Thursday, May 10, 2012

Buat Ustaz Ustazah


Tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz jemputan semalam sungguh memberi kesan sekali lagi di hati saya (walaupun saya hanya tiba pada 15 minit terakhir). Peringatan demi peringatan masuk dan disumbat ke dalam fikiran saya sebagai seorang mahasiswi Islam yang mengaji di Pengajian Islam. Berbekas nasihat beliau membuatkan saya ingin berkongsi peringatan-peringatan itu bersama ustaz-ustazah yang juga sepengajian dan seperjalanan bersama-sama saya dalam dunia pengajian ini.

Dakwah ini tanggungjawab siapa?

Khusus saya tujukan soalan di atas kepada ustaz ustazah yang mengambil pengajian Islam di peringkat pengajian tinggi samada di IPTA atau IPTS.

Sahabatku,

Kita sekalian telah Allah pilih dan berikan peluang dan kesempatan untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi dalam pengajian Islam. Dalam masa 3-4 tahun pengajian, kita akan diberikan segulung ijazah kepujian yang dengan bangganya tertulis, ‘Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian’ yang akan melayakkan kita bekerja di institusi-insitusi agama dan atau selainnya. Masyarakat akan memandang kita sebagai salah seorang yang boleh dirujuk dalam permasalahan agama, menjadikan kita sebagai contoh, atau menjadi imam dan sebagainya. Masyarakat akan memandang kita sebagai salah seorang yang boleh dirujuk sebagai ‘imej bagi Islam’.

Oleh itu sahabatku,

Sedarkah kalian bahawa secara tidak langsung kita  yang akan bergraduasi daripada satu kursus yang dinamakan Pengajian Islam ini dijadikan ikon dan dipandang masyarakat? Sedarkah kalian secara tidak langsungnya, tingkah laku kita akan dijadikan hukuman untuk Islam bagi yang kurang memahaminya? Sedarkah kita, bahawa kita akan dipandang masyarakat sebagai orang yang tinggi ilmu agamanya?

Jadinya, apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah, bertingkah lakulah sebagai seorang pelajar pengajian Islam. Berimejlah sebagai mahasiswa/I pengajian Islam. Bertindaklah dan berfikirlah sebagai seorang pendakwah Islam. Kerana persepsi umat manusia berkenaan Islam boleh berubah dengan sebab kita.

Maka kepada siapa lagi ingin diharapkan untuk disebarkan dakwah Islam ini jika kita sendiri yang belajar siang dan malam tentangnya mengambil sambil lewa tentangnya? Tidakkah kita merasa tanggungjawab dakwah itu adalah lebih berat di bahu dan belakang kita berbanding orang lain?

Wahai mahasiswa/I pengajian Islam, fikirkanlah!

Biah itu menyedihkanku…

“Sekarang ni bila ana tengok student-student FI (Fakulti -Pengajian- Islam) ni ana jadi pelik. Tak ada beza student FI dengan student fakulti-fakulti lain. Datang kuliah seolah-olah dah macam datang nak bersukan. Kekadang ana pelik jugak dengan budak FI sekarang ni. Kalau dulu susah nak tengok suasana macam ni.”

“Orang lain pakai seluar, dia nak pakai seluar jugak. Kalau besar tak pe, ni seluar kecik-kecik. Tak tahulah. Budak fakulti lain pakai baju t-shirt dia nak pakai jugak, orang pakai tudung singkat dia nak pakai jugak, orang tak pakai stokin, dia pun tak nak pakai. Ana ni bolehlah kadang-kadang tegur. Yelah kalau ana lecterur tak tegur, ana berdosa jugak. Tapi….”

Antara keluhan ustaz dalam tazkirah ringkas yang diberikan beliau.

Allahu Rabbi…tersentap rasanya hati. Di manakah sensitiviti kita sebagai mahasiswa/I Islam? Kenapa kita sendiri jualah yang menyumbang fitnah ke atas kesucian Islam ni?

Sungguh, saya sendiri jua merasa sangat sedih dari hari ke hari melihat suasana atau biah di Fakulti Pengajian Islam sendiri. Pelbagai fesyen dan gaya terserlah dari pelbagai penampilan dan imej. Ikutlah lelaki mahupun perempuan. Muslimat mahupun muslimin. Ustaz mahupun ustazah.

Saya tidak menyekat, jauh lagi menghukum haram pemakaian berfesyen. Saya tiada menghalang. Cumanya, cukuplah fesyen itu adalah yang digariskan batasannya dalam syara’. Biarlah pakaian kita itu menggambarkan kemahasiswaan kita sebagai seorang ahli di FAKULTI PENGAJIAN ISLAM.

Sekian lama ingin saya luahkan hal ini, namun sering terbantut mengenangkan beberapa keadaan yang membuatkan saya tidak meluahkannya. Tapi, apabila hal ini dari semasa ke semasa dilihat semakin parah, saya terpanggil untuk memberi sedikit peringatan di sini. Rentetan daripada keluhan seorang pensyarah.

Tidakkah kita terpanggil?

Sahabat-sahabat yang saya sayangi kerana Allah Ta’ala,

Mengapa mereka di luar sana yang tidak mempelajari Islam secara mendalam seperti kita terasa terpanggil untuk mendekati Islam…tapi kita yang sering berada dalam dewan-dewan kuliah mendengar tentang Islam, semakin menjauh pula dengan cara hidup Islam?

Mereka terpanggil memakai pakaian menutup aurat, kita pula terpanggil untuk mengubah imej kepada yang sedikit terdedah? Mereka mendekati majlis-majlis ilmu, kita mendekati majlis-majlis merapu.

Inilah ujian-ujian besar kepada mereka yang diberikan ilmu agama yang tinggi. Semakin tinggi ilmunya, semakin besar ujiannya. Maka, bijaklah dalam menangani situasi. Jangan kita berjalan mendongak ke langit menyombong diri dengan ilmu yang ada pada pandangan manusia, padahal di sisi Allah kita seoalah-olah hanyalah mayat hidup yang tiada langsung darjat kemuliaan di sisi Allah.

Renung-renungkahlah…jauhilah daripada menjadi penyebab fitnah kepada Islam!


0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)