Thursday, April 7, 2011

Solat Dhuha vs Tawakkal Exam??

Bismillahirrahmanirrahim...

Firman Allah s.w.t :


Demi waktu Dhuha dan demi Malam apabila menjadi sepi. Tidaklah Tuhanmu meninggalkanmu dan tidaklah Dia membencimu. Dan Akhirat itu lebih baik daripada dunia ini. Dan pasti Tuhanmu akan memberi kepadamu kurniaan hingga kamu menjadi suka.

(Surah al-Dhuha : 1-5 )

Dalam ayat ini, Allah menjadikan waktu Dhuha sebagai bahan sumpah. Selalunya setiap sesuatu yang dijadikan sebagai bahan sumpah Allah s.w.t mengandungi kepentingan yang sangat hebat.

Di sini Allah s.w.t menjadikan waktu Dhuha sebagai bahan persumpahan-Nya. Itu menunjukkan bahawa waktu Dhuha itu ada keistimewaannya , antara keistimewaannya adalah seperti yang telah di sebut oleh Allah s.w.t., waktu Dhuha adalah waktu Allah s.w.t mencurahkan kurniaan kepada hamba-Nya.

Kurniaan Allah suatu kurniaan hakiki yang pasti akan menggembirakan kita.
Oleh itu sesiapa yang mahukan kurniaan Allah s.w.t hendaklah dia berhubung dengan Allah s.w.t melalui ibadah solat sunat Dhuha.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis Qudsi yang bermaksud :


" Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud , "Hai anak Adam, solatlah kepadaKu empat rakaat pada permulaan siang nescaya akan Aku cukupkan keperluanmu pada akhir siang." (Riwayat Tirmizi)

Orang yang lemah imannya selalunya akan berpaling daripada Allah lalu pergi menemui bomoh untuk mendapatkan tangkal dan pelaris Perbuatan-perbuatan sedemikian syirik dan menjadikan Allah s.w.t. murka kepada mereka dan hilang keberkatannya.

Sebaliknya orang yang kuat imannya kepada Allah s.w.t akan tetap menaruh keyakinan penuh terhadap Allah s.w.t . Mereka yakin Allah sahaja yang boleh memberikan kesenangan dan kepayahan.

Sebagai tanda kekuatan iman mereka kepada Allah, apa-apa sahaja keperluan mereka, mereka akan meminta hanya kepada Allah melalui amal ibadah.

Firman Allah s.w.t

" Hai orang beriman bertakwalah kepada Allah dan carilah kepada-Nya wasilah. Dan berjuanglah di jalan Allah, semoga kamu berjaya. "

( Surah al-Maidah : 35 )



Wasilah yang di maksudkan di sini bukanlah apa yang berbentuk kubur,batu atau kayu yang dijadikan sebahagian manusia untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebaliknya itu semua hanya akan menjauhkan kita daripada Allah s.w.t Sebaik-baik wasilah yang dimaksudkan ialah apa-apa jua ibadah yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t maka apa-apa sahaja yang diinginkan akan dikabulkan-Nya.

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”


Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)


Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”

(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai segalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.


Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

KAEDAH PERLAKSANAAN:

Tatacaranya


Setelah pasti masuknya waktu Dhuha, maka lakukanlah dalam keadaan berwuduk . Dilakukan dua rakaat dan ditutup dengan salam atau boleh juga dilakukan dengan empat rakaat satu kali salam.

Rakaat Pertama

1. Niat dalam hati dengan berkata, " Sahaja Saya solat sunat Dhuha dua/empat rakaat kerana Allah Taala.”

2. Takbir

3. Baca Doa Iftitah

4. BacaTa'awwudz

5. Baca Surah al-Fatihah

6. Baca apa-apa sahaja surah dipilih

7. Takbir dan rukuk

8. Iktidal dan bacaannya

9.Sujud dan bacaannya

10. Duduk dan Bacaannya

11. Sujud dan bacaannya

12. bangun rakaat kedua dengan takbir.



Rakaat kedua


1. Baca surah al-Fatihah

2. Baca apa-apa ahaja surah yang dipilih

3. Takbir dan rukuk

4. Iktidal dan bacaannya

5. Sujud dan bacaannya

6. Duduk dan bacaannya

7. Sujud dan bacaannya

8. Duduk tahiyat akhir dan bacaannya

9. Salam Penutup


Kemudian kalau di khendaki, ditambah dua rakaat lagi dengan mengulangi cara tertera di atas dan seterusnya hingga 12 rakaat semuanya.

Pada sujud yang terakhir pada setiap dua rakaat kita sebutkan segala doa dan hajat kita, kita boleh sujud berapa lama dan meminta sebanyak doa yang di khendaki.


DOA SELEPAS SOLAT:

"Ya Allah sesungguhnya waktu Dhuha, waktu dhuha-Mu,

cahayanya cahayaMu, kerinduannya kerinduanMu,

kekuatannya kekuatanMu,

ya Allah sekiranya rezekiku ada di langit

maka turunkannya jika ada di bumi keluarkannya.

Jika cahaya jauh perdekatannya

dan jika ada hampir maka permudahkannya

dengan kebenaran dhuhaMu, cahayaMu, kekuatanMu dan kesucianMu, berikanlah kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Allah cucuri rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan atas keluarga dan para sahabatnya serta kesejahteraan.

Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam."

Diriwayatkan oleh Tarmizi Nabi saw bersabda : Sesiapa shaja yang bersolat sunat dhuha dengan rutin, maka Allah akan mengampunkan dosa2nya walaupun sebanyak buih di lautan.

**Jadinya sahabat2,,,,nasihat kepada diri dan semua, walaupun kita dalam keadaan sibuk nak exam n study, jangan pernah meninggalkan solat sunat Dhuha ini dengan keyakinan bahawa Allah yang akan memberikan kejayaan kepada kita. Walaupun kita berusaha setinggi langit, jika tanpa adanya keberkatan dan kehendak Allah untuk kejayaan kita, makanya kita juga tidak akan berjaya. So, dalam apa jua keadaan, jangan lupa kepada Allah....

InsyaAllah, saya mendoakan kita semua tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang diredhai dan dirahmati sentiasa, yang berjaya di dunia dan akhirat...amin..

^_^

2 comments:

  1. salam...
    mohon izin untuk share artikel bersama teman2 dan sahbat2 ana untuk menjadi rujukan dalam penerbitan majalah di kolej kami..

    ReplyDelete
  2. wksalam.... xde masalah. silakan... ^_^

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)