Saturday, March 23, 2013

Kematian


22 Mac 2013

Saya membuka facebook, terpampang terus berita kesyahidan seorang ulama' besar dunia; Fadhilatus Syeikh Saed Ramadhan al-Buthi yang terkenal dengan kehebatan ilmunya dan tulisannya dalam kitab Fiqh al-Sirah serta banyak lagi buku.



Berdebar jantung menyaksikan berita musibah ini. Allah sahaja yang tahu apa yang terjadi pada perasaan saya pada ketika itu. Merasakan satu tamparan musibah yang maha hebat. Terngiang-ngiang cerita kematian ulama' dan tokoh hebat Islam yang dibunuh kejam oleh regim pemusuh Islam. Dan, ia kini terjadi sekali lagi, di zaman saya sudah pandai melihat situasi. Ia terjadi lagi, di zaman saya. Membuatkan saya terasa amat-amat takut akan berita kekejaman dan kehilangan yang besar ini.


23 Mac 2013

Telefon bimbit memberi isyarat mesej, dan saya terus membuka:

"Awak! Adik usrah sy meninggal dlm tido! Pagi tadi, Mahani Hamzah, usul taun 2. Al fatihah."

Sekali lagi saya tersentak!

Allah...lagi berita kematian. "Dy sakit apa kak?" Saya bertanya.

"Takde sakit. Dalam tido."

Inna lillahi wainna ilaihi raji'un...

********************************************

Kematian. Satu yang sangat berjaya memuhasabah saya. Mungkin kerana sudah lama berada dalam zon selesa, Allah memberikan kaedah berbeza untuk menyuntik kembali iman yang semakin pudar.

Kedua-dua berita kematian tadi, amat-amat berjaya memuhasabah saya. Kematian yang mulia; Allahyarham Fadhilatus Syeikh Saed Ramadhan al-Buthi, sangat menyedarkan saya. Allah telah memilihnya untuk kembali kepadaNya dalam keadaan yang baik. Di hari Jumaat yang diberkati, di dalam masjid, ketika sedang memberikan kuliah agama (iaitu di majlis mengingati Allah, di mana para malaikatnya berpusu-pusu untuk memenuhi ruangan di dalam majlis itu). Apakah yang lebih baik, selain kembali kepada Allah, dalam keadaan sedang mengingati Allah dan mengajak manusia ke arah kebaikan?

Lalu saya menyoal diri, apakah agaknya situasi kematian saya apabila maut menjemput? Ia merisaukan saya..

Berita kedua pula, adik junior di jabatan pengajian yang sama. Walaupun saya tidak mengenalinya, tapi ia terasa seolah-olah sangat dekat. Berita yang menganggu jiwa dan ketenteraman saya. Entah kenapa, mendengar berita almarhumah adik ini meninggal dunia dalam keadaan tidur, membuatkan saya merasa risau keadaan saya akan dikembalikan, masa saya dicabut nyawa nanti. Adakah saya sudah bersedia untuk itu? Soalan itu sekali lagi menakutkan saya. Walau ia hanya diungkap main-main pada ketika ini, ia sangat mengganggu saya. Sehingga saya terasa ingin menerbitkan post ini.

Allahu Akbar! Sudahnya, nyatalah kebenaran firman Allah:


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Ali Imran: 185)


Adakah kita berjaya mengecapi syurga, atau gagal lalu dicampakkan ke dalam neraka, semua bermula di titik awal perjalanan kita ke arah itu, iaitu KEMATIAN.

Jika baik keadaan kita ketika menghadapi kematian, insyaAllah baik jualah keadaan kita di dalam kubur (alam barzakh) dan seterusnya. Namun, jika buruk keadaan kematian kita, maka buruklah balasan kita di alam barzakh kelak. Wal'iyyazubillah..

Sesungguhnya, saya sangat risau. Apakah akan berlaku di saat kematian saya nanti? Apakah kita semua sudah bersedia menghadapinya jika sesaat selepas ini, kematian menjemput kita? 

Marilah sama-sama mengingati, bahawa kematian itu akan datang tanpa kita sedari, dan ia akan menjemput kita tanpa mengenal usia.


Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al-Baqarah:201)

Maafkan saya jika saya pernah silap kepada semua. Masa saya juga akan tiba, tanpa saya ketahui ketikanya. Moga Allah merahmati kalian.

Wallahu a'lam.

Monday, March 18, 2013

Kehidupan


Bismillahirrahmanirrahim..

Dalam tempoh panjang ini, terlalu banyak yang ingin dikongsi, akhirnya ia hanya berlegar-legar di sekitar pemikiran, tanpa digagahkan jari-jari untuk menaip apa yang ingin dikongsi. Petang ini, suasana seolah-olah memaksa jari-jari bermain di keyboard untuk menulis sedikit ilmu yang dapat dimanfaatkan. Namun, pemikiran saya sendiri masih berlegar-legar memikirkan apa yang paling sesuai sekali untuk saya kongsikan.

...................................................................................................................................................................

Sedar atau tidak, sesungguhnya sudah terlalu lama kita diberi nikmat kehidupan oleh Allah SWT untuk terus hidup dengan baik di muka bumi ini. Yang mampu membaca blog saya, mungkin paling muda tidak kurang sudah 10-15 tahun (itu pun jika ada adik-adik yang suka bacaan yang sebegini). 10, 15, 20, 30 tahun, satu tempoh masa yang sungguh lama. 10 tahun kita boleh melihat sebuah negara yang dahulunya bankrup, kini mampu membangun dengan baik. Tempoh 15 tahun, seekor serigala sudah mampu membentuk kawasan jajahannya sendiri dan membina kelompoknya tersendiri sebagai ketua kawanan. Tempoh 20 dan 30 tahun... lagilah terlalu banyak perkara dan perkembangan yang boleh berlaku.

Terlalu panjang hayat yang diberikan Allah untuk manusia terbentuk menjadi insan yang bermanfaat dan hamba yang taat. Cuba kita lihat kembali episod-episod kehidupan kita dahulu. Khususnya selepas kita sudah menjadi hamba yang tertanggung ke atasnya tanggungan dosa dan pahala. Iaitu, ketika kita sempurna menjadi seorang hamba yang mukallaf. Apakah yang telah kita lakukan? Mampukah kita, jika dalam lingkungan umur 20 tahun ini kita dipanggil untuk berdepan dengan Allah SWT, mahupun berdepan dengan soal jawab para malaikatNya yang taat?

Jom kita perhatikan. Kepada sesiapa yang ada diari, cuba buka semula diari anda. Lihat kembali aktiviti anda beberapa tahun yang lepas...dan kini, jawablah pada diri sendiri..

Kekadang, memandang ke belakang itu perlu, supaya kita tidak lagi mengulangi langkahan yang salah pada suatu ketika dulu. Dan juga, agar kita kembali bersemangat dan berusaha menjadi yang terbaik, seperti suatu ketika dulu jika kini kita adalah daripada kalangan mereka yang telah tersilap langkah.

Saya sedikit kesal, apabila melihat ada insan yang cuba menjatuhkan semangat dan keinginan seseorang itu untuk berubah. Untuk melihat ke belakang, saya bukan menyuruh orang lain yang melihat. Empunya dirilah yang perlu mengkoreksi diri. Selain dirinya, tidak perlu sibuk melihat sejarah silam dan masa lalu orang lain. Tidak perlu mengungkit dan mengkisahkan perkara yang sudah lepas. Risau, 'keperihatinan' kita yang melampau terhadap kehidupan orang lain, membuatkan sebahagian individu itu yang berniat untuk berubah, membatalkan niatnya, gara-gara niat sebilangan kecil insan yang cuba mengingatkan kepadanya kembali tentang kesalahan yang lalu.

Moga Allah mengampuni kita jika kita pernah tersilap menilai manusia, dan moga Allah ampuni juga dosa kita jika pernah kita menyakiti sesama manusia. Sesama kita, bermaafan dan lupakanlah dan maafkanlah kesilapan manusia kepada kita, namun, jangan sekali-kali melupakan silap kita pada orang lain sebelum kita berjaya memohon maaf. Pesanan saya, buat diri dan semua yang membaca, koreksilah diri. Apakah yang mampu kita hadapkan di hadapan Allah nanti dalam jangka umur yang cukup lama ini. Apakah usaha dalam menyebarkan dan membantu Islam telah kita lakukan? Dan, berilah semangat kepada sesiapa yang ingin berubah kepada kebaikan. Bantulah mereka walau hanya dengan kata semangat dan sokongan. Moga ia menjadi amal jariah kita.

Wallahu a'lam.

#Doaku untuk keamanan di Lahad Datu.

Wednesday, February 20, 2013

A Stressful Day (Berubahlah!)


Kesesakan minda dan masa selama hampir seminggu, dalam menguruskan urusan master yang baru didaftarkan hampir-hampir membuatkan saya rasa untuk memboikot sebentar sistem yang digunakan. Semakin hari, sistem dan birokrasi yang makin menyusahkan terbina di sini. Entah atas dasar idea siapa, saya tidak pasti. Namun, sistem yang sepatutnya semakin memudahkan jika diupgrade menjadi sebaliknya pula apabila bukan hanya pelajar baru sahaja yang bermasalah, dan menjadi kelam kabut, pelajar lama juga kalut apabila pendaftaran kursus tidak boleh disempurnakan sebelum membayar yuran pengajian semester itu (bukan semester sebelumnya seperti peraturan sebelum ini), membuatkan keserabutan ketika pendaftaran pelajar baru, dengan barisan pelajar lama yang ingin membayar yuran pengajian bagi membolehkan pendaftaran dibuat.

Tapi, bukan itu yang paling saya kesalkan. Saya kesalkan budi bahasa, adab susila si peneman kaunter perkhidmatan di institut ini.

Hari Jumaat, selepas solat Jumaat selesai, ketika saya semangat untuk mendaftar master, kami tiba di depan pejabat urusan siswazah sebelum pintu pejabat dibuka. Rupanya bukan kami orang pertama, ramai lagi yang sudah pun setia menunggu di sana. Dan kebanyakan daripada mereka adalah foreigner! Jika tidak silap, hanya 3-5 orang sahaja (termasuk saya) adalah warga tempatan.

Dalam jam 2.50 petang, pintu dibuka dan kami beratur sopan untuk menggambil nombor giliran. Masing-masing memberikan keutamaan dan masuk dengan adab yang baik. Saya mendapat nombor ke-12. Kami mengambil tempat untuk duduk di ruang yang disediakan. Mungkin adab mereka si 'abang-abang' foreigner, kami di dahulukan untuk duduk. Atau, mungkin mereka lebih selesa untuk berdiri di belakang. Setelah hampir 15-20 minit, saya dipanggil. Kaunter yang disediakan hanyalah dua, untuk menguruskan berpuluh pelajar yang ingin mendaftar dan pelajar lama yang membuat urusan lain! Saya diamkan sahaja. Mungkin tidak cukup kakitangan.

Rupanya urusan saya di kaunter tidak selesai hanya di situ, saya perlu mengisi borang aku janji dan sebagainya. Saya berundur dari kaunter ke kerusi luar untuk mengisi borang tersebut. Dalam masa 10 minit selepas itu, saya kembali ke kaunter untuk menyerahkan borang-borang berkaitan. Sedar tidak sedar, saya menunggu dalam 10 minit untuk diterima borang dan maklumat berkaitan. Itu tiada masalah pun. Dalam tempoh itu, kaunter pertama di situ menekan-nekan nombor giliran, namun tiada satu pun yang bangun. Mungkin kerana pemegang nombor tersebut membatalkan hasratnya. Disebabkan hampir 10 nombor tiada pemegang, si penjaga kaunter itu dengan mudahnya menjerit, "Malaslah nak tekan-tekan dah, sesiapa nak datang je!"

Saya tergamam. Terfikir, "Boleh pulak macam tu kan..haish". Mengeluh sendirian. Saya cuba mengabaikan, buat tidak tahu walaupun dalam hati agak pelik dengan tindakan penjaga kaunter. Pengumumannya dalam bahasa Melayu yang mungkin tidak difahami oleh sebahagian besar foreigner yang ada di sana, membuatkan si Melayu-melayu yang baru tiba mengambil peluang bergegas ke kaunter. Perkara ini disedari oleh 3 orang lelaki Iran (jika tidak salah) yang seiringan menunggu bersama-sama yang terawal tadi. Setia memegang nombor giliran di tangan, mereka menjadi pelik apabila satu demi satu pergi ke  kaunter tanpa bunyi ketik nombor. Salah seorang mereka bangun bertanya pada lelaki Melayu yang sedang duduk di kerusi hadapan kaunter, "Where's your number?" Si lelaki Melayu tadi hanya menjawab, "Sory.  Wait, wait. I have to hurry." Lelaki Iran itu menjawab mengatakan bahawa lelaki itu tiada hormat pada orang lain, yang sudah lama menunggu dan juga ingin mempercepatkan urusan mereka. Lelaki Iran itu mengomel-ngomel dalam bahasanya bersama kawannya. Si Lelaki Melayu Terakhir tadi, hanya mampu tersenyum dan meneruskan urusannya. Pegawai di kaunter juga, sedikit pun tidak kedengaran lafaz 'Sorry' atau 'maaf' untuk situasi yang berserabut itu.

Saya menjadi semakin malu. Malu dengan warga luar, yang datang ke Malaysia. Malu dengan sikap yang ditunjukkan. Entah ke mana hilangnya budi bahasa dan adab orang Melayu yang suatu ketika dulu dibanggakan. Yang sering diiklankan di kaca televisyen. Tapi solah tiada kesan. Saya hanya mampu tersenyum pada mereka. Speechless. Tidak mampu berkata apa-apa untuk menjernihkan kembali keadaan. Entah apa tanggapan mereka terhadap kita, terpaksa kita akui dengan redha, kerana sikap kita yang sebegitu tidak mesra dan beradab terhadap orang lain. Kerana sikap kita yang terlalu sukar untuk mengucapkan kata maaf, terlalu sukar untuk tersenyum, walaupun jelas-jelas sudah melakukan silap!

Parah!

Budi bahasa rakyat Malaysia semakin parah. Sedangkan, pelakunya seorang Muslim. Siapakah yang patut kita rujuk masalah ini? Tepuk dada tanya iman. Usahlah mengharapkan kebaikan daripada orang lain, jika kita sendiri pun sukar untuk berbuat kebaikan.


Siapa yang tidak mengasihi (sesama makhluk), tidak akan dikasihi oleh Allah.


Wednesday, February 6, 2013

Salahkah Berharta?


WANG atau DUIT?


Apa yang akan anda bayangkan jika kita menyebut atau melihat benda di atas? Adakah anda terbayang kemewahan, kesenangan dan segala kenikmatan dunia? Ataukah anda terbayang neraka, azab dan segala penipuan dunia?

Pernah saya belajar sebuah buku Business Ethics In Islam ketika degree sebelum ini. Antara kesimpulan ringkas yang dapat saya buat, terlalu banyak ayat dalam al-Quran yang menyebutkan perihal berkaitan harta dan gesaan untuk memperbaiki kehidupan dan memanfaatkan pemberian Allah di dunia ini. Namun tiada ayat di dalam al-Quran yang menyuruh manusia untuk mengabaikan dunia secara total. Ini persoalan yang timbul, apabila ada sebahagian yang mengatakan bahawa dunia ini hanya penipuan semata-mata untuk manusia. Manusia tidak perlu berfikir tentang dunia.

Pening juga saya apabila mendengar ada pihak yang mengatakan bahawa orang yang kaya akan jauh daripada Allah. Wang tidak penting dalam kehidupan. Tak cukup lagi orang yang mengatakan bahawa hidup ini perlu bersikap zuhud (dengan kefahaman zuhud itu berselekeh dalam pemakaian, tiada sebarang pemilikan dan senang kata miskin dan fakir)!

                Pemikiran salah ini sangat-sangat perlu diperbetulkan.  Saya tidak mengatakan saya adalah orang yang paling faham sekali dalam soal ini. Jauh sekali mengangkat ilmu saya mengatasi kalian yang mungkin lebih tinggi ilmunya daripada saya. Cuma, ia hanyalah sekadar perkongsian tentang apa yang saya fikirkan selama ini. Kalian sendiri, pernah atau tidak mendengar kata-kata atau persepsi seumpama tadi? Adakah kalian merasa semua itu benar-benar belaka?

                Jika Allah benar-benar meletakkan dunia  ini sebagai sesuatu yang tiada makna, untuk disia-siakan, maka tentulah Allah itu lari daripada sifatNya yang Maha Bijaksana. Dan, sesungguhnya segala ciptaan Allah itu, tiada sedikitpun yang tersisa daripadanya suatu yang sia-sia, apatah lagi makhluk bernama bumi dan dunia ini yang telah diciptakan untuk diduduki oleh manusia. Mustahil Allah menjadikannya dengan sia-sia.

                Tetiba saya rasa seperti sedang mengarang esei. ^_^

Jom kita renungkan. Jika 80% daripada umat Islam berfikir seperti ini, apakah yang bakal terjadi pada seluruh umat Islam di muka bumi ini? Siapakah yang bakal bangun untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan umat Islam? 20% sahaja yang mampu bangun dengan harta dan kekayaannya serta kepakarannya untuk mengizzahkan dan membantu Islam, dan 80% hanya meminta dan sebahagiannya juga akan mengatakan golongan 20% ini golongan yang mengejar dunia. Akhirnya, 20% ini benar-benar menjadi golongan yang cinta dunia, atau perlahan-perlahan menjadi sebahagian daripada 80% tadi. Akhirnya, apa terjadi pada Islam dan umatnya? 100% ditindas dan dipergunakan!

                Kalaulah dunia ini memang satu yang sia-sia, mencari harta dan menjadi kaya itu sesuatu yang dilarang Islam, maka siapakah Saidatina Khadijah r.anha yang merupakan seorang yang sangat terkenal dalam dunia perniagaan, siapakah Abdul Rahman bin ‘Auf dan Abu Bakar al-Siddiq r.anhuma yang merupakan salah seorang individu yang terkaya. Siapakah mereka di sisi Nabi Muhammad SAW? Mereka adalah hamba Allah dan sahabat Nabi yang dekat dan disayangi Nabi SAW. Namun, selepas mereka menerima Islam, Nabi sedikitpun tidak menghalangnya meneruskan perniagaannya dan perusahaannya, ataupun mengecam orang-orang yang kaya. Bahkan, baginda sendiri menunjukkan contoh yang baik dalam dunia perniagaan.



           Sebenarnya, banyak lagi perkara tentang duit dan konsep harta dalam Islam yang sering disalahfahami. Termasuk salah faham makna zuhud yang diamalkan oleh para sahabat dan tabiin, tasawuf dan konsep hamba dan khalifah yang disalah ertikan. Saya rasa terlalu panjang nanti jika saya ingin mengulas satu persatu. Cumanya, nasihat saya buat diri saya sendiri khususnya, ilmu ini terlalu luas. Ia perlu dituntut dan dipelajari tanpa henti. Kerana risau kita menjadi orang yang hanya berpegang pada satu-satu pendapat dan akhirnya menolak pendapat yang lain.

                Semoga Allah meredhai penulis dan kita semua dan menambahkan lagi kefaqqihan kita dalam agama. Semoga bermanfaat. 

#Kaya tidak kufur, miskin tidak futur. J

#Perkongsian tentang derma dan pengalaman mengumpulkan derma amal buat Palestin.. InsyaAllah next time. J

Thursday, January 17, 2013

:: Jeritan Buat Mereka Di Sana! ::

Bismillah walhamdulillah.

Tidak layak rasanya mengeluh, ketika Allah menguji kita hanya sedikit sahaja. Kita di sini, menangisi ujian keluarga, cinta, persahabatan, harta benda dan selainnya. Berat terasa ujian yang ditimpakan ini. Seolah tiada lagi cahaya, kebahagiaan dan keadaan yang lebih teruk daripada ujian yang diterima. Begitulah kita, yang terlalu lemah rohaninya, lemah psikologinya, lemah imannya.

Terasa longlainya lutut, lemahnya urat saraf diri ini apabila ditontonkan dengan video-video tragis seksaan dan perhambaan yang ditimpakan ke atas saudara-saudara kita di Gaza, Iraq, Syria dan senasib dengannya.

Seram. Takut. Tidak sanggup. Sedih. Kesal. Kecewa. Pelbagai perasaan yang tidak dapat diungkapkan. Video, live memberi kesan ketika menontonnya. Saya share di sini, salah satu video yang sangat membuatkan kami terasa insaf dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah, dan bertambah rasa takut akan seksaanNya. Dan betapa malunya kita yang menangis tanpa sedikit pun luka yang tertoreh di jasad.




Sekali sahaja saya menonton video ini dengan penuh kekuatan mental dan emosi, walau tidak dapat dikawal jeritan-jeritan kerana terasa pedihnya torehan demi torehan yang dilakukan Tentera Syiah Basyar Assad Laknatullah  terhadap tentera Sunni yang ditangkap, sekali itu sahaja. Saya tidak sanggup mengulang tayang. Kerana takutnya dengan kekejaman itu. 

Allah...

Ini perasaan saya yang menonton. Entah apakah rasa mereka yang langsung berdepan dengan kekejaman dan kezaliman ini. Terus menerus saya mendoakan syurga buat mereka, dan laknat buat si penzalim. Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu apa ganjaran terbaik buat mereka yang bermati-matian untuk agamaNya, dan Dia juga Yang Maha Kuat, dan Keras Seksaannya serta Yang Maha Membalas Dendam terhadap setiap kezaliman dan kekurang-ajaran yang dilakukan oleh musuh-musuh agamaNya di bumi ini. Sememangnya Allah itu Maha Penyayang dan Pengasih, namun ada jua dalam nama-namaNya Yang Mulia, sifat-sifat yang mengajak kita gerun dan takut untuk melakukan kemungkaran kepadaNya. Telitilah.

Saudara, saudari yang dirahmati Allah...

Jika saya tanya, apakah yang mampu saya sumbang untuk mereka ini, saya tiada jawapan melainkan hanya mampu doa dan sumbangan kewangan (itu pun kadang-kadang). Tapi, apa lagi yang ada di atas kemampuan kita di sini melainkan dua perkara itu? Maka, caknalah wahai saudara seakidahku. Mereka dizalimi teruk di sana, di samping kita membantu mereka, dan cakna akan keadaan mereka, kita di sini juga perlu terus-terusan berhati-hati dalam memelihara akidah kita. Timbalah ilmu agama sebanyaknya, agar kita tidak menjadi hamba yang jahil, risau suatu hari nanti, disebabkan kejahilan itu, kita menjadi salah seorang daripada manusia yang 'dimusuhi' Allah. Wal'iyyazubillah!


# Saya tahu, Allah menguji hambaNya selayaknya dengan mereka. Namun, muhasabahlah, betapa lemahnya iman kita, diuji hanya sedikit, dan betapa kentalnya iman mereka yang diuji tiada henti.

# Ya Allah, syurgalah buat mereka yang syahid utk agamaMu!

#Allahumma ya Muqallibal Qulub, thabbit qulubana 'ala dinik wa'ala tho'atik!


Friday, January 11, 2013

Memori ILIM


Manusia, sememangnya suka menghargai sesuatu setelah sesuatu itu jauh darinya atau tiada lagi bersamanya. Menghargai kebaikan dan kasih sayang dan merasai penghargaanya setelah ia hilang daripada hari-hari yang biasa dilalui dengannya. Begitulah jua apa yang kadang-kadang saya rasai. Apabila sesuatu perkara itu saya hanya mengambil sambil lewa akannya, maka apabila saya mula dijauhkan daripadanya, atau berlaku perpisahan dengannya, mulalah ketika itu saya akan merasa sesuatu kekurangan dalam hidup, atau sesuatu kerinduan. Entah ini hanya berlaku pada saya semata, atau ia berlaku jua pada kalian..

Diberi peluang oleh Allah SWT untuk berkhidmat selama 3 bulan 2 minggu di Institut Latihan Islam Malaysia, ILIM merupakan satu pengalaman yang bernilai untuk direkodkan dalam diari peribadi kehidupan saya. Berjumpa dan dikenalkan dengan pelbagai ragam dan karenah manusia, membuatkan hidup saya makin berwarna-warni dan sentiasa menantikan hari esok dengan setiap tugasan-tugasan baru dan wajah-wajah yang menceriakan, di samping mendapatkan pengalaman-pengalaman pengurusan yang baru.

Allah mentakdirkan kita untuk berada di satu-satu tempat dan keadaan itu bukanlah dengan tujuan yang sia-sia. Pasti tercatat padanya hikmah kehidupan yang sangat berharga untuk saya dan hamba-hambaNya yang sering berfikir. Saya ditakdirkan untuk berada di ILIM, dan dihantar ke sini khusus untuk membantu pengurusan kursus Diploma Pengurusan Islam (DPI) yang melatih 62 orang peserta yang merupakan para pegawai lantikan baru JAKIM S41. Bukan mudah berurusan dengan para pegawai, yang lebih tinggi pangkatnya, dan lebih susah apabila urusetia ini hanyalah seorang pekerja kontrak yang baru mula mengenal dunia pekerjaan. Sungguh besar cabarannya. Namun, saya menjadikan cabaran ini sebagai satu pencetus semangat saya untuk terus belajar mengenali dunia latihan/training.

Tiga bulan di sini, menguruskan urusan-urusan basic peserta dan urusan akademik serta kerja luar membuatkan saya merasa setiap detik itu sangat berharga. Melihat bagaimana pengurusan sebuah program besar dan long-term sebagai satu kerja yang tidak mudah, bukan semudah melaksanakan program di kampus suatu ketika dulu. Ia berbeza sekali. Namun, setiap organisasi pasti akan ada masalah dan kekurangannya samada di peringkat kepimpinan atasan, atau diperingkat bawahan atau kedua-duanya. Ketidakselarasan di antara kedua-dua peringkat keahlian sesebuah organisasi ini, semestinya akan menimbulkan kepincangan dalam pengurusan.

Terlalu banyak perkara dan hikmah yang saya temui di sini, terutama mengenai sisi pandang saya terhadap tindakan dan pandangan pimpinan atasan dan sifat-sifat yang ada pada golongan yang berada di bawah. Pemerhatian saya, mereka yang di atas memandang sesuatu yang sangat besar, ingin melaksanakan sesuatu yang hebat, namun arahan yang diberikan selalu tidak membantu gerak kerja yang perlu dilaksanakan. Menjadi seorang pemimpin yang pandai mengarah, namun tidak mencuba untuk memandang ke bawah, membantu perkara yang perlu dijelaskan dengan cermat. Sehinggakan menyebabkan pekerja bawahan ini mengalami suatu kecelaruan maklumat, dan menyebabkan miss-communication. Silap pula golongan yang diarah ini adalah hanya mampu meluahkan ketidakpuasan itu terhadap pihak yang juga mengalami masalah yang sama, hinggakan keduanya tidak mampu membetulkan keadaan...sehingga akhirnya, letupan kecil berlaku, hingga tidak mampu diselamatkan.

Berorganisasi bukan sesuatu yang boleh dipelajari dalam buku semata-mata. Ia adalah salah satu ilmu kehidupan. Bagaimana menguruskan emosi dalam mengendalikan sesuatu urusan, dan meraikan pandangan orang bawahan, menundukkan pandangan agar melihat kesusahan dan keperihan pekerja, dan saling memahami..semuanya adalah ilmu yang didapati dalam pengalaman dan pemerhatian. Ok, mood semakin hilang untuk menulis. Masalah lain pula yang muncul. InsyaAllah, untuk perkara ini, saya akan cuba untuk berkongsi di lain post yang akan datang, insyaAllah. Barakallahufikum..

Wassalam..

#Moga Allah merahmati insan2 yang banyak memberi pelajaran dan tunjuk ajar pada diri ini.
-Us.Zamri, Us.Zai, Us. Adawiah, Us.Farizan, Us.Syikin, Us.Siraj, Us.Dida, Us.Halim, Kak Ada dan Kak Tie, serta semua warga ILIM yang secara langsung atau tidak langsung berkenalan dan membantu. Moga Allah merahmati dan mengampuni kalian semua.


Wednesday, January 2, 2013

Tiada Tajuk...



Rupanya, bukan senang untuk merancang masa depan. Bukan senang untuk melepasi dan berdepan dengan dunia selepas alam pembelajaran formal dan terancang. Jujur saya katakan, melalui waktu-waktu di mana kita perlu membuat keputusan mengenai masa depan dan perjalanan hidup diri sendiri dengan pertimbangan dan pemikiran secara hampir keseluruhannya adalah pada tangan sendiri, bagi saya sangat menyeramkan dan memeningkan. Mungkin kerana sebelum ini saya tidak pernah membuat keputusan besar dalam hidup. Tiada pengalaman.

Mencapai umur kini hampir 23 tahun, membuatkan saya dan rakan-rakan sebaya dan sekepala seolah-olah mengalami masalah yang hampir sama. Mungkin saya bukan seperti orang yang mempunyai perancangan cantik untuk hidupnya. Perancangan 5 hingga 10 tahun akan datang…? Saya seolah-olah tiada apa-apa perancangan. Setiap hari hampir berputar kepala berfikir dan membuat pilihan dan keputusan. Cuma satu sahaja yang saya tahu, saya nak belajar dan terus belajar. Sebab saya cintakan suasana ‘paksaan’ di waktu pengajian. Kerana saya sememangnya seorang yang perlu berada di bawah tekanan, maka pada ketika itulah saya akan cuba menjayakannya walaupun seolah tidak mungkin untuk saya lakukan. Dan saya suka dipaksa untuk belajar.

Melihat sahabat serumah sedang struggle menghadapi peperiksaan semester yang hampir di peringkat sarjana, menambahkan lagi semangat saya untuk menyambung juga pengajian yang terhenti hampir 7 bulan. Terasa cemburu melihat mereka bergelumang dengan ilmu. Semakin hari semakin kosong minda akibat kurangnya ilmu yang saya perolehi sejak akhir-akhir ini. Baca pun kurang, apa yang boleh dikata? Sehinggakan sahabat pun perasan kurangnya status ber’makna’ di FB sejak akhir-akhir ini. Begitu juga di blog. Mudah jawapan saya, tiada ilham dan otak beku. So, kerana takut membiarkan ketepuan otak dan kebekuannya berterusan dalam tempoh yang lama, kerana pemiliknya seorang yang ‘rajin’ membaca, saya mengambil keputusan untuk menyambung masters berbanding terus bekerja. Mudah-mudahan ia mampu menjadi satu ‘pemaksa’ kepada saya untuk rajin membaca dan menuntut ilmu. Lain orang, lain caranya.

Mohon doa pembaca yang soleh solehah..

Dan selain belajar, saya cuma ingin membawa keluarga bercuti di mana sahaja tempat yang indah dan menenangkan, dalam keadaan yang seselesa mungkin. Terutamanya untuk abah dan mak. Ini impian peribadi, namun suka pula untuk saya kongsikan di sini dengan harapan memperolehi doa daripada hamba Allah yang soleh dan solehah yang membaca. Impian ini juga seolah-olah menginspirasi saya dalam melakukan perkara yang mungkin sebelum ini tidak pernah ada dalam gambaran kasar hidup saya. Doakan saya berjaya merealisasikannya.

Itulah saya dan kepeningan menghadapi minit-minit baru dalam kehidupan. Dua perkara ini sahaja yang mampu saya fikirkan setakat ini, selain beberapa lagi perkara yang tidak dapat nak dikisahkan.

Betullah kata sahabat saya dalam satu usrah kami yang tidak rasmi. Kata-kata yang dinaqalkan daripada kakak naqibahnya bahawa “Umur manusia dalam lingkungan 23-25 merupakan masa kritikal seseorang untuk memutuskan sesuatu bagi masa depannya. Apa yang diputuskan pada ketika itu, adalah gambaran besar hidupnya akan datang. Apa yang berlaku pada dirinya pada lingkungan ini bakal memberi kesan besar pada hidupnya akan datang. Maka, dalam masa sebegini, terlalu banyak perkara yang akan difikirkan, terlalu banyak urusan yang ingin dilakukan.”

Oleh itu, dalam situasi seperti ini, tiada yang lebih mengetahui melainkan Dia, Rabb Yang Maha Agung. Penenangnya adalah dalam istikharah dan mohon petunjuk yang berterusan pada Allah. Kekadang rasa takut untuk membuat keputusan, namun kekadang rasa tenang apabila menegaskan sesuatu perancangan. Moga Allah melorongkan kita pada jalan yang diredhaiNya, dan menjadikan kita hamba yang ikhlas dalam menerima ketentuanNya.

Setiap individu ada ceritanya sendiri. Moga urusan kalian, berjuta kali ganda dipermudahkan Allah di atas kebaikan mendoakan sesama muslim. Jangan jadi seperti saya, tapi jadilah seorang yang hebat merancang dan melaksana. J

Selesai membaca blog ni, muhasabah seketika....

Diari 2013
Ulin Nuha.