Tuesday, February 16, 2016

Indahnya Surah Ar-Rahman

....بسم الله الرحمن الرحيم....

Sabtu lepas saya berkesempatan dan direzekikan Tuhan untuk menghadiri sebuah seminar yang saya tidak berfikir dua kali untuk mendaftar setelah melihat promosi di fb...

Seminar Ibrah Surah Ar-Rahman (ISAR) 2016 bertempat di UKM.


Seolah memahami kehausan untuk terus mendalami Ibrah melalui perantaraan Al-Ustaz Syaari Ab. Rahman, seminar yang bertempat di UKM amat mesra dan dekat untuk saya mengurangkan kehausan terhadap Ibrah Al-Quran... Dan, tentunya tidak dapat dinafikan lagi seminar tersebut sangat memuaskan hati!

Alhamdulillah...

Ikutkan, terlalu banyak yang ingin saya kongsikan, tapi kalau terlalu panjang, boleh jadi malas pulak orang nak baca, dan tak capai maksud. Jadi saya cuba kongsikan secara ringkas tapi padat berkaitan apa yang saya dapat daripada seminar tersebut, supaya ilmu berterusan memberi manfaat kepada yang lain.

Dan ia juga satu 'aku janji' saya kepada diri sendiri selesai habisnya seminar tempoh hari.. Moga ada manfaatnya untuk yang tak berkesempatan hadir...

::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Surah Ar-Rahman...

Satu-satunya surah yang bersandar pada nama Tuhan Yang Maha Pengasih. The Beneficient. Menyebut sahaja Ar-Rahman, golongan Arab terus menangkap maknanya yang Maha Hebat Kasih SayangNya, yang terlampau kasih, yang terlajak cinta...

Namun bagi kita, di Tanah Melayu yang agak asing dengan keindahan seni kata Bahasa Arab, hanya melihat ia sebagai salah satu nama Allah Yang Maha Pengasih... berbekas kepada yang memahami, hanya sekadar lalu kepada yang tidak menghayati...

Bukan kerana tidak ingin menghayati, tapi kerana kita tidak memahami selok belok seni Bahasa Arab...

Dan, pada Surah Ar-Rahman ada ayat yang sangat pelik jika dilihat. Diulang-ulang sehingga 31 kali dalam surah yang hanya mengambil lebih kurang 3 ruang muka surat.. Pada surah yang hanya mempunyai 78 ayat, pada surah yang hanya mempunyai ayat yang ringkas dan padat, apa sebenarnya yang Allah ingin sampaikan kepada pembacanya?

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Apa yang ada pada ayat ini sebenarnya? Dan apa yang ada pada surah ini pada hakikatnya? Ketika kita membaca, kita terasa seolah ayat ini mengganggu dengan pengulangan yang banyak? Apakah Allah sengaja mengulang-ulang tanpa sebab?

Maha Suci Allah, daripada perbuatan yang sia-sia...
InsyaAllah, saya cuba kongsikan sedikit apa sebenarnya motif/tujuan Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Pengasih dalam surah ini.

Diriwayatkan dalam sebuah hadith sahih (maaf saya tidak ingat riwayatnya) bahawa ketika Nabi saw membacakan ayat ini kepada para sahabat, dan para sahabat duduk diam khusyuk mendengarnya, Rasulullah mengatakan sebagaimana bermaksud bahawa respon golongan jin lebih baik daripada kalian. Ketika dibacakan ayat di atas serta pada setiap kali ayat tersebut dibacakan, golongan jin menjawab, tidak kami mendustakan nikmat tersebut (لا نكذب)...

*****************************************
Permulaannya, untuk memahami, dari awal hingga akhir surah ini disasarkan secara konsisten kepada dua kumpulan, iaitu manusia dan jin yang mana hanya dua kumpulan makhluk ini saja yang diberikan pilihan oleh Allah untuk beriman atau pun kufur.

******************************************

Secara keseluruhannya, Surah Ar-Rahman dapat dibahagikan kepada 5 bahagian/fasa untuk lebih mudah difahami dan diekstrak ibrahnya.

1- Kehebatan Al-Quran

2- Penciptaan Alam

3- Alam Ghaib, Mahsyar, Neraka

4- Syurga Pertama (VIP)

5. Syurga Kedua (VVIP)

Jika ingin menceritakan berkaitan kesemua point tersebut, post ini bakal menjelar dan mengundang keletihan mata bagi yg tidak larat nak membaca dan ketegangan jari tangan bagi yang menaip...😅😅 Jadi, untuk post kali ini, saya akan menerangkan secara ringkas. Dan insyaAllah, jika Tuhan memberi izin, saya akan berkongsi setiap point di atas secara lebih dekat dalam post yang lain.

Surah Arrahman menegaskan bahawa, tanda pengasihnya Allah dan tanda hamba itu dikasihi oleh Allah adalah Dia mengajarkan padanya Al-Quran (علّم القرءان) dan diberikan ilmu untuk menerangkan Al-Quran dan ilmu-ilmu berkaitan bayan iaitu skill membawa manusia kepada syukur dan Al-Quran (علّمه البيان).

Ringkasnya, surah Arrahman ini merupakan gambaran betapa Rahman-nya Allah, yang memiliki kalam Al-Quran ini ketika mana Dia menggambarkan alam dan syurga dalam nada memujuk agar hambaNya tidak leka dan menyedari nikmat yang dikurniakan.

Gambaran alam tersebut Allah berikan dengan sangat detail. Amatilah ketika Allah menyebut bekaitan buah-buahan, pepohon dan bijian, alam semesta, laut dan langit. Allah menggambarkan juga dedaunnya, harumannya, warnanya dan sedetail maklumat seperti mutiara yg terhasil dari pertembungan laut dan sungai. Namun, Allah tak lupa membawa kita kembali bahawa segala nikmat dan kehebatan tersebut akan binasa dan hanya Dia Yang Abadi selamanya..

Selain itu, antara tanda kasih sayang Allah yang melampau kepada hambaNya, turut dizahirkan pada surah ini ketika mana Allah hanya menyentuh dua ayat sahaja berkaitan neraka, manakala lebih dari 10 ayat Allah menggambarkan indahnya syurga dan apa yang dilakukan oleh ahli syurga. Bukan satu syurga, Dua Syurga, malahan ditambah lagi dengan gambaran Dua Lagi Syurga kepada hambaNya dengan syarat takut kepada Tuhannya!

وَلِمَن خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ جَنَّتَانِ atau ia menjadi hashtag program kami #walimankhafamaqamrabbihi. Iaitu, kepada mereka yang tahut kepada Tuhannya diberikan dua syurga. Malahan, Allah menceritakan gambaran syurga itu tidak jauh dari apa yang kita telah pun tergambar di dunia ini. Menandakan bahawa Allah sungguh2 ingin memastikan hambaNya mempunyai gambaran berkaitan syurga, dan bukanlah syurga itu sesuatu yang tiada langsung gambarannya (walau pun hakikatnya gambaran kita tidak mencapai realiti sebenar syurga).

Point di sini dapat kita ambil adalah sepatutnya, tafakkur kita kepada alam, permusafiran kita serta pemerhatian kita kepada setiap sisi alam ini, membawa kita kepada gambaran indahnya bahasa dan gambaran syurga. Kerana, alam yang digambarkan ini, sifat2nya turut digambarkan namun dengan gambaran yang jauh lebih indah di syurga nanti.

Ini tidak lain tidak bukan, Allah terlalu sangat menginginkan hambaNya masuk ke syurga. Craving for paradise and desperate for it dengan gambaran2 yang Dia terangkan. Dan, juga di antara tanda Rahman-nya Arrahman ini, dia menciptakan akhirat supaya kita boleh menikmati syurga selama-lamanya tanpa jemu dan letih.

Subnallah! 

Maka, manakah nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan??

Lalu, apabila menyentuh berkaitan ayat yang sering diulang-ulang dalam surah istimewa ini, apakah sebenarnya mesej yang ingin Allah sampaikan kepada kita yang membaca?

Gambaran mudah, surah sebelum Arrahman; Surah Al-Qamar adalah surah semalam, surah selepasnya iaitu Surah Al-Waqiah adalah surah hari esok. Maka, surah Al-Rahman adalah surah hari ini. Apa yang ingin ditekankan dalam surah ini setelah Allah menceritakan berkaitan sejarah kejadian kita di masa lampau, keadaan dan neraka dan syurga sebagai gambaran masa depan, Allah secara konsistennya membawa kita untuk kembali semula kepada hari ini.

Pergilah ke alam masa depan, masa lampau, tapi jangan lupa untuk patah balik pada hari ini, iaitu bersyukur ke atas nikmat Allah berikan dengan belajar Al-Quran. Dan belajar bayan iaitu mampu mengajak manusia untuk bersyukur kepada nikmat Tuhan dan mempelajari Al-Quran.

Berapa kali sudah Allah menyentak untuk kita kembali dan berbuat sesuatu. Do something! Pd setiap kali penegasan yang disebut dalam surah ini, Allah minta kita reflek dan buat sesuatu! Tapi, tidakkah kita sedar? Masihkah kita belum sedar, wahai manusia...wahai jin...


Kesimpulannya, mengulang2 hafazan pada surah Arrahman sepatutnya mengingatkan kita untuk berbuat sesuatu agar kita termasuk dalam golongan yang dikasihi dan disayangi Allah. semoga kita termasuk di kalangan ahli syurga yang dikurbiakan dengan dua syurga yang hebat.

Wallahu a'lam....


Thursday, July 2, 2015

Doa Macam mana?



Ramadhan dah menjengah selama 15 hari. Saya dah kata, sebelum Ramadhan, nanti mesti saya akan terasa Ramadhan habis tiba-tiba... And now, that feeling macam sedang mengetuk2...

Ramadhan kali ni pasif. Mungkin sebab sibuk ttidur, bangun ngadap laptop, jumpa orang interview sana-sini... Ruh pun kurang...

Risau, kalau keluar dari bulan Ramadhan ni, tak dapat apa kecuali penat berpuasa... (Nauzubillah)

Beberapa hari ni dah interview 4 orang responden, sorang pilot untuk kajian master.. Semakin banyak interview, semakin confuse dengan kajian sendiri...tak tau apa sebenarnya yang akan dihasilkan dari kajian ni...

Takut...

Bila doa, asik doa minta Allah mudahkan master ni... Moga Allah bantu, dan lajukan langkah...
Rasa tak larat pun ada kekadang, tapi Allah kuatkan. Tetibe kawan datang, bagi semangat... So, semangat kejap, pastu down lagi...

Kekadang terfikir, kita ni asik doa minta Allah mudahkan urusan dunia, urusan akhirat tak de pun minta detail macam kita minta doa untuk dunia.

Bila doa untuk dunia, hati khusyuk, tunduk, sungguh2, sebab terasa sangat tak dapat nak ngadu and minta tolong pada orang lain, kecuali Allah....

Tapi bila sampai doa 'Rabbana atina fiddunya hasanah.........hgga akhir', hati dah tak sekhusyuk minta doa pasal urusan dunia tadi. Bila doa minta Allah matikan dalam iman, jauhkan dari neraka, diampunkan dosa, time tu hati entah ke mana, khusyuk tak dapat dikesan....

Kita ni, (saya lah), kekadang terlalu fokus pada urusan dunia dalam doa, tapi lupa yang akhirat tu lebih dahsyat, maka sepatutnya doa untuk akhirat lebih power dari minta tentang dunia...


Mungkin sebab saya kekadang lupa bahawa akhirat nanti, time tu doa dah tak bermakna lagi?

...........

Monday, April 13, 2015

Falsafah Ketuhanan Hamka; Menarik!


Bismillah,
Dengan nama Allah,
Saya berkongsi lagi...

Seusai berurusan dengan pejabat dan berjumpa penyelia, maka saya berkeputusan untuk membuat urusan lain, sementara menunggu mesyuarat minggu depan.

Apabila mata, tangan, akal dan pemikiran hanya mengingat pada disertasi, membaca dan menulis berkaitan feminisme, keadaan yang agak 'lengang' ini saya cuba peruntukkan untuk membaca buku di luar bidang.

Aku memilih karya Hamka.
Falsafah Ketuhanan.

Jujur, ini adalah karya pertama Hamka yang saya baca selain membelek Tafsir al-Azhar beliau. Ternyata beliau hebat dalam menulis dan bermain dengan bahasa. Buku yang sepatutnya berat, menjadi mudah untuk difahami.

Hamka memulakan tulisan beliau terhadap karya penting ini dengan membawa sejarah manusia dan agama sejak awal kewujudan. Bagaimana manusia mula melihat alam sebagai satu kuasa agung, menyembah matahari, bulan dan bintang, batu dan pokok, roh yang mati, nenek moyang dan kepercayaan yang membawa kepada pegangan. Namun kesepakatan manusia semuanya, tetap pada mempercayai adanya satu kuasa yang mengatasi atau mengepalai semuanya. Itu kesepakatan kemanusiaan.

Dan kepercayaan ini membawa ahli falsafah meneroka dan mengeluarkan lebih banyak pandangan. Yunani mempercayai puluhan ribu dewa, diketuai Apollos sebagai Dewa Besar, Thales mempercayai asal sesuatu adalah air, Anaximandros, asal yang tidak berkesudahan, Anaximenes, asal sesuatu dari wap, Pythagoras, asal sesuatu ialah angka dan pokok angka adalah SATU.

Lalu Socrates membawa kepada Falsafah Diri, dan dikembangkan oleh Plato dan akhirnya membawa kepada adanya Yang Maha Tunggal, Penggerak kepada segala sesuatu. Yang darinya kita datang dan akan kembali. Falsafah mengiyakannya. Lalu Aristotle menyambung falsafah Plato mengakui dan menyelidiki hakikat kepada Yang Ada itu. Lalu akal manusia berterusan berkembang dari zaman ke zaman menyelidiki alam, tentang ada dan tiadanya, tentang hidup dan kehidupan, dan berterusan ilmu-ilmu falsafah itu hingga mencapai batasnya dalam menentukan ada dan tiadanya itu.

Namun, telah diakui oleh seluruh agama bahawa adanya Yang Ada itu yang menciptakan dan meniadakan. Plato mengatakan itulah puncak Ideal, Tao mengakui itulah Lao Tze. Islam mengatakan itulah Allah. Kita mengatakan itulah percikan fitrah yang ada dalam setiap sanubari manusia yang menuntut pengakuan kepada wujudnya Tuhan itu.

Perjalanan mencari Tuhan itu dinamai fitrah, dan dihujung jalan itu dinamai Islam. Iaitu penyerahan bahawa habislah daya mencari alasan akan tiadanya, maka berserahlah diri menunduk sipu mengakui akan adanya.

Hamka tidak meninggalkan pembacanya sebelum membezakan percaya (iman) dengan turut saja (taqlid).

Iman atau Percaya itu membuat kita tertunduk di hadapan kebesaran Tuhan Yang Maha Kuasa setelah pencarian dilakukan, perjalanan mencari kebenaran itu berlaku. Lalu tibanya pada satu dinding yang tidak dapat ditembusi, maka manusia menginsafi akan Kehebatan Tuhan. Ia melalui perjalanan menggunakan akal.

Beza turut saja (taqlid) ia menurut tanpa akal. Hingga jika dia terkeluar dari suasana biasa yang diturutinya, maka tertanggallah satu per satu pakaian yang diturutinya itu hingga tiada apa lagi yang tinggal padanya, kerana di kiri dan kanannya sudah berubah keadaannya sama sekali, maka dia juga turut berubah. Taqlid ini mudah melabel manusia 'tersesat atau keluar dari agama' jika pendapat yang didengarinya jauh dari apa yang pernah diketahuinya. Kerana ia takut sekali menggunakan akalnya, takut akan ujian akal.

Taqlid ini musuh kemerdekaan akal.
Taqlid merosakkan iman.
Maka jelas bezalah iman itu dengan taqlid.

Dan akhirnya sampai kepada menariknya intisari dalam buku ini, Hamka mula mengaitkan falsafah, teknologi dan sains kepada perjalanan ke arah Tuhan. Keegoan sains dan teknologi, serta falsafah akan hebatnya mereka dalam inovasi dan meneroka alam, menyelediki hingga sekecil-kecil zarah. Hingga kini ada yang turut mengagungkan sains dan teknologi hingga ke tahap Tuhan, Hamka menjawab:

Aturan alam ini, ilmu kita hanya dapat mengetahui akan adanya aturan itu. Kita tidak dapat menciptakan yang lebih baik dari itu. kita hanya menyusun aturan baru yang tidak dapat terkeluar dari aturan yang sedia asli dalam Alam itu. Ikutlah mana ilmu sekalipun, aturan itu tidak dapat dilawan.

Ya, benar sekali.
Hebat bagaimanapun sains dan teknologi, mereka tidak boleh mengubah sunnatullah. Mereka tidak boleh mengubah sifat api yang panas, molekul yang ada dalam air dan udara, aliran-aliran sungai, ombak dan laut dan sebagainya. Sains dan teknologi hanya mampu ekstrak apa yang telah sedia diatur dan disusun oleh Yang Maha Menyusunatur alam ini.

Dan jika sains dan teknologi menolak akan adanya Yang Mengatur, mendakwa alam ini bergerak dengan tabiat alam dan secara nature, maka Hamka mendatangkan hujah-hujah yang sangat menarik untuk diteliti dan diulang baca.

Hinggakan zarah-zarah itu pun bersepakat dalam pergerakan dan aturannya, maka tentulah ada yang mengaturnya. Ia tidaklah bebas malahan terikat dengan aturan dan kesepakatan.

Lagi hujah beliau, jika alam ini tiada pengaturnya. Andaikan sebuah banglo dibina indah oleh seorang arkitek terhebat. Lalu arkitek itu mati, dan rumah itu dibiarkan kosong. Setahun dua tahun, rumah itu akan dikelilingi semak samun, pohon yang tidak terurus, rumah yang gah tadi terlihat usang malah menakutkan. Tanda bahawa tiada yang menguruskan, kerana pengaturnya dan pengurusnya telah mati. Namun, alam ini masih terurus indah, walaupun alam ini mengalami perubahan dan pergerakan dari hari ke hari malah berpuluh ribu tahun sebelumnya. Ini kerana penciptanya, pengurusnya dan penyusunnya tidak mati.

Lihatlah kepada alam ini, maka akan tertunduk malu kita mengakui kebesaran Allah, dan menolak kepada segala dakwaan akan ketiadaan Pencipta Alam ini. Sebagaimana mesej pada kulit muka buku ini, menunjuk kepada alam...:)

Bacalah buku ni kalau nak memahami falsafah ketuhanan dalam bahasa yang mudah, yang penuh analogi indah. Ulasan ini tidak seberapa, tidak sampai 1/3 dari isi buku.

Sampai di sini,
Sekian...

Kita berdiri di tepi laut, kita lihat ombak bergulung. Lalu kita bertanya:
"Mengapa ombak itu bergulung?"

Kerana udara.
"Mengapa udara bergerak?"
Kerana hawa panas!
"Dari mana datangnya panas itu?"
Dari Matahari!
"Siapa yang meletakkan panas pada matahari?"
.... Diam!

-HAMKA-





Sunday, April 12, 2015

Rungutan Berterusan


Dengan nama Allah...

Merindukan kecemerlangan yang pernah dinikmati suatu ketika dahulu. Kecemerlangan itu membuatkan aku melangkah dengan yakin ke satu fasa dalam kehidupan, dalam dunia pendidikan. Aku memilih untuk menyambung pengajian di peringkat yang merupakan pilihan, bukan aturan tetap, aku melangkah dengan yakin.

Setahun dalam perkuliahan segalanya masih indah. Pencapaian akademikku masih memuaskan dan boleh dibanggakan. Dalam keadaan masih naif akan dunia kajian akademik yang penuh cabaran, aku melangkah ke tahun kedua, menyiapkan penulisan. Baki setahun yang diperuntukkan adalah hanya semata untuk menulis. Aku yakin, aku mampu menulis kurang dari setahun pengajian, aku mengambil masa satu semester mengutip pengalaman bekerja sambilan.

Satu semester berlalu, dengan hanya satu proposal yang dihantar, diedit dan terhenti seketika. Semester keempat aku lalui dengan misi menyelesaikan proposal, master ini dalam tempoh satu semester (berpegang kepada keyakinan berjayanya aku menulis tulisan ilmiah ijazah dahulu dalam tempoh hanya sebulan), aku menulis dan terus menyerahkan proposal. Serahan, edit, serahan, edit...berjumpa penasihat hanya di tepi tangga, sekali dua di dalam pejabat, membuatkan aku makin berdebar. Dunia akademik apakah ini? Terlalu lama hanya untuk menyelesaikan hanya satu proposal?

Aku mula mencebik, mengeluh, merungut dan memandang sana sini mencari di manakah silapnya hingga proposalku masih belum lagi diluluskan.

Penyelia yang sibuk?
Proposal yang tidak baik?
Mesyuarat jabatan yang tidak tentu?
Acuh tak acuh dari pihak pengurusan?

Ahh!!
Semua itu sangat menyebalkan!

Satu semester lagi berlalu, dalam masa aku tidak lagi menerima sebarang kelulusan tajuk kajian. That was very shameful, awful, terrible! Satu semester berlalu, aku masih dalam kotak yang sama. Langkah yang tidak berganjak.

Aku mulakan semester tambahan, dengan rasa terpaksa. Terpaksa membayar lebih untuk keadaan yang tidak memihak. Perancanganku untuk semester empat sebagai semester terakhir tidak kesampaian, hatta tajuk pun masih diawangan pejabat jabatan dan pensyarah.

Aku tak tahu apakah sebenarnya yang melambatkan proses kelulusan tajuk kajian. Aku menjadi mangsa yang dituduh lambat membuat kajian, lambat submit proposal dan sebagainya. Hanya pelajar yang bermasalah jika pelajar tersebut lambat diluluskan kajiannya. Hanya pelajar yang lambat jika tajuk masih di meja penasihat. Pelajar yang bersalah, teruk, lambat, dan sebagainya. Hanya pelajar. Hanya pelajar. Itu yang terpaksa saya hadapai.

Semester lima, sudah berada di pertengahan. Namun tajuk aku masih tidak diluluskan. Pensyarah yang sepatutnya membentangkan proposal ini, tidak hadir dalam mesyuarat. Dan akhirnya, pelajar yang mengalami masalah itu. Akhirnya pelajar akan dituduh lambat. Pelajar dipaksa menerima padahnya. Pelajar lambat, nasibla... Procedure still a procedure.. We have to follow ISO. Bla bla bla... What ISO? That ISO make me spend more and more money! Could u understand that? We pay, for this nonsense procedure! Dont u see, that procedure make more students can't grade on time?

Think about all this stuff make me sick. Make me feel to quit.

But, they said i should fight for this. Or not, I will get a bad record for not finishing my studies. I waste time and money, if I quit.

And, silently, I agree about that. I have to fight. Yes, I have to fight.

Just my advice, dont further your master degree at my department if u dont want to stuck waiting for proposal approval~

Semua ini hanyalah luahan.
Hingga akhirnya, aku akui semua ini kelemahan sendiri. Aku tidak tegas, tidak pandai mengurus prioriti, tidak kuat pergantungan kepada Dia.

Ya, aku lemah. Memikirkan semua ini membuatkan aku sakit hati dan menangis. Kenapa ya Allah, susahnya untuk melepasi satu tahap pendidikan ini...

Kenapa ya Allah?
Aku susah untuk memikirkan hikmahnya...
Adakah hati ini bongkak, maka Kau ingin menundukkannya dengan kesulitan ini?

Astaghfirullah,
Jika itu penghalangnya,
Ampuni aku wahai Allah...


--------

Dan...
Maafkan aku, wahai diri..



Tuesday, January 13, 2015

Banjir di Kelantan; Bala Dari Allah?



Bismillah walhamdulillah...

Semalam lepas habis mengajar, kami terus bergerak ke usrah di Pasti berhampiran. Ust. Hishamudin seperti biasa, tepat pada masanya menanti kami memenuhi ruangan. Allah terus bagi beliau kekuatan, walau beliau terlihat sudah tua dan bertongkat kerana tidak berapa sihat. Moga Allah terus pelihara dirinya dalam perjuangan ini.

Usrah semalam, di saat awal usrah otak ligat berfikir, mencerna fakta dan ilmu yang diutarakan berkaitan pengertian Toghut dalam Surah al-Nahl ayat 36, pada pandangan Ibu  Qayyim dan beberapa ulama' tafsir yang lain. Saya hanya khusyuk mendengar, tanpa tangan digerakkan untuk menulis isi-isi usrah yang diberikan. Beliau mengulas beberapa ayat al-Quran yang menyebut perihal Toghut. Beliau mengaitkannya sebagai sebab kuat beliau memilih berjuang dalam PAS berbanding parti politik yang lain. Namun itu bukan yang ingin saya fokuskan pada entry kali ini.

Apa yang ingin  saya kongsikan di sini adalah ulasan Ust Hishamudin berkaitan 'Sebab-sebab Allah Turunkan Bala Atau Azab Kepada Sesuatu Kaum.'

Ada empat faktor:

1) Menentang ajaran Rasul dan Allah swt. (Al-A'raf : 94)

2) Sikap kaum itu yang tidak bertindak untuk mencegah kemungkaran yang terzahir. (Al-Anfal : 25)

Faktor kedua ini membuat kita yang kononnya baik ini 'tersentap' dan perlu muhasabah. Kerana Allah tidak menurunkan azab kerana orang yang berbuat maksiat, tapi kerana kita yang mengaku daei tidak menjalankan tugas daei, sedangkan dia mampu mencegahnya dan menegurnya. Maka Allah meratakan azabNya kepada seluruh kaum tersebut.

Untuk isu baru-baru ini berkaitan KPop, kita sebagai daei perlu ingat akan perkara ini. Sudahkan kita bersungguh menyampaikan kepada mereka berkaitan pemahaman syariat? Kutuk-kutuk juga, namun kutuk diri sendiri dulu sebelum kutuk sang mad'u. Ingat, Allah tak azab yang bermaksiat sahaja, jika kita tidak bertindak, azab itu tetap akan kita sama-sama rasai.

Wal'iyyazubillah!
Perlu kita sang daei untuk sama-sama muhasabah!

3) Ujian kerana kekuatan iman kaum tersebut. Sebagaimana sebuah hadith ada diriwayatkan:

"أشد الناس بلاء الأنبياء فالأمثال فالأمثال"
"Sedahsyat-dahsyat bala ke atas manusia adalah yang diterima oleh para nabi dan orang-orang yang seumpamanya dan yang seumpamanya."

Juga al-Baqarah ayat 155.

Isi ketiga ini yang Ust kaitkan dengan apa yang berlaku di Kelantan, Brunei juga di Acheh yang ditimpa tsunami serta banjir besar setelah kesamaan ketiga-tiganya mengumumkan untuk melaksanakan hudud di negara dan negeri masing-masing. Ujian atas kebenaran mereka untuk laksana syariat. Ujian kekuatan iman mereka.

Allahu Rabbi.

Lalu fakta yang dinyatakan, ahli usrah yang hadir bersama mengiyakan dan mengangguk tanda setuju terhadap fakta hudud tersebut. Sememangnya Brunei pernah banjir besar selepas Sang Sultan mengumumkan untuk melaksanakan hudud di negaranya. Juga di Acheh, tsunami melanda selepas keinginan pemimpinnya untuk melaksanakan hudud. Dan kini, kedua-dua Banda Acheh dan Brunei dalam perlaksaan hudud dengan kaedah perlaksaan mereka yang terancang. Begitulah jua di Kelantan, insyaAllah masa itu makin hampir, apabila ujian banjir besar yang mana kesannya seumpama tsunami memberi banyak kesan dan tarbiyah kepada penduduknya, juga menayangkan kepada setiap yang datang menghulurkan bantuan, betapa nilai dalaman yang ada dalam diri warga Kelantan yang ditemui amat mantap dan hebat.

Saya sendiri mengakuinya. Pengalaman selama hampir 10 hari di Kuala Krai dan Dabong, Kelantan yang merupakan dua lokasi yang terjejas teruk, bertemu mata dan berbual serta mengedarkan bekalan makanan dan keperluan kepada mereka yang ditimpa musibah, tidak seorang pun yang saya temui menjadi 'gila' dengan apa yang menimpa mereka, mahupun suara keluhan, menyalahkan Tuhan dan sikap berkepentingan yang melampau. Rata-rata yang saya temui sangat redha dan yakin dengan aturan Allah, juga masih terus memikirkan nasib saudaranya yang lain, walaupun dirinya sendiri teruk diuji kehilangan harta benda. Sehingga si anak juga masih istiqamah bertudung, yang dewasa terus cuba menutup aurat, walau kekadang kaki diselak untuk melalui selut.

Allah, Allah, Allahu Akbar!

Mungkin ini apa yang dinyatakan, ujian untuk meningkatkan iman. Ujian kerana kekuatan iman yang mereka ada. Ujian kerana mereka benar dalam melaksanakan syariatNya. Tidak dinafikan ada juga dikalangan mereka yang meninggalkan solat, mementingkan diri, namun sejujurnya, saya tidak temuinya sepanjang terlibat dengan misi banjir di sana. Banyak lagi yang saya pelajari dari mereka, yang membuatkan hati menangis, mulut terkunci, mata laju berlari mencari erti di sebalik semua ini.

Pergilah kepada mereka, lalu kalian akan nampak apa yang saya maksudkan. Mereka kehilangan hampir seluruh harta benda, namun mereka masih berkata ini hanya sedikit ujian dari Tuhan!

Jika kita yang ditimpa musibah ini, agaknya bagaimanalah keadaan kita..
Jom, kita muhasabah, lalu doa yang terbaik untuk umat Islam.

Fi amanillah.

#Pics di Dabong dan Kuala Krai. Boleh lanjut lagi gambar di FB saya. Antara team kami dari Nisa' Serdang.












Monday, November 3, 2014

Begini begitu yang berlaku...


Bismillahi walhamdulillah...

8 pagi. Menghadap depan laptop, scroll up, down facebook. Laporan BBM dibuka..mengadap dengan pandangan kosong. Perut rasa tak sedap, sejak kembali dari Indonesia, perut tidak seselesa biasa. Mungkin sedang memberi reaksi terhadap makanan-makanan sepanjang di Indonesia. Apa-apapun, lebih baik daripada seorang kakak yang bersama dalam program yang keracunan makanan selepas kembali ke Malaysia. Semoga diberi kesembuhan sebaiknya ya, kak Busyro. :)

Harini, atau mungkin lebih tepat bermula 2hb November 2014 hingga harini 4hb November, UKM dalam mode Graduation Week. Jadi, yang berkonvo dan bergraduasi, inilah masa yang dinanti oleh mereka. Juga adik-adik usrah saya, mereka juga berkonvo pada semalam dan harini, termasuk teman serumah saya. Konvo masternya! Ok, inspiring!

Semalam saya jumpa Haji Malik, lepas berbincang itu ini dalam gerak kerja yang perlu, beliau menyentuh berkaitan master dan kajian saya. Kata beliau, saya think small, achieve small. Beliau kata, tidak perlu aim something big, just think big. Berfikir dalam konteks yang luas dan lebih besar. Kajian saya berkaitan feminisme dilihat sudah cukup kuat, namun saya tidak mempunyai matlamat besar terhadap kajian saya. Kajian saya dikatakan hanya untuk melepasi tempoh master, dan grad! Saya hanya mengangguk dan diam, walau dalam hati sebenarnya sedikit sebanyak (sebenarnya banyak) saya mengiyakan.

Pada awal memutuskan untuk menyambung pengajian peringkat master, saya jujur seperti tiada alasan lain juga matlamat lain melainkan kerana saya terlalu cintakan dunia pengajian, saya ingin sambung belajar lagi. Tanpa memikirkan, master ini cabarannya lain. Kini, saya berada di tempoh itu, menulis disertasi. Hanya tinggal lagi beberapa bulan (3bulan kurang), saya perlu menyiapkan apa yang perlu, jika saya ingin habis pada tempoh yang telah ditetapkan. Menyedari hal itu, dengan berat hati, saya memutuskan untuk melepaskan satu demi satu komitmen lain, dan menjadi selfish buat sementara waktu. Saya menyerahkan baton pengurusan Bengkel Aqil Baligh kepada kak Siti yang dengan lapang dada offer untuk membantu saya. Semoga Allah beri kebaikan terus menerus kepadanya.

Untuk komitmen2 lain, juga perlahan-lahan saya pindahkan ke dalam column yang kurang prioritinya, sebenarnya berat hati, kerana itulah darah daging saya (dan semoga terus istiqamah hingga kematian menjemput) namun buat masa ini, itulah yang patut saya lakukan. Risau. Tapi setiap kali menghadap disertasi itu, saya jadi confuse nak buat apa. Allah...risau!

p/s- Tapi jangan marah pulak saya berhabis masa menulis di sini, sebab dah lama tak menulis, dan masa untuk meluah pun perlu. Jadi, blog juga antara medium menarik, kerana tak ramai yang membacanya.

Sebenarnya, saya pun tak pasti ke mana hala tuju kajian saya untuk sumbangan ummah (yang saya dulu mengimpikan utk memberi kajian yang menyumbang kepada ummah). Kajian saya kepada Kristian. Itulah sumbangan saya kan? Untuk bidang ilmu perbandingan? Tak begitu? Entahlah, mungkin sebenarnya saya sedang lack of motivation dan bertemu pula dengan orang yang pandai menilai, jadi kritikan la yang saya terima. Tapi, tetap kritikan itu baik untuk saya sebenarnya. Buat saya berfikir dengan lebih mendalam tentang hala tuju saya. Mudah2an, Allah menilai usaha saya dengan sebaiknya. (Apakah saya dah buat yang terbaik?)

Ok lah, sebenarnya saya perlu menyiapkan report sepanjang berada di Indonesia untuk trip bersama Bas Belia Mabims minggu lepas, tapi kerana report yang terlalu skema, saya memindahkan kerajinan menulis saya di sini. Untuk pengalaman sepanjang di sana, nanti saya plan nak share jugak kat sini. Mudah2an kerajinan itu ada..:D

Apapun, siapa yang dah baca, mohon dan harap doa daripada kalian, insan2 yang ada martabat tersendiri di sisi Allah untuk disertasi dan master saya ya! Terima kasih uols! #Eh... :D

#Sekian
#Kembali mengadap laporan


Wassalam... :')



Thursday, July 10, 2014

Where is your Syukr?


Sudah cukupkah saya bersyukur?

Sejak lahir, Allah bagi pelbagai kebaikan dan kelebihan kepada saya, namun saya masih kurang bersyukur. Dari kecil, adik beradik sebelumku tidak pernah merasa tuisyen tambahan, saya mendapat kelebihan itu berbanding mereka. Allah bagi keputusan yang baik-baik dalam apa jua urusanku. Dalam urusan pembelajaran dan pengajian, saya diberi kelancaran segala urusan berkaitannya dengan mudah, sedangkan ramai kawan-kawan yang susah, terhalang, malah terpaksa merayu! Namun, saya masih kurang bersyukur untuk itu!

Apabila mula melangkah lebih jauh dalam perjalanan kehidupan, mula bertemu dengan mereka-mereka yang mempunyai ibubapa yang tidak menitik beratkan agama dalam kehidupan, saya mula mensyukuri apa yang saya ada. Allah lahirkan saya di dalam keluarga yang menitikberatkan kehidupan beragama dan agama dalam setiap sisi kehidupan. Sayu hati mendengar cerita sahabat yang mempunyai keluarga yang tidak menyokong perubahannya untuk bertudung labuh. Adik beradik yang sibuk bergaduh hal harta dunia. Keadaan ibu bapa yang terasa hati dengan sikap anaknya yang sering mengeluarkan kata-kata perlian dan ejekan kepada ibu bapanya. Sahabat yang tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan dan keluarga. Tekanan sekeliling, dengki dan khianat manusia kepada diri dan keluarga.

Sedari perkara itu, saya jauh daripada semua itu. Allah masih pelihara saya dan keluarga saya daripadanya.

Namun, saya masih kurang bersyukur!

Perjalanan diteruskan, hidup ini rupanya tidak hanya berkisar di kalangan diri sendiri dan ahli keluarga. Kenalan pun berkembang, sahabat bertambah, psikologi berubah, akal menuju kematangan. Allah memberi saya peluang dan ruang. Mendekatkan saya dengan insan-insan yang cukup ikhlas beragama, ikhlas mendampingi saudaranya. Namun, saya masih kurang mensyukuri pelbagai nikmat ini!

Hati ini, terus-terusan meminta lebih dari Tuhan. Meminta itu dan ini. Terkadang, terasa malu dengan Tuhan.

Kerana kurang syukur dalam hatikah yang membuatkan saya sentiasa mengingkan yang lebih dari apa yang telah Dia berikan pada saya sekarang?

Di kala saya sedang merengek meminta kefahaman manusia lain dalam soal hati dan perasaan, Allah datangkkan perbandingan. Adik itu meluahkan kesedihan tidak mempunyai masa dengan ibubapa hatta pada bulan istimewa Ramadhan ini, apatah lagi Syawal nanti. Kesempatan seumur hidup tidak pernah diberikan kepadanya untuk berbuka bersama ibubapanya. Hanya dibenarkan berhubung dengan ayahnya ketika waktu pejabat. Anak, dan bapa, berhubung setakat waktu pejabat! Kuatnya dia, entah apa yang terjadi jika saya yang mengisi kakinya, melalui detik-detik seperti itu sepanjang kehidupan.

Sebab itu saya terus merasa, saya kurang bersyukur.

Sepanjang hidup, hanya sedikit sahaja cubaan yang Allah beri kepada kehidupan saya. Itupun, saya jadi tersungkur dan lemah. Mengaduh sana sini. Lambat kembalikan segalanya kepada Dia yang menguji. Allah, kenapalah lemah sangatkah diriku?

Kasih sayang dari Allah, jika dihitung sejak terbentuknya seketul darah di rahim mak, sungguh tak terkira. Entahlah apa yang difikir dua-tiga hari ini, hati jadi sayu. Lemahnya saya dalam menghadapi ujian Tuhan yang hanya sedikit. Sedikit sangat!

Allah, ampunkan kelalaian hambaMu yang kurang bersyukur ini.
Redhakanlah apa yang telah hamba lakukan.
Terima kasih,
Segala puji selayaknya hanya untuk Dzat-Mu Ya Rabb,
Atas segala nikmat dan kebaikan,
Yang dicurahkan kepada hamba..

Begitupun, saya masih kurang bersyukur...
Teman, ingatkanlah diriku,
Agar terus menjadi hambaNya yang bersyukur...


"The key of happiness is GRATITUDE" _ Book of The Magic



Wednesday, April 30, 2014

Renungan Daripada Surah al-Hadid


Assalamualaikum wrwbtuh..

Bismillahi wal hamdulillah... Rasa bersyukur kepada Allah, kerana diberinya masa harini untukku menulis sedikit perkongsian. Ilmu semakin digali, semakin rasa kosong. Ilmu Allah Maha Luas, semakin cuba diselami, semakin banyak yang masih tidak diterokai...

Terima kasih, wahai Allah, Tuhanku yang baik, memberikan masa dan kesempatan ini untukku berkongsi di laman ini setelah sekian lama. Walaupun blog kini bukanlah lagi medium terbaik perkongsian, namun saya masih memilih untuk berkongsi di sini mengenai beberapa perkara yang lebih istimewa daripada perkongsian di medium facebook, twitter dan sebagainya.

Alhamdulillah, terusku lafazkan syukur. Harini saya mengaji dan mula memahami sedikit ayat-ayat yang dibaca, saya terhenti di Surah al-Hadid ayat 23, cuba mengaitkannya dengan ayat sebelum dan selepasnya...

Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui, telah berfirman:

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (22)
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.(23)
Orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat balasan yang menghina) dan sesiapa yang berpaling (dari mematuhi hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (24)

Lalu, saya terdiam. Mengaitkan ayat dengan situasi semasa. Itulah Qada' Qadar daripada Allah. Yang telah lama Dia tetapkan untuk setiap manusia. Yang mana seluruh umat Islam wajib mengimaninya. 

Melihat dalam diri... 
Betapa banyaknya keluhan..
Dan betapa manusia ini, hanya sedikit daripadanya mengenal erti sebenar redha dan ikhlas.

Ayat 23, Allah menyentap rasa saya. Allah seolah sekali lagi berbicara kepada saya.  Kekadang, mudahnya kita merasa gembira dan bangga dengan pencapaian yang diperolehi, bangga mendapat kelebihan berbanding sahabat dan saudara sekeliling. Sedangkan Allah kata, dengan mudah sahaja Allah akan mengambilnya kembali daripada kita.

Juga, apabila manusia itu menerima kehilangan sesuatu, betapa ramai yang menerimanya dengan redha dan ikhlas? Kata mereka keluhan itu biasa, kesedihan itu biasa, kerana kita adalah manusia biasa. Ya betul. Keluhan dan kesedihan itu biasa, namun mengapa Allah katakan sedemikian?

"Supaya kamu tidak bersedih hati..."

Sedangkan Dialah yang lebih memahami hambaNya melebihi segalanya. Maksud ayat ini, saya masih tidak mendapat jawapannya.. Kerana, saya juga masih tetap bersedih bila kehilangan sesuatu. Adakah ia di kalangan mereka yang meletakkan sepenuhnya hati kepada Allah, maka sedikitpun perkara dunia ini, tidak memberi kesan kepadanya..?

Iman saya masih nipis untuk tidak merasa tidak sedikitpun terikat dengan dunia. :'(

Moga Allah ampunkan saya... dan kita semua...


Thursday, December 12, 2013

Syukurku, Dia Abangku..


Bismillah...

Sebelum ini saya ada menceritakan tentang keadaan abang saya yang berbulan di ICU akibat sakit saraf yang dijangkiti daripada sejenis virus. (baca sini: http://mutiaraidamanku.blogspot.com/2013/06/allah-sayang-dia.html). Sedar tak sedar, rupanya dah enam bulan lebih pun. Warded pada bulan Jun 2013, kini Disember 2013 juga sedang melalui zaman pertengahannya, menutup tirai 2013 dan membuka tirai baru. 

Dengan itu, segala pujian dan kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi di atas nikmat dan kasih-sayang yang diberikanNya kepada kami sekeluarga. Alhamdulillah, thumma alhamdulillah, wa lillahil hamd. Itulah yang sering kita diingatkan, apabila ujian datang, kemanisannya tidak akan dirasa di saat itu, namun kemanisan itu hanya terasa setelah kita melaluinya. Samada berjaya atau tidak, resultnya positif atau sebaliknya, hamba yang suci hatinya, bersih fikirannya, akan merasa hikmah di sebalik kejadian dan ujian. Akan merasa eratnya hubungan si hamba dan Pencipta. Itu kemanisannya. 

Begitu juga yang berlaku pada kami. Dahulu, ketika abang sakit, kami masing-masing mengorbankan masa dan bersama-sama menjaganya, memberikannya semangat dan kekuatan. Ketika itu terasa semakin eratnya hubungan kekeluargaan. Sesama kami adik-beradik, juga sesama anak dan ibu bapa. Banyak perkara boleh dinilai, ketika kesusahan mula menyulitkan keadaan. Di saat inilah akan terujinya keikhlasan, kesanggupan dan perhubungan yang telah terjalin. Tidak kira sesama keluarga, mahupun sesama sahabat, guru dan kenalan. Abang saya beruntung, dikenali dengan baik di kalangan sahabat-sahabatnya. Tidak putus lawatan dan ziarah yang diterima selama beliau berada di ICU. Pekerja di sana juga menyantuni beliau dengan baik. Sungguh saya terharu dan terhutang budi dengan jasa dan layanan baik yang mereka berikan sepanjang abang saya di sana. Hanya Allah tempat kami meminta, untuk menggganjari segala kebaikan mereka dengan sebaik-baik ganjaran.

Kini, abang saya mampu berdiri, berjalan sendiri. Walaupun otot dan fungsinya belum lagi sekuat dulu, namun ia adalah satu perubahan yang positif, dan kami bersyukur untuk itu. Kekuatan yang ada pada beliau sangat saya kagumi. Jatuhnya tidak mematahkan semangatnya untuk berusaha sembuh. Lemahnya tidak mengecewakannya untuk terus berharap. Sakitnya tidak membuatkannya menjadi manusia yang sepi dan bersendiri. Cerianya seperti biasa, walau saya pasti di hatinya ada rasa yang hanya dirinya dan Allah yang mengetahui. Namun dia tidak menunjukkannya. Hanya kekuatan dan azam ditunjukkan untuk menyenangkan hati si ibu, menggembirakan hati si abah yang sentiasa di sisi. Saya bangga dengan abang saya!

Jika di dalam drama-drama, kita hanya melihat kesulitan yang berlaku diakhiri dengan kegembiraan dengan tagline "Lima tahun selepas" "Tujuh bulan selepas" dan tempoh-tempoh yang ditentukan si penulis skrip. Tapi, dunia realiti, masa tidak semudah itu berlalu. Sebulan, dua bulan, dan seterusnya dilalui setiap saat dengan memori dan kejadian. Begitu juga kami, enam bulan dilalui penuh dengan pengalaman baru. Kesulitan dan kesedihan, kegembiraan dan gelak tawa, terisi dengan lebih indah, kerana ia aturan yang bukan ditentukan pengarah atau penulis skrip filem, tapi ditentukan oleh Allah, Pengatur Sekalian Alam. Pengalaman yang hanya dirasai oleh sebahagian yang diuji. Itulah hidup realiti, tidak akan pernah sama dengan perkisahan drama tv. Dan saat-saat itu terus berjalan menandakan masa yang lepas telah pun meninggalkan kita dengan tinggalan kenangan dan sejarah.

Esakan si ibu, gugurnya mutiara-mutiara di kelopak mata si abah menandakan sayangnya mereka kepada permata-permata hati mereka. Allah sayangkan abang saya. Dia kembali ke rumah, ziarah tidak terhenti. Allah menyaksikan, betapa sebaknya saudara-mara, seolah melihat abang yang mendapat nyawa kedua. Beliau diraikan begitu baik. Setiap individu memainkan peranan, menaikkan semangat dan motivasi. Bukan calang-calang manusia yang diuji sebegini, melainkan Allah ingin mendekati dirinya. 

Dan, terima kasih kepada yang sudi mendoakan. Kerana mungkin di antara doa kalian adalah yang mustajab di sisiNya, menjadikan kami kuat dan mampu mengharungi ujian ini dengan baik. Hanya Allah jua yang mampu memberi sebaik-baik ganjaran kepada kalian.

Wahai abang, 
Betapa mereka sayang kepadamu.
Betapa Allah kasih padamu.
Kini kau bangkit semula, setelah berbulan melawan rasa,
Seolah kini nyawa yang kedua,
Alhamdulillah, syukur pada Yang Kuasa.

Wahai kekandaku,
Ujian tiba bukan diminta,
Tapi dihadiahi Dia yang cinta,
Untuk kita mendekat kepadaNya,
Mengubah diri, menjadi yang setia,
Kepada agamaNya,
Kepada suruhanNya.
Agar diri yang 'lahir' itu,
Adalah diri yang baru,
Diri yang sering melafazkan syukur,
Diri yang takut mendekati kufur.

Doaku untukmu,
Abang yang dicintai kerana Allah,
Agar dirimu sentiasa dipelihara,
Menjadi muslim soleh dan musleh.
DiredhaiNya hingga syurga. 
Akanku terus mendoakan..

Hamdan-hamdan lillah!! :)


Ketika mula2 dimasukkan di ICU, Klang. Terima kasih kepada yang mendoakan..
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=600717199946633&set=a.219086238109733.61672.100000250748951&type=3&theater
Selepas hampir tiga bulan di ICU...moment Aidilfitri,
Skrg lagi hensem! :P


Wednesday, November 27, 2013

Kawan Saya :)


Hujan lebat, sangat membantu percambahan idea untuk saya menulis. Alhamdulillah, menyejukkan udara yang masuk ke bilik. Siapa yang tak sukakan hujan? Sedangkan Allah sendiri menggambarkan di dalam firmannya bahawa manusia itu bergembira apabila diturunkan hujan. Hujan modal kegembiraan, juga modal pertambahan nikmat-nikmat kepada sekalian makhluk.

Seiring dengan turunnya hujan, emosi pun sedikit suram dan muram dengan beberapa perkara yang terjadi dua tiga minggu akhir-akhir ini yang seolah merangsang kepada ketidakstabilan emosi. Setelah beberapa perkara mula diselesaikan satu demi satu, muncul lagi yang lain. Itulah kehidupan, tidak akan pernah sunyi daripada cubaan dan ujian, dari pelbagai sudut dan cara. Daripada hal sebegini, saya dapat melihat betapa manusia itu sungguh memerlukan di antara satu sama lain. Tiada manusia yang mampu hidup bersendirian melainkan dia sendiri akan merasa sesuatu yang tidak kena dalam kehidupannya.

Jika melihat dalam aspek hubungan lelaki wanita, terbukti Adam juga memerlukan Hawa. Dalam konteks hubungan sesama keluarga, terbukti si anak memerlukan ibubapanya, dan pasangan suami isteri menginginkan kelahiran cahaya mata. Begitu jugalah dalam hubungan yang lebih umum, samada dalam pelajaran, pekerjaan, persahabatan dan perkenalan secara tidak sengaja. Siapa yang boleh menafi, bahawa kita manusia sangat memerlukan di antara satu sama lain. 

Dan begitu juga bagi saya, insan-insan di sekeliling saya, mereka ada nilaian sentimentalnya pada saya, samada keluarga, kawan sekolah, teman universiti, sahabat jemaah dan yang lain, semuanya ada nilaiannya tersendiri. Walaupun sahabat saya pernah bertanya, apa nilaian dia pada saya, saya mesti tidak tahu untuk menjawabnya, kerana seolah-olah ia hanya saya yang memahaminya dan tidak reti saya ungkapkan dengan perkataan. 

Ulin Nuha (nama rumah sewa saya) baru-baru ini dimaklumkan ada beberapa kekosongan, kerana kedua-dua roomate saya akan check-out bermula awal tahun depan. Ya, semestinya perkara ini sangat memberi kesan kepada saya. Sahabat-sahabat saya, sejak dari dulu, di sekolah, UKM, mahupun sahabat yang lain, banyak memberi pelajaran hidup kepada saya. Dan, kedua-dua yang akan keluar nanti sahabat yang kuat pengaruhnya dalam hidup saya. Saya cakap dengan mereka yang lain, saya sedih jika mereka tiada, tapi mereka anggap saya bergurau. Ah, biarlah.. Asalkan saya faham dan tahu apa yang saya rasa. Kerana saya sahaja yang tahu, apa nilaian mereka di hati saya. 

Kawan, 

Tidak pernah tidak mempengaruhi saya. Semua kawan, ada pengaruhnya pada saya. Mungkin kerana saya jenis mudah dipengaruhi daripada mempengaruhi. Dan alhamdulillah, Allah takdirkan saya dengan kawan-kawan yang baik pengaruhnya pada saya, dan beri saya kekuatan untuk tidak mudah dipengaruhi dengan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan jika ingin Allah redha dengan hubungan yang dibina. Sungguh saya bersyukur, hidup diaturNya dengan baik. Dari sekolah, di maahad, juga kini di universiti, suasana persahabatan yang Allah aturkan, dengan siapa Allah kenalkan, pada siapa Allah alirkan rasa kasih ini, saya tidak pernah sesali. Sekalipun saya bukan yang terbaik, mereka menerima saya untuk menjadi sahabat mereka. Mereka antara sebab siapa saya sekarang. Kawan-kawan saya antara penyebab tingkahlaku saya sekarang. Kawan-kawan saya juga antara sebab cara saya berfikir seperti sekarang. Sampai kekadang saya pernah rasa, apabila terlalu lama pulang ke kampung, saya merasa otak saya tidak bercambah. Kerana saya kurang berbincang isu semasa. Kerana kawan-kawan saya ini, adalah sumber berita saya...:)

Tapi, tak mengapa. Walau ke mana sahabat2 saya pergi, saya tahu mereka pergi untuk kebaikan. Dan semestinya setiap yang bertemu pasti akan ada perpisahannya. Saya pun sudah terbiasa dengannya. Saya redha, kerana walaupun bersendirian, mereka yang beriman pasti akan mengakui bahawa sesungguhnya Allah itu sentiasa ada. Namun sebagai manusia, perasaan itu tidak boleh kita nafikan. Ia adalah lahir secara semulajadi, tindakbalas kepada rasa kasih dan sayang yang wujud untuk satu perhubungan yang mengharapkan cinta kepadaNya.

Untuk sahabat2 saya yang sudahpun kejauhan, doa saya buat kalian yang saya kasihi moga Allah lancarkan segala perancangan dan urusan. Juga untuk yang bakal meninggalkan, saya doakan yang terbaik akan menyusul untuk segala perancangan dan kehidupan kalian. Pergi untuk kebaikan. InsyaAllah... :)

Adios amigos, fi amanillah!!
Wassalam...



Thursday, October 31, 2013

Nervous


Saya sedang buat assignment, tapi terasa nak menulis cerita sikit. Sekarang ni, terasa tak sempat nak berskema dengan tulisan di blog. Maaf atas kekurangan.

Sejak kebelakangan ni, jantung mudah kencang. Macam sekarang ni, jantung saya kencang. Entah kenapa, sudah hampir beberapa bulan hal ni terjadi. Dek kerana kerisauan, kot-kot ada masalah kesihatan ke, saya merujuk ke Pusat Kesihatan UKM minggu lepas, doktor kata saya sihat wal afiat. Jantung je yang laju sikit daripada normal.

Pelik.
Tapi, Alhamdulillah tak ada masalah kesihatan.

Kata doktor, saya cemas (nervous). Darah dan jantung jadi laju dipam sebab saya nervous. Serius pelik! Jujur saya tergelak depan doktor sebab saya nervous? Tapi sebab apa? Sebab apa saya nervous? Entahla...tapi, kederasan jantung ni, memang sangat menguji saya. Kadang-kadang buat saya lelah. Dan cepat berdebar-debar. Letih. Tapi sabar. Allah nak uji. Doktor pun nasihat untuk bertenang kalau jantung laju, dan tarik nafas dalam-dalam....

Tarik....lepas.... huh.... Allahu Akbar!!

Cemburu saya pun menjadi-jadi. Dengan kawan pulak tu. Wallahu a'lam. Sebab sayang makin bertambah untuk mereka kot. Atau emosi berubah-ubah sebab keadaan sistem badan pun tak stabil agaknya. Memang sungguh menguji. Kekadang confuse dengan diri sendiri. Tak tahu signal apa yang sedang dia sampaikan. Mudah-mudahan bukan sesuatu yang tak elok la.

Jantungku,
Berpada-padalah ya,
Jangan sebab dah biasa berdebar, nanti saya salah faham pulak. :P

#sambung asemen!



Sunday, October 27, 2013

Kekurangan yang Normal


Mengecewakan,
Kecewa,
Dikecewakan.

Manusia itu tidak pernah sempurna. Mencari yang sempurna untuk dijadikan sahabat, teman hidup mahupun sesiapa dalam hidup, tidak akan tercapai. Kerana lihat sahaja diri sendiri, sempurnakah kita? Mengharapkan yang sempurna, sedangkan diri sendiri tidak, maka manusia itu diciptakan dengan berbagai kekurangan supaya yang lain dapat menampung kekurangan yang ada padanya. Tidak kisahlah, sahabat, suami/isteri mahupun dalam keluarga bersama adik beradik mahupun ibu bapa.

Kerana itu, saya kekadang muhasabah diri, apabila sahabat melakukan sesuatu yang mengecilkan hati kita, mengecewakan kita, atau kekadang menyedihkan kita. Kerana saya juga tidak terlepas daripada sifat itu. Saya juga sering mengecewakan sahabat atau orang yang saya sayang. Walaupun ia dilakukan tanpa sedar, ataupun tanpa niat, hakikatnya kesilapan yang dilakukan kadang-kadang menimbulkan kesedihan kepada pihak yang terbabit. Jadi, bila terfikir sebegitu, mengapa kita pula ingin berlebih-lebih berurusan dengan kesilapan/kekurangan itu?


Namun, sekuat manakah manusia itu? Dalam pencarian menemui Yang Maha Sempurna iaitu Allah Ta'ala, manusia akan terus diuji dengan bermacam karenah manusia. Untuk itu, bersabarlah, dan terimalah dengan sebaiknya, dengan memahami bahawa manusia itu tiada yang sempurna. Kekurangan yang ada boleh menjadi perkara yang indah dalam hidup, jika kita pandai 'memanipulasikannya'.

Dalam pelbagai ragam ini, ada insan yang boleh menerima kekurangan orang lain, menyerapinya dan menerimanya dengan senyuman, walau kadang senyuman itu pahit. Namun, pada akhirnya mereka kembali saling menyempurnakan, kerana mereka faham, kekurangan itu normal. Pada sisi lain, ada insan yang melihat kekurangan yang ada pada orang lain sebagai sesuatu perkara yang tidak boleh diterima. Sekali kekurangan itu muncul, dia akan menjauhkan, melarikan diri lalu perlahan-lahan membuangnya dari pandangan. Kerana, dalam hidupnya dia mencari yang sempurna.

Bagi saya, walau apa pun, dengan mengakui kekurangan yang ada, kita perlu cuba untuk tidak menjadikan kekurangan itu 'menyusahkan' orang lain. Melainkan ketika kita benar-benar memerlukannya. Dalam soal hati, jaga-jagalah menjaga hati dan berurusan dengannya. Setiap kekurangan yang telah kita lakukan, ia pasti akan berkait dengan hati orang lain. Maka, ringan-ringankanlah lidah untuk mengungkapkan kata maaf. Kerana jika saya, ketika terdetik rasa kecil hati, sedih atau marah, kalimah maaf mahupun yang seerti dengannya yang diucapkan mampu mencairkan hati saya. Hilang terus rasa sedih, marah dan sebagainya tadi.


Kepada sesiapa yang pernah dikecewakan oleh saya, saya minta maaf.
Kepada yang pernah mengecewakan saya, saya sudah lepaskan.
Kerana bagi saya,
Menyimpan rasa kecewa itu lama-lama di dalam diri,
Boleh jadi penyakit, bahkan merosakkan silaturrahim.

Selesai di sini. Jangan dikait di 'sana' ya!

:)

Semoga Allah redha dengan kita semua.

Senyumlah. :)

Sunday, September 22, 2013

Ya Rabb, Jahilnya Aku...


Wahai Rabb,
Hati ini terasa tidak pernah puas,
Mengejar dunia mengejar nama.
Terasa bahagia apabila melihat kejayaan,
Namun tidak ku sedari betapa gelisahnya hati.

Wahai Rabb,
Kekadang aku terlebihkan kepentingan mereka
Melebihi kepentingan Engkau,
Aku inginkan pujian mereka,
Berbanding redhaMu..
Betapa berdosanya aku,
Betapa busuknya hatiku..

Wahai Yang Maha Pengampun,
Aku tahu ketenangan itu daripadaMu,
Aku tahu pentingnya redhaMu,
Namun aku sering terlupa,
Aku sering mengabaikannya,
Keranaku terlupa,
Engkau sedang memerhatikanku,
Malah Engkau sering menyayangiku..

Wahai Allah,
Wahai Allah,
Wahai Allah,
Wahai Allah...

Aku berdosa,
Salah dalam memanfaatkan nikmat,
Salah menggunakan pancaindera yang diberi,
Ampuniku ya Allah,
Kerana kini aku sedar,
Tiada yang mampu memberiku ketenangan
Melainkan apabila hatiku mula mendekatiMu...

Jahilnya aku ya Allah,
Bantulah aku pelihara segalanya..
Di kala semua meninggalkanku,
Aku tahu Engkau tidak pernah mengabaikanku..
Betapa jahilnya aku,
Pada ketika itu...

Allah....
Ampuni aku...
Astahgifurllah...
Astaghfirullah...
Astaghfirullah al-'Azhim...


Tuesday, September 17, 2013

Dari Dia..


Puisi ini dari dia,
Katanya ditujukan untukku,
Penuh makna..

Aku sematkannya di sini,
Agar dapat merujuknya suatu ketika nanti..
Ketika dia bersedia untuk menjelaskan maknanya..


:) <3 div="" nbsp="">


Dari Dia...



HAMBA


Aku tidak punya 
Kerana PEMBERI mengetahui segala
DIA melorongkan aku merasa
Sungguh terasa nikmat, menitis air mata...

Aku tidak punya
Kerana itu kehendak Yang Esa
DIA mengatur segala
Aku sambut dengan gembira...

Aku tidak punya
Itu sudah ketentuanNYA
DIA beri buat sementara
Tetapi aku berdoa moga ia kekal sentiasa...

Aku tidak punya
Kerana itu Hak DIA
Aku hanya menerima

Kerana aku hanyalah seorang HAMBA....


Monday, September 9, 2013

Kosong Dari Memberi


Dah lama saya nak menulis di sini, tapi takut lari dari genre penulisan yang biasa saya tulis. Lama tidak membaca, sebab urusan banyak, buku pun tak banyak pegang. Satu buku dalam 200 pages pun tak habis-habis dibaca. Saya akui, saya tidak serajin sahabat lain membaca. Namun, bersyukur dapat dekat dengan mereka, sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat membaca...:) Jadi, kurang membaca, kurang ilmunya. Kurang ilmu, kuranglah perkongsiannya. 

Itu padan dengan muka sendiri. Jadi, teruslah blog ini tanpa sebarang penulisan yang bermanfaat. Teringatlah pula pada satu pepatah Arab yang sangat mengena dengan diri sendiri pada ketika ini:

"فاقد الشيئ لا يعطيه" 

Maksudnya, "Orang yang tidak memiliki apa-apa tidak akan boleh memberi apa-apa."

Itulah yang sedang berlaku pada saya. Tiada apa-apa yang baru boleh dikongsikan di sini, membuatkan saya hanya memandang kosong pada blog yang tiada sebarang 'update'. Tiada apa yang boleh diberi.

Orang yang tiada ilmu, tiada apa yang boleh dia kongsikan.
Orang yang tiada makanan, tidak boleh memberi makan kepada orang lain.
Orang yang teringin pada sesuatu, tidak akan dapat mencapainya jika hanya membuat impian dan tiada usaha.
Macam itu jugalah orang yang inginkan keampunan Allah, syurgaNya, namun tiada usaha ke arahnya, maka tiada apa boleh diharapkannya.

Sebab itu, kita perlu rajin. Berusaha untuk mencapai sesuatu agar kita mampu untuk memberi sesuatu. Nasihat kepada diri sendiri yang menulis. Sesungguhnya, kita yang berkata dan menyampaikan itu, lebih kuat akan diuji dengan apa yang dikatakannya. Rupanya bukan mudah nak jadi orang yang baik, kerana bukan semudahnya untuk Allah beri nikmat syurgaNya kepada hamba-hambaNya. Semuanya perlukan usaha. Agar kita ada 'apa-apa' yang boleh 'ditukarkan' dengan syurga Allah.

Sebenarnya, saja nak menukar otak daripada memikirkan perkara yang dah 2-3 minggu saya fikir sehinggalah kini. Membawa pemikiran kepada perkara yang lebih ringan. Letih memikirkan persoalan yang masih tidak ketemu jawapan pasti. So, entry kali ni hanyalah suka-suka untuk melajukan tangan menaip dan menyentuh keyboard dengan sesuatu yang lebih serius berbanding fb dan sewaktu dengannya.

Jadi, ia hanyalah entry yang kosong daripada sebarang pemberian yang bermanfaat. Tiada sesuatu. Janganlah kalian menjadi seperti saya, yang selalu bertangan kosong. Impian banyak, namun usaha tidak seberapa. 

Astaghfirullah. Moga Allah ampunkan kelemahan saya. 
Baru sedikit halangan, mula melatah seperti tiada harapan.
Mujurlah, Allah masih dekatkan saya dengan insan-insan baik. Mengelakkan saya daripada tersasar membuat keputusan. Itulah Rahim Allah, yang sangat memahami hamba-hambaNya.

Ok lah, itu sahaja rasanya untuk entry bersahaja ini. Namun, bersungguh di sini saya memohon sesiapa yang rajin membaca hingga akhir, mendoakan saya dan keluarga dipermudahkan urusan, dihilangkan segala kerunsingan, dikurniakan dengan ketenangan. Mohon keikhlasan untuk doakan kami. 

Jazakumullahu khair jazak. 
Barakallahu fikum.

Andai masalah itu boleh diterbangkan semudah ini...

:)


Tuesday, August 6, 2013

Berkesankah Ramadan?


Membaca buku Transformasi Ramadan tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil cukup menjadi magnet kesedaran saya tentang hakikat Ramadan yang dilihat di sisi pandang yang lain. Moga Allah merahmati penulisnya dan tulisannya yang dapat saya rasakan, ia adalah tulisan dari hati dan pengalaman.


Ramadan datang membawa kebaikan kepada semua segi kehidupan manusia. Kepada ibu bapa, anak, hubungan suami isteri, anak muda yang berkobar semangatnya dan kepada mereka yang kaya sehingga kepada yang papa kedana. Ramadan datang membawa rahmat untuk semua hambaNya.

Sepanjang sebulan yang hampir ke penghujungnya, apakah yang diajar oleh puasa agar meningkatnya nilai TAQWA yang diperlukan oleh semua hamba yang berkehendakkan ampunan Allah?

Ramadan datang membawa satu kaedah latihan.

"Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran.
Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan.

Ketika kita ada segalanya untuk makan dan minum, namun kita memilih untuk tidak makan kerana mentaati Allah. Itulah latihan, Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya dapat meningkatkan daya kawalan diri. 

Itulah TAQWA, kawalan kehendak-kehendak sendiri untuk selamatkan diri, rumah tangga, anak dan suami/isteri."


Ramadan juga datang membawa didikan terhadap nafsu. Mengajar manusia berkata TIDAK kepada sebahagian keinginan nafsu yang membinasa.

"Bertuhankan tuhan yang palsu tidak perlu menyembah busut atau berhala. Cukup dengan berkata A dan nafsu mahukan B, lalu diutamakan nafsunya mengatasi perintah Allah, maka manusia ini telah mengangkat nafsunya sebagai Tuhan! Siapakah golongan itu? Ia itulah golongan yang tidak mampu berkata TIDAK kepada kecenderungan dan permintaan hawa nafsunya sendiri!"

Sekali lagi, Ramadan datang untuk mengajar anak muda khususnya mendidik amarah dengan berkata tidak terhadap kata-kata lucah, nista, maki hamun dan pergaduhan.

Nabi SAW datang mengajar kita menunjukkan ke'jantan'an dengan mengatakan, "AKU BERPUASA" ketika kesabaran mula terkalahkan oleh amarah.

Beratnya Ramadaan,apabila ia berakhir dengan menguji komitmen dan ISTIQAMAH.

"Memang pelik, 
Apabila manusia berbondong-bondong mengejar solat SUNAT tarawih di masjid, tetapi lengah terhadap solat FARDU yang WAJIB sepanjang masa.

Pelik benar,
Apabila sebulan Ramadan diisi dengan al-Quran, tetapi 11 bulan yang lain al-Quran ditinggalkan.

Janggal benar, 
Ramadan aurat ditutup, tetapi bulan-bulan yang lain macam berubah hukum, berubah Tuhan,

Justeru, asing sekali,
Puasa sudah puasa, tetapi SOLAT belum juga!"

ISTIQAMAH ini, membuatkan Nabi saw beruban memikirkan tentangnya seperti yang diriwayatkan sebuah hadith.

Maka, di kesempatan dan kesempitan masa yang masih ada, cubalah hayati Ramadan dengan seikhlasnya. Moga kita datang kepada Syawal membawa suatu diri yang tinggi. Tinggi kerana berjaya meraih diri yang kembali kepada fitrah. Berjaya menundukkan nafsu, berjaya menghidupkan hati dan meringankan tubuh untuk beribadah. Malah, sikap diubah kepada segala jenis kebaikan seperti yang dikehendaki Allah. Inilah golongan yang kembali. Iaitu 'AIDEEN', kembali ke jalan Allah.

Juga, raikanlah Aidilfitri dengan kejayaan membebaskan diri daripada belenggu jajahan nafsu. Aidilfitri dirai sebab kejayaan memerdekakan diri. Inilah golongan 'FAIZEEN'. Golongan yang berjaya mengembalikan dirinya kepada FITRAH yang terbelenggu oleh nafsu.

Ertikanlah Syawal ini dengan penghayatan Ramadan, dengan sebuah diri yang sebenar.

Salam Aidul Fitri daripada saya,
Sakinah Mohammad,

Mohon kemaafan setulus hati,
Semoga Allah menerima setiap amal ibadah sepanjang Ramadan,
Dan panjangkanlah kesyukuran Syawal,
Beriringan puasa sunat enam hari.
Moga Allah memberkati kalian.
Aidilfitri dirai, Ramadan ditangisi,
Moga ditemukan di masa yang lain nanti.

Sama-sama TRANSFORMASIKAN RAMADAN selepasnya.
Wassalam.

^_^


She's Someone...^_^


“Akak, kalau dengar pasal Nabi Muhammad, air mata mesti bercurah-curah,” katanya. Saya mendengar sambil berfikir, “Bagusnya akak ni..!”
“Kinah masih dalam suasana kinah sendiri. Suasana baik, belum lagi terdedah dengan pelbagai jenis manusia,” katanya penuh makna ketika kami bersama di dalam kereta.
“Jiwang syukur pada Allah atas apa yang diberi dan hargai apa yang ada depan mata rasanya ok, kot.” Amboi ayat dia..:)

****************

Allah takdirkan kami bertemu, di tempat yang pencinta ilmu berkumpul. Siapa sangka ukhuwah itu berkembang dengan baik, hingga melarat ke seluruh keluarga. Pertemuan dengan si dia memberi erti yang baik dalam hidup saya. Allah pasti ada sebabNya tersendiri apabila menemukan kami dan menjadikan kami seperti ahli keluarga sendiri. Jelasnya, saya juga bersyukur. Syukur ditemukan dengan insan-insan yang baik padaNya, termasuklan si dia yang dimaksudkan.

                Beragama bukanlah hanya berkisar mengenai hubungan semata-mata dengan Tuhan. Tapi beragama mengajar kita berhubungan juga dengan makhlukNya. Malah, indahnya Islam, berukhuwah keranaNya sahaja Allah menjanjikan lindungan rahmatNya di waktu manusia dipanah terik matahari berjarak sejengkal di atas kepala di Mahsyar nanti. Itu mafhum hadith Nabi saw mengenai 7 golongan yang akan dinaungi dengan payungan Allah antaranya mereka yang bertemu dan berpisah kerana Allah. Dengan syarat, biarlah kerana Allah.

                Menghayati banyak lagi hadith tentang hubungan sesama manusia ini, khususnya sesama muslim mengajar saya cuba menghubungkan silaturrahim sebanyak mungkin dan sebaik mungkin. Hinggalah mengenali si dia ini, menjadikan saya semakin ‘kreatif’ dalam memaknakan hubungan, dan memanfaatkan teknik-teknik komunikasi dan pengalaman yang sering dikongsi. Si dia yang saya lihat, bukanlah calang-calang manusia biasa yang pernah saya jumpa dalam ‘suasana’ saya. Komitmennya pada agama, dan komitmennya dalam menjaga setiap inci amanah yang tergalas membuat saya cemburu. Tentunya bersamanya semakin hari mengajar saya semakin banyak makna sebuah kehidupan. Kami saling berkongsi.

                Si dia, biarlah dia dan Allah yang tahu. Mungkin juga mereka yang mengenalinya akan mengetahui. Saja saya coretkan sedikit kisah di sini, sebagai satu penghargaan terhadap sebuah ukhuwah yang ikhlas. Terlalu banyak cerita, jika kalian juga mengenali si dia, pasti kalian juga akan ‘sayang’ untuk melepaskannya. Moga Allah memberkati si dia. 

                 Didedikasikan kepadanya yang sedang membaca, di kesempatan indah ini…

Ku dedikasikan khas buatmu,
Sepertimana pernah kau buat untukku,
Walaupun bukan puisi,
Namun hati ini terasa diisi,
Dengan kasih sayang dan rembesan rahmat Ilahi,
Tika aku ditakdirkan mengenali
Insan yang unik ini..:)

Ramadan mulia kian melabuh tirainya,
Betapa aku terasa kelainannya,
Ramadan kali ini engkau di sini,
Menemani hati yang sentiasa resah menanti,
Apakah nafas ini nafas ibadah,
Atau sekadar hembusan nafas biasa…

Syawal ‘kan hadir mengisi haknya,
Kalam ku hulur menuturi kemaafan,
Harapan ibadah dipersembah diterima Ilahi,
Darimu dan juga dari semuanya,
Kekhilafan diakur sepenuh hati,
Moga ukhuwah dirindui syurgawi…

Salam lebaran dariku,
Moga kita benar-benar produk takwa Ramadhan.
^_^