Monday, January 30, 2012

Baitul Muslim, Baitul Dakwah


Sepanjang penelitian saya melalui FB, Blog dan medium yang lain dalam beberapa tempoh masa terdekat ini, saya banyak memerhatikan bahawa kecenderungan kepada perkongsian cerita cinta islamik, kisah romantik, soal-jawab berkenaan jodoh dan  banyak lagi perkara-perkara yang bersekitar dengan permasalahan Baitul Muslim atau pembinaan rumah tangga bagi yang tidak mengetahui apa itu Baitul Muslim.

Saya bertanya kepada sahabat-sahabat saya, kenapa ianya jadi begitu, lalu mereka mengatakan : “Musim la ni agaknya.” Dan saya juga tidak terlepas ketika duduk-duduk atau makan bersama sahabat, pernah juga sedikit sebanyak kami berbicara tentang Baitul Muslim ini. Namun, apa yang ingin saya kongsikan di sini, bukanlah mengenai saya, kisah sahabat saya atau sebagainya. Cuma, sengaja ketika saya membaca buku Manhaj Daurah Tadribiyyah, ada tajuk yang mengupas berkenaan Baitul Muslim ini.

Dalam marhalah yang digariskan oleh Yusuf al-Qardhawi pun, sepertimana seorang ustaz pernah berbicara dalam satu program, untuk mengamalkan syariat Islam secara penuh hingga membentuk kepada satu pemerintahan Islam, ada 5 marhalah yang perlu dilalui:

1.    Mengislah diri sendiri atau membentuk individu Muslim (Fardun Muslim)
2.    Membentuk rumahtangga Islam (Takwin Baitul Muslim)
3.    Membentuk masyarakat yang memahami Islam (Takwin Mujtama’ Islam)
4.    Mendirikan daulah Islamiyah
5.    Akhirnya mewujudkan kembali Khilafah Ismaiyah

Ternyata dalam marhalah ini pun, ditekankan soal Baitul Muslim, menunjukkan peri-pentingnya berusaha membina sebuah rumahtangga Islam yang di dalamnya dapat melahirkan anak-anak yang memahami Islam dan akhirnya membentuk para mujahid agama sehinggalah dapat direalisasikan satu pemerintahan Islam di muka bumi Allah ini.
Ianya tidak langsung menjadi satu kesalahan untuk berfikir dan merancang ke arah baitul muslim ini, kerana ia juga merupakan sebahagian daripada sunnah Rasul Tercinta Muhammad SAW, sebagaimana sabda baginda:

النكاح سنتي فمن لم يعمل بسنتي فليس مني
“Bernikah adalah sunnahku, barangsiapa yang tidak beramal dengan sunnahku, maka bukanlah dari kalanganku.”

Namun pandulah keinginan itu dengan iman kerana ia akan menjadi satu kesalahan apabila persoalan baitul muslim ini dijadikan bahan gurauan atau disalahguna, sepertimana yang banyak berlaku pada masa kini. Menganggap perjanjian untuk membina rumahtangga sebagai satu tiket halal untuk melakukan tindakan salah, mendirikan rumahtangga atas dasar nafsu semata-mata dan lain-lain lagi.

Al-Quran dijadikan panduan...

Maka, sesiapa yang berkeinginan untuk membina rumahtangga muslim, saya amat menggalakkan untuk berbuat demikian, namun satu perkara ingin saya tekankan kepada yang berkenaan, untuk menyedari betapa niat mulia ini perlu disertai dengan satu matlamat yang lebih mulia, iaitu untuk membantu Islam tertegak di bumi ini dengan semegahnya. Sediakan diri anda untuk menginfakkan keluarga anda untuk Islam. Jangan hanya pada permulaan, bercita-cita mulia, namun berazamlah untuk istiqamah hingga ke akhirnya. Tetapkanlah azam hingga anda mampu menginfakkan jiwa raga dan anak-anak anda untuk jalan perjuangan ini. Kerana inilah matlamat pembinaan baitul muslim yang sebenar yang akan membawa kepada pembentukan mujtama’ muslim.

Ini kerana, kita sebagai seorang muslim harus sedar, dalam apa jua tindakan kita di dunia ini, pasti tidak akan lari daripada matlamat penciptaan kita sebagai makhluk kepada al-Khaliq,sebagaimana firman Allah SWT:

$tBur àMø)n=yz £`Ågø:$# }§RM}$#ur žwÎ) Èbrßç7÷èuÏ9 ÇÎÏÈ
“Dan (ingatlah), tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaku.”
(AQ:Al-Dzariyat:56)

Menyedari perkara ini, pasti anda semua dapat melihat apa yang menjadi punca kepada berjayanya sesebuah Baitul Muslim itu, iaitu dengan bermulanya proses pemilihan pasangan hidup. Pastinya pemilihan itu perlu dilakukan dengan penelitian yang serius, bukan dipermudahkan sehingga membawa mudharat dalam baitul muslim yang ingin dibina. Antara perkara yang telah dipandu oleh Rasulullah SAW dalam proses memilih pasangan samada bagi lelaki atau perempuan, sabda baginda:

من نكح المرأة لمالها حرم الله مالها وجمالها, ومن نكخ لدينها رزقه الله مالها وجمالها
“Sesiapa mengahwini seseorang perempuan kerana hartanya dan rupanya yang cantik nescaya Allah menghapuskan hartanya dan kecantikannya, dan barangsiapa yang mengahwini kerana agamanya nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya dengan harta dan kecantikan.”

Jelas di sini, baginda SAW menyuruh untuk mendahulukan pada nilaian agamanya berbanding nilaian dunia (kecantikan dan kekayaan). Ini kerana agama itulah yang akan memandu baitul muslim ke arah pembinaan individu muslim yang berjaya. Agama yang mengatasi nafsu. Namun begitu, ingatlah, dalam mencari yang terbaik, tidak boleh lari daripada diri kita juga yang perlu berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam mengamalkan agamanya. Mudah-mudahan Allah memberikan jua yang terbaik buat mereka yang sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik. Moga Baitul Muslim yang dibina akhirnya akan menjadi Baitul Dakwah yang bakal meramaikan pembantu agama Allah. Sekian.

~Baitul Dakwah Memperkasa Ummah~


Thursday, January 26, 2012

Nukilan Insan Biasa

Aku hanyalah insan biasa
Yang merasa sedih jika dikecewakan
Akan menghadapi kepanikan dalam kekalutan
Yang merasa cinta pada yang disukai
Sentiasa mengidamkan yang baik dalam kehidupan
Memerlukan sahabat dalam pelayaran..

Namun semua ini tidaklah membuatkanku
Menafikan takdir yang telah Engkau, Tuhanku
Takdirkan untukku sejak azali
Aku tetap merasai redha dan percaya
Percaya akan hikmah segala kejadian
Samada yang sedih mahupun gembira
Di antara kecewa mahupun harapan
Aku akan sentiasa redha
Kerana matlamtku hanya mencapai redhaMu jua, ya Tuhanku…

Tuhanku,
Engkau telah memilihku berada di jalan ini
Aku cukup bersyukur…sangat bersyukur
Kerana aku berada di antara hamba-hamba pilihanMu
Maka tetapkanlah ya Allah
Thabatkanlah hatiku untuk istiqamah
Pakulah kakiku untuk tidak berganjak
Daripada jalan yang dipenuhi pertolonganMu ini
Jauhkanlah kegelinciran dan segala yang mazmumah
Dalam aku melalui jalan ini
Kerana aku sangat berharap padaMu
Agar aku sentiasa berada bersamaMu
Dengan redhaMu ke atas para penolong agamaMu
Sehingga ke akhir hayatku..
Hanya itu jualah harapan dan doaku
PadaMu Tuhanku…
Yang Maha Mendengar dan Mengetahui
Amin Ya Allah, Amin Ya Rabbal ‘Alamin..

~Bint Mohammad~
Bangi Perdana, Seksyen 3
27 Januari 2012
7:20 pagi


Tuesday, January 17, 2012

:: ISTIKHARAH ::

Salam kasih sayang...

Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan panduan solat sunah Istikharah kepada sahabat-sahabat pembaca. Namun tentunya saya bukanlah orang yang cukup ilmunya tentang ini, jadinya saya hanya berkongsi apa yang saya dapat daripada pembacaan hasil blogwalking yang ditulis oleh seorang blogger (rujuk di sini). Selamat membaca.

SOLAT ISTIKHARAH

Apabila seseorang itu berada di dalam keadaan dilema terhadap sesuatu perkara yang ingin dilakukkan atau dihajati sama ada ianya membawa kebaikan mahupun keburukan terhadap dirinya, bersesuaian atau bertentangan dengan dirinya, maka hendaklah dia memohon petunjuk daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui solat Istikharah sebanyak dua rakaat..

DALIL DISYARI’ATKAN SOLAT ISTIKHARAH

Solat Istikharah ini telah diperjelaskan melalui hadis daripada Jabir bin ‘Abdillah radhiallahu’ anh, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda mengajar kami surah dari al-Qur’an.. Baginda bersabda:


إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ لِيَقُلْ:

Maksudnya:
Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan keras melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ

فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبِ

اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي

أَوْ قَالَ: عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ

فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ

وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي

أَوْ قَالَ: فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ

فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاقْدُرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ أَرْضِنِي.



Maksudnya:
Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan berkah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku - atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang - maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.

قَالَ: وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

Maksudnya:
Baginda bersabda: Hendaklah dia menyebutkan apa yang dihajatkannya. Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1162.

BEBERAPA PERKARA BERKAITAN SOLAT ISTIKHARAH

  • Solat Istikharah dilaksnakan sebagaimana solat dua rakaat yang biasa. Tidak ada ketetapan tertentu daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang surah apa yang perlu dibacakan ketika solat Istikharah, Oleh itu dibenarkan membaca apa jua surah dari al-Qur’an yang mudah bagi seseorang itu setelah selesai membaca surah al-Fatihah.


  • Solat Istikharah boleh dilaksanakan apabila berhadapan dengan segala urusan yang mubah (harus) baik ianya isu yang besar mahupun kecil, perkara yang penting ataupun tidak. Seharusnya kita fahami bahawa permasalahan yang menjadi dilema itu bukanlah termasuk dalam perkara yang telah ditetapkan hukum-hukumnya dalam Islam. Bagi urusan yang wajib atau sunat yang telah jelas arahan untuk melakukannya ataupun urusan yang haram atau makruh yang telah jelas larangannya, ianya tidak lagi boleh dilakukan istikharah ke atasnya. Hanya perkara-perkara yang mubah sahaja dibenarkan untuk dilakukan istikharah.


  • Hendaklah bagi seseorang yang mengerjakan solat Istikharah itu melapangkan dadanya dari apa jua kehendak peribadi yang berlandaskan hawa nafsu. Seharusnya dia menyerahkan perkara tersebut bulat-bulat kepada ilmu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Harus juga kita sedari bahawa adakala apa yang dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk kita itu tidak selari dengan keinginan hawa nafsu atau pada tanggapan kita ianya adalah sesuatu yang tidak bersesuaian bagi diri kita. Namun demikian sewajarnya bagi kita untuk pasrah menerima keputusan Allah Subhanahu wa Ta’ala tersebut. Firman-Nya:


وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ

وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya:
…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. – al-Baqarah (2) : 216

  • Solat Istikharah ini boleh juga dikerjakan secara khusus atau semasa mengerjakan solat-solat sunat seperti solatRawatibTahiyyatul Masjid dan lain-lain. Sebagai contohnya setelah mengerjakan solat Tahiyyatul Masjid langsung kita membaca doa Istikharah tersebut. Hal ini adalah dibenarkan. Menurut al-‘Iraqi rahimahullah:


Jika keinginan melakukan sesuatu muncul sebelum mengerjakan solat sunat Rawatib atau yang semisalnya, lalu dia mengerjakan solat tanpa niat Istikharah, namun setelah solat timbul keinginan untuk memanjatkan doa Istikharah, maka secara zahir hal tersebut sudah mencukupi. – Rujuk al-Adzkaar, jilid 3, ms. 354. Penulis nukil dari kitab Bughyat al-Mutatowwi Fi Solah al-Tatowwu' karya Syeikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul, ms. 137.

Doa istikharah itu dibaca setelah memberi salam berdasarkan zahir lafaz hadis tersebut. Doa tersebut boleh diulang-ulang.

  • Bukan termasuk dalam syarat Istikharah bahawa seseorang itu mesti bermimpi tentang pilihan atau tindakan yang perlu diambil setelah mengerjakan solat tersebut. Namun seseorang itu akan merasa tenang atau dipermudahkan untuknya ketika memutuskan sesuatu keputusan sesuai dengan apa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala telah pilih untuknya.


RINGKASAN TATACARA MENGERJAKAN SOLAT ISTIKHARAH

 

Rakaat Pertama

1)      Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat sunat Istikharah
2)      Takbiratul Ihram
3)      Doa Iftitah
4)      Membaca surah al-Fatihah
5)      Membaca Surah al-Qur’an
6)      Rukuk
7)      Iktidal
8)      Sujud
9)      Duduk antara dua sujud
10)    Sujud kali kedua
11)    Bangun untuk rakaat kedua                                

Rakaat Kedua
1)      Ulang seperti rakaat pada pertama dari nombor (4) hingga (10)
2)      Duduk untuk tahiyyat akhir
3)      Memberi salam ke kanan dan ke kiri
4)      Membaca doa Istikharah

Selamat beramal. Istikharah adalah tanda penyerahan diri kita kepada ketentuan Allah SWT dalam menentukan pilihan hidup. Istikharahlah dalam pelbagai perkara, kerana kita sangat memerlukan campur tangan Allah dalam segala urusan. Mudah-mudahan Allah memberikan petunjukNya..


Wednesday, January 11, 2012

..:: Hatiku Untuk Abah ::..


Sejak beberapa hari yang lalu, saya maklum bahawa abah akan ke India (keluar dakwah) bersama-sama jemaah tabligh yang lain. Tapi saya kira seperti biasa beberapa tahun lepas, abah akan pergi dalam tempoh 40 hari sahaja. Makanya tidaklah saya merasa sedih dan sentiasa mendoakan Allah permudahkan urusan beliau.

11 Januari 2012.

Saya telefon along dengan tujuan untuk berbual-bual bertanya khabar, dan sebelum itu, saya telahpun menelefon adik saya yang berada di rumah dan kami berbual panjang, termasuk juga saya berbual dengan abah, mak dan hafiz si adik bongsu. Tapi lain yang saya dapat ketika saya berbual dengan along. Rupa-rupanya abah akan ke India dan Bangladesh jugak selama 4 bulan. Ya, 4 bulan di sana.

Terkejut saya dan seperti tidak percaya. Tapi saya tahu, itulah impian abah sejak dulu (untuk keluar 4 bulan walaupun hanya sekali seumur hidup), dan mak menyokong dengan sepenuh sokongan. Maka kali ini, Allah mempermudahkan urusan beliau sejak lama berusaha untuk keluar selama 4 bulan pada tahun ini.

Sekali lagi saya menelefon rumah untuk mengetahui cerita sebenar. Ya, sememangnya abah akan keluar 4 bulan, kata adik saya. Saya hanya mampu berdiam diri. Tiada rasa apa.

12 Januari 2012.

Jam 12.00 tengahari, berniat untuk sambung membaca nota exam, sambil mendengar lagu, tiba-tiba hati rasa sedih dan air mata mengalir tak semena-mena kerana teringatkan abah. Terus sayu apabila memikirkan abah akan meninggalkan kami dalam tempoh 4 bulan. Selama ini dalam sebulan lebih sahaja, kali ini 4 bulan. Keadaan baru yang kami perlu hadapi, tanpa abah di sisi selama 4 bulan. Konsentrasi saya hilang menyebabkan saya membuka word untuk menulis, kerana tidak tahu ingin meluahkan kepada siapa. Saya memilih untuk dikongsikan di sini.

Bukanlah niat saya, saya tidak ingin merelakan abah, bahkan sebaliknya. Saya sentiasa mendoakan abah berjaya dalam apa jua urusannya dan dipermudahkan Allah. Walaupun jalan kami agak berbeza, tapi saya yakin, mereka juga berniat untuk memperkenalkan Islam dan menerangkan Islam kepada masyarakat dunia. Abah saya ada pendiriannya sendiri dalam matlamatnya membawa Islam, dalam masa yang sama beliau tidak pernah mengkritik cara pembawaan saya. Walau kadang-kala beliau ada juga menghalang, namuan semuanya atas dasar kerisauan.

Dan kini saya juga risau dan sedih. Fikiran jahat memikirkan takut sesuatu akan berlaku dalam tempoh 4 bulan tersebut, tapi akal yang waras berpandukan keyakinan kepada Allah, saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah untuk menjaga dan melindungi abah di sana ketikamana kami tiada bersamanya.

Agak terkilan kerana lambat mengetahuinya, tapi bersyukur kerana sempat mengetahuinya sebelum abah bertolak ke sana (InsyaAllah pada Isnin nanti). Saya pasti bahawa saya akan sangat-sangat merasai ketiadaan beliau kerana saya sangat rapat dengannya dan kalau telefon rumah, mesti telefon abah. Dan borak sampai kawan kata saya cakap seperti cakap dengan kawan.

Dalam keadaan ini, terfikir juga, ini perasaan saya sebagai seorang anak. Apakah pula rasa mak saya sebagai seorang isteri? Saya memang bangga mempunyai mak seperti beliau kerana pengorbanan beliau saya telah lihat sejak kecil lagi. Biarlah orang kata apa, asalkan kami sekeluarga tahu matlamat kami. Dan abah bukan meninggalkan kami dalam keadaan menyusahkan kami, malah persediaan telah beliau sediakan untuk kami. Dan kekuatan mak ialah, mak sentiasa yakin dan berpegang kepada janji Allah dalam usaha dakwah ini.

Akhir kalam, tiada apa yang boleh saya lakukan melainkan mendoakan keselamatan abah dan perlindungan Allah ke atas beliau agar selamat pergi dan selamat kembali dan juga mak yang berada di sini (kerana lepas kepergian abah, mak dan Hafiz sahaja yang akan ada di rumah, disebabkan anak-anak yang lain masing-masing berada di tempat pengajian). Doa saya akan sentiasa mengiringi mereka. Hanya Allah jualah sebaik-baik sandaran harapan. 


P/S - Moga sahabat pembaca juga turut mendoakan keselamatan abah saya di sana.  Syukran.

اللهم اغفرلي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا
                          

Tuesday, January 10, 2012

Hari Saya Yang Macam-macam...

Bukan senang untuk saya menerima saya sudah berumur 21 tahun pada tahun lepas. Manakan tidak, ramai insan yang sebaya saya pada ketika itu (21 tahun) merupakan insan-insan hebat yang berjuang dan memimpin Islam pada eranya. Dan beliau yang paling saya suka dan kagumi ialah Muhammad al-Fateh (hinggakan saya berniat, inilah nama anak saya nanti), yang berjaya menakluk Konstantinopel dan memimpin beratus ribu bala tentera dengan jayanya. Tapi saya pada umur tersebut, apakah perkara yang boleh saya banggakan kerana Islam? Nothing..

So, apakan lagi untuk menerima bahawa saya kini sudah berumur 22 tahun? Allahu Rabbi… Tapi apakah pilihan saya? Mahu atau tidak, saya harus menerima hakikat saya kini sudah berumur 22 tahun. Dan melakukan yang terbaik untuknya.

Ucapan di FB, HP dan panggilan daripada sahabat, adik-beradik, anak murid dan yang mengingati dan terperasan di FB diterima dalam pelbagai ayat dan versi. Namun sedikit terkilan apabila seorang sahabat saya masih tidak wish (mungkin dia terlupa atau sengaja), dan saya masih menunggu. Segala ucapan tersebut ada yang membuat saya tergelak dan ada juga yang membuat saya hampir menangis, kerana merasai keikhlasan dalam ucapan panjangnya. Apapun, terima kasih saya ucapkan kepada semua yang sudi mendoakan. Moga berkat Allah mengiringi hidup kalian.

Dan perkara paling besar yang baru saya tahu pada tahun ini ialah, tarikh kelahiran saya sama (tapi lain tahun ^_^) dengan tarikh kelahiran insan besar dalam dunia perjuangan Islam di Malaysia iaitu Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Sungguh, ianya sangat menggembirakan saya kerana saya juga mengagumi beliau (terus saya tengok handphone saya, kerana wallpaper handphone saya gambar saya dan beliau ketika menziarahi beliau di rumahnya), dan sahabat2 yang lain di rumah pun kata, “ patutlah TGNA duduk di sebelah Sakinah hari tu.” Saya hanya tersenyum..(^_^), tak perlu kata apa-apa..

Pada hari 10 Januari 2012 ini jugalah saya menghadapi exam Kajian Ajaran Sesat, alhamdulillah, boleh dijawab dengan baik (hanya pada sangkaan saya) mudah-mudahan, dan selepas habis exam, saya solat dan tergerak untuk membaca Yasin sempena kesyukuran kepada Yang Memberikan Kehidupan kerana masih dipinjamkan kehidupan ini untuk saya lalui.

Dan pada hari ini juga, saya ‘berjalan-jalan’ hampir ke Putrajaya, dan Highway ke Cyberjaya apabila tersesat bersama Ayu (housemate) untuk ke Pos Laju Bangi, susah sungguh lokasi Pos Laju di Bangi ini. Selesai urusan, Ayu belanja MFC (katanya sempena birthday), dan kami bergerak pulang, melalui jalan raya di Bangi yang sangat menyejukkan mata memandang. Saya suka berada di Bangi, tenang, damai dan menyejukkan mata dengan kehijauan alamnya (seolah-olah musim luruh, bak kata Ayu). Sayang rasanya untuk meninggalkan Bangi dengan budaya keilmuannya. Siapa yang tidak suka?

Macam-macam perkara… Dan saya sedari juga, semakin meningkat usia, semakin kurang berguna free call dari Maxis mahupun Celcom, kerana rasa seperti tiada apa yang ingin dibualkan, akhirnya habis begitu sahaja tanpa dimanfaatkan sepenuhnya…kenapa begitu? Saya juga mencari jawapannya..


****************

So, nasihat untuk diri saya yang sudah mencecah 22 tahun :

  • v  Semakin banyak umurmu, maka semakin dekatlah dengan kematianmu, maka perbaiki dan tingkatkan amalanmu.
  • v  Sesungguhnya, semakin besarlah tanggungjawabmu selepas ini, maka persiapkanlah dirimu.
  • v  Ingati lima perkara, sebelum datang lima perkara.
  • v  Rancanglah masa depanmu dengan baik, agar tidak terputus dirimu dari medan juang.
  • v  Doalah selalu kepada Allah agar dirimu ditetapkan dalam iman dan dalam kesibukan gerak kerja Islam sehingga ke akhir hayatmu.


Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda, antara perkara yang akan ditanya di Hari Akhirat kelak ialah di manakah masa muda diperhabiskan. Maka, berusahalah agar dapat memberikan jawapan yang terbaik dengan menyusun jawapannya ketika hayat masih ada.

Kita juga selalu mendengar :

"Orang yang hari ini lebih baik dari semalam adalah orang yang beruntung. Manakala orang yang hari ini masih sama seperti semalam adalah orang yang rugi. Dan orang yang hari ini lebih teruk dari semalam adalah orang yang celaka".

Mari sama-sama kita renungkan, dan mudah-mudahan hari saya dan sahabat-sahabat pembaca juga lebih baik dari hari ke hari. Jom kita membuat amal dan kebajikan, semoga ianya menjadi tanaman-tanaman kita untuk bekal akhirat kelak.

Sebagai penutup, saya terjumpa satu frasa atau kata-kata ini, maka saya kongsikan untuk sama-sama kita fikirkan dan muhasabah.

Daripada Imam al-Haddad :

"Bersegeralah dalam berbuat kebajikan kerana akan tiba satu zaman yang penuh dengan fitnah. Apabila berbuat kebaikan, yang nampak adalah kejahatan. Begitulah sebaliknya".

Sekian.