Thursday, March 31, 2011

Nukilan Hati Seorang Sahabat ~Sinergi Cinta~ Bhgn 3 (Akhir)

Aku berasa sangat penat. Mungkin letih membersihkan surau. Habuk ditarik dengan menggunakan vakum. Guna vakum je pun! Itupun rasa penat. Manja! Rintih hatiku. Kelihatan Fiza bersama Nadirah sedang berbual dengan seseorang. Sebuah wajah yang amat menenangkan jiwa, menyejukkan hati. Wajah itu… Astaghfirullahal’azim...!!! Hatiku hanyut seketika. Entah mengapa boleh melayan perasaan yang lara. Motif…? Aku juga tidak mengerti. Kudengar sedikit perbualan mereka. Seperti isu hangat yang dibicarakan.

“Saya harap ustaz faham luahan hati saya… saya rindu…”, kata-kata Fiza terhenti.

"Setidak-tidaknya rindu si pungguk pada rembulan, akan terubat kerana dia masih lagi mampu menatap rembulan biarpun tak mampu menggapainya. Sedangkan rindu kita pada Rasulullah....? Usah difikirkan rindu pada insan biasa seperti ana. Ana nak minta maaf andai kata kata-kata ana ini mengguris hati anti. Pada waktu ini, ana masih tidak bersedia untuk perkara-perkara yang berkaitan hati dan perasaan. Tapi, jangan anti sangka yang ana tak ada perasaan, tak ada keinginan. Bukan begitu..bukan. Cuma bagi ana, buat belum tiba masanya. Bagi ana, jika tiba masanya, ia akan datang dengan sendirinya."

Fiza terdiam sebaik sahaja mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ustaz Zaman. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Lidahnya menjadi kelu. Mahu saja dihentakkan kepalanya ke dinding, di atas ‘keberaniannya’ meluahkan apa yang tidak sepatutnya.

“Saudari Fiza,…semoga anti menjadi seorang anak yang solehah. Jangan gusar tentang jodoh dan pertemuan. Andai kata kita memang berjodoh, ana terima ketentuan Illahi. Jika tidak, ana doakan anti menemui pasangan yang beriman, ideal, bahkan lebih baik dari ana insan kerdil ini. Ana orang susah, ana orang biasa, ijazah pun belum dapat, ilmu pun kurang, harta apatah lagi. Mungkin ada yang lebih baik untuk diri saudari. Simpan ungkapan dan kata-kata manis tadi untuk bakal suami saudari, di saat termeterai segala janji, selepas akad yang suci. Dia lebih layak dari ana… Maafkan ana sekali lagi… Assalamualaikum…”

Ustaz Zaman meninggalkan Fiza dan Nadirah. Kedua-duanya terkedu mendengar ‘motivasi cinta’ dari Ustaz Badiuzzaman Syed an-Nursi. Kata-kata ketua pelajar itu bisa meragut jiwa setiap insan yang mendengarnya. Aku…? Aku berdiri tegak, bahkan lebih tegak daripada tiang surau di sebelahku. Hatiku tersentap. Motif…? Aku juga tidak mengerti. Malam itu aku tidak dapat tidur kerana sibuk melayan luahan kekecewaan Fiza. Dah ada assignment baru, ada kerja baru. Jadi doktor cinta la pulak…! Aku bermonolog sendirian.

Satu semester berlalu, Fiza semakin ceria. Mana tidaknya, dia telah menemui pengganti pujaan hatinya, Ustaz Zaman. Lagi sebulan Fiza akan bertunang, dengan seorang ustaz. Ustaz Asyraf, anak kelahiran negeri Kedah. Subhanallah, tawadhuk orangnya. Pasti aku tidak layak bersuami dengan lelaki sepertinya. Pagi ini aku tersentak lagi. Kata mak, ada orang datang meminangku. Dari Kedah juga! Dengan tegas aku menolak, alasan? Aku tidak layak untuk itu. Seminggu berturut-turut aku bermunajat kepada Allah, minta petunjuk kepada Yang Maha Esa. Lantas jawapanku kepada emak, “Terpulanglah kepada mak dan abah”. Majlis pertunangan berlangsung. Berderau darahku sewaktu mengetahui insan dari Kedah itu adalah Ustaz Badiuzzaman Syed an-Nursi. Selama ini aku tidak pernah mengambil tahu perihal bakal tunangku. Seusai majlis pertunangan, adik memberi sepucuk surat. Lantasku baca tiap bait-bait katanya. Ringkas, tetapi mampu menggetarkan jiwaku.

Assalamualaikum w.b.t.

Ke hadapan tunangku, Fatin Farhana bt Sukunam. Maafkan ana kerana selama ini tidak berterus-terang kepada anti. Ana bukan ahli pujangga yang pandai memikat hati si gadis. Ana hanyalah seorang insan biasa yang dhaif. Luahan hati ana, terlakar di dalam bait lagu ini. Moga-moga anti dapat memahaminya, walau tidak diluahkan dengan kata-kata.

Duhai kasih cuba kau dengarkan

Isi hati penuh kejujuran

Dengan sepenuh keikhlasan

Ku dambakan pengertian

Jangan kau dengar fitnah dunia

Kerna ianya dusta semata

Menghancurkan kesucian

Jalinan kebahagiaan

Sebenarnya aku merasa

Sinar cahaya yang gemilang

Ketika kau beriku harapan

Dan sering aku harapkan

Cinta berlandas keimanan

Dan kasih suci kitakan diberkati

Syukran kerana sudi memerima ana dalam hidup anti. Semoga Allah berkati hubungan yang suci ini.

Ikhlas dari hati, Muhammad Baziuzzaman Syed an-Nursi.

Maka, pada tarikh keramat 5 Disember 2011, termeterailah suatu janji, akad yang suci dan diredhai Allah. Insan yang dahulunya kupanggil dengan nama Ustaz Zaman, kini menjadi ‘abang’. Geli juga pada pertama kali aku menyebutnya. Malam pertama pernikahan, aku menjadi gementar. Tetapi perasaan itu tidak sama seperti gadis-gadis yang lain. Hidungku berdarah tanpa henti. Sakit kepala yang dahsyat kurasakan. Suamiku kelihatan sangat risau, kereta Proton Iswara berwarna biru dipandu laju. Kata doktor, aku mengalami barah otak, tahap ketiga. Peratusan untuk hidup lama sangat tipis.

Malam itu menjadi kelam sekali lagi. Aku dapat merasakan tangan yang lembut menggenggam kedua tanganku. Nyamanku rasakan, seolah-olah dilindungi. Pagi itu aku terjaga dari tidur. Air jernih mengalir perlahan membasahi pipi sebaik sahaja melihat wajah suamiku. Ketenangan wajahnya mententeramkan jiwa. Perlahan-lahan dibisikkan sesuatu di telingaku.

"Seorang isteri yang solehah, tenang dalam kesusahan, mencari kekuatan dalam doanya, memohon keampunan dalam istighfar, dan mendidik diri melalui solat yang khusyu'. Kesusahan itu suatu tarbiyyah, kesabaran itu sangat indah...bersabarlah sayangku. Abang sayang Ana…"

Waktu siang berlalu dengan pantas. Malam itu entah mengapa sakit itu datang lagi. Selain dari bunyi tangisan, kedengaran suara bacaan ayat suci al-Quran. Kakiku menjadi kebas, seolah-olah ditarik. Tubuhku menggigil. Sakit yang kurasakan tidak tertanggung lagi. Kalimah syahadah dibisikkan ke telingaku. Aku menuruti kalimah suci itu perlahan-lahan. “Laila ha illallah…” Kelam pandanganku. Mungkin itu kekal buat selama-lamanya.

………………………………………….

Badiuzzaman tertunduk diam. Matanya sayu melihat pada satu sisi. Isteri tercinta telah meninggalkannya…untuk selama-lamanya.

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."(Surah Al-Hadid: 22-23).


****SEKIAN****


Hasil Nukilan seorang sahabat yang sentiasa tabah dalam menghadapi ujian kehidupan. Moga ALlah merahmatinya....

Amin...

0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)