Tuesday, January 13, 2015

Banjir di Kelantan; Bala Dari Allah?



Bismillah walhamdulillah...

Semalam lepas habis mengajar, kami terus bergerak ke usrah di Pasti berhampiran. Ust. Hishamudin seperti biasa, tepat pada masanya menanti kami memenuhi ruangan. Allah terus bagi beliau kekuatan, walau beliau terlihat sudah tua dan bertongkat kerana tidak berapa sihat. Moga Allah terus pelihara dirinya dalam perjuangan ini.

Usrah semalam, di saat awal usrah otak ligat berfikir, mencerna fakta dan ilmu yang diutarakan berkaitan pengertian Toghut dalam Surah al-Nahl ayat 36, pada pandangan Ibu  Qayyim dan beberapa ulama' tafsir yang lain. Saya hanya khusyuk mendengar, tanpa tangan digerakkan untuk menulis isi-isi usrah yang diberikan. Beliau mengulas beberapa ayat al-Quran yang menyebut perihal Toghut. Beliau mengaitkannya sebagai sebab kuat beliau memilih berjuang dalam PAS berbanding parti politik yang lain. Namun itu bukan yang ingin saya fokuskan pada entry kali ini.

Apa yang ingin  saya kongsikan di sini adalah ulasan Ust Hishamudin berkaitan 'Sebab-sebab Allah Turunkan Bala Atau Azab Kepada Sesuatu Kaum.'

Ada empat faktor:

1) Menentang ajaran Rasul dan Allah swt. (Al-A'raf : 94)

2) Sikap kaum itu yang tidak bertindak untuk mencegah kemungkaran yang terzahir. (Al-Anfal : 25)

Faktor kedua ini membuat kita yang kononnya baik ini 'tersentap' dan perlu muhasabah. Kerana Allah tidak menurunkan azab kerana orang yang berbuat maksiat, tapi kerana kita yang mengaku daei tidak menjalankan tugas daei, sedangkan dia mampu mencegahnya dan menegurnya. Maka Allah meratakan azabNya kepada seluruh kaum tersebut.

Untuk isu baru-baru ini berkaitan KPop, kita sebagai daei perlu ingat akan perkara ini. Sudahkan kita bersungguh menyampaikan kepada mereka berkaitan pemahaman syariat? Kutuk-kutuk juga, namun kutuk diri sendiri dulu sebelum kutuk sang mad'u. Ingat, Allah tak azab yang bermaksiat sahaja, jika kita tidak bertindak, azab itu tetap akan kita sama-sama rasai.

Wal'iyyazubillah!
Perlu kita sang daei untuk sama-sama muhasabah!

3) Ujian kerana kekuatan iman kaum tersebut. Sebagaimana sebuah hadith ada diriwayatkan:

"أشد الناس بلاء الأنبياء فالأمثال فالأمثال"
"Sedahsyat-dahsyat bala ke atas manusia adalah yang diterima oleh para nabi dan orang-orang yang seumpamanya dan yang seumpamanya."

Juga al-Baqarah ayat 155.

Isi ketiga ini yang Ust kaitkan dengan apa yang berlaku di Kelantan, Brunei juga di Acheh yang ditimpa tsunami serta banjir besar setelah kesamaan ketiga-tiganya mengumumkan untuk melaksanakan hudud di negara dan negeri masing-masing. Ujian atas kebenaran mereka untuk laksana syariat. Ujian kekuatan iman mereka.

Allahu Rabbi.

Lalu fakta yang dinyatakan, ahli usrah yang hadir bersama mengiyakan dan mengangguk tanda setuju terhadap fakta hudud tersebut. Sememangnya Brunei pernah banjir besar selepas Sang Sultan mengumumkan untuk melaksanakan hudud di negaranya. Juga di Acheh, tsunami melanda selepas keinginan pemimpinnya untuk melaksanakan hudud. Dan kini, kedua-dua Banda Acheh dan Brunei dalam perlaksaan hudud dengan kaedah perlaksaan mereka yang terancang. Begitulah jua di Kelantan, insyaAllah masa itu makin hampir, apabila ujian banjir besar yang mana kesannya seumpama tsunami memberi banyak kesan dan tarbiyah kepada penduduknya, juga menayangkan kepada setiap yang datang menghulurkan bantuan, betapa nilai dalaman yang ada dalam diri warga Kelantan yang ditemui amat mantap dan hebat.

Saya sendiri mengakuinya. Pengalaman selama hampir 10 hari di Kuala Krai dan Dabong, Kelantan yang merupakan dua lokasi yang terjejas teruk, bertemu mata dan berbual serta mengedarkan bekalan makanan dan keperluan kepada mereka yang ditimpa musibah, tidak seorang pun yang saya temui menjadi 'gila' dengan apa yang menimpa mereka, mahupun suara keluhan, menyalahkan Tuhan dan sikap berkepentingan yang melampau. Rata-rata yang saya temui sangat redha dan yakin dengan aturan Allah, juga masih terus memikirkan nasib saudaranya yang lain, walaupun dirinya sendiri teruk diuji kehilangan harta benda. Sehingga si anak juga masih istiqamah bertudung, yang dewasa terus cuba menutup aurat, walau kekadang kaki diselak untuk melalui selut.

Allah, Allah, Allahu Akbar!

Mungkin ini apa yang dinyatakan, ujian untuk meningkatkan iman. Ujian kerana kekuatan iman yang mereka ada. Ujian kerana mereka benar dalam melaksanakan syariatNya. Tidak dinafikan ada juga dikalangan mereka yang meninggalkan solat, mementingkan diri, namun sejujurnya, saya tidak temuinya sepanjang terlibat dengan misi banjir di sana. Banyak lagi yang saya pelajari dari mereka, yang membuatkan hati menangis, mulut terkunci, mata laju berlari mencari erti di sebalik semua ini.

Pergilah kepada mereka, lalu kalian akan nampak apa yang saya maksudkan. Mereka kehilangan hampir seluruh harta benda, namun mereka masih berkata ini hanya sedikit ujian dari Tuhan!

Jika kita yang ditimpa musibah ini, agaknya bagaimanalah keadaan kita..
Jom, kita muhasabah, lalu doa yang terbaik untuk umat Islam.

Fi amanillah.

#Pics di Dabong dan Kuala Krai. Boleh lanjut lagi gambar di FB saya. Antara team kami dari Nisa' Serdang.












2 comments:

  1. Hujah dangkal bersifat politik. Allah turunkan bala untuk Kelantan untuk singkapkan kehidupan di sana yang serba Daif dan kotor..

    ReplyDelete
  2. "hujah dangkal bersifat politik bla bla..." said the anonymous.. pengecut

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)