Tuesday, March 20, 2012

Ghairah Mengejar Hidayah

Hidayah adalah milik mutlak Allah SWT. Akhir-akhir ini kita banyak didedahkan dengan pelbagai penghijrahan individu-individu muslim ke arah kebaikan dari pelbagai jenis kelompok masyarakat. Artis, pelajar, masyarakat awam dan sebagainya. Sungguh, saya bahagia dan berbunga-bunga hati melihat perubahan mereka. Timbul persoalan di hati, apakah faktor yang menyumbang kepada perubahan mereka ini? Penghijrahan yang amat menyejukkan setiap hati yang melihat.

Apakah pandangan sahabat? Pendapat kalian, apakah faktor utama yang mendorong kepada perubahan mereka?

Ibu bapa?

Anak?

Kawan-kawan?

Masyarakat sekeliling?

Ustaz atau ustazah?

Atau….

Diri sendiri?
*********************

Saya memulangkan jawapannya pada hati sahabat-sahabat. Hanya kalian yang memahami jiwa dan hati sendiri. Namun, jawapan dari pihak saya adalah diri sendiri. Bagi saya, diri sendirilah yang menjadi faktor dan pemangkin yang kuat kepada penghijrahan dan perubahan setiap insan. Kita seringkali membaca kalam Allah SWT yang berkisar tentang ikhtiar dan qudrah atau kemampuan untuk berubah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap manusia yang akan digunakan untuk merubah diri sendiri ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Allah memberikan manusia pilihan untuk membuat keputusan di antara hidayah atau sesat, dan Allah SWT tidak akan mengubah nasib mereka sehinggalah mereka sendiri berkeinginan untuk mengubahnya. Dan jika mereka tidak ingin cenderung membawa diri ke arah kebaikan, maka selayaknya untuk Allah SWT menurunkan siksa dan bencana ke atas mereka tanpa ada siapapun untuk menolong.

            Jom kita telusuri dari hati yang suci, firman Allah SWT dalam Surah al-Ra’d ayat 11, maksudnya :

Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Sahabat-sahabat yang saya sayangi kerana Allah,

Lalu apakah lagi alasan kita untuk tidak mahu merubah diri ke arah kebaikan? Apakah lagi alasan yang ingin kita kemukakan di hadapan Allah SWT kelak? Adakah kita ingin menyalahkan Allah di atas dosa dan kesalahan yang dipilih sendiri oleh kita? Marilah sahabat-sahabat, berhijrahlah kita semua ke arah kebaikan. Masuklah ke dalam Islam secara sepenuhnya.

Mungkin nanti akan ada yang berkata…

“Aku dah banyak sangat melakukan dosa, tak layak untuk bertaubat”

“Mahukah Allah mengampuni aku? Terlalu banyak dah dosa yang aku lakukan..”

“Aku belum bersedia untuk berubah”

“Urm…nanti-nantilah bertaubat..”

Dan sebagainya…

Sahabatku….

Pasti setiap manusia itu melakukan kesalahan, namun setiap yang pernah berdosa, apabila mereka mula menyedari kesilapannya dan memohon keampunan kepada Allah serta berhijrah kepada kebaikan, sesungguhnya tidak akan sia-sia penghijrahan itu, kerana Allah SWT telah menjanjikan kepada kita, dengarkanlah kata-kata Allah yang mulia, dalam Surah Ali Imran, ayat 135 yang bermaksud:

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan Yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang Yang beramal.”

Maka, masihkan lagi kita ingin bertangguh-tangguh untuk melakukan kebaikan? Masihkah kita ingin berlengah untuk membawa perubahan diri agar lebih dekat kepada Allah? Marilah sahabat-sahabat…jangan pernah bertangguh ketika hati disuntik rasa ingin berubah kepada kebaikan, kerana kita belum pasti, apakah ada lagi suntikan kali kedua untuk kita. Bersegeralah dalam mengejar kebaikan, kerana kita juga tidak pernah dan tidak akan dapat menjangka bilakah masanya Allah akan mengambil nyawa kita. Maka ketika nyawa telah sampai di kerongkong, tiadalah gunanya lagi keinginan untuk melakukan kebaikan. Tiada gunanya lagi untuk kita bertaubat. Allah…berilah kami kesempatan masa itu.

Ingin saya kongsikan di sini, saya sangat mengagumi sifat Wardina. Bukan kerana kecantikan rupa parasnya, bukan kerana popularitinya, tapi saya mencintainya kerana keghairahannya mengejar hidayah Allah, kerana keghairahannya mencari ilmu, kerana kecantikan budi pekertinya. Maklum mengenali siapa Wardina sebelum ini, namun siapa sangka beliau akan menjadi seperti sekarang. Adakah dia menemui hidayah itu dengan hanya bercekak pinggang, lalu hidayah turun menyapa hati?

Tidak sahabat. Hidayah itu hadir ketika mana hatinya terusik di hadapan Ka’abah. Ia hadir ketika beliau mula membuka hatinya untuk menerima kebenaran. Allahu Rabbi. Siapalah yang memegang hati ini, melainkan Allah jualah yang menguasainya, dan Dia jualah yang mencampakkan hidayah ke dalam hati ini untuk berubah ke arah kebaikan. Hinggalah kini, kita melihat Wardina jauh berbeza dengan dirinya yang sebelumnya. Siapakah yang menjadi penguat hatinya? Al-Quran. Siapakah yang diletakkan sepenuh pergantungan? Allah. Apakah yang membuatkan hatinya sentiasa tenang dan tabah dalam menerima segala ujian? Pengharapan terhadap cinta dan redha Ilahi ke atasnya.

Allahu Akbar! Benarlah kata-kata yang selama ini saya dengar. Mereka yang dahulunya jahil, apabila diberikan hidayah oleh Allah Ta’ala akan menjadi lebih baik dan mulia kerana kesedarannya terhadap dosa-dosanya yang lalu. Lalu, apakah kita masih ingin tunduk menghinakan diri dan terus-menerus dalam kejahilan, walhal wujud di sekeliling kita pintu-pintu untuk mengecapi hidayah? Berubahlah untuk kebaikan. Bukan hanya demi kebaikan diri, malah berubahlah demi Allah, nescaya bukan hanya dirimu yang akan terpelihara, malah ia akan memberi tempias keberkatannya kepada orang disekeliling sebagaimana yang berlaku pada Wardina. Sungguh saya kagumi beliau dan mendoakan beliau dikekalkan di dalam hidayah hingga ke akhirnya.

Berhijrahlah wahai diri kepada redha Allah dan berdoalah….moga kita sentiasa berada di dalam hidayah.

"Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".


"Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam keimanan dan agamamu, serta tetapkanlah kami dalan ketaatan kepadamu."

Wallahu a’lam…

                                

[Artikel ini khusus saya tujukan kepada diri sendiri. Moga dapat juga memberikan ketukan iman di hati sahabat-sahabat yang membaca. Insya-Allah]



0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)