Monday, January 30, 2012

Baitul Muslim, Baitul Dakwah


Sepanjang penelitian saya melalui FB, Blog dan medium yang lain dalam beberapa tempoh masa terdekat ini, saya banyak memerhatikan bahawa kecenderungan kepada perkongsian cerita cinta islamik, kisah romantik, soal-jawab berkenaan jodoh dan  banyak lagi perkara-perkara yang bersekitar dengan permasalahan Baitul Muslim atau pembinaan rumah tangga bagi yang tidak mengetahui apa itu Baitul Muslim.

Saya bertanya kepada sahabat-sahabat saya, kenapa ianya jadi begitu, lalu mereka mengatakan : “Musim la ni agaknya.” Dan saya juga tidak terlepas ketika duduk-duduk atau makan bersama sahabat, pernah juga sedikit sebanyak kami berbicara tentang Baitul Muslim ini. Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini, bukanlah mengenai saya, kisah sahabat saya atau sebagainya. Cuma, sengaja ketika saya membaca buku Manhaj Daurah Tadribiyyah, ada tajuk yang mengupas berkenaan Baitul Muslim ini.

Dalam marhalah yang digariskan oleh Yusuf al-Qardhawi pun, sepertimana seorang ustaz pernah berbicara dalam satu program, untuk mengamalkan syariat Islam secara penuh hingga membentuk kepada satu pemerintahan Islam, ada 5 marhalah yang perlu dilalui:

1.    Mengislah diri sendiri atau membentuk individu Muslim (Fardun Muslim)
2.    Membentuk rumahtangga Islam (Takwin Baitul Muslim)
3.    Membentuk masyarakat yang memahami Islam (Takwin Mujtama’ Islam)
4.    Mendirikan daulah Islamiyah
5.    Akhirnya mewujudkan kembali Khilafah Ismaiyah

Ternyata dalam marhalah ini pun, ditekankan soal Baitul Muslim, menunjukkan peri-pentingnya berusaha membina sebuah rumahtangga Islam yang di dalamnya dapat melahirkan anak-anak yang memahami Islam dan akhirnya membentuk para mujahid agama sehinggalah dapat direalisasikan satu pemerintahan Islam di muka bumi Allah ini.
Ianya tidak langsung menjadi satu kesalahan untuk berfikir dan merancang ke arah baitul muslim ini, kerana ia juga merupakan sebahagian daripada sunnah Rasul Tercinta Muhammad SAW, sebagaimana sabda baginda:

النكاح سنتي فمن لم يعمل بسنتي فليس مني
“Bernikah adalah sunnahku, barangsiapa yang tidak beramal dengan sunnahku, maka bukanlah dari kalanganku.”

Namun pandulah keinginan itu dengan iman kerana ia akan menjadi satu kesalahan apabila persoalan baitul muslim ini dijadikan bahan gurauan atau disalahguna, sepertimana yang banyak berlaku pada masa kini. Menganggap perjanjian untuk membina rumahtangga sebagai satu tiket halal untuk melakukan tindakan salah, mendirikan rumahtangga atas dasar nafsu semata-mata dan lain-lain lagi.

Al-Quran dijadikan panduan...

Maka, sesiapa yang berkeinginan untuk membina rumahtangga muslim, saya amat menggalakkan untuk berbuat demikian, namun satu perkara ingin saya tekankan kepada yang berkenaan, untuk menyedari betapa niat mulia ini perlu disertai dengan satu matlamat yang lebih mulia, iaitu untuk membantu Islam tertegak di bumi ini dengan semegahnya. Sediakan diri anda untuk menginfakkan keluarga anda untuk Islam. Jangan hanya pada permulaan, bercita-cita mulia, namun berazamlah untuk istiqamah hingga ke akhirnya. Tetapkanlah azam hingga anda mampu menginfakkan jiwa raga dan anak-anak anda untuk jalan perjuangan ini. Kerana inilah matlamat pembinaan baitul muslim yang sebenar yang akan membawa kepada pembentukan mujtama’ muslim.

Ini kerana, kita sebagai seorang muslim harus sedar, dalam apa jua tindakan kita di dunia ini, pasti tidak akan lari daripada matlamat penciptaan kita sebagai makhluk kepada al-Khaliq,sebagaimana firman Allah SWT:

$tBur àMø)n=yz £`Ågø:$# }§RM}$#ur žwÎ) Èbrßç7÷èuÏ9 ÇÎÏÈ
“Dan (ingatlah), tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaku.”
(AQ:Al-Dzariyat:56)

Menyedari perkara ini, pasti anda semua dapat melihat apa yang menjadi punca kepada berjayanya sesebuah Baitul Muslim itu, iaitu dengan bermulanya proses pemilihan pasangan hidup. Pastinya pemilihan itu perlu dilakukan dengan penelitian yang serius, bukan dipermudahkan sehingga membawa mudharat dalam baitul muslim yang ingin dibina. Antara perkara yang telah dipandu oleh Rasulullah SAW dalam proses memilih pasangan samada bagi lelaki atau perempuan, sabda baginda:

من نكح المرأة لمالها حرم الله مالها وجمالها, ومن نكخ لدينها رزقه الله مالها وجمالها
“Sesiapa mengahwini seseorang perempuan kerana hartanya dan rupanya yang cantik nescaya Allah menghapuskan hartanya dan kecantikannya, dan barangsiapa yang mengahwini kerana agamanya nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya dengan harta dan kecantikan.”

Jelas di sini, baginda SAW menyuruh untuk mendahulukan pada nilaian agamanya berbanding nilaian dunia (kecantikan dan kekayaan). Ini kerana agama itulah yang akan memandu baitul muslim ke arah pembinaan individu muslim yang berjaya. Agama yang mengatasi nafsu. Namun begitu, ingatlah, dalam mencari yang terbaik, tidak boleh lari daripada diri kita juga yang perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam mengamalkan agamanya. Mudah-mudahan Allah memberikan jua yang terbaik buat mereka yang sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik. Moga Baitul Muslim yang dibina akhirnya akan menjadi Baitul Dakwah yang bakal meramaikan pembantu agama Allah. Sekian.

~Baitul Dakwah Memperkasa Ummah~


4 comments:

  1. baitul muslim...
    mengharapkan ikatan yang bakal dibina di pelihara ALLAH selama2nya hingga syurga...
    nak yang terbaik bermula dari diri...
    insyaALLAH ALLAH itu Maha adil kepada muslim yang menjaga keadilanNYA...

    ReplyDelete
  2. Allahurabbi..fardu muslim kena perbaiki betul2 ni..baru boleh pindah ke baitul muslim..huhu..

    ReplyDelete
  3. Wanita Cahaya: Mudah2an Allah memeliharamu.. (^_^)

    Kak Hamiza: Betul2x...tapi jangan terlalu inginkan kesempurnaan, kerana yang kurang itu akan disempurnakan oleh yang telah ditakdirkan..:)

    ReplyDelete
  4. Setuju! Ikut marhalah yang utama secara berperingkat, rela mendidik jiwa sendiri agar berjiwa pendidik yang baik kepada keluarga sendiri.

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)