Wednesday, October 10, 2012

Inilah Pengalaman...


Semangat3x!! =))

Bersedia atau tidak bersedia, satu hari nanti pasti kita akan terdedah dengan dunia luar, selain dunia pengajian. Mungkin yang membaca entry ini ada yang masih dalam dunia pengajian, dan mungkin juga kini sudah berada dalam dunia pekerjaan. Selalunya, bila ditanya kepada para pelajar, ingin belajar atau ingin bekerja? Pasti rata-rata akan menjawab tidak sabar untuk bekerja. Seperti ketika menjadi pelajar sekolah rendah, yang bila ditanya, dijawab tidak sabar untuk melangkah ke sekolah menengah, yang menengah tidak sabar untuk masuk ke universiti dan seterusnya. Namun, bila ditanya pula, rata-rata juga akan mengungkapkan rasa rindu kepada zaman kanak-kanak, zaman persekolahan dan pengajian bagi yang sudah berada di tahap lebih atas.

Tapi saya, ketika dalam proses pengajian di universiti, saya seolah-olah tiada feel untuk bekerja. Di samping diri yang seperti tiada rancangan pekerjaan atau kerjaya di masa hadapan. (teruk kan?). Apa yang saya inginkan hanyalah belajar dan terus belajar. Saya cintakan suasana pembelajaran. Hingga sekarang, apabila secara tidak sengaja, tanpa perancangan, saya ditakdirkan Allah untuk memasuki alam pekerjaan di sektor kerajaan. Alhamdulillah, Pengalaman yang baik saya kira, sebagai pertambahan ilmu dan kemahiran sekiranya saya benar-benar sudah menentukan hala tuju hidup saya nanti.

Dunia pekerjaan adalah satu dunia yang sangat lain daripada dunia pengajian. Semuanya berlaku dengan pantas. Mungkin kalau kita seorang yang lambat, kita akan mudah tertinggal. Kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi saya dapati sangat penting dalam menjalani hari-hari di alam pekerjaan. Selain daripada kemahiran menggunakan software komputer dan barang-barang teknikal program (dengan pengalaman lebih kurang dua minggu). Jika kita hanyalah seorang yang 'bersendiri' dan terlalu pemalu, susah sungguh untuk kita mendapat suasana yang mesra. Tapi, perkara ini seolahnya tidak asing, kerana di mana-mana sahaja, suasana ini sangat diperlukan. Saya juga sebenarnya sedikit kekok ketika berhadapan dengan orang baru dan suasana baru. Neway, belajar dan terus belajar, alhamdulillah, sekarang ok..

Syukur dan syukur. Segala pujian selayaknya kepada Allah, kerana ditempatkan di tempat yang sangat sesuai dengan jiwa saya yang sangat menyukai program training dan facilitate program. Dia tahu apa yang terbaik. Dapat juga saya jadikan tempoh sementara saya bekerja ini sebagai tempoh menuai pengalaman untuk dinikmati hasilnya pada masa hadapan. Mungkin hanya jangkaan dalam 3 bulan lebih saya akan bekerja, sebelum menyambung kembali impian masters. Walaupun ramai yang seolah mencadangkan untuk hold dulu pengajian. Apapun, tengok rezeki nanti. *out of topic*

Bekerja di dunia latihan dalam sektor pekerjaan, memang menarik. Menjadi fasilitator kepada para pegawai atasan yang ada di kalangannya hampir sebaya dengan abah. Berumur lebih 3 tahun dan ke atas semuanya. Sedangkan sebelum ini, hanya terbiasa dengan peserta yang lebih muda dan berpangkat adik, maka mudahlah untuk kita menjadi rujukan dan 'cikgu' kepada mereka. Tapi kali ini lain. Peserta bukan setakat berpangkat kakak dan abang, pangkat abah pun ada. Very interesting. Berdepan dengan karenah mereka yang lebih tinggi dan berpangkat pegawai, watak diri juga terpaksa bertukar agar terlihat lebih berkaliber daripada para peserta. Seketika, saya juga agak kekok untuk mendepani suasana, namun dimotivasikan oleh para fasilitator berpengalaman dan ketua fasi, akhirnya saya cuba berinteraksi dengan peserta selayaknya saya juga setaraf seperti mereka. *walhal, siapa saja saya* =)

Entah berapa minggu saya men-draft-kan entry ini. Punyalah panjang masa yang diambil untuk saya menulis dan menyambung tulisan. Akhirnya, mungkin hanya ini sahaja apa yang dapat dikongsikan buat ketika ini. Sekadar sedikit coretan pengalaman dalam dunia pekerjaan. Setiap kali saya keluar rumah, saya membiasakan doa agar diikhlaskan setiap pekerjaan saya pada hari itu. Terkadang rindu dengan suasana meeting atau syura yang diawali dengan tazkirah ringkas yang biasa dilakukan ketika bersama dengan ISIUKM dulu. Terasa gersang hati akibat kurangnya mendengar kuliah-kuliah agama dan taujihat serta peringatan agama. Namun, perkara ini tidak saya dapati di tempat kerja kini. Itulah perbezaannya. Moga suatu hari nanti, saya akan dapat berada dalam suasana itu lagi.

Sekian buat setakat ini. Maaf jika tiada manfaatnya.
Dan manfaatkanlah jika ada kebaikan di dalamnya.




0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)