Thursday, July 10, 2014

Where is your Syukr?


Sudah cukupkah saya bersyukur?

Sejak lahir, Allah bagi pelbagai kebaikan dan kelebihan kepada saya, namun saya masih kurang bersyukur. Dari kecil, adik beradik sebelumku tidak pernah merasa tuisyen tambahan, saya mendapat kelebihan itu berbanding mereka. Allah bagi keputusan yang baik-baik dalam apa jua urusanku. Dalam urusan pembelajaran dan pengajian, saya diberi kelancaran segala urusan berkaitannya dengan mudah, sedangkan ramai kawan-kawan yang susah, terhalang, malah terpaksa merayu! Namun, saya masih kurang bersyukur untuk itu!

Apabila mula melangkah lebih jauh dalam perjalanan kehidupan, mula bertemu dengan mereka-mereka yang mempunyai ibubapa yang tidak menitik beratkan agama dalam kehidupan, saya mula mensyukuri apa yang saya ada. Allah lahirkan saya di dalam keluarga yang menitikberatkan kehidupan beragama dan agama dalam setiap sisi kehidupan. Sayu hati mendengar cerita sahabat yang mempunyai keluarga yang tidak menyokong perubahannya untuk bertudung labuh. Adik beradik yang sibuk bergaduh hal harta dunia. Keadaan ibu bapa yang terasa hati dengan sikap anaknya yang sering mengeluarkan kata-kata perlian dan ejekan kepada ibu bapanya. Sahabat yang tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan dan keluarga. Tekanan sekeliling, dengki dan khianat manusia kepada diri dan keluarga.

Sedari perkara itu, saya jauh daripada semua itu. Allah masih pelihara saya dan keluarga saya daripadanya.

Namun, saya masih kurang bersyukur!

Perjalanan diteruskan, hidup ini rupanya tidak hanya berkisar di kalangan diri sendiri dan ahli keluarga. Kenalan pun berkembang, sahabat bertambah, psikologi berubah, akal menuju kematangan. Allah memberi saya peluang dan ruang. Mendekatkan saya dengan insan-insan yang cukup ikhlas beragama, ikhlas mendampingi saudaranya. Namun, saya masih kurang mensyukuri pelbagai nikmat ini!

Hati ini, terus-terusan meminta lebih dari Tuhan. Meminta itu dan ini. Terkadang, terasa malu dengan Tuhan.

Kerana kurang syukur dalam hatikah yang membuatkan saya sentiasa mengingkan yang lebih dari apa yang telah Dia berikan pada saya sekarang?

Di kala saya sedang merengek meminta kefahaman manusia lain dalam soal hati dan perasaan, Allah datangkkan perbandingan. Adik itu meluahkan kesedihan tidak mempunyai masa dengan ibubapa hatta pada bulan istimewa Ramadhan ini, apatah lagi Syawal nanti. Kesempatan seumur hidup tidak pernah diberikan kepadanya untuk berbuka bersama ibubapanya. Hanya dibenarkan berhubung dengan ayahnya ketika waktu pejabat. Anak, dan bapa, berhubung setakat waktu pejabat! Kuatnya dia, entah apa yang terjadi jika saya yang mengisi kakinya, melalui detik-detik seperti itu sepanjang kehidupan.

Sebab itu saya terus merasa, saya kurang bersyukur.

Sepanjang hidup, hanya sedikit sahaja cubaan yang Allah beri kepada kehidupan saya. Itupun, saya jadi tersungkur dan lemah. Mengaduh sana sini. Lambat kembalikan segalanya kepada Dia yang menguji. Allah, kenapalah lemah sangatkah diriku?

Kasih sayang dari Allah, jika dihitung sejak terbentuknya seketul darah di rahim mak, sungguh tak terkira. Entahlah apa yang difikir dua-tiga hari ini, hati jadi sayu. Lemahnya saya dalam menghadapi ujian Tuhan yang hanya sedikit. Sedikit sangat!

Allah, ampunkan kelalaian hambaMu yang kurang bersyukur ini.
Redhakanlah apa yang telah hamba lakukan.
Terima kasih,
Segala puji selayaknya hanya untuk Dzat-Mu Ya Rabb,
Atas segala nikmat dan kebaikan,
Yang dicurahkan kepada hamba..

Begitupun, saya masih kurang bersyukur...
Teman, ingatkanlah diriku,
Agar terus menjadi hambaNya yang bersyukur...


"The key of happiness is GRATITUDE" _ Book of The Magic



0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)