Wednesday, November 27, 2013

Kawan Saya :)


Hujan lebat, sangat membantu percambahan idea untuk saya menulis. Alhamdulillah, menyejukkan udara yang masuk ke bilik. Siapa yang tak sukakan hujan? Sedangkan Allah sendiri menggambarkan di dalam firmannya bahawa manusia itu bergembira apabila diturunkan hujan. Hujan modal kegembiraan, juga modal pertambahan nikmat-nikmat kepada sekalian makhluk.

Seiring dengan turunnya hujan, emosi pun sedikit suram dan muram dengan beberapa perkara yang terjadi dua tiga minggu akhir-akhir ini yang seolah merangsang kepada ketidakstabilan emosi. Setelah beberapa perkara mula diselesaikan satu demi satu, muncul lagi yang lain. Itulah kehidupan, tidak akan pernah sunyi daripada cubaan dan ujian, dari pelbagai sudut dan cara. Daripada hal sebegini, saya dapat melihat betapa manusia itu sungguh memerlukan di antara satu sama lain. Tiada manusia yang mampu hidup bersendirian melainkan dia sendiri akan merasa sesuatu yang tidak kena dalam kehidupannya.

Jika melihat dalam aspek hubungan lelaki wanita, terbukti Adam juga memerlukan Hawa. Dalam konteks hubungan sesama keluarga, terbukti si anak memerlukan ibubapanya, dan pasangan suami isteri menginginkan kelahiran cahaya mata. Begitu jugalah dalam hubungan yang lebih umum, samada dalam pelajaran, pekerjaan, persahabatan dan perkenalan secara tidak sengaja. Siapa yang boleh menafi, bahawa kita manusia sangat memerlukan di antara satu sama lain. 

Dan begitu juga bagi saya, insan-insan di sekeliling saya, mereka ada nilaian sentimentalnya pada saya, samada keluarga, kawan sekolah, teman universiti, sahabat jemaah dan yang lain, semuanya ada nilaiannya tersendiri. Walaupun sahabat saya pernah bertanya, apa nilaian dia pada saya, saya mesti tidak tahu untuk menjawabnya, kerana seolah-olah ia hanya saya yang memahaminya dan tidak reti saya ungkapkan dengan perkataan. 

Ulin Nuha (nama rumah sewa saya) baru-baru ini dimaklumkan ada beberapa kekosongan, kerana kedua-dua roomate saya akan check-out bermula awal tahun depan. Ya, semestinya perkara ini sangat memberi kesan kepada saya. Sahabat-sahabat saya, sejak dari dulu, di sekolah, UKM, mahupun sahabat yang lain, banyak memberi pelajaran hidup kepada saya. Dan, kedua-dua yang akan keluar nanti sahabat yang kuat pengaruhnya dalam hidup saya. Saya cakap dengan mereka yang lain, saya sedih jika mereka tiada, tapi mereka anggap saya bergurau. Ah, biarlah.. Asalkan saya faham dan tahu apa yang saya rasa. Kerana saya sahaja yang tahu, apa nilaian mereka di hati saya. 

Kawan, 

Tidak pernah tidak mempengaruhi saya. Semua kawan, ada pengaruhnya pada saya. Mungkin kerana saya jenis mudah dipengaruhi daripada mempengaruhi. Dan alhamdulillah, Allah takdirkan saya dengan kawan-kawan yang baik pengaruhnya pada saya, dan beri saya kekuatan untuk tidak mudah dipengaruhi dengan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan jika ingin Allah redha dengan hubungan yang dibina. Sungguh saya bersyukur, hidup diaturNya dengan baik. Dari sekolah, di maahad, juga kini di universiti, suasana persahabatan yang Allah aturkan, dengan siapa Allah kenalkan, pada siapa Allah alirkan rasa kasih ini, saya tidak pernah sesali. Sekalipun saya bukan yang terbaik, mereka menerima saya untuk menjadi sahabat mereka. Mereka antara sebab siapa saya sekarang. Kawan-kawan saya antara penyebab tingkahlaku saya sekarang. Kawan-kawan saya juga antara sebab cara saya berfikir seperti sekarang. Sampai kekadang saya pernah rasa, apabila terlalu lama pulang ke kampung, saya merasa otak saya tidak bercambah. Kerana saya kurang berbincang isu semasa. Kerana kawan-kawan saya ini, adalah sumber berita saya...:)

Tapi, tak mengapa. Walau ke mana sahabat2 saya pergi, saya tahu mereka pergi untuk kebaikan. Dan semestinya setiap yang bertemu pasti akan ada perpisahannya. Saya pun sudah terbiasa dengannya. Saya redha, kerana walaupun bersendirian, mereka yang beriman pasti akan mengakui bahawa sesungguhnya Allah itu sentiasa ada. Namun sebagai manusia, perasaan itu tidak boleh kita nafikan. Ia adalah lahir secara semulajadi, tindakbalas kepada rasa kasih dan sayang yang wujud untuk satu perhubungan yang mengharapkan cinta kepadaNya.

Untuk sahabat2 saya yang sudahpun kejauhan, doa saya buat kalian yang saya kasihi moga Allah lancarkan segala perancangan dan urusan. Juga untuk yang bakal meninggalkan, saya doakan yang terbaik akan menyusul untuk segala perancangan dan kehidupan kalian. Pergi untuk kebaikan. InsyaAllah... :)

Adios amigos, fi amanillah!!
Wassalam...



2 comments:

  1. dan bersabarlah. Moga kemanisan menjadi ingatan dan diabadikan dalam doa yang tidak putus
    Ukhuwwah fillah..

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)