Wednesday, August 3, 2011

:: Ujian dan Nikmat di Bulan Mulia ::

Ujian hidup datang bersilih ganti. Kekadang kita mengeluh kerana diuji dengan pelbagai ujian tanpa henti. Ramai yang akan mempersoalkan mengapa ujian itu menimpanya, namun hanya sedikit yang menyedari hikmah di sebalik ujian tersebut. Ramadhan yang suci ini, keluarga saya dihadapkan dengan satu bentuk ujian yang tiada siapa pernah mengangka akan menimpa salah seorang daripada ahli keluargaku, namun ujian Allah, pasti tidak pernah dijangka.

Pada jam 3 petang semalam, abah telefon memberitahu satu berita yang mulanya saya anggap sebagai musibah, namun selepas ditegur, baru saya sedar, ianya adalah ujian, dan ujian itu tidak lain tidak bukan adalah rahmat Allah secara langsung kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Alhamdulillah, seluruh keluarga walaupuan awalnya rasa lemah dan berat, namun akhirnya semua dapat menyedari rahmat Allah di sebaliknya. Kata-kata abah yang membuatkan saya sayu, “Ye la, dah Allah nak bagi ujian, kita kenalah redha terima, memanglah abah ada nangis watu tahu berita ni, sebab abah pun manusia biasa. InsyaAllah, ada hikmahnya. Kena banyak sabar.” Allahu Rabbi…sayu saya mendengarnya, sungguh kuat rupanya abah ni, moga Allah berkati ibu bapaku dan seluruh keluargaku.

Disebalik ujian ini, saya juga tidak merasa lemah, kerana saya ada sahabat-sahabat yang sentiasa menceriakan. Sahabat-sahabat yang sentiasa mendorong dan menguatkan. Sungguh, saya sayang kalian kerana Allah!!

Makanya, sebelum saya berangkat pulang ke halaman rumah di Johor, sebelum saya menyambung hari-hari dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, dan sebelum Ramadhan berakhir dan Syawal menunjukkan diri, ingin diri ini mencoretkan sedikit rasa dan luahan khasnya buat sahabat-sahabat seperjuangan yang sentiasa ada di sisi ketika diri ini berjauhan dengan keluarga, yang menjadi ibu bapa ketika diri ini jauh dari mereka, ketahuilah wahai sahabat-sahabatku sekalian, sesungguhnya diri ini merasa amat bersyukur ke hadratNya kerana diberikan nikmat dan kesempatan untuk bertemu dan berukhuwah dengan kalian. Ketahuilah, sesungguhnya saya berasa bertambah kuat apabila berada bersama kalian.

Benarlah kata hukama’, (lebih kurang begini) “jika kita bersahabat dengan si tukang besi, maka kita akan terkena tempiasnya, dan jika kita berkawan dengan si penjual minyak wangi, maka kita akan terkena juga wangiaannya”. Maksudnya, bagaimana keadaan dan sifat kawan itu akan memberikan kesan kepada kita sebagai kawannya. Dan begitulah kalian semua sebagai sahabat saya, kalian sangat mempengaruhi saya dan sangat menyumbang dalam membentuk peribadi dan akhlak saya. Tidak kurang dari kalian yang sering menegur, yang menjadi ibu, bapa, sahabat dan adik beradik. Berada bersama kalian tiada yang membuatkan diri ini merasa kekurangan, malah terlebih rasa kasih sayang yang diberikan.

Doaku moga Allah mengekalkan ukhuwah ini hingga ke akhirnya, tiadalah saya di trek perjuangan dan kepimpinan ini melainkan kerana adanya kalian, dan kalian adalah yang terbaik di antara yang terbaik dalam menjalinkan ukhuwah persahabatan hingga membuatkan saya menganggap kalian tidak ubah seperti adik-beradik sendiri. Maaf dihulur di sepanjang ukhuwah yang terjalin jika diri ini tidak memberikan yang terbaik untuk ukhuwah yang manis ini. Moga Allah sentiasa berkati kalian dunia dan akhirat. Jika ditakdirkan kita bertemu lagi di kesempatan Syawal nanti, pasti saya sangat bersyukur, namun jika hanya di ketika ini sahaja kesempatan yang Allah berikan untuk bersama kalian, doaku hanya satu, moga kita semua ditemukan di Jannah-Nya nanti. InsyaAllah, Amin Ya Kareem…


~terima kasih atas ukhuwah yang manis ini~

2 comments:

  1. sungguh manis tarbiyyah dari Allah bila kita fhm knp n mengapa ujian itu dtg..sungguh Allah bersama hamba-NYA yang sabar..

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)