Wednesday, October 24, 2012

Cinta Iman


Frasa Allah menyayangi hambaNya adalah sangat popular di mana-mana lokasi penulisan. Semua mampu mengungkapkan dan menulis. Hakikatnya benar sekali bahawa Allah sangat menyayangi hamba-hambaNya. Persoalan di sini, adakah kata-kata yang diungkap dan ditulis itu benar-benar terbit dari hati yang khudhu' dan khusyu' kepada Allah? Itu persoalan yang sengaja saya tanyakan di sini. Khususnya kepada diri saya sendiri yang sering menulis kata-kata seperti itu. Akuannya, kadang-kadang kata-kata yang terzahir itu hanyalah diungkapkan di bibir dan di hujung-hujung jari yang menaip tanpa sebarang rasa yang serendah-rendah pengharapan kepada kasih-sayang Allah.

Ramai mendakwa kita cinta Allah dan rasulNya, namun peribadi dan perlakuan kita tidak mencerminkan segala kata-kata yang didakwa. Betapa malunya kita di hadapan Allah kelak, dan dihadapan Rasulullah SAW nanti apabila kita mendakwa dan menyatakan cinta kita kepada Allah dan Rasul, rupa-rupanya cinta yang didakwa itu dinafikan dan tidak diiktiraf oleh Allah dan jua RasulNya. Betapa hancur dan ruginya mereka-mereka yang ditimpa nasib sebegitu hanya kerana cinta yang diuar-uarkan di dunia tiada sebarang penghayatan dan pembuktian yang ikhlas.


Ketika memikirkannya, betapa malunya rasa hati kita, jika kita masih tidak sedar soal kedudukan dan kondisi hati kita kala ini. Ingat dan perhatikanlah dalam diri kita, bukan mudah untuk kita memastikan tingkatan iman untuk sering meningkat. Ia memerlukan usaha yang sangat bermujahadah dan dengan sepenuh keikhlasan, namun dengan mudah sahaja iman yang dijaga dan dipelihara tadi akan menurun, dek amalan-amalan dosa dan maksiat yang dilakukan samada secara sedar atau tidak. Kelalaian dalam menguruskan kehidupan yang sering menyumbang kepada penurunan iman. Perlu ada sistem dalam menguruskan kehidupan yang mana saya sendiri masih terlalu banyak lacking dalam urusan ini. Jadinya, bila urusan kehidupan merangkumi hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam dan juga hubungan dengan Allah dapat diatur dan ditadbir dengan baik, insyaAllah menatijahkan natijah iman yang baik untuk akhirat kita.


Seringlah menghayati erti kasih dan sayang Allah kepada hamba-hambaNya dengan melihat kepada segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita. Musibah yang diterima juga dilihat sebagai tanda kasih dan rahmat Allah kepada kita. Sememangnya manusia tidak akan pernah sempurna, dan tidak akan sering meningkat keimanannya. Namun, usahalah, untuk menjadi yang terbaik di pandangan Allah dan untuk menjaga iman.

Saya memohon doa kalian yang membaca tulisan saya ini, doakanlah saya untuk sentiasa melebihkan agama dalam urusan saya. Saya sendiri bukanlah malaikat mahupun wali yang sentiasa dipelihara. Terkadang nafsu dan keinginan dunia sering dituruti melebihi kepentingan agama dan akhirat. Kekadang ungkapan zikir sering berbunyi pada zahir tanpa penghayatan. Doakanlah juga saya diberikan hakikat cinta kepada Allah yang sebenar. Sungguh, saya hanyalah insan biasa yang perlu diperbaiki...!


0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)