Wednesday, June 26, 2013

PENJAJAHAN ISTILAH 2.0


Bismillahi walhamdulillah. Wassolatu wassalamu 'ala Rasulillah.

Menyambung kembali penulisan berkenaan salah faham berkaitan Islam pada entry Penjajahan Istilah (1) dalam skop pengistilahan. Sebelum itu, jom kita tonton terlebih dahulu satu video yang berkaitan:


Saya temui video ini secara tidak sengaja di YouTube, dan terus merancang untuk mengarang sambungan entry ini. Rasa seperti janji yang tertangguh selagi tidak menulis sambungan ini.

Ok, kalian faham apa yang ingin disampaikan dalam video ini? 

Ia adalah konklusi mudah terhadap makna 'jihad' yang disalahfahami oleh anti-Islam di luar sana sehingga terbitnya pengistilahan yang disalahertikan yang telah saya nyatakan sebelum ini.

Sebelum ini telah saya ceritakan berkaitan istilah Terrorist Islam. Jadi, untuk kali ini saya meletakkan kombinasi makna terhadap 3 istilah berbaki:

                               1. Ekstrimis Islam
                               2. Fundamentalis Muslim
                               3. Moderate Muslim

Apa yang ditakuti oleh Barat adalah semangat jihad umat Islam yang dibawa oleh zaman salafussoleh lagi. Bagi mereka, golongan salafussoleh adalah mereka yang tidak boleh dijadikan contoh. Kesilapan mereka dalam memahami makna jihad dalam istilah yang sebenar membawa mereka kepada kesalahfahaman yang besar ini. Untuk itu, mungkin penerangan ini tidak terlalu terperinci, kerana saya hanya akan menyentuh pada aspek yang penting sahaja.

Ekstrimis dan Fundamentalis Muslim difahami dengan makna yang hampir sama dengan pemahaman mereka berkaitan terrorism Islam. Golongan ini diertikan sebagai orang yang mengidolakan tokoh di zaman salafussoleh dan mengikuti jejak langkah mereka. Mereka yang rajin melaungkan semangat jihad terus dianggap sebagai ekstrimis mahupun fundamentalis. Selain itu, golongan muslim yang berusaha mengembalikan umat Islam kembali kepada Islam yang sebenar, serta berusaha untuk memartabatkan Islam dalam negara juga disebut sebagai golongan fundamentalis dan ekstrimis oleh mereka yang anti-Jihad dan anti-Islam. 

Seperti yang terlihat dalam video tadi, mereka terus menganggap jihad itu sebagai serangan dan perang! Perbuatan-perbuatan seperti pengeboman, kehancuran dan huru-hara. 

Walhal, dalam memahami istilah ekstrimis, Islam mendefinisikan ia sebagai golongan pelampau agama yang telahpun wujud sejak zaman Nabi dan sahabat lagi antaranya golongan yang enggan membayar zakat, mengaku sebagai Nabi dan melampau dalam mengamalkan agama seperti berpuasa dan tidak berbuka, beribadah sepanjang hayat tanpa ingin berkahwin, dan solat sepanjang hari tanpa menunaikan hak jasad. Ini adalah apa yang diertikan sebagai ektrimis dalam Islam, namun disalahertikan oleh yang berkenaan bagi merosakkan lagi imej dan gambaran dunia terhadap Islam.

Mengenai istilah fundamentalis, Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi mengatakan bahawa fundamentalis adalah golongan muslim terbaik. Fundamentalis termasuk di kalangan para ulama' yang faqqih dalam ilmu syariah dan ilmu-ilmu berkaitan Islam, serta yang menyumbang kepadanya seperti istinbat hukum, dan penulisan. Fundamentalis Islam bukanlah seperti apa yang diertikan oleh Barat sebagai golongan yang negatif, walhal fundamental itu sendiri merujuk kepada asas Islam yang berpegang kepada 3 rujukan utama; Al-Quran, Sunnah dan Ijma'.

Ini adalah penjajahan yang mereka lakukan dalam mengistilahkan makna yang berkaitan Islam untuk digambarkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang mengajar keganasan.

Berbeza dengan istilah Moderate Muslim yang mereka definisikan. Moderate Muslim yang diertikan sebagai wasatiyyah dalam Islam diertikan dengan ciri-ciri seperti berikut:

                                  > Muslim yang menolak dan tidak mendokong jihad
                                  > Muslim yang tidak mengidolakan salafussoleh
                                  > Muslim yang cenderung untuk berhubungan dengan negara bukan Islam
                                  > Yang suka meminta pandangan negara bukan Islam dan memerlukan bantuannya
                                  > Berbuat baik kepada negara bukan Islam melebihi negara Islam

....and so on....

Apa yang kita boleh lihat di sini, apabila Barat memberi erti bahawa muslim wasatiyyah yang merupakan sebaik-baik muslim adalah mereka yang sememangnya berpihak kepada mereka, dan tidak berpihak kepada orang Islam. Apakah itu? Logiknya, itukah sebaik-baik muslim yang dimaksudkan oleh Islam? Melebihkan golongan bukan Islam, malah mempertahankannya melebihi saudara seislam. Bila saya meneliti istilah ini, maka baru saya faham mengapa Malaysia kerap dipuji oleh Barat khususnya Amerika Syarikat sebagai negara Islam yang moderate, dan dari mana datangnya konsep Wasatiyyah Najib. Sedaangkan, wasatiyyah yang paling baik adalah apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Prinsip umat Islam yang perlu dipegang :



Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.


Umat Islam makin dikelirukan!

Wallahu a'lam...


Wednesday, June 12, 2013

PENJAJAHAN ISTILAH 1.0


Salam Imtihan,

1stly, saya dedikasikan doa kebaikan khusus buat pensyarah subjek ini; Prof. Dr. Tengku Ghani Tengku Jusoh yang sangat banyak mencurahkan ilmu.. Barakallahu fihi..

*******************

Berkenaan entry kali ni, saya terlalu lama menyimpan topik ini untuk dikongsikan di sini sebenarnya, namun masa tidak mengizinkan, serta susunan ilmu masih 'caca-merba' ketika di awal semester. Info ini saya perolehi dan pelajari secara khusus di dalam subjek I'jaz al-Quran di bawah Jabatan Arab. So, I'jaz al-Quran ini tidaklah membincangkan tentang mukjizat al-Quran yang dibawakan oleh Jabatan Quran Sunnah,  ia lain sikit. Very interesting! Sehinggakan selepas sahaja saya menghabiskan topik ini di dalam kuliah, terus saya 'note' kan di depan desktop untuk update di blog. Tapi, lepas exam semalam, barulah saya rasa dapat nak share dengan lebih tersusun.

Ok, ceritanya begini. Masyarakat dunia sekarang digemparkan dengan pelbagai jenayah dunia yang tidak dipedulikan oleh undang-undang dunia mahupun PBB. Tanpa kita sedari, semua yang direncanakan oleh pihak barat khususnya adalah untuk menjatuhkan serta melemahkan umat Islam. Mungkin kita tidak menyangka bahawa dengan istilah sahaja, Islam dapat dirosakkan. Saya sendiri tak pernah terfikir, namun itulah realitinya.

Selepas peristiwa 11 September 2001, Islam mula dikecam dengan hebat dan istilah-istilah yang directly merujuk kepada Islam diperkenalkan. 4 istilah utamanya yang digunakan untuk menjajah pemikiran umat Islam ialah:

                   1. Terrorisme (الارهاب)
                   2. Extrimist ( المتطرف )
                   3. Muslim Moderate ( المسلم المعتدل )
                   4. Fundamentalis ( المسلم الحق )

Saya akan share tentang istilah ini dalam entry yang berbeza. Supaya tidak terlalu panjang.

Ok, cuba korang klik link ni, sebagai bukti bahawa mereka jelas-jelas menuduh Islam terrorist sebagai penyerang kepada peristiwa 11 Sept 2001. (http://en.wikipedia.org/wiki/September_11_attacks). Wikipedia, yang menjadi database seluruh dunia...

Sememangnya Allah pun dah bagi tahu dalam al-Quran bahawa orang kafir tidak akan berdiam diri selagi kita tidak mengikut agama mereka (QS Al-Baqarah:120). So, disebabkan permusuhan Yahudi dan Nasrani ini kepada Islam, mereka meletakkan kesalahan yang tidak dipastikan ini kepada kumpulan Islam dan terus digelar terrorist. Islam Terrorist menjadi satu istilah yang berjaya tersebar ke seluruh dunia dan mencemarkan imej Islam serta menimbulkan perasaan takut terhadap umat Islam.

Terrorist ini didefinisikan oleh Barat sebagai:
               i)  Seseorang yang membunuh orang awam yang tidak bersalah.
               ii) Seseorang yang melancarkan jihad menentang Barat, melibatkan diri dalam perkumpulan jihad (mujahideen) dan menyokong kumpulan jihad secara terbuka.
              iii) Individu yang mencetuskan jihad di merata tempat.

Can't you see that?
Definisi yang diletakkan pada istilah terrorist ini adalah jelas-jelas pada orang Islam yang membawa ideologi jihad fi sabilillah. Sebab apa mereka takutkan jihad? Kerana dengan berjihadlah, umat Islam menjadi kuat. Jihad dari sudut harta benda, jihad ilmu, jihad hawa nafsu, jihad politik dan sebagainya. Mereka takut umat Islam yang berkualiti.

Mereka juga mengaitkan istilah terrorist ini sebagai kata (الارهاب) dalam istilah Islam (Arab). Walhal, al-irhab adalah satu tindakan yang adil yang diajarkan oleh Allah. Dalam firmannya QS Al-Anfal: 60, al-irhab adalah tindakan mempertahankan diri terhadap ancaman musuh Islam. Juga tindakan menakutkan dan menimbulkan rasa gerun pihak yang mensyirikkan Allah, mengingkariNya dan golongan fasik daripada berbuat jahat. Ia adalah satu polisi untuk melindungi umat Islam khususnya daripada ancaman. Bahkan, Islam adalah agama keamanan, melarang tindakan huru-hara dan menggugat keamanan. Maka, istilah ini sebenarnya tak boleh disamakan dengan terrorisme yang difahami puak-puak Barat ini.

Mereka cuba menunjukkan bahawa Islam adalah agama keganasan dengan tersebarnya istilah ini dan menjadikan dunia melihat bahawa TERRORIST=ISLAM. Dan, bagi saya mereka telah sepenuhnya berjaya hingga pernah timbul fenomena ISLAMOPHOBIA selepas 11 September.


Begitu jugalah dengan apa yang dibuat oleh mereka pada memberikan terminologi kepada istilah-istilah yang di atas tadi. Mereka mendefinisikannya dan mengaitkannya secara langsung dengan Islam mengikut kehendak mereka dengan kefahaman yang salah. Seterusnya saya akan share pada next entry...

#Allahu Musta'an...

Bersambung...


Sunday, June 9, 2013

Susah nak faham...


Kata orang, jaga anak perempuan mahupun menjaga adik perempuan itu susah daripada lelaki. Bagi saya lain. Menjaga adik lelaki dan anak lelaki lebih mencabar. Bukan mudah nak memahami psikologi orang lelaki yang dalam umur yang ingin mengenal dunia dan tercabar dengan pelbagai perkara baru. 

Jika orang lain membaca buku psikologi lelaki dan perempuan untuk mengenal pasangan masing-masing atau untuk lebih memahami partner kerjaya dan kawan, saya pula membaca buku-buku seperti itu untuk cuba memahami seorang adik. Adik yang unik dan lain daripada adik-adik yang lain sifatnya. Memahami dia menjadi seperti satu 'training' bagi saya. Mula-mula faham dia nak A, kita cuba suaikan keadaan untuk memenuhi kehendak A itu, tiba-tiba tidak juga menampakkan perubahan. Kita cuba cara lain, tak juga. Keliru dengan tindakan yang sepatutnya diambil...

Kata sahabat saya, lelaki ni kalau dia mula nampak degil dan keras kepala, panas baran dan tidak mahu mendengar kata, dia pasti terlibat dengan dua benda; Rokok dan Perempuan. Itu yang saya risaukan. Apa nak dilakukan, saya bukan sentiasa di sebelah dia untuk melihat apa yang dia perbuat. Hanya mampu doa Allah jaga dan lindungi dia daripada fitnah dunia dan wanita. 

Menjauhkan ahli keluarga dari azab dan kemurkaan Allah adalah tanggungjawab sesama ahli keluarga yang beriman. Ini yang membuatkan saya terus-terusan memikirkannya..



Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Al-Tahrim: 6)

Selama berbahagia, di usia ini Allah uji. Uji dengan keadaan yang saya mudah memberi nasihat kepada mereka yang bertanya, namun ternyata tidak mudah apabila Allah benar-benar hadapkan ia kepada saya dalam situasi yang sebenar. Saya buntu.

Walaupun diberikan kesenangan, manusia jarang bersyukur. Namun jika dalam kesusahan, manusia mudah kufur. Allah..selamatkan kami daripada kederhakaan.


*******************

Kita ni jadi anak jangan hanya harap mak abah ikut kepala kita dan keinginan kita. Renungkanlah, berapa lama sudah mereka memenuhi keinginan kita sebagai anak, kini kita sudah capai tahap mampu berfikir dengan bijak, akal yang matang, mengapa lagi kehendak kita diminta dipenuhi? Sebenarnya ini masa untuk kita cuba penuhi pula impian mereka. Kita tidak tahu, esok atau lusa adakah mereka masih ada atau sudah diambil Allah...atau apakah kita yang pergi dahulu sebelum sempat berbuat apa-apa kebaikan kepada mereka.

Saya takut penyesalan di akhir waktu. Penyesalan yang tiada guna. Apakah manusia itu masih lalai walaupun telah Allah memberi peringatan-peringatannya dengan kalamNya yang telah tertulis di dalam al-Quran?

Saya cuba, kami mencuba. Moga Allah limpahkan hidayah dan taufiqNya.


Monday, June 3, 2013

Allah Sayang Dia!


Hidup dan mati adalah dua perkara yang berlawanan. Ramai yang mampu menulis tentang erti kehidupan, hakikat kehidupan dan pengalaman kehidupan, namun bukan mudah untuk menggambarkan kematian, menulis tentang hakikatnya dan pengalaman mengenai kematian. Kerana, mereka yang telah mengalami kematian mana mungkin akan menulis berkaitannya, kerana ketika itu tiada lagi istilah perkongsian pengalaman, namun ia adalah masa untuk mengalami dan merasainya sendiri tanpa sesiapa sebagai teman.

Berkata tentang diri sendiri pun, saya sendiri akui saya masih takut untuk mengalami kematian. Entah bila, barulah terasa bersedia mengalaminya. Sebenarnya, ia bukan mudah semudah kata-kata. Ia mujahadah yang lelah tapi berbuahkan kemanisan.

Abang saya, Allah uji dengan penyakit saraf hingga melemahkan seluruh otot untuk bergerak, tambahan dengan asma yang telah lama dihidapi. Allah sayangkan dia. Allah uji dia tanpa henti. Setelah satu, satu lagi. Itu tanda Allah tidak ingin dia terlupa. Saya yakin hikmah itu. Berulang-alik ke hospital menemani satu-satunya abang bersama kakak pada setiap hujung minggu. Saya tahu, saya pergi pun bukan dapat bantu apa. Saya bukan pakar, apatah lagi nak mengetahui mengenai ilmu-ilmu perubatan dan saraf. Namun, satu niat saya agar dia tidak merasa sendiri. Agar dia bersemangat untuk sembuh. Allah sayangkan dia. Saya tahu itu. Ini motivasi untuk saya agar kuat menghadapinya.

Ia memang mudah untuk kita memberi kata semangat, namun dia yang menghadapi terasa perit sekali. Sekali sekala dia menangis. Letih katanya. Paru-paru yang lemah membuatkan pernafasannya naik turun, kekadang terdengar lemah. Saya doa, kami berdoa untuk dia tetap semangat. Namun, air mata yang mengalir di hujung matanya membuatkan kami sekalian lemah. Abang yang dahulunya kuat bergurau, kekadang suka marah, aktif bersukan kini terbaring lemah. Saya cuba kuat, di samping ahli keluarga yang lain. Kalau boleh taknak tunjuk depan dia kami teresak.

Pagi tadi, katil sebelah abang di wad ICU dikosongkan. Pak cik yang mengalami sakit paru-paru meninggal dipanggil Allah untuk kembali kepadaNya (moga Allah merahmati rohnya). Pakcik tersebut telah nazak tiga hari sebelumnya, ditakdirkan Allah Isnin pagi ini masanya tiba. Kami tiba di hadapan wad ICU melihat esakan seorang makcik tua (nenek saudara pakcik). Kami salam dan ucapan takziah diberikan untuk mententeramkan hatinya. Masuk kami ke dalam, melihat wajah abang sayu dan sedih. Air matanya menitis tanpa henti. Dia tanya, pakcik sebelah tu? Saya kata dia dah meninggal. Dia takut. Dia mengadu pada kakak saya untuk sampaikan pesan kepada mak jika dia dah takde. Kami menidakkan. Emosinya terganggu kerana melihatkan keadaan arwah di sebelah katilnya. Nafasnya naik turun. Lemah sekali, berbanding sebelumnya. Kami tak tertahan, air mata mengalir tanpa diminta. Kakak minta diri keluar untuk menenangkan diri. Saya tetap cuba sabar, meneruskan kalam doa-doa syifa' sambil menyapu dadanya. 

Itulah, kematian dan kehidupan. Allah bagi kita kesempatan untuk hidup, supaya kita bersedia untuk mati. Kakak terus memberi kata motivasi dari abah untuk abang, setelah menelefon abah yang di Kelantan. Minta abang terus bersabar, kuat semangat dan meyakini akan hadirnya kematian, namun ada jua kehidupan. Segalanya kembali kepada kehendak Allah. Dia akur, lidahnya terus menyebut kalimah Allah, namun masih bersedih dan takut. Takut untuk mengikuti jejak langkah pakcik di sebelah.

Harini, dia terus sedih. Menangis tak henti. Tiada esakan, namun air mata mengalir tanpa henti. Sakit hati melihatkan keadaannya sedemikian. Saya berharap esok dan seterusnya dia kembali kuat. Syukur, Allah masih pelihara hafazan al-Qurannya, sebagai syifa' untuknya. Ia satu kelebihan buatnya. Syukur...

Ya Allah, saya menyaksikan di sini, abang saya (Abdul Basir bin Mohammad) orang yang baik. Anak yang soleh dan berusaha menjadi pendakwah yang baik untuk agamaMu, Ya Allah. Ujian ini, ringankanlah untuknya, kuatkanlah semangatnya. Ya Rahim, panjangkanlah umurnya, berkatilah usianya. Kau rahmatilah dia, sentiasalah lindunginya dan masukkanlah ketenangan ke dalam hatinya. Setiap kebaikannya, Kau jadikanlah ia asbab untuk kesembuhannya. Ya Allah, kuatkan ototnya, lancarkan perjalanan darahnya dan pernafasannya. Kau nyahkanlah segala penyakit di dalam dirinya. Kembalikanlah dia kepada kami seperti sediakala, ya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Menyayangi.

Nabi mengajar kita untuk berdoa. Saya akui, doa adalah motivasi yang baik. Setelah berdoa saya rasa sedikit lega. Dada menjadi lapang. Saya yakin Allah dengar doa saya. Saya yakin Allah ada rancangan yang baik untuk kami sekeluarga. Saya yakin dan percaya! Allah sayangkan abang!

Dalam Ruqyah, ada doa untuk menghilangkan kerunsingan. Saya baca saya sebak. Doa itu menyentuh hati saya. Setiap kali membacanya membuatkan saya sebak. Doa yang dititipkan dalam Ruqyah, yang diberi oleh seorang kakak dari Darul Syifa', untuk dibaca dan disapu di dada abang. Pagi tadi saya baca, kerana melihat dia terlalu runsing dan bersedih... Allahumma...perkenankanlah...

اَللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ القُرْءَانَ 
رَبِيعَ قَلْبِي وَنُورَ صَدْرِي وَجِلَاءَ حُزْنِي وَذَهَابَ هَمِّي.

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku adalah hambaMu, anak kepada hambaMu dan anak kepada amahMu, jiwaku dalam tanganMu, berlaku atas diriku semua keputusanMu, adil segala ketentuanMu ke atas diriku, aku memohon dengan semua nama yang Engkau namakan diriMu atau pun yang Engkau turunkan dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkannya sesiapa pun daripada para makhlukMu, atau Engkau tetapkannya dalam ilmu ghaib hanya untuk Engkau sahaja yang mengetahuinya, supaya Engkau menjadikan Al-Quran itu kesegaran hatiku, cahaya dadaku, menghapuskan kesusahanku dan menghilangkan kerunsinganku.

*Diambil daripada hadith. Ia boleh dibaca untuk mewakili dengan menukar gantinama.



Amin, Ya Rabbal 'Alamin...

I miss him, really miss him... :"(