Sunday, June 19, 2011

"Perjuangan Kita Ialah Islam"

Kesibukan dari hari ke hari dengan praktikal dan kerja-kerja jemaah yang perlu disiapkan dan disempurnakan menjadikan blog ni semakin lama semakin bersawang kerana lamanya tak diisi dengan kata-kata dan penulisan dan juga kerana malasnya untuk berfikir.. Alhamdulillah, sekarang dalam masa menunggu untuk menyelesaikan tanggungjawab kepada diri, tiba-tiba datang pula kerajinan untuk saya berkongsi sedikit perkara yang sangat penting yang saya dapati dalam program tarbiyah yang baru sahaja selesai semalam. Terasa seperti perkara ini sangat penting dan terpanggil untuk disebarkan dalam bentuk tulisan ini. Walaupun mungkin tidak secara overall, mungkin sedikit sebanyak manfaat dapat diambil. InsyaAllah…

Kisahnya berbunyi begini….

ADAB DAN AKHLAK DALAM GERAKAN ISLAMIAH

Gerakan Islam bila disebut sahaja menggambarkan sekumpulan manusia yang melakukan kerja dan tugasan jihad dan tanggungjawab agama Islam dengan menggunakan aset-aset yang ada. Dalam melakukan gerak kerja Islam ini, tentunya matlamat kita adalah untuk meninggikan kalimah Allah dan memuliakan agama Islam serta menyebarkan kebenarannya kepada seluruh umat manusia. Dengan berlandaskan al-Quran dan Sunnah serta tuntutan-tuntutannya, ulama’ juga ada menggariskan adab-adab dan akhlak ketika berada di dalam gerakan Islam ini agar setiap gerak kerja kita membuahkan hasil di akhirat kelak dengan menuntut keredhaan Allah semata. Adab dan akhlak agar setiap amalan kita tidak sia-sia kerana diperolehi padanya keikhlasan kerana Allah.

Pengisian daripada seorang tokoh dalam gerakan Islam yang amat dikenali dan disegani membuatkan kami yang mendengar membuka mata mengkoreksi diri memeriksa adab dan disiplin diri di sepanjang tempoh berada di dalam gerakan Islam ini. Beliau mengetengahkan 4 adab yang perlu diamalkan dan dimestikan untuk berada di dalam setiap individu penggerak agama.

1- Al-Shobr ( Sabar)

2- Al-Hilm ( Lemah-lembut)

3- Al-Rifqu (Kesopanan dalam pergaulan)

4- Al-Samha (Bertolak-ansur)

Mengapa keempat-empat perkara ini penting dalam kita mengamalkan akhlak sebagai seorang ahli gerakan, kerana jika anda dan kita sama-sama perhati, keempat-empat sifat tadi adalah sifat yang amat menyenangkan setiap hati-hati manusia dan ianya sifat-sifat yang amat berkait dalam ingin merapatkan hubungan dengan golongan masyarakat. Dengan kesabaran membuatkan kita menjadi seorang yang kuat dan kental dalam menghadapi ujian-ujian atau halangan-halangan dalam perjuangan gerakan Islam. Dan ianya dicantikkan lagi dengan 3 lagi sifat dibawahnya yang melengkapkan diri yang sabar. Kerana dengan hanya bersabar tidak mudah untuk menjalinkan persaudaraan dan hubungan dengan masyarakat. Dengan sifat lemah-lembut, sopan dan sentiasa bertolak-ansur dalam pergaulan dan kehidupan menjadikan kita disenangi dalam masyarakat kerana tiada siapa yang akan mengatakan bahawa sifat-sifat ini adalah sifat yang dibenci, bahkan ia adalah sifat yang merapatkan lagi hablumminannas iaitu hubungan sesama manusia.

Dengan sifat sabar jugalah membuatkan kita menjadi kuat dan akan sentiasa thabat di dalam perjuangan ini, dan sifat bertolak-ansur jika diamalkan dalam gerak kerja pasti akan melicinkan lagi pergerakan, tanpa saya membawa maksud bahawa ketegasan itu tidak perlu, malahan ianya juga perlu dalam beberapa ketika dan keadaan. Tolak-ansur sama sekali tidak membuang maksud perlunya kepada ketegasan. Dan apabila sifat-sifat ini berjaya dibina dalam diri kita semua, saya yakin ramai golongan masyarakat yang akan semakin lama semakin tertarik kepada Islam dan akan mengikut perjuangan ini atau sekurang-kurangnya menjadi penyokong kepada perjuangan Islam ini. Moga diperkenankan oleh Allah. Terasa tidak sabar rasanya untuk menanti hari itu.

Adab sudah diterangkan, tinggal diamalkan jika anda ingin melihat suasana Islam di seluruh tempat. Moga Allah memberikan kita rezeki untuk mengamalkannya. Amin..

Sambung kepada disiplin kepada setiap penggerak Islam setelah adab-adab didahulukan. Maklum, di mana-mana sahaja pasti ada protokol dan peraturannya. Dan begitu juga dalam gerakan Islam ini. Merujuk kembali kepada tajuk saya, adab dan disiplin dalam gerakan Islam, ustaz tersebut telah menetapkan bagi disiplin 3 perkara utama dan ditambah 1 yang juga dianggap penting bagi pandangan beliau menjadikannya 4 prinsip disiplin dalam gerakan Islam kepada semua penggeraknya.

1. Al-Sam’u wa Al-Tha’ah ( Dengar dan Taat)

2. Al-Syura ( Mesyuarat)

3. Salamah al-Shadr ( Berlapang dada)

4. Amanah

Disiplin pertama menuntut setiap penggerak agar melakukan ketaatan kepada pemimpin gerakan Islam tersebut selain keutamaan taat kepada Allah SWT dan RasulNya SAW. Sifat ketaatan ini dikaitkan dengan dengar bermaksud ketika mana seorang ahli gerakan menerima arahan daripada pemimpinnya dalam melakukan sesuatu perkara yang menuntuk kepayahan atau kesusahan sekalipun, wajib baginya untuk melaksanakannya dengan maksud wajib haraki bukan wajib syari’e (selagi mana tidak ada larangan syara’ padanya). Ini kerana setiap pemimpin gerakan bukanlah melakukan sesuatu arahan itu hanya untuk kepentingannya semata, namun difikirkannya untuk kemaslahatan dan kebaikan umum.

Disiplin kedua menuntut untuk kita melakukan mesyuarat dan perbincangan khusunya dalam menentukan sesuatu keputusan agar keputusan yang dilakukan tidak mengandungi undur-unsur berkepentingan individu, tetapi untuk kepentingan semua. Dalam mensyuarat ada rahmat Allah. pastinya sistem syura ini adalah sistem yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam menerajui pemerintahan. Banyak kelebihan yang boleh diperolehi dalam mengamalkan syura ini yang hanya dirasai kepada mereka-mereka yang melaksanakannya. Dalam syura ini pastinya ada ketua yang mana ketua inilah yang akan memutuskan keputusan setelah perbincangan yang matang dilakukan dengan keterlibatan semua ahli majlis syura.

Bezanya gerakan Islam dengan gerakan-gerakan yang lain ialah cara atau kaedah dalam membuat keputusan. Sistem mesyuarat ini banyak dilakukan di mana-mana kumpulan atau persatuan. Ianya tidak membezakan kita dengan mereka, cumanya, kronologi perolehan keputusan bagi gerakan Islam ini dimulai dengan istikharah (memohon petunjuk daripada Allah) lalu disusuli dengan syura (meminta pandangan manusia) dan diakhiri dan disempurnakan dengan firasah (firasat orang mukmin) yang mana firasat orang mukmin ini adalah daripada kesan dekatnya beliau dengan Allah dan akhirnya Allah meilhamkan kepada hambaNya yang terpilih untuk melihat dengan pandangan cahayaNya.

Disiplin yang ketiga ialah berlapang dada iaitu sentiasa terbuka dalam setiap perkara dan tidak mudah berkecil hati dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Ini merupakan satu faktor penting bagi pendapat saya sendiri, kerana apabila kita mula bermain dengan perasaan dalam bergerak kerja, kecenderungan besar untuk kita akan mudah terasa hati, berkecil hati atau sakit hati dengan mana-mana individu yang akhirnya akan membuatkan kita merasa lemah dan tidak bersemangat untuk melakukan kerja-kerja Islam. Saya tidak membela mana-mana pihak, tapi berdasarkan pemerhatian dari mata kasar ini, melihat golongan wanita yang selalu bermasalah dalam konteks salamah al-shadr ini dan akhirnya membuatkannya berjauh hati untuk melibatkan diri dengan gerak kerja. Mohon dijauhkan.

Dan last, but not least, sifat amanah yang disenaraikan sekali sebagai satu disiplin yang penting yang perlu dipegang oleh semua ahli gerakan Islam. Amanah dalam kerja, amanah dalam menggalas tanggungjawab, amanah ketika melaksanakan tugasan, amanah ketika diberikan kepercayaan dan sebagainya. Moga kesemua adab dan disiplin dalam gerakan Islam ini dapat dipupuk di dalam diri setiap individu yang bergelar seorang penggerak agama Islam untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Semoga Allah menjadikan kita sebagai hambaNya yang sentiasa ikhlas dalam setiap perkara yang dilakukan dan dimasukkan kita di kalangan hamba-hambaNya yang memperolehi redha dan rahmatNya. Amin Ya Rabb…

Moga setiap apa yang dicoretkan ada manfaatnya,

Wallahu a’lam.

2 comments:

  1. Assalamualaikum,,,

    k knah: terima kasih ats perkongsian ni,,sebelum ni dh didedahkan juga adb dan disiplin ni,,tp dh lupa,,bila akk tulis ni baru ingt semula,,

    manusia itu mudah lupa..
    penyakit ILMU itu adlh LUPA (peribahasa Arab) time form5..

    syukran kasira ya ukhti..
    semoga THABAT di jalanNya..amin..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..mohon share kupasannya..

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)