Thursday, July 12, 2012

Mutiara Konvensyen Fiqh -1.0-



Berkurun lama ‘diary’ saya ni dibiarkan tidak berpenghuni. Mungkin disebabkan beberapa perkara yang disibukkan akhir-akhir ini membuatkan saya tidak sempat mencoretkan sebarang perkongsian walaupun banyak idea dan perkara yang ingin saya tulis. Namun, apa yang ingin saya kongsi pada entry kali ini, merupakan satu pengalaman yang saya tersangat rasa ingin dikongsikan kepada pembaca yang rajin untuk membaca. Khas buat anda.

Moga bermanfaat.


Konvensyen Fiqh Ummah 2012

Buku Koleksi Kertas Kerja K.Fiqh
Kepada yang mengikuti facebook saya, tentu mengetahui bahawa saya akhirnya berkesempatan menghadiri K.Fiqh di UTM Skudai pada 7hb dan 8hb Julai baru-baru ini. Sungguh, langsung saya tidak nafikan bahawa saya tiada komen negatif terhadap program dan pengisian yang diberikan. Saya sangat berpuas hati dan berat hati untuk mengakhiri program ini.

Tiada yang lain, hanyalah ilmu, ilmu dan ilmu serta kerahmatan dan barakah serta ketenangan hati yang saya dapat di dalam majlis ini. Inilah antara majlis-majlis ilmu yang disabdakan oleh baginda Nabi SAW sebagai taman-taman syurga di dunia. Tidak kira siapa jua yang menghadirinya, pasti doa malaikat akan mengiringinya.

Saya doakan Allah merahmati dan mengampuni pengajur program dan setiap yang terlibat dalam menjayakannya, kerana dengan usaha mereka inilah, ramai insan yang mendapat pencerahan tentang konsep-konsep dalam Islam, khususnya wasathiyyah dalam mengamalkan Islam yang menjadi tema pada kovensyen kali ini.

Pertemuan yang Indah

Barisan asatizah ketika sesi soal jawab
Kami bertemu dengan para asatizah (para ustaz) yang hebat dan mantap ilmunya. Mereka yang hadir ialah Dr. Zaharuddin, Ust. Abdul Basit, Ust Zulkifli al-Bakri, Ust Zahazan, Ust Zamri Mantop, Ust. Roslam, Ust. Sukki, Ust Nidzam, Ust. Syed Norhisyam, Dr. Mazlee, Ust. Ramadhan Fitri, Ust Wifaq, Ust. Fauwaz, Ust. Husni, IM Asyraf, Ust. Abdullah Bukhari, Ust. Aizam, Ust. Izhar Ariff, Ust. Khairuddin Takiri, dan Xifu Naser rahmatullahi ‘alaihim wabarakatuh. Kesemuanya 20 orang. Melihat mereka duduk dalam satu barisan, saya merasai seolah-olah berada dalam majlis ilmuan para Masyaikh Azhari. Walaupun mempunyai ilmu yang tinggi, masing-masing mempunyai kerendahan hati dan sentiasa tawadhu’ dalam menyampaikan ilmunya.             

         Di K.Fiqh ini juga, saya berkesempatan berjumpa dengan ustazah-ustazah Maahad Johor yang sungguh saya rindui suasana bersama dengan mereka. Moga Allah jua turut merahmati mereka, guru-guruku.

Xifu Naser dan J-Sze di Sesi Konsultasi
           Sesi pertama sahaja, apabila berbicara soal ‘Wasathiyyah Dalam Berdakwah’ telah hampir-hampir membuatkan saya menitiskan air mata, mengenangkan diri yang sudah hampir 3 tahun bergerak kerja dalam dunia dakwah secara ‘rasminya’, namun seorang non-muslim pun tidak berjaya saya gerakkan hatinya untuk memeluk Islam, atau cenderung dan berminat kepada Islam. Sungguh, saya dikalahkan oleh saudara-saudara baru yang setahun dua menjadi muslim, namun berjaya menarik beberapa non-muslim yang lain mendalami Islam. Penyampaian daripada Xifu Naser yang telah menjadi muslim beberapa tahun yang lalu, dalam K.Fiqh kali ini beliau hadirkan juga seorang Free-Thinker; J-Sze yang digolongkan sebagai ‘Golongan Abi Talib dan Raja Najashi’ yang mempertahankan Islam daripada serangan-serangan negatif, walaupun mereka belum lagi menganut Islam. (Sama-samalah doakan beliau menjadi muslimah). Sesi perkongsian ini sangat-sangat memberatkan hati saya. Bukan kerana tidak suka, namun kerana timbulnya penyesalan dan kekecewaan dengan diri sendiri dengan hasil dakwah yang dilakukan. Saya bermuhasabah.

                Selain itu, kami juga diberi penjelasan agar dapat mengubah pendekatan dakwah kini yang sudah tidak sesuai dengan waqi’ (keadaan) masyarakat sekarang. Dan seorang pendakwah, jangan hanya bercakap soal hukum (syariah) yang mempunyai pelbagai khilaf dan pendapat, kerana ia akan mengelirukan non-muslim dan dianggap susah oleh golongan muslim yang masih kurang ilmunya. Namun, da’ie (pendakwah) itu digalakkan untuk bercakap soal akhlak, akidah kerana pada perkara ini, tiada khilaf padanya. Jangan hanya bijak menuding jari dan mengeluarkan hukum dan menyesat serta membid’ahkan, akan tetapi amalkanlah akhlak yang baik dan sempurna dengan mencontohi Nabi SAW, pasti ramai yang akan tertarik dengan Islam kerananya.

                Dalam memahami metodologi dakwah, ramai akan maklum tentang berhikmah ketika berdakwah. Namun, tanpa sedar, ramai yang salah anggap mengatakan hikmah itu adalah berlemah-lembut dalam berdakwah. Salah, anggapan ini salah sama sekali. Kerana hikmah ini menurut Sayyid Qutb ialah kemampuan seseorang pendakwah memerhati realiti setiap sasaran dakwah dan keadaan meraka, lalu menyampaikannya dengan cara yang PALING SESUAI. Ya, dengan cara yang paling sesuai, jika perlu dengan kaedah berkeras, maka berkeraslah, jika dengan cara memujuk, maka pujuklah. Bukan menggunakan pujukan pada semua situasi.

                Dan yang paling penting, senyumlah, kerana senyuman itu bukan hanya memberikan pahala kerana memaniskan wajah, namun ia juga mampu menarik seseorang kepada nilai baik, dan persepsi yang baik.

                Banyak sekali jika ingin dikongsikan. Mengupas tentang dakwah sahaja sudah hampir separuh entry. Pasti tidak mampu saya kongsikan segalanya di sini. Tapi, saya akan cuba berkongsi mana-mana yang penting. InsyaAllah, dengan sambungan pada entry  yang lain, saya akan berkongsi dalam banyak lagi isi-isi pengisian Wasathiyyah dalam Akidah, Politik, Ekonomi, Kewangan, Menggunakan Turath, Tasawuf, Ibadah, Pengajian Al-Quran dan Wasathiyyah dalam Gaya Hidup. Doakan saya mampu, dan masih diberikan kesempatan untuk berkongsi.

Sesi Konsultasi Bersama Asatizah

Satu lagi perkara menarik yang ada dalam K.Fiqh ini ialah sesi konsultasi dan sesi soal jawab secara individu bersama para asatizah. Saya dan sahabat berkesempatan menerima nasihat dan pandangan daripada Ust Ramadhan Fitri berkenaan perancangan masa depan, dan sedikit kata-kata semangat daripadanya untuk meneruskan impian dan merancang masa depan.

Kata-kata beliau, yang pernah saya kongsikan di facebook, memberi suntikan semangat yang hebat pada saya. Mencerahkan impian dan perjalanan serta rancangan masa depan saya. Kata-kata beliau sungguh memotivasikan. Dan juga kata-kata daripada Dr. Mazlee Malik (rupanya salah seorang pelajar Maahad Johor) yang kami dengari secara tidak sengaja, namun sungguh bermutiara ialah: “Keluar dari zon selesa, dan lakukan sesuatu yang anda rasa tidak mampu untuk dilakukan.” Hebat! Kerana itu beliau menjadi orang hebat!

       
Sesi Konsultasi; IM Asyraf
Antara Ustaz yang tawadhu' dan faqih; Ust Zahazan
Seorang ibu mengajukan permasalahan kpd Ust Syed
Setakat ini sahaja untuk perkongsian kali ini. Maaf, kerana agak panjang. Moga ianya bermanfaat, saya doakan anda dengan kesejahteraan, anda doakan pula saya ya, agar dipermudahkan urusan dan menjadi insan yang bermanfaat untuk Islam... =)

Sekian, Wallahu a’lam.


2 comments:

  1. Sangat beruntung. Iri hati dengan peluang yang us dapat. Moga dapat dimanfaatkan untuk ummah..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, berjaya juga membuat orang cemburu dgn majlis ilmu ni. Ana akan ckp pd org yg cemburu, utk dftr Konvensyen Fiqh Politik Semasa utk Sept ni. Mg dpt rebut peluang. Dan dmnfaatkn utk ummah dn jemaah.

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)