Thursday, March 31, 2011

Nukilan Hati Seorang Sahabat ~Sinergi Cinta~ Bhgn 3 (Akhir)

Aku berasa sangat penat. Mungkin letih membersihkan surau. Habuk ditarik dengan menggunakan vakum. Guna vakum je pun! Itupun rasa penat. Manja! Rintih hatiku. Kelihatan Fiza bersama Nadirah sedang berbual dengan seseorang. Sebuah wajah yang amat menenangkan jiwa, menyejukkan hati. Wajah itu… Astaghfirullahal’azim...!!! Hatiku hanyut seketika. Entah mengapa boleh melayan perasaan yang lara. Motif…? Aku juga tidak mengerti. Kudengar sedikit perbualan mereka. Seperti isu hangat yang dibicarakan.

“Saya harap ustaz faham luahan hati saya… saya rindu…”, kata-kata Fiza terhenti.

"Setidak-tidaknya rindu si pungguk pada rembulan, akan terubat kerana dia masih lagi mampu menatap rembulan biarpun tak mampu menggapainya. Sedangkan rindu kita pada Rasulullah....? Usah difikirkan rindu pada insan biasa seperti ana. Ana nak minta maaf andai kata kata-kata ana ini mengguris hati anti. Pada waktu ini, ana masih tidak bersedia untuk perkara-perkara yang berkaitan hati dan perasaan. Tapi, jangan anti sangka yang ana tak ada perasaan, tak ada keinginan. Bukan begitu..bukan. Cuma bagi ana, buat belum tiba masanya. Bagi ana, jika tiba masanya, ia akan datang dengan sendirinya."

Fiza terdiam sebaik sahaja mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ustaz Zaman. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Lidahnya menjadi kelu. Mahu saja dihentakkan kepalanya ke dinding, di atas ‘keberaniannya’ meluahkan apa yang tidak sepatutnya.

“Saudari Fiza,…semoga anti menjadi seorang anak yang solehah. Jangan gusar tentang jodoh dan pertemuan. Andai kata kita memang berjodoh, ana terima ketentuan Illahi. Jika tidak, ana doakan anti menemui pasangan yang beriman, ideal, bahkan lebih baik dari ana insan kerdil ini. Ana orang susah, ana orang biasa, ijazah pun belum dapat, ilmu pun kurang, harta apatah lagi. Mungkin ada yang lebih baik untuk diri saudari. Simpan ungkapan dan kata-kata manis tadi untuk bakal suami saudari, di saat termeterai segala janji, selepas akad yang suci. Dia lebih layak dari ana… Maafkan ana sekali lagi… Assalamualaikum…”

Ustaz Zaman meninggalkan Fiza dan Nadirah. Kedua-duanya terkedu mendengar ‘motivasi cinta’ dari Ustaz Badiuzzaman Syed an-Nursi. Kata-kata ketua pelajar itu bisa meragut jiwa setiap insan yang mendengarnya. Aku…? Aku berdiri tegak, bahkan lebih tegak daripada tiang surau di sebelahku. Hatiku tersentap. Motif…? Aku juga tidak mengerti. Malam itu aku tidak dapat tidur kerana sibuk melayan luahan kekecewaan Fiza. Dah ada assignment baru, ada kerja baru. Jadi doktor cinta la pulak…! Aku bermonolog sendirian.

Satu semester berlalu, Fiza semakin ceria. Mana tidaknya, dia telah menemui pengganti pujaan hatinya, Ustaz Zaman. Lagi sebulan Fiza akan bertunang, dengan seorang ustaz. Ustaz Asyraf, anak kelahiran negeri Kedah. Subhanallah, tawadhuk orangnya. Pasti aku tidak layak bersuami dengan lelaki sepertinya. Pagi ini aku tersentak lagi. Kata mak, ada orang datang meminangku. Dari Kedah juga! Dengan tegas aku menolak, alasan? Aku tidak layak untuk itu. Seminggu berturut-turut aku bermunajat kepada Allah, minta petunjuk kepada Yang Maha Esa. Lantas jawapanku kepada emak, “Terpulanglah kepada mak dan abah”. Majlis pertunangan berlangsung. Berderau darahku sewaktu mengetahui insan dari Kedah itu adalah Ustaz Badiuzzaman Syed an-Nursi. Selama ini aku tidak pernah mengambil tahu perihal bakal tunangku. Seusai majlis pertunangan, adik memberi sepucuk surat. Lantasku baca tiap bait-bait katanya. Ringkas, tetapi mampu menggetarkan jiwaku.

Assalamualaikum w.b.t.

Ke hadapan tunangku, Fatin Farhana bt Sukunam. Maafkan ana kerana selama ini tidak berterus-terang kepada anti. Ana bukan ahli pujangga yang pandai memikat hati si gadis. Ana hanyalah seorang insan biasa yang dhaif. Luahan hati ana, terlakar di dalam bait lagu ini. Moga-moga anti dapat memahaminya, walau tidak diluahkan dengan kata-kata.

Duhai kasih cuba kau dengarkan

Isi hati penuh kejujuran

Dengan sepenuh keikhlasan

Ku dambakan pengertian

Jangan kau dengar fitnah dunia

Kerna ianya dusta semata

Menghancurkan kesucian

Jalinan kebahagiaan

Sebenarnya aku merasa

Sinar cahaya yang gemilang

Ketika kau beriku harapan

Dan sering aku harapkan

Cinta berlandas keimanan

Dan kasih suci kitakan diberkati

Syukran kerana sudi memerima ana dalam hidup anti. Semoga Allah berkati hubungan yang suci ini.

Ikhlas dari hati, Muhammad Baziuzzaman Syed an-Nursi.

Maka, pada tarikh keramat 5 Disember 2011, termeterailah suatu janji, akad yang suci dan diredhai Allah. Insan yang dahulunya kupanggil dengan nama Ustaz Zaman, kini menjadi ‘abang’. Geli juga pada pertama kali aku menyebutnya. Malam pertama pernikahan, aku menjadi gementar. Tetapi perasaan itu tidak sama seperti gadis-gadis yang lain. Hidungku berdarah tanpa henti. Sakit kepala yang dahsyat kurasakan. Suamiku kelihatan sangat risau, kereta Proton Iswara berwarna biru dipandu laju. Kata doktor, aku mengalami barah otak, tahap ketiga. Peratusan untuk hidup lama sangat tipis.

Malam itu menjadi kelam sekali lagi. Aku dapat merasakan tangan yang lembut menggenggam kedua tanganku. Nyamanku rasakan, seolah-olah dilindungi. Pagi itu aku terjaga dari tidur. Air jernih mengalir perlahan membasahi pipi sebaik sahaja melihat wajah suamiku. Ketenangan wajahnya mententeramkan jiwa. Perlahan-lahan dibisikkan sesuatu di telingaku.

"Seorang isteri yang solehah, tenang dalam kesusahan, mencari kekuatan dalam doanya, memohon keampunan dalam istighfar, dan mendidik diri melalui solat yang khusyu'. Kesusahan itu suatu tarbiyyah, kesabaran itu sangat indah...bersabarlah sayangku. Abang sayang Ana…"

Waktu siang berlalu dengan pantas. Malam itu entah mengapa sakit itu datang lagi. Selain dari bunyi tangisan, kedengaran suara bacaan ayat suci al-Quran. Kakiku menjadi kebas, seolah-olah ditarik. Tubuhku menggigil. Sakit yang kurasakan tidak tertanggung lagi. Kalimah syahadah dibisikkan ke telingaku. Aku menuruti kalimah suci itu perlahan-lahan. “Laila ha illallah…” Kelam pandanganku. Mungkin itu kekal buat selama-lamanya.

………………………………………….

Badiuzzaman tertunduk diam. Matanya sayu melihat pada satu sisi. Isteri tercinta telah meninggalkannya…untuk selama-lamanya.

Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.."(Surah Al-Hadid: 22-23).


****SEKIAN****


Hasil Nukilan seorang sahabat yang sentiasa tabah dalam menghadapi ujian kehidupan. Moga ALlah merahmatinya....

Amin...

Wednesday, March 30, 2011

Nukilan Hati Seorang Sahabat ~Sinergi Cinta~ Bhgn 2

Cuti tahunan berlalu seperti biasa pada setiap tahun. Saat itu barulah aku berpeluang menemui ahli keluargaku yang lain. Jika diikutkan bukanlah selama ini tidak berpeluang, cuma…aku lebih selesa jika tidak pulang ke rumah. Beberapa kali juga emak menyuruhku pulang di saat cuti Tahun Baru Cina atau Thaipusam, sengajaku beralasan, sedangkan rumahku hanya beberapa kilometer dari sekolah. Kerinduan seorang ibu sentiasa melebihi anaknya. Itulah kasih sayang ibu. Mungkin suatu hari nanti apabila aku berpeluang menjadi ibu, pasti aku dapat memahami perasaan itu dengan lebih mendalam. Berpeluangkah aku…? Persoalan itu sentiasa timbul di benakku. Andaian awal dariku, ‘Aku tidak sebertuah orang lain’.

Kepulanganku ke rumah sentiasa disambut baik oleh mak dan abah. Namun tidak bagi adik-beradikku yang lain. Maklumlah, aku ini dilihat sebagai anak yang banyak menurut dari melawan, anak yang banyak bekerja dari bercakap, anak yang paling ‘cergas’ dan ‘sihat’. Hijrahku dalam pemakaian tudung labuh, rupanya tidak disenangi oleh mak dan kedua orang kakakku. Kakakku selalu mengherdik dan melarangku dari berpakaian seperti ‘ustazah’. Kata kakak, munafik gayanya. Buat malu saja. Kata emak pula, pakai tudung biar bersederhana, tak perlu labuh. Ah…! Aku tidak dapat merasakan di mana rasionalnya kata-kata mereka. Pernah suatu petang kulemparkan sehelai tudung labuh ke arah emakku, sebaik sahaja dia menyatakan larangan itu kepadaku. Perbuatanku itu agak keterlaluan kurasakan. Aku merintih sendirian, mengenang nasibku ini. Benarlah kata ustazah, apabila seseorang itu nak berubah, ada sahaja dugaan yang datang. Dugaan itu bukan untuk membuat kita putus asa, bukan untuk menjatuhkan kita. Tetapi untuk meninggikan darjat kita. Itulah kasih Allah. Lama-kelamaan ahli keluargaku dapat menerima perubahanku. Daripada membenarkan aku untuk berhijrah ke tudung labuh, makanan syubhah dan halal juga dititikberatkan… Alhamdulillah Ya Allah…

Memulakan langkah itu memang perit…
bertatih..jatuh...dan bangun semula…
terasa diri kembara sendirian…
hati sentiasa mengimpikan syurga idaman…
sedangkan diri tak tahan dengan ujian…
kerdilnya diri bila menghitung titisan jernih…
titisan air mata kecewa…
rupanya masih sedikit cinta dan kasih ini dipadu..kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Dua, tiga bulan berlalu. Tahun silih berganti. Alhamdulillah, hati aku semakin tenang, kerana aku merasai suatu cinta yang hakiki. “Allah melihat kita. Allah mendengar kita. Allah bersama-sama kita. Allah membantu kita…hamba-hambaNya yang beriman. Yakinlah pada janji Allah, insyaAllah…semua yang berlaku ada hikmahnya, ada makna disebaliknya.” Perubahan demi perubahan aku lalui. Pelbagai ujian dan tohmahan aku terima. Aku melalui zaman persekolahan dengan penuh tabah. Semakin aku cuba berubah, semakin banyak ujian yang menimpa. Aku cuba laluinya dengan tabah. Ayat ke 139, surah ali-Imran sentiasa menjadi peganganku.

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman." (Ali Imran:139)

Aku semakin mengenal apa itu konsep usrah, dakwah, perasaan manisnya bekerja dalam jemaah Islamiah. Aku juga lebih mengenal apa itu cinta. Cinta aku kepada Allah.., cinta aku kepada Rasulullah, membuatkan aku semakin cinta kepada keluargaku, semakin aku memahami erti persahabatan. Subhanallah, inikah nikmat cintaMu kepadaku? Dengan hanya mendalami perasaan cinta kepadaMu, lantas engkau berikanku perasaan cinta dari semua insan yang berada di sampingku.

Kakiku terasa sejuk, kebas…aku terasa sangat lenguh. Sebuah suara yang membingitkan telinga kedengaran. “Rehatlah Ana…, awak dari tadi tak berhanti study…asyik tersengguk-sengguk. Mahasiswi UKM, Muslimat Power..!!! Student Power…!!!” Pangggg…!!! Ada sesuatu yang terhentak pada kepalaku. “Aduh…mak, sakitnya..aduh, pening… ada buah durian jatuh ke?” “Durian…? ha ha ha…ko jangan loghat sangat! Mana ada durian kat sini. Ni hah…, kamus ko tak susun betul-betul kat rak. Jatuh la dia..,memang padan jatuh atas kepala ko. Aku suruh tido tadi ko tak nak. Okey, once more.. sleep now..!!! Ermm… buah durian yang baru jatuh tu, simpan dulu ya. Esok kita buat cekodok. Ha..ha..ha.. kelakar la ko ni.” Gelak tawa Fiza, teman sebilikku merangkul ‘P.A’. bisa merosakkan gegendang telingaku. “Baiklah sayangku Datin Nur Hafizah Mohd Nor!!!” Sempatku tarik telinganya, sebagai balasan. Deraanku padanya bukan sebagai balasan dendam, tetapi balasan di atas kasih sayang dan nilai persahabatan yang telah dihulurkannya.

Aku membasahi anggota wuduk, lalu sujud menyembah Tuhan. Ku panjatkan kesyukuran, kerana menempatkan aku di bumi intelek ini, sepenuh penghargaan kerana dikurniakan teman-teman yang baik hati. Syukur juga, kerana masih diberi nikmat hidup, yang aku belum pasti sampai bila nikmat itu dikembalikan pada Yang Maha Esa. Hidungku berdarah seusai aku bersolat. ‘Awal pula ‘hingus’ keluar hari ini. Darah yang selalu mengalir di hidungku sudah dianggap bagaikan hingus. Sudah menjadi kebiasaan bagiku melayan karenah hidung ini. Manja!

20 Mei 2011,……

Karnival Kesenian Islam berlangsung buat julung kalinya. Selama ini yang ada cuma konsert-konsert dan program hiburan. Ataupun mungkin program berbentuk Islam, namun hanya sekadar nama. Tahun ini gerakan dakwah di sini semakin ‘agresif’. Bukan agresif sehingga mengganas, tetapi keinginan mahasiswa untuk menikmati kehidupan Islam semakin membara. Berkat usaha majoriti mahasiswa yang inginkan perubahan, maka pentadbiran dirombak. Satu persatu program dakwah dirancang. Semakin sibuk hidupku dengan kerja-kerja dakwah. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku dikurniakan Allah kesibukan yang tidak terhingga ini. Dengan kesibukan dalam gerakan dakwah ini, maka tidak sempat untuk aku membuat perkara-perkara yang membuang masa. Biar berpenat lelah kerana menegakkan Islam, jangan kerana menjatuhkan Islam.

Kepalaku pening sekali lagi. Aku terasa sangat panas. Terik matahari bisa ‘membunuhku’. Mana tidaknya, hujan panas yang keterlaluan boleh membuat ‘hingusku’ keluar berderau-derau. “Ustazah…ustazah… anti okey?” Suatu suara lunak kedengaran samar-samar di telingaku. “Hidung ustazah berdarah…”. Aku tersentap. Aduh, Maluku rasakan. Lantas aku berlari menuju ke tandas. Kedengaran sayup-sayup suara perbualan Ustaz Zaman dan Fiza. “Ustazah Ana sakitkah?” “Tak adalah ustaz, dia memang begitu. Waktu kecil dulu, dia masukkan batu ke dalam hidung. Selepas pembedahan, hidungnya menjadi sangat sensitif. Selalu berdarah ustaz…dalam seminggu 3, 4 kali berdarah. Paling teruk dalam sehari, berdarah 2, 3 kali, tak kira hujan panas.” Fiza menjelaskan kepada Ustaz Zaman. “Dia tak sakitkah? Tak pergi check doktor?” “Dah banyak kali ustaz, sejak kecil lagi. Setiap kali pergi klinik atau hospital, doktor akan check darah. Jawapannya sama, banyakkan rehat, jangan main panas, banyakkan minum air. Baru-baru ini katanya, dah putus asa, sakit selalu kena suntikan jarum. Tapi jangan risau, dia tak ada sakit parah pun ustaz.”

Malam itu aku sakit kepala sekali lagi. Bukan sakit kepala semata-mata, tetapi telinga juga turut berdenyut-denyut. Mana tidaknya, Fiza sedang dilamun asmara. Setiap hari cerita Ustaz Zaman masuk ke telingaku. Cuma pada malam ini aku diselitkan ke dalam kisah cintannya. Kata Fiza, Ustaz Zaman ambil berat padaku. Aku tersentak mendengarnya. Motif…? Aku juga tidak mengerti.

Kakiku terasa sejuk…sangat sejuk. Terdengar tangisan mak…esakan adik. “Ana, jangan tinggalkan mak. Ana…biar mak yang pergi dulu, jangan Ana. Ana masih muda, hidup masih panjang. Bertahanlah Ana…” Air jernih mengalir di pipiku. Sekali lagi kelam pandanganku...

**Bersambung....

Tuesday, March 29, 2011

Nukilan Hati Seorang Sahabat ~Sinergi Cinta~ Bhgn 1

Heningnya malam, tidak sedikitpun bisa mengubah perasaan tiap-tiap manusia yang berada di sampingku. Mak, abah, along, angah, adik…..abang tercinta..,serta semua saudara terdekat, kini berada di sampingku. Ada majlis apakah waktu-waktu begini? Aku terdengar tangisan, entah dari mana datangnya. Pandanganku terasa kabur, samar-samar…

Aku merasakan sakit yang teramat sangat. Terngiang-ngiang kisah kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Di saat ajal menjelma, bukan kesakitan diri yang dirasakan, tetapi penderitaan ummatnya. Kalimah ‘ummati..ummati’ keluar dari mulut baginda. Bagaimana pula dengan aku? Di saat ini Ya Allah, sakitku rasakan. Beginikah rasanya mati? Di saat ini juga,,tubuhku terasa sangat sejuk, kakiku menggigil. Namun, tangan kecilku merasa suatu kehangatan. Sepasang tangan yang halus, lembut menggenggam tanganku. Tenteram kurasakan. Bibirnya basah membaca kalimat Tuhanku…

“Salamunqaulammirrabbirrahim…..salamunqaulammirrabbirrahim…salamunqaulammirrabbirrahim”. Allah…!!! Tenangnya kurasakan. Tiba-tiba titisan jernih jatuh membasahi tanganku. Bacaan Yasin terhenti seketika. Ada tangisan yang cuba ditahan. Air jernih itu semakin deras. “Abang..maafkan Ana.. Ana bukan isteri yg terbaik buat abang… Ana tak mampu bertahan lagi…”. Hati kecilku berbisik, namun tidak mampu untuk diungkapkan dengan kata-kata. Subhanallah…wal hamdulillah..wa la ilaha illallah, wallahu akbar…

Di saat ini aku turut menangis. Apa yang aku tangiskan..? Adakah kerana aku merasa kesakitan yang amat sangat? Atau kerana aku takutkan ajal yang semakin mendekatiku? Mungkin juga perasaan tidak mahu berpisah dengan suami tercinta dan keluarga yang lain..? Dinginku rasakan. Tiba-tiba pandanganku menjadi kelam…

*****************

Aku berada di sebuah tempat, yang tidak asing lagi bagiku. SMK Abu Bakar As-Siddiq. Saat itu aku terasa sangat lemah. Kepalaku terasa begitu berat sekali. Perjalananku dari surau ke asrama perempuan terasa jauh berbatu. Hati ini bagaikan terluka setelah mendengar gosip panas dari mulut teman-temanku. “Wah… kawan kita, Haneeza.. sekarang ni couple dengan Syukran! Sangat secocok mereka berdua, bagai pinang dibelah dua..!” Itu antara yang kudengar keluar dari mulut Faridah, teman karibku. Banyak lagi berita-berita hangat yang kudengari, sengaja tidak ku endahkan. Usahaku ke surau untuk mencari ketenangan, menemui jalan buntu. Aku tidak merasa tenang, bahkan semakin tertekan. Aku cuba melupakan gosip liar ini.

Kakiku melangkah longlai. Perlahan-lahan, sehingga akhirnya aku melalui sebuah papan kenyataan. Aku cuba untuk meneruskan langkah kakiku. Seandainya aku kuat, pasti segala penyiksaan hati ini akan berakhir! Cuba kupujuk hati ini. Langkah kakiku terhenti seketika. Aku mengundur semula. Bagi melupakan segala keresahan di jiwa, ku paksa diri ini untuk membaca notis-notis yang terpampang pada papan kenyataan. Tiada apa yang menarik, hanya beberapa pengumuman yang lapuk dek terkena hujan dan panas. Ada satu artikel lusuh berwarna merah jambu, warna kegemaranku. ‘Kisah kewafatan Nabi s.a.w.’. Hati ini terasa bosan untuk meneliti bait-bait artikel yang kelihatan tidak menarik dan buruk. Bagiku, artikel perlu kelihatan menarik, baru orang yang melihatnya tertarik. Namun, entah mengapa walau hati tidak merelakan akan tetapi mata liar menuruti tiap baris yang terkandung dalam artikel ini.

((Ya Rasulullah…..Nabi Muhammad s.a.w. , insan teragung, sebaik-baik kejadian, menjadi contoh sepanjang zaman. Paling mulia akhlaknya. Semulia mana baginda di hati kita? Wahai ummat Nabi Muhammad s.a.w. Mari kita ikuti kisah kewafatan Nabi s.a.w. Moga-moga cinta kita padanya akan lahir, akan subur, akan mekar indah dan berbunga cinta. InsyaAllah…

Di saat Nabi Muhammad s.a.w. merasa sakit dan lemah, tiba-tiba dari luar pintu rumah baginda, terdengar suara yang mengucap salam. “Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk?” Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maaf, ayahku sedang sakit,” kata Fatimah yang memalingkan badannya dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahandanya yang sudah membuka mata. Kemudian bertanya kepada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?” “Tak tahu, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” Fatimah menjawab dengan penuh sopan. Lalu, baginda menatap puterinya. “Ketahuilah wahai Fatimah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut,” Ungkapan Rasulullah itu menikam jiwa Fatimah. Rasulullah meminta tetamu itu dijemput masuk.

Malaikat maut datang menghampiri, lantas baginda menanyakan Jibril, mengapa tidak ikut bersama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia untuk menyambut kekasih Allah dan penghulu dunia ini. “Wahai Jibril, jelaskan padaku, apakah yang menjadi hak bagi diriku di hadapan Allah kelak?” “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuat Rasulullah merasa lega, bahkan mata baginda penuh kebimbangan.“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?”, tanya Jibril lagi. Lantas baginda bertanya lagi, “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” “Jangan khuawatir, wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik getir semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugasnya. Perlahan-lahan ruh baginda ditarik. Kelihatan seluruh tubuh Rasulullah s.a.w. bersimbah peluh, urat-urat leher menegang. ”Jibril, sakitnya sakaratul maut ini…” Perlahan Rasulullah mengaduh. Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau memalingkan wajahmu, wahai Jibril?” Tanya Rasulullah kepada Malaikat pengantar wahyu itu. “Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril. Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, kerana sakit yang tidak tertahan lagi. “Ya Allah, dahsyat maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku,.. jangan kepada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dada sudah tidak bergerak lagi. Bibir baginda bergetar seakan membisikkan sesuatu.“Uushiikum bis-shalaati, wamaa malakat aimaanukum (peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu).” Di luar, pintu terdengar tangis bersahutan, para sahabat saling berpelukan. Fatimah menangkup wajahnya dangan tangan, dan Ali r.a. mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. “Ummatii, ummatii, ummatii…!!! (Umatku, umatku, umatku…!!!).” Maka berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai baginda sedalam cintanya kepada kita? Betapa cintanya Rasulullah s.a.w. kepada kita. ))

Suasana petang di asrama Abu Bakar as-Siddiq sangat nyaman. Angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut dedaun yang lebat di pohon rendang. “Aduh…rasa macam nak membuang bahan toksik la…tandas..tandas…”, Haneeza berlari sambil diekori sepasang anak mata milik jejaka bernama Syukran. “Ah, peduli apa…! Aku kan ada Allah… lelaki yang aku cinta Rasulullah….! Muslimat sejati takkan ber‘couple’…!!!” Hati kecilku yang lemah iman, tiba-tiba bersuara. Tegas bunyinya. Namun, hati kecilku ini masih lagi meragui sama ada bisikan halus itu benar-benar kerana Allah atau kerana suatu istilah berduri yang dinamakaan..C.E.M.B.U.R.U… “Aduh, kalau demam boleh diubati, tapi penyakit hati ni tak ada doktornya. Mana nak cari doktor cinta?” Aku mengabaikan sahaja rintihan-rintihan hatiku. Terasa terlalu banyak gangguan syaitan yang bersarang di dalam benak hati ini. “Astaghfirullahal’aziim… Astaghfirullahal’aziim…”.

**bersambung…….

Friday, March 11, 2011

Akhirnya Aku Terduduk....

Akhirnya aku terduduk

Mendengar teguran berhikmah seorang sahabat akhirat

Yang menegur untuk maruahku

Yang membuatku sedari akan kesilapan dan kekurangan diri…

Diriku terduduk seolah ingin menangis,

melihat kembali kesilapan-kesilapan yang sengaja dilakukan

Ya Allah,

Betapa lalainya hambaMu ini,

Betapa jahilnya diri yang hina ini,

Menyakiti hati yang tidak berdosa,

Menghilangkan komitmen dalam bicara,

Segala yang ku lakukan serba tidak kena,

Dek kesedaran yang melintas di hati,

Berwasilahkan teman sejati…

Ya Rabbana,

Inginku duduk, diam dan menangis hiba,

Di kala malam sunyi,

Tiada siapa yang menemani,

Namun ya Allah,

Mengapakah air mata ini tidak ingin mengalir?

Mengapa hamba hanya mampu menangis di dalam hati?

Hati sebak, sungguh ya Allah,

Aku mengakui kelalaian dan kecuaian diri…

Namun tetap jua ku kesali,

Kenapa seolah ku tidak matang dalam menghadapi ujian,

Menampakkan seolah diriku tidak layak untuk berada di posisi itu,

Namun ku sering memotivasikan diri,

Allah sendiri telah memilihku…

Berharap agar ia dapat menenangkan hati..

Moga Allah memudahkan segala urusan hatiku,

Agar bersih dari noda dan dosa,

Agar terpelihara daripada perkara yang merosakkan…

Ku mohon ya Allah,

Sentiasalah memilihku di kalangan hamba2Mu yang solehah,

Yang sering terpelihara iman dan amalnya,

Yang dijagai etika dan akhlaknya,

Agar aku termasuk di kalangan mereka yang berjaya,

Bukan sekadar di dunia, namun di akhirat sana…

*Syukran kepada sahabat sejati, kerana menegur ikhlas dari hati, moga Allah memberkati….amin..

Friday, March 4, 2011

Manisnya Ujian

Apakah erti di sebalik air mata??

Bismillahirrahmanirrahim….

Di kala ini, segala tugasan yang diamanahkan kepadaku tidak dapat aku laksanakan dengan sempurna. Mengecewakan orang sekeliling. Menyusahkan mereka yang memberi kepercayaan kepada diri ini. Sungguh aku memang tidak reti menyusun waktu. Merasanakan diri ini begitu lemah. Di saat emosi semakin rendah, di ketika itu aku beristighfar di dalam hati. Dan aku menyedarinya…

Ya Allah…

Sunnguh ku akui. Bila diri ini merasa payah dan susah dengan amanah yang diberikan, selalu aku kan merasa diriMu dekat padaku ya Allah, di sisiku. Membantu tanpa jemu… Aku sedar Allah sentiasa kan bersamaku, walau aku kekadang melupakanNya di kala aku berasa senang dan berada di alam keselesaan… aku menyoal di dalam diri… mengapakah aku bersikap seperti itu? Padahal pada setiap hari aku mempelajari ilmu agamaNya…ilmu pemberianNya.. Masih juga aku terleka..walau setiap hari aku menyebut namaNya…

Seorang sahabat pernah bertanya kepada saya…

“Ada tak rasa sesuatu bila dengar nama Allah disebut?”

Sepertimana firman Ilahi di dalam kitabNya yang mulia:


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ …

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka. (Surah al-Anfal:2)

Kerana inilah sifat seorang mukmin yang sejati. Persoalan yg diajukan kepadaku, tidak dapat aku jawab dengan lisan. Hanya hati sahaja yang mampu menjawabnya. Dan hati ini mengakui, keimanan ini belum lagi sempurna. Malahan masih lemah sebenarnya. Sahabat2 yang bersih hatinya, tatkala mereka mendengar nama Allah disebut, mereka merasakan sesuatu getaran serta satu perasaan yang indah, mereka merasakan kebesaran Allah di hati mereka. Merasakan lemahnya diri mereka berbanding dengan kuasa besar Allah. Tapi…bergetar kah hati ni? Astaghfirullah….sesungguhnya aku masih tidak merasa apa itu kemanisan iman yang sebenar.. Persoalan ini sahaja telah aku gagal…apakan lagi yang lain..

Lalu, apa yang dilakukan? Menangisi? Merenungi diri?

Apalah yang dapatku perbuat?

Andai aku merenung kembali, pastinya aku akan membuat konklusi akan masalah hati ini berpunca kerana kotornya hatiku dengan titik noda dosa dan maksiat. Ya Allah….betapa hinanya diri ini.. di saat aku memerlukan, hanya aku mengharap kepadaMu…tiada yang lain… Namun, mengapa ketika aku di dalam kesenangan, dengan mudah aku lupa untuk menangis di hadapanMu. Betapa kotornya aku ya Allah…andai Engkau tidak mengampuniku ya Allah, maka termasuklah aku di kalangan yang rugi di dunia dan akhirat…

Inilah agaknya, ketika aku kembali ke realiti, betapa orang mengatakan inilah manisnya ujian. Kerana ujian yang membuatku memuhasabah diri. Ujian yang membuatku kembali mengadu kepada Allah. ujian juga menjadikanku mematangkan diri dan memantapkan keimanan.

Tatkala diri rebah tak bermaya,

Allah sentiasa di hati menemani,

Ibarat manusia dan bayang-bayangnya,

Aku merasa sentiasa dekat kepadaNya…

Namun,

Bisikan apakah yang merasuki hati,

Bayang hitam seolah menyelimuti diri,

Aku seakan lupa perasaan ini,

Ketika mana hati bergembira tari,

Jiwa tidak rebah menangisi,

Allah seolah diletakkan di tepi hati…

Ku menyedari,

Betapa aku mengakui ya Allah,

Aku telah terlalai sendiri,

Tanpa menghayati,

Apa itu hakikat keimanan,

Apa itu hakikat mukmin sejati,

Apakah itu ketaqwaan yang menghiasi peribadi…

Aku sentiasa lemah Ya Allah,

Dalam menghadapi kehidupan ini,

Aku memerlukan petunjukMu sentiasa,

Agar DiriMu sering mengarahkanku

KE JALAN KEREDHAANMU….