Sunday, May 22, 2011

:: Solat Itu Kekuatan Kita ::

Agama itu ada tunjangnya, ada akarnya, dan ada tiang tegaknya. Dalam melayari kehidupan sebagai seorang muslim atau muslimah, melaksanakan tunjang, akar dan tiang agama itu pastinya satu kewajipan ke atas setiap bahu-bahu yang membawa nikmat Islam dan iman. Kita sering dibisikkan dan diteriakkan dengan cerita-cerita kelemahan jutaan umat Islam kini, berbanding dengan kekuatan hanya ratusan umat Islam dahulu. Kekuatan tentera ketika Perang Badar, kekuatan tentera Salahuddin al-Ayubi, Sultan Muhammad al-Fateh dan penaklukan 2/3 dunia menjadi kebanggaan umat Islam kini yang sering berbangga dengan sejarah. Namun, sejauh manakah sejarah dan nilai-nilai di sebalik sejarah itu diperolehi, hanya sedikit sahaja yang mengetahuinya.

Kembali kepada tunjang, akar serta tiang tegak agama, nampakkah kita apakah yang disorokkan di sebalik kata-kata tersebut? Mengapa saya mengaitkannya dengan kekuatan dan kelemahan umat? Sejarah yang diulang-ulang, kejayaan yang dibangga-banggakan oleh umat Islam ini jika kita lihat kembali, maka tidak lain tidak bukan, pastilah perkara ini yang menjadi tunjang kejayaan mereka. Itulah solat, yang mana Allah menjanjikan kejayaan bagi mereka-mereka yang khusyu’ di dalam melaksanakan solatnya. Jelas perkara ini diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui lafaz yang mulia di dalam Surah al-Mukminun, ayat 1-2 :

ôs% yxn=øùr& tbqãZÏB÷sßJø9$# ÇÊÈ tûïÏ%©!$# öNèd Îû öNÍkÍEŸx|¹ tbqãèϱ»yz ÇËÈ

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

Sesiapapun yang membaca ayat ini, dengan membaca kembali terjemahannya, pasti jelas kepadanya bahawa mereka yang bersolat itu, adalah mereka yang berjaya. Namun solat yang disebutkan ini solat yang bagaimana? Adakah solat yang hanya melepaskan syarat dan rukun? Tentunya solat yang dimaksudkan di sini adalah solat yang khusyu’, bukan hanya terlunas dan sempurna segala rukun dan syarat sah solat, namun hatinya terpaut dan tertumpu kepada setiap bacaan dan kalimah yang dituturkan, fokusnya hanya kepada Allah, kepada kasihNya, kepada rahmatNya dan keampunanNya. Ketakutan yang memenuhi setiap degupan jantungnya hanyalah kerana takutnya kepada azab Allah. Begitulah keadaan solat yang dimaksudkan berdasarkan kefahaman saya.

Namun sedih. Umat Islam kini jauh dari kekhusyukan ini. Bukan sahaja kekhusyukan, malah dalam hendak menjaga waktu solat yang ingin dilaksanakan juga, begitu payah. Lihat sahajalah kini, di surau-surau dan masjid, di setiap wilayah dan kariah, saff yang ada ketika solat didirikan hanya sedikit. Sedangkan solat jemaah itulah kekuatan umat Islam. Bukankah Rasulullah sangat menekankan kepentingan solat berjemaah? Tapi kenapa umatnya masing mengabaikan dan tidak mengendahkannya. Seolah-olah tiada kepentingannya di situ. Kaum wanita memberi jawapan, solat di masjid hanya buat kaum lelaki. Namun bagi wanita yang bersolat di rumah, solat anda dipeliharakah waktunya? Ditinggalkan drama, didahulukan solatkah? Atau didahulukan drama, ditangguhkan solat? Dan mungkin ada juga yang mendahulukan solat, namun solatnya sekadar memenuhi tuntutan. Iaitu yang mencuri di dalam solatnya. Tidakkah kita mendengar bahawa Allah jua ada berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 103 :

#sŒÎ*sù ÞOçFøŠŸÒs% no4qn=¢Á9$# (#rãà2øŒ$$sù ©!$# $VJ»uŠÏ% #YŠqãèè%ur 4n?tãur öNà6Î/qãZã_ 4 #sŒÎ*sù öNçGYtRù'yJôÛ$# (#qßJŠÏ%r'sù no4qn=¢Á9$# 4 ¨bÎ) no4qn=¢Á9$# ôMtR%x. n?tã šúüÏZÏB÷sßJø9$# $Y7»tFÏ. $Y?qè%öq¨B ÇÊÉÌÈ

Maksudnya: Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

Wahai saudara-saudaraku, sedarkah kita pentingnya solat dalam membina kembali kekuatan umat Islam yang semakin diinjak-injak dari hari ke hari. Berita memalukan dan menghina Islam sering kita dengar, dan bukan hanya sekadar itu, Rasulullah SAW yang dikasihi juga ditempiaskan dengan penghinaan yang berpunca dari kelemahan kita. Jangan pernah menyalahkan yang lain, lihat sahaja diri sendiri, sejauh mana kita berusaha menguatkan diri. Sedarkah kita, kenapa musuh Islam kini berani mempermainkan Islam, tidak seperti di zaman kegemilangan dulu, musuh-musuh Islam takut jika mendengar tentang Islam, hatta untuk menzahirkan kekafiran mereka jua. Kerana apa? Ini kerana kuatnya umat dahulu dan lemahnya umat kini.

Bukan niat di sini untuk menjatuhkan motivasi anda, bukan jua berniat untuk memperkecil-kecilkan umat kini. Namun hanya untuk memberikan sedikit pencerahan agar kita semua bangkit memperbaiki diri, agar dapat terbentuk jati diri seorang Muslim/ah sejati, agar umat Islam kembali dingati dan disegani. Solat tiang agama. Menjaga solat seperti kita menjaga tiang agama. Jika kita cuba untuk meninggalkannya, maka ianya seperti kita cuba untuk meninggalkan dan meruntuhkan agama. Dan sesiapa yang meruntuhkan agama, maka merugilah dia dunia dan akhirat. Dan saya pasti, tiada siapa yang inginkan kerugian.

Maka sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,

Sedarkah kini peri-pentingnya solat dalam kehidupan individu, jua dalam memperkuat umat Islam kini yang semakin hari semakin lemah. Mulakanlah pengislahan diri dan janganlah ada yang terkecuali, kerana saya pasti kalian semua merindui untuk melihat umat Islam kembali bersatu, menguatkan antara satu sama lain, menentang tujahan-tujah panah kafirin dengan perisai yang lengkap. Dan perisai itu adalah solat dan doa. Tinggalkanlah segala perkara ketika laungan kejayaan dilaungkan ke setiap penjuru dunia. Utamakanlah panggilan Allah dan hadaplah Dia Yang Esa Yang Layak Disembah dengan penuh kekhusyukan dan tawadhu’. Insafilah segala kelemahan dan kekhilafan diri, mohonlah kekuatan agar umat Islam kembali gemilang. Ketegasanku, janganlah pernah membiarkan solat itu dilaksanakan ketika hampir terluput waktunya, dan penekanan juga, perlulah dijauhi ketika waktu itu berlalu tanpa ditunaikan haknya.

Moga perkongsian tidak seberapa ini mampu menyumbangkan sedikit pencerahan, dan hanyalah keberkatan dan redhaNya yang dipohon. Mohon maaf di atas ketidaksempurnaan penulisan. Moga Allah redha…

Wallahu a’lam…

***moga ianya sering menjadi peringatan kepada diri sendiri yang sentiasa lupa dan leka. Amin..