Wednesday, August 17, 2011

Al-Quran Perlukan Manusia atau Manusia Perlukan Al-Quran?

Bacalah al-Quran, sesungguhnya di dalamnya penuh dengan petunjuk…

Salam Ramadhan.

Segalanya bermula daripada hati. Terbentuknya peribadi manusia berpunca daripada hati, tergeraknya kereta ke destinasinya adalah berpunca daripada enjinnya yang merupakan hati kereta, dan begitu juga bagi setiap umat Islam, hati mereka sepatutnya adalah al-Quran yang akan menjadi acuan kehidupan mereka. Salam Nuzul al-Quran saya ucapkan kepada sahabat-sahabat dan yang sudi membaca blog saya yang tak seberapa ini. Saya hanya mengharapkan agar Bulan al-Quran dan juga khasnya hari ini, hari di mana al-Quran diturunkan daripada Allah SWT di Luh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril ‘alaihissalam di Gua Hira’, membuatkan kita kembali mengkoreksi diri dan kembali kepada al-Quran yang mana al-Quran ini merupakan petunjuk yang nyata kepada umat manusia.

Bersempena hari Nuzul al-Quran, walaupun agak kelewatan saya meng-update mengenainya, kerana beberapa kekangan, saya mencuba juga untuk menulis sesuat mengenai peristiwa-peristiwa dan beberapa perkara berkaitan al-Quran yang mungkin ramai daripada kita telah mengetahuinya dan pernah mendengar mengenainya, tapi kurang menghayatinya, termasuklah diri saya sendiri.

Pertamanya marilah kita sama-sama melihat, apakah power yang ada pada al-Quran ini yang mana manusia dan umat Islam khususnya tidak boleh melepaskannya. Kita lihat sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, yang mana jika kalian berpegang teguh kepada keduanya, kalian tidak akan sesat selama-lamanya; itulah Al-Quran dan Sunnahku.”

Jadinya, apa yang dapat kita dapat ambil daripada hadith sabdaan Junjungan Mulia SAW di atas adalah al-Quran itu jelas sebagai panduan hidup manusia yang sempurna dan penjelasan yang nyata tentang kebenaran dan kebatilan. Kerana dengan berpegang teguh kepadanya, manusia itu tidak akan berjaya disesatkan oleh mana-mana ideologi dan sebagainya. Begitu juga Sunnah baginda, yang merupakan agen yang menerangkan al-Quran.

Manusia tanpa al-Quran adalah manusia jahiliyah. Kita lihat pada zaman sebelum diutuskan Nabi, ketika itu umat manusia khasnya masyarakat Arab Jahiliyah sangat terpesong jauh dan bertingkah-laku dengan perangai yang sangat buruk hingga berlaku pertukaran isteri, riba yang berleluasa, minum arak, zina dan juga bunuh anak. Ini semua kerana mereka hidup dalam keadaan tiada panduan hidup yang lengkap dan baik. Dan datangnya Nabi bersama al-Quran membawa satu cahaya kepada masyarakat ketika itu sehingga mengubah sebahagian besar daripada mereka menjadi individu yang mempunyai akhlak mulia. Antara contohnya adalah Saidina Umar r.a yang mana telah dikhabarkan kepada kita kini bahawa hatinya yang keras itu luluh dan lembut untuk menerima Islam setelah mendengar alunan bacaan al-Quran yang diperdengarkan oleh saudara perempuannya selain berkat doa Nabi iaitu ketika mana sebenanrnya beliau sedang membuak-buak keinginannya untuk membunuh Nabi Muhammad SAW.

Jom kita merenung pula sebuah lagi hadith Nabi yang Mulia yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah yang membaca al-Quran dan mengajarkannya.”

Lihat! Baginda SAW tidak menyebut yang mengajar dulu, tapi mendahulukan mereka yang membacanya. Kerana itu kita tidak boleh berputus asa untuk belajar membaca al-Quran walaupun umur sudah tua, atau ada yang mengatakan sudah terlambat, namun ketahuilah, tiada apa yang terlambat jika kita niatkan ke arah kebaikan. Bukankah Nabi juga pernah memotivasikan kita yang mana baginda mengkhabarkan membaca al-Quran dengan lancar dan baik diberikan satu ganjaran dan membaca dengan gagap dan tidak lancar itu diberikan kepadanya dua ganjaran kerananya usahanya untuk membaca al-Quran dan kesusahan yang dialaminya untuk membacanya dan terus belajar membaca. Maka, apakah lagi alasan kita untuk tidak membaca al-Quran? Fikir-fikirkanlah. Namun ini tidak bermaksud kita perlu selamanya berada dalam keadaan gagap, namun kita perlu berusaha untuk memperbaiki bacaan dari semasa ke semasa. Moga Allah melihat usaha itu sebagai saham untuk kita melayari kehidupan akhirat.

Sahabat-sahabat, di akhir zaman ini, kita dapat perhatikan pelbagai bentuk manusia terlahir. Ada yang bersungguh-sungguh mengamalkan agamanya, ada yang menolak agama 100%, yang mengambil hanya untuk kepentingan peribadi, ada yang menghinakan agama, dan ada yang mencampuradukkan agama dan pelbagai lagi. Keadaan ini amat membimbangkan khususnya kepada umat Islam, yang mana mereka dengan sengaja meninggalkan al-Quran dan lebih teruk lagi menghinanya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan ayat 30, maksudnya:

“Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai."

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Keluhan Nabi telah menjadi kenyataan pada masa kini yang mana ramai umat Islam kini yang menganggap al-Quran sebagai satu kitab kuno yang tidak lagi boleh digunapakai pada masa kini. Hatta ada yang mempersendakan kandungannya dan meninggalkannya daripada menjadi panduan dalam kehidupan. Sungguh, jika Baginda SAW ada di sisi kita kini, pasti baginda menangis melihat keadaan umatnya yang telah jauh meninggalkan wasiat peninggalannya.

Astaghfirullah al-Azhim! Allah Maha Agung! Moga kita terpelihara daripada tergolong dalam kumpulan yang sesat lagi menyesatkan serta yang lalai daripada mengingati Allah dan meninggalkan KitabNya. Dan sama-samalah kita berdoa agar umat Islam keseluruhannya kembali kepada al-Quran agar kembali terbentuk umat Islam yang kuat dan teguh akidah. InsyaAllah…



_________________________
I have added cool emoticons to this message.
To see them go to http://x.exps.me?94ed9246b2b81ffbb2c4a46eb5f5ce3e

0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)