Tazkirah yang disampaikan oleh
seorang ustaz jemputan semalam sungguh memberi kesan sekali lagi di hati saya
(walaupun saya hanya tiba pada 15 minit terakhir). Peringatan demi peringatan
masuk dan disumbat ke dalam fikiran saya sebagai seorang mahasiswi Islam yang
mengaji di Pengajian Islam. Berbekas nasihat beliau membuatkan saya ingin
berkongsi peringatan-peringatan itu bersama ustaz-ustazah yang juga sepengajian
dan seperjalanan bersama-sama saya dalam dunia pengajian ini.
Dakwah ini tanggungjawab
siapa?

Sahabatku,
Kita sekalian telah Allah
pilih dan berikan peluang dan kesempatan untuk meneruskan pengajian di
peringkat tinggi dalam pengajian Islam. Dalam masa 3-4 tahun pengajian, kita
akan diberikan segulung ijazah kepujian yang dengan bangganya tertulis, ‘Ijazah
Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian’ yang akan melayakkan kita
bekerja di institusi-insitusi agama dan atau selainnya. Masyarakat akan
memandang kita sebagai salah seorang yang boleh dirujuk dalam permasalahan
agama, menjadikan kita sebagai contoh, atau menjadi imam dan sebagainya. Masyarakat
akan memandang kita sebagai salah seorang yang boleh dirujuk sebagai ‘imej bagi
Islam’.
Oleh itu sahabatku,
Sedarkah kalian bahawa secara
tidak langsung kita yang akan
bergraduasi daripada satu kursus yang dinamakan Pengajian Islam ini dijadikan
ikon dan dipandang masyarakat? Sedarkah kalian secara tidak langsungnya,
tingkah laku kita akan dijadikan hukuman untuk Islam bagi yang kurang memahaminya?
Sedarkah kita, bahawa kita akan dipandang masyarakat sebagai orang yang tinggi
ilmu agamanya?
Jadinya, apa yang cuba saya
sampaikan di sini adalah, bertingkah lakulah sebagai seorang pelajar pengajian
Islam. Berimejlah sebagai mahasiswa/I pengajian Islam. Bertindaklah dan
berfikirlah sebagai seorang pendakwah Islam. Kerana persepsi umat manusia
berkenaan Islam boleh berubah dengan sebab kita.
Maka kepada siapa lagi ingin
diharapkan untuk disebarkan dakwah Islam ini jika kita sendiri yang belajar
siang dan malam tentangnya mengambil sambil lewa tentangnya? Tidakkah kita
merasa tanggungjawab dakwah itu adalah lebih berat di bahu dan belakang kita
berbanding orang lain?
Wahai mahasiswa/I pengajian
Islam, fikirkanlah!
Biah itu menyedihkanku…
“Sekarang ni bila ana tengok
student-student FI (Fakulti -Pengajian- Islam) ni ana jadi pelik. Tak ada beza
student FI dengan student fakulti-fakulti lain. Datang kuliah seolah-olah dah
macam datang nak bersukan. Kekadang ana pelik jugak dengan budak FI sekarang
ni. Kalau dulu susah nak tengok suasana macam ni.”
“Orang lain pakai seluar, dia
nak pakai seluar jugak. Kalau besar tak pe, ni seluar kecik-kecik. Tak tahulah.
Budak fakulti lain pakai baju t-shirt dia nak pakai jugak, orang pakai tudung singkat
dia nak pakai jugak, orang tak pakai stokin, dia pun tak nak pakai. Ana ni
bolehlah kadang-kadang tegur. Yelah kalau ana lecterur tak tegur, ana berdosa
jugak. Tapi….”
Antara keluhan ustaz dalam
tazkirah ringkas yang diberikan beliau.
Allahu Rabbi…tersentap rasanya
hati. Di manakah sensitiviti kita sebagai mahasiswa/I Islam? Kenapa kita
sendiri jualah yang menyumbang fitnah ke atas kesucian Islam ni?
Sungguh, saya sendiri jua
merasa sangat sedih dari hari ke hari melihat suasana atau biah di Fakulti
Pengajian Islam sendiri. Pelbagai fesyen dan gaya terserlah dari pelbagai
penampilan dan imej. Ikutlah lelaki mahupun perempuan. Muslimat mahupun
muslimin. Ustaz mahupun ustazah.
Saya tidak menyekat, jauh lagi
menghukum haram pemakaian berfesyen. Saya tiada menghalang. Cumanya, cukuplah
fesyen itu adalah yang digariskan batasannya dalam syara’. Biarlah pakaian kita
itu menggambarkan kemahasiswaan kita sebagai seorang ahli di FAKULTI PENGAJIAN ISLAM.
Sekian lama ingin saya luahkan
hal ini, namun sering terbantut mengenangkan beberapa keadaan yang membuatkan
saya tidak meluahkannya. Tapi, apabila hal ini dari semasa ke semasa dilihat
semakin parah, saya terpanggil untuk memberi sedikit peringatan di sini. Rentetan
daripada keluhan seorang pensyarah.
Tidakkah kita terpanggil?
Sahabat-sahabat yang saya
sayangi kerana Allah Ta’ala,
Mengapa mereka di luar sana
yang tidak mempelajari Islam secara mendalam seperti kita terasa terpanggil
untuk mendekati Islam…tapi kita yang sering berada dalam dewan-dewan kuliah
mendengar tentang Islam, semakin menjauh pula dengan cara hidup Islam?
Mereka terpanggil memakai
pakaian menutup aurat, kita pula terpanggil untuk mengubah imej kepada yang
sedikit terdedah? Mereka mendekati majlis-majlis ilmu, kita mendekati
majlis-majlis merapu.
Inilah ujian-ujian besar
kepada mereka yang diberikan ilmu agama yang tinggi. Semakin tinggi ilmunya,
semakin besar ujiannya. Maka, bijaklah dalam menangani situasi. Jangan kita
berjalan mendongak ke langit menyombong diri dengan ilmu yang ada pada pandangan
manusia, padahal di sisi Allah kita seoalah-olah hanyalah mayat hidup yang
tiada langsung darjat kemuliaan di sisi Allah.
Renung-renungkahlah…jauhilah
daripada menjadi penyebab fitnah kepada Islam!
0 suara pembaca:
Post a Comment
Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)