Wednesday, June 8, 2011

Tujukan Fokus Kita!!

Meneliti kembali kehidupan yang dilalui, banyak perkara yang telah terlepas dari rancangan kita yang hanya merupakan manusia yang lemah. Dan bila ditanya, semua akan mengatakan bahawa perancangan Allah itu yang terbaik. Memang pasti dan yakin benar tentangnya. Saya juga yakin tentang perkara yang sama. Makanya, sebelum kita menyesal membiarkan hidup ini berlalu tanpa sumbangan kita kepada Islam, ayuhlah kita bergerak, pacakkan azam, fokuskan niat.

Sahabat saya sering mengatakan, hidup ini singkat, tiada masa untuk perkara-perkara yang remeh dan tidak penting. Kadang-kadang saya menyetujuinya, dan kadang-kadang tidak. Namun sekarang ini saya juga ingin mengajak kita berfikir tentang perkara yang lebih kurang bermaksud begitu. Hidup ini hanya sementara, apakah tujuan hidup ini jika tak lain tak bukan untuk menjadi khalifah di bumi dan menegakkan agama Allah di seratanya. Bukankah hidup kita hanya akan menjadi sia-sia jika hanya dihabiskan dengan melakukan rutin-rutin harian seperti tidur, makan, belajar, bekerja, berbakti kepada ibu bapa, berkahwin dan sebagainya, namun perkara yang besar dan penting iaitu perjuangan Islam dilupakan.

Saya tidak mengatakan amal-amal soleh yang lain itu sia-sia. Ianya juga merupakan sebahagian daripada perjuangan Islam. Namun biar betul caranya. Anda makan, makanlah dengan kaedah yang Islam ajar dan berikanlah jua makan kepada yang memerlukan agar Islam itu terserlah keindahannya dalam menjaga hubungan sesama manusia. Anda berbakti kepda kedua ibu bapa, biarlah bakti anda itu menjadi contoh kepada insan lain untuk menjadi yang soleh dan solehah kepada kedua ibu bapanya dan berbaktilah dengan azam untuk membawa ibu bapamu ke syurga, bukan syurga dunia, namun di akhirat sana. Begitu juga jika anda bernikah dan melahirkan zuriat, asuhlah dan jadikan perkahwinan anda adalah perkahwinan yang membentuk satu keluarga pejuang. Lahirkanlah pejuang-pejuang agama yang akan menyambung siri-siri perjuangan para nabi.

Namun, realiti perjuangan ini adalah maklum kepada yang melaluinya. Perjuangan itu tidaklah mudah. Tidak dibentang dengan karpet merah untuk melaluinya. Tidak dihidangkan dengan makanan-makanan mewah dan tidak disuapkan dengan kenikmatan-kenikmatan dunia. Perjuangan ini hakikatnya penuh cabaran. Kemungkinan duri dan ujian serta kesusahan akan dilalui. Namun bukanlah niat saya untuk mematahkan semangat anda, namun saya perkatakan di sini, inilah jalan yang wujud buat si daie, buat mereka yang menjadi jundullah. Pengorbanan demi pengorbanan perlu dilakukan untuk memastikan Islam kembali tertegak di muka bumi ini.

Yakinlah teman, perjuangan ini pastinya tidak sia-sia. Namun pastikan juga fokus dan niat kita. Allah matlamat kita, Rasulullah teladan kita, Al-Quran panduan hidup kita, dan jihad itulah jalan kehidupan kita. Jalan untuk kita tenang ketika dipanggil kembali kepadaNya. Jadilah antara pejuang-pejuang agamaNya yang istiqamah dan tetap hati, agar Allah membantu dan sentiasa bersama dalam setiap gerak kerja perjuangan ini, jangan biarkan sebarang sifat yang akan merosakkan menular ke hati-hati kita agar perjuangan ini dapat kita teruskan hingga nafas terakhir.


Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
(Muhammad : 7)

Pelbagai janji yang dijanjikan Allah untuk anda yang sentiasa bersengkang mata memikirkan kemaslahatan umat Islam, yang memikirkan kaedah dan cara untuk memastikan Islam kembali gemilang. Saya tidak ingat hadis mengenai kelebihan golongan-golongan ini, namun yakinlah, jalan yang anda pilih inilah jalan yang selamat. Selamat dunia dan akhirat. Apakah lagi kegembiraan bagi seorang muslim melainkan selamat daripada azab Allah dan diampunkan segala dosa.


Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia Yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan Yang cepat (Masa berlakunya). dan sampaikanlah berita Yang mengembirakan itu kepada orang-orang Yang beriman.
(al-Saff : 11-13)

Suka untuk saya menjadikan ayat-ayat yang dinyatakan ini sebagai pembimbing dan motivasi diri. Sebagai penarikan semula fokus jika kekadang diri ini terlari daripada fokus sebenar perjuangan. Al-Quran itu bukan hanya sebuah kitab untuk dibaca, tapi pelbagai perkara ada di dalamnya untuk dimanfaat dan diamal. Al-Syahid Imam Hasan al-Banna yang merupakan pengasas kepada Ikhawanul Muslimin dan salah seorang tokoh pejuang Islam yang disegani juga ada mewasiatkan kepada umat Islam mengenai al-Quran ini, kata beliau:

i) Kerapkan membaca al-Quran, beribadah dengan membacanya dan mendekatkan diri kepada Allah dengan membacanya.
ii) Jadikan al-Quran sebagai sumber rujukan kepada hukum dan syariat agama. Al-Quran ini perlu diambil, dipetik dan dicedok serta dipelajari.
iii) Jadikan al-Quran sebagai asas undang-undang dunia yang akan dirujuk. Fasal-fasal dalam al-Quran yang bijaksana perlu dilaksanakan.

Dan akhirnya dalam mempertahankan tuntutan al-Quran, beliau syahid dibunuh oleh pemerintah yang zalim. Dengan itu beliau dapat membuktikan kepada dunia bahawa beliau akhirnya telah berjaya membawa agenda Islam sehingga ke akhir hayat beliau. Inilah antara semangat perjuangan dan semangat seorang jundullah yang diperlukan kini.

Maka ayuh! Bangkitlah sahabat! Bangunlah kepada anda yang bergelar seorang Islam! Bersama-sama mengerah tenaga memenangkan Islam, membela Islam, memuliakan Islam setelah kita lihat dengan mudahnya Islam diinjak-injak pada masa kini. Kepada yang telah berada di jalan perjuangan ini, janganlah pernah merasa selesa dan tenang. Check kembali niat duduk dirinya kita di dalam perjuangan ini. Moga setiap yang kita lakukan, redha Allah dalam iringan. Dan kepada yang masih ragu-ragu atau teragak-agak untuk menjadi pendakwah dan pejuang Islam, kembalilah kepda Al-Quran, dan lihatlah kembali apakah tuntutan-tuntutannya agar keyakinan terhadap jalan ini membakar semangat kalian utuk menjual diri untuk agama ini.

Ingatlah, Islam tidak sekali-kali memerlukan kita, namun kita yang memerlukannya. Allah bukanlah lemah untuk menjaga agamaNya, namun diberi peluang kepada kita untuk memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat dengan memperjuangkan agamaNya. Jika kita tidak mahu melibatkan diri di jalan perjuangan ini, kitalah yang pasti rugi kerana Allah yang Berkuasa akan menggantikan dengan yang lebih baik dan lebih baik. Dan Allah itu tidak pernah rugi jika kita tidak membantu agamaNya.

Akhir kalam, tujukan niat, kembalikan fokus, moga Allah menjadi pembantu. Moga Allah menjadikan kita semua sebagai penggerak kegemilangan Islam. Amin.

Wallahu a’lam.

0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)