Tuesday, July 5, 2011

Beliaulah Serikandi Itu..

Peranan muslimat dalam memartabatkan Islam di muka bumi bukanlah satu perkara yang pelik dan asing. Ini terbukti dengan ramainya serikandi-serikandi Islam yang telah gugur syahid dan teguh hingga ke akhir hayatnya mempertahankan dan meninggikan Islam. Saidatina Khadijah yang menjadi penguat tulang belakang dakwah dan menginfaqkan seluruh hartanya kepada jalan Islam, Sumayyah sebagai syuhada’ pertama, Saidatina Aisyah, Zainab, Zinnirah yang menggadaikan matanya, dan ramai lagi muslimat yang membuktikan peranannya di dalam jalan perjuangan ini dari satu zaman ke satu zaman yang lain. Sentiasalah muslimat itu menjadi tulang belakang dan sayap kiri perjuangan Islam sehinggalah ke hari ini.

Salah seorang tokoh perjuangan dan aktivis Islam yang amat dikagumi dan disebut-sebut di bibir-bibir para jundullah dan dekat dengan zaman kita ini ialah pengasas kepada Jama’ah Muslimat yang merupakan sayap perjuangan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Yang merupakan seorang muslimah yang berjaya membuktikan bahawa kekejaman dan penindasan dalam pelbagai bentuk dan penyeksaan demi penyeksaan daripada rejim dan tirani tidak mungkin mampu memalingkan dirinya daripada mempertahankan Islam sehingga ke akhir hayatnya walaupun nyawa menjadi taruhan.

Beliaulah, ZAINAB AL-GHAZALI AL-JUBAILI….mujahidah fi sabilillah…

Beliau mula mengasaskan Jama’ah Muslimat ini pada zaman pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser di Mesir. Beliau merupakan seorang tokoh yang sangat ditakuti oleh musuh-musuh Islam pada ketika itu, sehinggakan kerana ketakutan mereka kepada kekuatan iman dalam diri Zainab al-Ghazali, mereka melakukan satu percubaan untuk membunuhnya dengan satu kemalangan jalan raya yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan teruk. Namun, dengan izin Allah, beliau masih dapat meneruskan agenda dakwahnya untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup masyarakat pada ketika itu yang telah banyak terpesong akibat akidah pemerintah yang rosak.

Mendapati rancangan untuk membunuh beliau gagal, rejim Jamal Abdul Nasser akhirnya melakukan penangkapan beramai-ramai para pejuang Ikhwanul Muslimin termasuklah Zainab al-Ghazali, Sayyid Qutb, Imam Hasan al-Hudaibi (Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin ketika itu) dan ramai lagi serta pembubaran Jama’ah Muslimat. Mereka menggunakan alasan bahawa Ikhwanul Muslimin dan Jama’ah Muslimat mempunyai komplot untuk membunuh Presiden Jamal Abdul Nasser walaupun hakikatnya perkara itu tidak pernah dirancang. Penangkapan terhadap Zainab al-Ghazali ini merupakan permulaan siri penyeksaan dan kekejaman ke atasnya tanpa henti.

Siapa menyangka muslimat yang dilihat lemah di zahirnya mampu menerima hidangan penyeksaan pelbagai bentuk di dalam penjara tentera Mesir. Membaca kisah beliau di dalam penjara tentera mesir itu cukup untuk membuat saya kecut perut dan menghitung diri jika saya ditempatkan di tempat beliau. Zainab al-Ghazali menerima pukulan tongkat penjara beratus-ratus kali sehari, ditendang, diherdik dengan kata-kata yang kesat dan penghinaan, penyiksaan-penyiksaan yang merobek kulit-kulit badannya, beliau dihadapkan dengan cakaran dan serangan anjing-anjing berjam-jam, gigitan tikus-tikus di dalam bilik, tanpa makan dan minum berhari-hari dan pelbagai lagi yang mana melalui kehidupan seperti ini hampir setahun tidak mungkin akan mampu ditanggung oleh manusia biasa yang masih lemah akidahnya dan kurangpergantungannya dengan Allah Ta’ala.

Ketika menulis artikel ini pun membuatkan saya takut kerana terbayang-bayang siksaan dan keadaan yang menakutkan itu jika ia berlaku pada diri saya. Adakah saya mampu menjadi seperti beliau, atau apakah saya akan berpaling tadah dengan hanya dihadapkan dengan beberapa pukulan tongkat yang mengoyak-ngoyakkan pakaian? Mungkinkah diri ini akan menjadi seperti Zainab al-Ghazali? Terasa masih lemah diri ini untuk menghadapi ujian seberat itu. Namun, Zainab al-Ghazali al-Jubaili membuktikan bahawa seksaan-seksaan seperti itu sedikit pun tidak berjaya membuatkan beliau berpaling daripada meniggikan agama Allah di muka bumi Mesir khasnya. Sehingga datang perintah daripada Presiden Jamal Abdul Nasser yang berbunyi:

“Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir, Zainab al-Ghazali mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki.”

Atas pemerintahan ini, beliau menerima seksaan-seksaan yang lebih teruk dari sebelumnya. Beliau dihadapkan dengan pukulan tongkat 500 kali sehari, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian di dalam penjara air, penjara api, penjara yang dipenuhi dengan tikus dan pelbagai lagi. Sehinggakan keadaan beliau dilihat seperti seorang wanita tua berumur 90-an walaupun hakikatnya beliau hanya berumur 40-an pada ketika itu. Namun, pengharapan yang kukuh kepada pertolongan Allah dan keyakinan beliau akan janji Allah memotivasikan dan menguatkan beliau menghadapi segalanya dengan tabah.

“Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah jualah sebaik-baik Pelindung.”

Ungkapan yang sentiasa bermain di bibir beliau walau dihadapkan dengan seribu penyeksaan.

Keyakinan beliau akhirnya memberikan kenikmatan tidak terhingga dan ketenteraman hati apabila Allah mengurniakan kepada beliau mimpi-mimpi indah bertemu Nabi Muhammad SAW yang sentiasa meneguhkan pendiriannya dan mimpi menjamu hidangan yang lazat dan mengenyangkan setelah hampir seminggu beliau tidak diberi makan dan minum. Mimpi-mimpi tersebut membuahkan ketenangan dan memulihkan kekuatannya setelah diseksa setiap hari oleh syaitan-syaitan berwajahkan manusia pengawal penjara. Beliau sedikit pun tidak pernah mengeluh dan ragu-ragu dalam meneruskan perjuangan ini, sehinggakan kekentalan beliau membuka hati seorang pegawai penjara untuk kembali mengenali Islam dan seruannya menjadikan seorang pengawal penjara dibunuh kerana cuba menjadikan Islam sebagai cara hidupnya.

Allah jualah sebaik-baik Penolong. Akhirnya perbicaraan di Mahkamah Manusia Zalim menjatuhkan hukuman gantung beramai-ramai kepada anggota Ikhwanul Muslimin termasuklah Sayyid Qutb, Abdul Fattah Ismail dan ramai lagi, dan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat kepada beliau dan Hamidah Qutb (saudara Sayyid Qutb) yang bersama-sama beliau dalam penjara. Satu perkara lagi yang perlu diambil iktibar, walaupun keseksaan demi seksaan dihadapkan kepada beliau, namun tanggungjwab beliau terhadap Allah tidak pernah ditinggalkannya walaupun dibenci oleh golongan-golongan pembantu syaitan.

Dalam menjalani kehidupan selepas perbicaraan, berita kematian suaminya amat menyentuh hati apabila suaminya diberitakan meninggal dunia kerana mempertahankan Islam. Allah jualah yang Maha Mengetahui hikmah sesuatu perkara, kematian Jamal Abdul Nasser tersebar di setiap penjuru kawasan Mesir dan walaupun kekuatannya dilihat di dunia sebagai tiada bandingan, kepada Allah jua semua itu akan dikembalikan samada dalam kedaaan hina atau mulia berdasarkan amalannya di dunia. Dan beliau dibebaskan pada tahun 1971. Semangat dan keyakinan beliau menghadapi pelbagai bentuk penyeksaan menjadikan beliau qudwah (teladan) kepada pejuang-pejuang agama Allah khususnya serikandi dan muslimat mujahidah sehingga hari Kiamat.

“Islam yu’la wala yu’la ‘alaih!!!



Beliaulah Zainab al-Ghazali al-Jubaili




0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)