Monday, February 13, 2012

:: Yang Memimpin Itulah Pemimpin ::


Lama rasanya meninggalkan blog ini tidak ter-update. Dalam kesibukan di dalam satu program tarbiyah dan kepimpinan, saya mengambil kesempatan menunggu agenda seterusnya untuk berkongsi sedikit cerita di pagi ini (10hb Feb - dalam menunggu untuk pulang ke Bangi).

Hampir empat hari berada di sini, di dalam program pentarbiyahan, banyak perkara yang saya belajar dan perolehi. Khasnya dalam bab kepimpinan. Sesungguhnya kepimpinan ini bukanlah satu perkara yang ringan dan boleh diambil sambil lewa. Kepimpinan adalah satu perkara yang sangat penting hinggakan banyak firman Allah SWT yang memandu manusia tentang kepimpinan dan pemimpin samada dalam bentuk ayat yang jelas ataupun berkias dan mempunyai maksud lain di sebaliknya.


Kita boleh dapati, dalam sirah nabawiyyah sekalipun, ketikamana baginda Nabi Muhammad SAW melepaskan nafas baginda yang terakhir, para sahabat r.anhum tidak terus menguruskan jenazah baginda, namun mereka beransur untuk membincangkan masalah kepimpinan Negara Islam pada ketika itu tentang siapa yang akan menggantikan Nabi SAW sebagai pemimpin. Jelas di lihat di sini, isu kepimpinan lebih lagi didahulukan oleh para sahabat ketika itu berbanding menguruskan jenazah baginda yang mana maklum kita ketahui bahawa, pengurusan jenazah juga termasuk dalam perkara yang perlu disegerakan. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa alihi wasallim..

Maka, kita dapat lihat di sini bahawa, kepimpinan bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan atau diabaikan. Bermula dari fasa melantik pemimpin, melatih pemimpin menjadi pemimpin berkualiti, hinggalah kepada fasa melaksanakan amanah kepimpinan, semuanya dipandang serius dan penting dalam Islam. Sepertimana dapat kita telusuri kisah dalam al-Quran berkenaan cara pentarbiyah Allah SWT kepada Nabi Yusuf a.s dari mula baginda mendapat mimpi, dibuang oleh saudara-saudaranya ke dalam perigi yang merupakan fitnah dalaman baginya, dijadikan hamba oleh al-Aziz dan difitnah oleh permaisuri al-Aziz yang ingin menggodanya, dan akhirnya dipenjarakan dan dikurnikan kelebihan menafsir mimpi, hingga beliau dibebaskan oleh pemerintah pada ketika itu dalam keadaan beliau telah dibuktikan tidak bersalah, dan akhirnya menjadi seorang pemimpin atau menteri kewangan pada ketika itu.

From zero to hero. Itulah yang dapat diamati daripada kisah Nabi Yusuf a.s ini dengan memahami bagaimana tarbiyah yang Allah berikan kepada baginda daripada seorang yang tidak memiliki apa-apa sehinggalah menjadi seorang pemimpin yang disegani. Hebatlah baginda kerana mendapat pentarbiyahan langsung daripada Allah SWT. Namun, hebat juga sahabat-sahabat yang telah dipilih untuk menerajui mana-mana saff kepimpinan khasnya kepimpinan dalam persatuan atau jemaah Islam. Ini kerana anda bukanlah calang-calang manusia yang telah dipilih oleh Allah SWT daripada beratus-ratus sahabat yang lain yang juga sama-sama terkehadapan dalam perjuangan.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (An-Nisa':58)



Satu peringatan daripada saya khas buat diri sendiri yang juga tidak lepas dengan pelbagai tanggungjawab dan amanah, sesungguhnya amanah ini bukanlah suatu perkara yang ringan dan boleh diringan-ringankan. Jika tidak, pasti seluruh alam tidak menolak untuk memikulnya, namun maklum mengetahui bahawa gunung-ganang dan alam menolak untuk memikul amanah ini kerana terlalu beratnya dan takutnya mereka, dan manusia menerimanya untuk dipertanggungjawabkan. Namun bukanlah maksud saya di sini untuk membuatkan anda menolak terus amanah yang diberikan, tapi maksud saya di sini, redhalah dengan amanah ini dan laksanakanlah dengan sebagik mungkin serta jadikanlah peringatan-peringatan dari Allah tentang tanggungjawab menjaga amanah ini sebagai satu guideline supaya kita tidak tersasar dan tanpa sedar mengabaikannya.


Amanah atau kuasa dalam kepimpinan bukanlah satu kemuliaan, akan tetapi ia akan menjadi satu kejian dan kesusahan bagi kita jika kita tidak melaksanakannya dan menunaikannya dengan baik dan penuh integriti. Kesusahan dan kejian di dunia dan akhirat bagi yang meremeh-remehkannya, dan menjadi satu kemuliaan dan kebaikan baginya jika dia melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran.

Saya mengucapkan selamat berjuang kepada semua sahabat-sahabat dan khasnya kepada sesiapa jua yang menjadi bakal-bakal pemimpin pada masa akan datang, semoga sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Segala yang terbaik Allah sediakan untuk Islam, maka anda dipilih untuk menerajui kepimpinan gerakan Islam, maka anda pastinya adalah yang terbaik, dan rancanglah yang terbaik untuk Islam. Moga kita diberikan kesempatan oleh Allah untuk melihat kejayaan Islam di bumi Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya. Amin..

Saya menutup artikel ini dengan satu kata-kata yang sering saya dengar berkenaan kepimpinan ini :
خير الأمير خادمهم
“ Sebaik-baik pemimpin adalah khadam mereka “

Waallahu a’lam..


0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)