Dahulu ketika di dalam kelas,
pensyarah pernah bertanya, “Bagaimana Islam yang dikatakan sebagai agama fitrah
meraikan fitrah wanita yang tidak suka diduakan, cemburu, padahal Islam
membenarkan poligami?” Ketika itu kami sedang membincangkan isu feminisme.
Terkelu lidah, tiada jawapan yang kuat dan kukuh. Kerana apa yang kami tahu,
poligami dalam Islam adalah sunnah dan digalakkan bagi mengatasi
masalah-masalah. Apa yang terlintas di fikiran pada ketika itu hanyalah saya
mampu mengatakan, “Islam meraikan fitrah, namun adakah tidak suka diduakan itu
adalah fitrah? Atau ia hanya sekadar nafsu atau keinginan? Kerana jika ianya
nafsu, Islam pastinya datang bagi mendidik nafsu.” Dan ustaz hanya diam dan
tidak mengiakan mahupun menolak. Ustaz menyerahkan kepada kami untuk mencari
jawapannya sendiri.
Alhamdulillah, baru-baru ini
Allah membuka ruang kepada saya untuk membaca sebuah buku yang sangat banyak
memberikan kepada saya kefahaman tentang betapa adilnya Islam menunaikan
hak-hak wanita dan betapa Allah SWT itu sangat memahami hati dan meraikan
perasaan dan suara wanita. Sungguh lapang ketika membaca buku tersebut, tulisan
Fatimah Syarha, Sebarkan Cinta-Mu. Di sini, saya akan berkongsi beberapa
pengisian dalam buku tersebut berkaitan poligami yang agak banyak ditekankan
dalam buku ini.
Straight to the subject,
Poligami Cuma Harus
Poligami rupanya bukanlah
seperti yang saya jangkakan dan salahfahami sebelum ini. Kesalahfahaman saya
ini juga, adalah salah faham masyarakat dalam memahami konsep poligami dalam
Islam, hinggakan musuh-musuh Islam
berjaya menjadikan isu poligami ini sebagai salah satu keburukan dalam
agama Islam yang dituduh sebagai agama yang menzalimi wanita.
Ramai masyarakat gemar
menggunakan ayat ‘Poligami itu sunnah’ hingga menimbulkan salahfaham
masyarakat bahawa poligami itu adalah mulia, digalakkan dan perlu dilakukan
oleh sebahagian orang. Tidak salah untuk mengatakan poligami adalah sunnah,
namun, perlu diketahui bahawa perkataan sunnah ini mempunyai pelbagai
takrifan mengikut ulama’ Hadith, Fiqh dan Usul. Wajarkah untuk kita menggunakan
perkataan sunnah ini kepada poligami jika masyarakat memahaminya dengan
makna ulama’ Fiqh iaitu dengan maksud digalakkan? Walhal maksud sebenar sunnah
di sini adalah dengan maksud perkara yang dilakukan oleh Nabi SAW, iaitu
sebagaimana Nabi juga mentalakkan isteri baginda dan melakukan perhambaan
manusia. Namun tidak dikatakan cerai dan perhambaan itu sunnah, maka begitu jugalah
poligami, walaupun ia dilakukan oleh Nabi, tapi tidaklah ia bermaksud
digalakkan.
Maka, majoriti ulama’ hanya
mengatakan bahawa poligami itu harus, dan
bukan sunnah (atau difahami sebagai sunat bagi masyarakat Malaysia,
iaitu buat dapat pahala, tinggal tak dapat apa-apa). Oleh itu, perlu
ditinggalkan menggunakan ayat ‘Poligami itu sunnah’ dengan menggantikan
dengan ‘Poligami cuma harus.’ Dan perlu diingat, bahawa Nabi SAW sendiri
mengamalkan monogami (berkahwin dengan seorang sahaja dalam satu masa) bersama
Saidatina Khadijah r.anha. selama 25 tahun, sehinggalah Khadijah meninggal,
berbanding dengan mengamalkan poligami selama 10 tahun sahaja. Maka, tak salah
untuk mengatakan bahawa monogami itu lebih utama daripada poligami.
Syeikh Muhammad Abduh
mengatakan bahawa, jika mereka yang benar-benar memahami dan merenungi ayat
dalam Surah al-Nisa’ ayat 3 dan ayat 129 yang menyentuh soal poligami ini,
pasti akan dapat melihat bahawa poligami dalam Islam merupakan satu perkara
yang sangat berat, tidak boleh dilakukan melainkan dalam keadaan yang sangat
terpaksa. Ini dapat difahami dalam ayat ke 129 apabila Allah mengatakan bahawa
tiada seorangpun di kalangan kamu yang akan mampu berbuat adil, walaupun kamu
sangat menginginkannya.
Bagaimana Islam Meraikan
Wanita?
Rasulullah SAW merupakan
seorang suami yang terbaik untuk dicontohi. Begitupun, kita dapat membaca
kisah-kisah kecemburuan isteri-isteri baginda di antara satu sama lain. Namun,
baginda dapat menanganinya dengan baik sekali. Oleh sebab baginda sendiri mengetahui
bahawa betapa susahnya untuk menguruskan perkahwinan yang mengamalkan poligami,
maka baginda lantas menghalang Saidina Ali kwj untuk menduakan puteri baginda;
Fatimah al-Zahra’ r.anha dengan anak Abu Jahal. Bahkah, baginda bukan hanya
menghalang Ali k.w.j menduakan Fatimah r.anha, namun baginda juga menghalang
semua puterinya untuk dimadukan menurut hadith Shahih Bukhari dan Muslim.
Baginda menghalang daripada
menduakan puteri-puterinya adalah kerana ingin menjaga agama mereka dan untuk
kepentingan akhirat mereka, lantaran takut agama mereka akan rosak disebabkan
cemburu. Begitu menurut Imam Nawawi.
Apa peliknya? Tentunya Islam
merupakan agama yang sangat meraikan fitrah. Maka, dalam mempersoalkan fitrah
berkasih, lumrah kekasih pasti tidak rela cintanya diduakan. Dalam kitab Raudhatul
Muhibbin sendiri mengatakan bahawa, fitrah cinta itu mengharapkan penunggalan cinta
daripada kekasihnya. Walau sebanyak manapun kita mencintai, kita tidak dapat
menafikan ada satu cinta yang kita paling cenderung padanya.
Dalam isu poligami ini, Islam
sangat mendengar dan memahami suara hati wanita. Maka, sekiranya si isteri tidak
merelakan suaminya untuk berpoligami, kerana risau akan merosakkan agama dan
akhiratnya, si isteri berhak memohon untuk diceraikan dan dihormati
keputusannya. Ini kerana, dia berhak untuk menjaga agamanya sendiri, lantaran
dirinya jualah yang paling memahami perasaannya dan tahap cemburunya. Malah, khulu’
(tebus talak) juga dibenarkan jika si suami enggan menceraikannya. Inilah yang
ingin saya katakan di sini, berkenaan hak-hak isteri yang sering dipinggirkan
dan dihukum nusyuz oleh golongan-golongan yang tidak memahami. Walhal, sirah
sendiri menunjukkan bahawa Fatimah al-Zahra’ sendiri memohon untuk dibebaskan
jika Ali k.w.j ingin berpoligami.
Menurut Imam al-Ghazali dan
ulama’-ulama’ lain, mereka menegaskan bahawa tiada paksaan dalam perkahwinan. Dengan
demikian, wanita itu bebas menerima atau menolak dimadu. Sekiranya sebelum
perkahwinan, si isteri khuatir akan dimadukan oleh si suami, dia boleh
mengajukan syarat itu dalam perjanjian perkahwinannya (syarat ta’liq). Dan
si suami pula, perlu berpegang teguh pada perjanjian itu, sekiranya tidak,
hendaklah dia menceraikan isterinya. Ini kerana, hubungan keluarga perlu dibina
atas dasar taqwa, keadilan dan kedamaian.
Kesimpulan
Poligami itu harus dilakukan,
dengan pertimbangan yang sangat berat dan serius. Bagi wanita, tidak salah untuk
mempersoalkan dan ingin mengetahui atau bertanya mengenai hak-haknya, ini
kerana Islam tidak menghalang sesiapapun untuk bersuara mendapatkan kebenaran. Bahkan,
persoalan-persoalan agama, amat penting untuk mendapatkan jawapannya, jika di
hati ada persoalan yang tidak terungkai, kerana takut-takut ia akan membarah
hingga membunuh agama seseorang. Namun, dalam bersuara, Islam meletakkan
batas-batasnya. Jangan menjadi terlalu taksub kepada salah satu
ideologi/pandangan, nescaya taksub itu akan memakan kebenaran walau di depan mata.
Bersuaralah dengan ikhlas untuk mencari kebenaran, insyaAllah, Allah Yang Maha
Memahami akan menunjukkan jawapannya.
Kepada lelaki, takutilah untuk
berlaku zalim kepada wanita, khususnya dalam isu perkahwinan. Sayangilah wanita
pendampingmu, selagimana wanita itu masih mentaatimu dalam melaksanakan agama
dan tanggungjawabnya, dan telah melengkapi keluargamu dengan sakinah,
mawaddah dan rahmah….