Sunday, August 14, 2011

:: Haidh dan Ramadhan; Beruntungnya Muslimah ::

Sering kali kita mendengar seorang muslimah itu mempunyai kelebihan dan kerehatan yang tiada pada seorang lelaki muslim yang dikurniakan Allah. Dalam menjalani tempoh kerehatan tersebut, khususnya dalam bulan kemuliaan dan bulan yang ingin dipenuhi dengan pelbagai bentuk ibadah ini, ada suara-suara muslimah yang seolah-olah bersedih dan mengeluh kerana tidak dapat menjalani bulan ini sepenuhnya dengan aktiviti seperti tadarus, solat malam, tarawih dan sebagainya. Antara yang menyebabkan mereka terhalang adalah kerana kekangan-kekangan normal seorang wanita seperti haid, melahirkan anak, menyusui anak kecil dan sebagainya.

Namun, mungkin ada juga muslimah yang melihat ianya sebagai satu kelebihan Allah berikan kepada golongan hawa ini. Dengan melihat ia sebagai satu rahmat dan kurnia dari Allah, kita termasuk saya sendiri sebagai seorang muslimah, perlu tahu apa yang perlu kita lakukan khususnya ketika mengalami situasi ini di dalam bulan yang penuh barakah ini untuk kita tetap tidak tertinggal mengejar kebaikan yang dijanjikan di dalam bulan keampunan ini. Sedar atau tidak, dalam bulan ini amalan sunat diberi pahala amalan fardhu, dan amalan fardhu diberi 70 kali ganda ganjaran! Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah.

“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”.

Tapi, awalnya, kepada muslimah yang mengalami haid, jangan lupa baca doa yang diajarkan kepada kita selepas datang haid, dibaca 3 kali. Doanya disebut dalam sebuah kitab Durratun Nasihin:

Riwayat Daripada Saiyidina Aishah R.A.

"Tidak ada daripada seorang perempuan yang kedatangan haid
melainkan adalah haidnya itu menghapuskan dosa-dosa yang
telah lalu daripada segala dosa-dosanya dan sekiranya ia
membaca doa (dibawah) pada hari yang pertama yakni:
maksudnya: Segala puji bagi Allah di atas segala hal dan aku
memohon keampunan kepada Allah daripada segala dosa.

* maka menulis oleh Allah baginya terlepas daripada api neraka
dan dapat lalu di atas Sirat dengan selamat dan aman
daripada azab dan meninggikan oleh Allah Taala
baginya dengan tiap satu hari dan satu malam
akan pangkatnya empat puluh orang mati syahid manakala
adalah perempuan itu dikira berzikir kepada Allah Taala
di dalam masa haidnya…

KELEBIHAN KHAS BUATMU

Banyak kelebihan yang Allah berikan kepada seorang wanita yang mana pernah suatu ketika dulu ditindas dan diperhambakan, namun kedatangan Islam mengangkat martabat seorang wanita, dan lagi bertambah kemuliaannya apabila wanita itu merupakan seorang muslimah. Maka, berbalik kepada tajuk mengenai berbolak-baliknya hati muslimah itu apabila dia didatangi haid, melahirkan anak atau mengandung dan menyusu anak yang mana perkara-perkara tersebut menjadi kekangan kepadanya untuk melakukan ibadah di bulan Ramadhan ini sepertimana orang lain.

Janganlah bersedih dan bergembiralah kerana melahirkan anak itu juga merupakan ibadah malah si ibu yang melahirkan dikatakan suci dari dosa sebagaimana sucinya seorang bayi itu selepas kelahiran. Dan si ibu yang menyusukan, pahala kalian bertambah-tambah apabila anda menyenangkan anak anda dan tidak membiarkannya kelaparan, bukankan setiap kali penyusuan, berganda-ganda pahala amalan yang akan anda terima dengan ganjaran amalan fardu dan juga 70 kali ganda. Dan si ibu juga merupakan seorang isteri, jadi galakkan suami anda melaksanakan ibadah dengan bersungguh-sungguh, maka kebaikannya juga diterima oleh si isteri.

Begitu juga kepada muslimah yang lain, anda mungkin terlarang daripada melakukan ibadah seperti solat, tilawah, namun amalan seperti zikir, memasak untuk juadah berbuka puasa, menggembirakan hati keluarga, menjamu orang lain berbuka puasa dan sebagainya yang merupakan amalan sunat tidak terlarang. Jadi, gunakan dengan sebaik mungkin kelebihan memasak, mengambil hati dan sebagainya yang Allah berikan untuk merebut pahala amalan-amalan fardhu yang kita tidak dapat laksanakan dalam tempoh tersebut. Pendek kata, muslimah ini banyak kelebihan, maka gunakannya sebaik mungkin!

Image result for amalan wanita haidh di bulan ramadhan
KESIMPULANNYA...

Seorang wanita tidak perlu merasa kecewa atau bersedih jika mengalami keadaan seperti dinyatakan pada awal tadi, akan tetapi kita perlu bijak menggunakan situasi tersebut agar kita masih dapat mengaut kelebihan dan pahala yang Allah kurniakan di Bulan Rahmat dan Barakah ini dengan semaksima mungkin. Ingat, anda hanya terhalang untuk melakukan beberapa perkara, namun ada berpuluh lagi amalan yang anda boleh lakukan yang mana akan diganjari dengan pahala amalan fardhu. Jom kita pasakkan gear dan gunakan full gear untuk memaksimakan lagi 15 hari terakhir ini dengan pelbagai bentuk amalan. Wallahu a’lam.


*Kredit kpd U. Asni Mansor @ MALAYSIA HARI INI TV3.
-p/s: Dalam fasa keampunan ini, marilah sama-sama kita membudayakan sifat maaf-memaafkan antara satu sama lain dan memperbanyak istighfar dan mohon keampunan daripada Allah. ^^,


Sakinah Mohammad.
Bandar Baru Bangi.

0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)