Cuti tahunan berlalu seperti biasa pada setiap tahun. Saat itu barulah aku berpeluang menemui ahli keluargaku yang lain. Jika diikutkan bukanlah selama ini tidak berpeluang, cuma…aku lebih selesa jika tidak pulang ke rumah. Beberapa kali juga emak menyuruhku pulang di saat cuti Tahun Baru Cina atau Thaipusam, sengajaku beralasan, sedangkan rumahku hanya beberapa kilometer dari sekolah. Kerinduan seorang ibu sentiasa melebihi anaknya. Itulah kasih sayang ibu. Mungkin suatu hari nanti apabila aku berpeluang menjadi ibu, pasti aku dapat memahami perasaan itu dengan lebih mendalam. Berpeluangkah aku…? Persoalan itu sentiasa timbul di benakku. Andaian awal dariku, ‘Aku tidak sebertuah orang lain’.
Kepulanganku ke rumah sentiasa disambut baik oleh mak dan abah. Namun tidak bagi adik-beradikku yang lain. Maklumlah, aku ini dilihat sebagai anak yang banyak menurut dari melawan, anak yang banyak bekerja dari bercakap, anak yang paling ‘cergas’ dan ‘sihat’. Hijrahku dalam pemakaian tudung labuh, rupanya tidak disenangi oleh mak dan kedua orang kakakku. Kakakku selalu mengherdik dan melarangku dari berpakaian seperti ‘ustazah’. Kata kakak, munafik gayanya. Buat malu saja. Kata emak pula, pakai tudung biar bersederhana, tak perlu labuh. Ah…! Aku tidak dapat merasakan di mana rasionalnya kata-kata mereka. Pernah suatu petang kulemparkan sehelai tudung labuh ke arah emakku, sebaik sahaja dia menyatakan larangan itu kepadaku. Perbuatanku itu agak keterlaluan kurasakan. Aku merintih sendirian, mengenang nasibku ini. Benarlah kata ustazah, apabila seseorang itu nak berubah, ada sahaja dugaan yang datang. Dugaan itu bukan untuk membuat kita putus asa, bukan untuk menjatuhkan kita. Tetapi untuk meninggikan darjat kita. Itulah kasih Allah. Lama-kelamaan ahli keluargaku dapat menerima perubahanku. Daripada membenarkan aku untuk berhijrah ke tudung labuh, makanan syubhah dan halal juga dititikberatkan… Alhamdulillah Ya Allah…
Memulakan langkah itu memang perit…
bertatih..jatuh...dan bangun semula…
terasa diri kembara sendirian…
hati sentiasa mengimpikan syurga idaman…
sedangkan diri tak tahan dengan ujian…
kerdilnya diri bila menghitung titisan jernih…
titisan air mata kecewa…
rupanya masih sedikit cinta dan kasih ini dipadu..kepada Tuhan Yang Maha Esa.
Dua, tiga bulan berlalu. Tahun silih berganti. Alhamdulillah, hati aku semakin tenang, kerana aku merasai suatu cinta yang hakiki. “Allah melihat kita. Allah mendengar kita. Allah bersama-sama kita. Allah membantu kita…hamba-hambaNya yang beriman. Yakinlah pada janji Allah, insyaAllah…semua yang berlaku ada hikmahnya, ada makna disebaliknya.” Perubahan demi perubahan aku lalui. Pelbagai ujian dan tohmahan aku terima. Aku melalui zaman persekolahan dengan penuh tabah. Semakin aku cuba berubah, semakin banyak ujian yang menimpa. Aku cuba laluinya dengan tabah. Ayat ke 139, surah ali-Imran sentiasa menjadi peganganku.
"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman." (Ali Imran:139)
Aku semakin mengenal apa itu konsep usrah, dakwah, perasaan manisnya bekerja dalam jemaah Islamiah. Aku juga lebih mengenal apa itu cinta. Cinta aku kepada Allah.., cinta aku kepada Rasulullah, membuatkan aku semakin cinta kepada keluargaku, semakin aku memahami erti persahabatan. Subhanallah, inikah nikmat cintaMu kepadaku? Dengan hanya mendalami perasaan cinta kepadaMu, lantas engkau berikanku perasaan cinta dari semua insan yang berada di sampingku.
Kakiku terasa sejuk, kebas…aku terasa sangat lenguh. Sebuah suara yang membingitkan telinga kedengaran. “Rehatlah Ana…, awak dari tadi tak berhanti study…asyik tersengguk-sengguk. Mahasiswi UKM, Muslimat Power..!!! Student Power…!!!” Pangggg…!!! Ada sesuatu yang terhentak pada kepalaku. “Aduh…mak, sakitnya..aduh, pening… ada buah durian jatuh ke?” “Durian…? ha ha ha…ko jangan loghat sangat! Mana ada durian kat sini. Ni hah…, kamus ko tak susun betul-betul kat rak. Jatuh la dia..,memang padan jatuh atas kepala ko. Aku suruh tido tadi ko tak nak. Okey, once more.. sleep now..!!! Ermm… buah durian yang baru jatuh tu, simpan dulu ya. Esok kita buat cekodok. Ha..ha..ha.. kelakar la ko ni.” Gelak tawa Fiza, teman sebilikku merangkul ‘P.A’. bisa merosakkan gegendang telingaku. “Baiklah sayangku Datin Nur Hafizah Mohd Nor!!!” Sempatku tarik telinganya, sebagai balasan. Deraanku padanya bukan sebagai balasan dendam, tetapi balasan di atas kasih sayang dan nilai persahabatan yang telah dihulurkannya.
Aku membasahi anggota wuduk, lalu sujud menyembah Tuhan. Ku panjatkan kesyukuran, kerana menempatkan aku di bumi intelek ini, sepenuh penghargaan kerana dikurniakan teman-teman yang baik hati. Syukur juga, kerana masih diberi nikmat hidup, yang aku belum pasti sampai bila nikmat itu dikembalikan pada Yang Maha Esa. Hidungku berdarah seusai aku bersolat. ‘Awal pula ‘hingus’ keluar hari ini. Darah yang selalu mengalir di hidungku sudah dianggap bagaikan hingus. Sudah menjadi kebiasaan bagiku melayan karenah hidung ini. Manja!
20 Mei 2011,……
Karnival Kesenian Islam berlangsung buat julung kalinya. Selama ini yang ada cuma konsert-konsert dan program hiburan. Ataupun mungkin program berbentuk Islam, namun hanya sekadar nama. Tahun ini gerakan dakwah di sini semakin ‘agresif’. Bukan agresif sehingga mengganas, tetapi keinginan mahasiswa untuk menikmati kehidupan Islam semakin membara. Berkat usaha majoriti mahasiswa yang inginkan perubahan, maka pentadbiran dirombak. Satu persatu program dakwah dirancang. Semakin sibuk hidupku dengan kerja-kerja dakwah. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku dikurniakan Allah kesibukan yang tidak terhingga ini. Dengan kesibukan dalam gerakan dakwah ini, maka tidak sempat untuk aku membuat perkara-perkara yang membuang masa. Biar berpenat lelah kerana menegakkan Islam, jangan kerana menjatuhkan Islam.
Kepalaku pening sekali lagi. Aku terasa sangat panas. Terik matahari bisa ‘membunuhku’. Mana tidaknya, hujan panas yang keterlaluan boleh membuat ‘hingusku’ keluar berderau-derau. “Ustazah…ustazah… anti okey?” Suatu suara lunak kedengaran samar-samar di telingaku. “Hidung ustazah berdarah…”. Aku tersentap. Aduh, Maluku rasakan. Lantas aku berlari menuju ke tandas. Kedengaran sayup-sayup suara perbualan Ustaz Zaman dan Fiza. “Ustazah Ana sakitkah?” “Tak adalah ustaz, dia memang begitu. Waktu kecil dulu, dia masukkan batu ke dalam hidung. Selepas pembedahan, hidungnya menjadi sangat sensitif. Selalu berdarah ustaz…dalam seminggu 3, 4 kali berdarah. Paling teruk dalam sehari, berdarah 2, 3 kali, tak kira hujan panas.” Fiza menjelaskan kepada Ustaz Zaman. “Dia tak sakitkah? Tak pergi check doktor?” “Dah banyak kali ustaz, sejak kecil lagi. Setiap kali pergi klinik atau hospital, doktor akan check darah. Jawapannya sama, banyakkan rehat, jangan main panas, banyakkan minum air. Baru-baru ini katanya, dah putus asa, sakit selalu kena suntikan jarum. Tapi jangan risau, dia tak ada sakit parah pun ustaz.”
Malam itu aku sakit kepala sekali lagi. Bukan sakit kepala semata-mata, tetapi telinga juga turut berdenyut-denyut. Mana tidaknya, Fiza sedang dilamun asmara. Setiap hari cerita Ustaz Zaman masuk ke telingaku. Cuma pada malam ini aku diselitkan ke dalam kisah cintannya. Kata Fiza, Ustaz Zaman ambil berat padaku. Aku tersentak mendengarnya. Motif…? Aku juga tidak mengerti.
Kakiku terasa sejuk…sangat sejuk. Terdengar tangisan mak…esakan adik. “Ana, jangan tinggalkan mak. Ana…biar mak yang pergi dulu, jangan Ana. Ana masih muda, hidup masih panjang. Bertahanlah Ana…” Air jernih mengalir di pipiku. Sekali lagi kelam pandanganku...
**Bersambung....
0 suara pembaca:
Post a Comment
Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)