskan kesusahanku dan menghilangkan kerunsinganku.

*Diambil daripada hadith. Ia boleh dibaca untuk mewakili dengan menukar gantinama.



Amin, Ya Rabbal 'Alamin...

I miss him, really miss him... :"(

1 comment:

  1. semoga kuat Sakinah... Allah s.w.t tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)