Berkurun lama ‘diary’ saya ni
dibiarkan tidak berpenghuni. Mungkin disebabkan beberapa perkara yang
disibukkan akhir-akhir ini membuatkan saya tidak sempat mencoretkan sebarang
perkongsian walaupun banyak idea dan perkara yang ingin saya tulis. Namun, apa
yang ingin saya kongsi pada entry kali ini, merupakan satu pengalaman yang saya
tersangat rasa ingin dikongsikan kepada pembaca yang rajin untuk membaca. Khas
buat anda.
Moga bermanfaat.
Konvensyen Fiqh Ummah 2012
Buku Koleksi Kertas Kerja K.Fiqh |
Kepada yang mengikuti facebook
saya, tentu mengetahui bahawa saya akhirnya berkesempatan menghadiri K.Fiqh di
UTM Skudai pada 7hb dan 8hb Julai baru-baru ini. Sungguh, langsung saya tidak
nafikan bahawa saya tiada komen negatif terhadap program dan pengisian yang
diberikan. Saya sangat berpuas hati dan berat hati untuk mengakhiri program
ini.
Tiada yang lain, hanyalah
ilmu, ilmu dan ilmu serta kerahmatan dan barakah serta ketenangan hati yang
saya dapat di dalam majlis ini. Inilah antara majlis-majlis ilmu yang
disabdakan oleh baginda Nabi SAW sebagai taman-taman syurga di dunia. Tidak
kira siapa jua yang menghadirinya, pasti doa malaikat akan mengiringinya.
Saya doakan Allah merahmati
dan mengampuni pengajur program dan setiap yang terlibat dalam menjayakannya,
kerana dengan usaha mereka inilah, ramai insan yang mendapat pencerahan tentang
konsep-konsep dalam Islam, khususnya wasathiyyah dalam mengamalkan Islam yang
menjadi tema pada kovensyen kali ini.
Pertemuan yang Indah
Barisan asatizah ketika sesi soal jawab |
Kami bertemu dengan para asatizah
(para ustaz) yang hebat dan mantap ilmunya. Mereka yang hadir ialah Dr.
Zaharuddin, Ust. Abdul Basit, Ust Zulkifli al-Bakri, Ust Zahazan, Ust Zamri
Mantop, Ust. Roslam, Ust. Sukki, Ust Nidzam, Ust. Syed Norhisyam, Dr. Mazlee,
Ust. Ramadhan Fitri, Ust Wifaq, Ust. Fauwaz, Ust. Husni, IM Asyraf, Ust.
Abdullah Bukhari, Ust. Aizam, Ust. Izhar Ariff, Ust. Khairuddin Takiri, dan
Xifu Naser rahmatullahi ‘alaihim wabarakatuh. Kesemuanya 20 orang. Melihat
mereka duduk dalam satu barisan, saya merasai seolah-olah berada dalam majlis
ilmuan para Masyaikh Azhari. Walaupun mempunyai ilmu yang tinggi, masing-masing
mempunyai kerendahan hati dan sentiasa tawadhu’ dalam menyampaikan ilmunya.
Di K.Fiqh ini juga, saya berkesempatan berjumpa
dengan ustazah-ustazah Maahad Johor yang sungguh saya rindui suasana bersama dengan
mereka. Moga Allah jua turut merahmati mereka, guru-guruku.
Xifu Naser dan J-Sze di Sesi Konsultasi |
Sesi pertama sahaja, apabila berbicara soal ‘Wasathiyyah
Dalam Berdakwah’ telah hampir-hampir membuatkan saya menitiskan air mata,
mengenangkan diri yang sudah hampir 3 tahun bergerak kerja dalam dunia dakwah
secara ‘rasminya’, namun seorang non-muslim pun tidak berjaya saya gerakkan
hatinya untuk memeluk Islam, atau cenderung dan berminat kepada Islam. Sungguh,
saya dikalahkan oleh saudara-saudara baru yang setahun dua menjadi muslim,
namun berjaya menarik beberapa non-muslim yang lain mendalami Islam.
Penyampaian daripada Xifu Naser yang telah menjadi muslim beberapa tahun yang
lalu, dalam K.Fiqh kali ini beliau hadirkan juga seorang Free-Thinker; J-Sze
yang digolongkan sebagai ‘Golongan Abi Talib dan Raja Najashi’ yang
mempertahankan Islam daripada serangan-serangan negatif, walaupun mereka belum
lagi menganut Islam. (Sama-samalah doakan beliau menjadi muslimah). Sesi
perkongsian ini sangat-sangat memberatkan hati saya. Bukan kerana tidak suka,
namun kerana timbulnya penyesalan dan kekecewaan dengan diri sendiri dengan
hasil dakwah yang dilakukan. Saya bermuhasabah.
Selain itu, kami juga diberi penjelasan agar dapat
mengubah pendekatan dakwah kini yang sudah tidak sesuai dengan waqi’ (keadaan)
masyarakat sekarang. Dan seorang pendakwah, jangan hanya bercakap soal hukum
(syariah) yang mempunyai pelbagai khilaf dan pendapat, kerana ia akan
mengelirukan non-muslim dan dianggap susah oleh golongan muslim yang masih
kurang ilmunya. Namun, da’ie (pendakwah) itu digalakkan untuk bercakap soal
akhlak, akidah kerana pada perkara ini, tiada khilaf padanya. Jangan hanya
bijak menuding jari dan mengeluarkan hukum dan menyesat serta membid’ahkan,
akan tetapi amalkanlah akhlak yang baik dan sempurna dengan mencontohi Nabi
SAW, pasti ramai yang akan tertarik dengan Islam kerananya.
Dalam memahami metodologi dakwah, ramai akan maklum
tentang berhikmah ketika berdakwah. Namun, tanpa sedar, ramai yang salah anggap
mengatakan hikmah itu adalah berlemah-lembut dalam berdakwah. Salah, anggapan
ini salah sama sekali. Kerana hikmah ini menurut Sayyid Qutb ialah kemampuan
seseorang pendakwah memerhati realiti setiap sasaran dakwah dan keadaan meraka,
lalu menyampaikannya dengan cara yang PALING SESUAI. Ya, dengan cara yang
paling sesuai, jika perlu dengan kaedah berkeras, maka berkeraslah, jika dengan
cara memujuk, maka pujuklah. Bukan menggunakan pujukan pada semua situasi.
Dan yang paling penting, senyumlah, kerana senyuman
itu bukan hanya memberikan pahala kerana memaniskan wajah, namun ia juga mampu
menarik seseorang kepada nilai baik, dan persepsi yang baik.
Banyak sekali jika ingin dikongsikan. Mengupas tentang
dakwah sahaja sudah hampir separuh entry. Pasti tidak mampu saya kongsikan
segalanya di sini. Tapi, saya akan cuba berkongsi mana-mana yang penting. InsyaAllah,
dengan sambungan pada entry yang lain,
saya akan berkongsi dalam banyak lagi isi-isi pengisian Wasathiyyah dalam
Akidah, Politik, Ekonomi, Kewangan, Menggunakan Turath, Tasawuf, Ibadah,
Pengajian Al-Quran dan Wasathiyyah dalam Gaya Hidup. Doakan saya mampu, dan
masih diberikan kesempatan untuk berkongsi.
Sesi Konsultasi Bersama
Asatizah
Satu lagi perkara menarik yang
ada dalam K.Fiqh ini ialah sesi konsultasi dan sesi soal jawab secara individu
bersama para asatizah. Saya dan sahabat berkesempatan menerima nasihat dan pandangan
daripada Ust Ramadhan Fitri berkenaan perancangan masa depan, dan sedikit
kata-kata semangat daripadanya untuk meneruskan impian dan merancang masa
depan.
Kata-kata beliau, yang pernah
saya kongsikan di facebook, memberi suntikan semangat yang hebat pada saya.
Mencerahkan impian dan perjalanan serta rancangan masa depan saya. Kata-kata
beliau sungguh memotivasikan. Dan juga kata-kata daripada Dr. Mazlee Malik
(rupanya salah seorang pelajar Maahad Johor) yang kami dengari secara tidak
sengaja, namun sungguh bermutiara ialah: “Keluar dari zon selesa, dan lakukan
sesuatu yang anda rasa tidak mampu untuk dilakukan.” Hebat! Kerana itu beliau
menjadi orang hebat!
|
Sesi Konsultasi; IM Asyraf |
Antara Ustaz yang tawadhu' dan faqih; Ust Zahazan |
Seorang ibu mengajukan permasalahan kpd Ust Syed |
Setakat ini sahaja untuk
perkongsian kali ini. Maaf, kerana agak panjang. Moga ianya bermanfaat, saya
doakan anda dengan kesejahteraan, anda doakan pula saya ya, agar dipermudahkan
urusan dan menjadi insan yang bermanfaat untuk Islam... =)
Sekian, Wallahu a’lam.
Sangat beruntung. Iri hati dengan peluang yang us dapat. Moga dapat dimanfaatkan untuk ummah..
ReplyDeleteAlhamdulillah, berjaya juga membuat orang cemburu dgn majlis ilmu ni. Ana akan ckp pd org yg cemburu, utk dftr Konvensyen Fiqh Politik Semasa utk Sept ni. Mg dpt rebut peluang. Dan dmnfaatkn utk ummah dn jemaah.
ReplyDelete