Lama rasanya meninggalkan
blog ini tidak ter-update. Dalam kesibukan di dalam satu program tarbiyah dan
kepimpinan, saya mengambil kesempatan menunggu agenda seterusnya untuk
berkongsi sedikit cerita di pagi ini (10hb Feb - dalam menunggu untuk pulang ke
Bangi).
Hampir empat hari berada
di sini, di dalam program pentarbiyahan, banyak perkara yang saya belajar dan
perolehi. Khasnya dalam bab kepimpinan. Sesungguhnya kepimpinan ini bukanlah
satu perkara yang ringan dan boleh diambil sambil lewa. Kepimpinan adalah satu
perkara yang sangat penting hinggakan banyak firman Allah SWT yang memandu
manusia tentang kepimpinan dan pemimpin samada dalam bentuk ayat yang jelas
ataupun berkias dan mempunyai maksud lain di sebaliknya.
Kita boleh dapati, dalam
sirah nabawiyyah sekalipun, ketikamana baginda Nabi Muhammad SAW melepaskan
nafas baginda yang terakhir, para sahabat r.anhum tidak terus menguruskan
jenazah baginda, namun mereka beransur untuk membincangkan masalah kepimpinan
Negara Islam pada ketika itu tentang siapa yang akan menggantikan Nabi SAW
sebagai pemimpin. Jelas di lihat di sini, isu kepimpinan lebih lagi didahulukan
oleh para sahabat ketika itu berbanding menguruskan jenazah baginda yang mana
maklum kita ketahui bahawa, pengurusan jenazah juga termasuk dalam perkara yang
perlu disegerakan. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa alihi wasallim..
Maka, kita dapat lihat di
sini bahawa, kepimpinan bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan atau
diabaikan. Bermula dari fasa melantik pemimpin, melatih pemimpin menjadi pemimpin
berkualiti, hinggalah kepada fasa melaksanakan amanah kepimpinan, semuanya
dipandang serius dan penting dalam Islam. Sepertimana dapat kita telusuri kisah
dalam al-Quran berkenaan cara pentarbiyah Allah SWT kepada Nabi Yusuf a.s dari
mula baginda mendapat mimpi, dibuang oleh saudara-saudaranya ke dalam perigi
yang merupakan fitnah dalaman baginya, dijadikan hamba oleh al-Aziz dan
difitnah oleh permaisuri al-Aziz yang ingin menggodanya, dan akhirnya
dipenjarakan dan dikurnikan kelebihan menafsir mimpi, hingga beliau dibebaskan
oleh pemerintah pada ketika itu dalam keadaan beliau telah dibuktikan tidak
bersalah, dan akhirnya menjadi seorang pemimpin atau menteri kewangan pada
ketika itu.
From zero to hero. Itulah
yang dapat diamati daripada kisah Nabi Yusuf a.s ini dengan memahami bagaimana
tarbiyah yang Allah berikan kepada baginda daripada seorang yang tidak memiliki
apa-apa sehinggalah menjadi seorang pemimpin yang disegani. Hebatlah baginda
kerana mendapat pentarbiyahan langsung daripada Allah SWT. Namun, hebat juga
sahabat-sahabat yang telah dipilih untuk menerajui mana-mana saff kepimpinan
khasnya kepimpinan dalam persatuan atau jemaah Islam. Ini kerana anda bukanlah
calang-calang manusia yang telah dipilih oleh Allah SWT daripada beratus-ratus
sahabat yang lain yang juga sama-sama terkehadapan dalam perjuangan.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala
jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu
menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan
adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat. (An-Nisa':58)
Satu peringatan daripada
saya khas buat diri sendiri yang juga tidak lepas dengan pelbagai tanggungjawab
dan amanah, sesungguhnya amanah ini bukanlah suatu perkara yang ringan dan
boleh diringan-ringankan. Jika tidak, pasti seluruh alam tidak menolak untuk
memikulnya, namun maklum mengetahui bahawa gunung-ganang dan alam menolak untuk
memikul amanah ini kerana terlalu beratnya dan takutnya mereka, dan manusia
menerimanya untuk dipertanggungjawabkan. Namun bukanlah maksud saya di sini
untuk membuatkan anda menolak terus amanah yang diberikan, tapi maksud saya di
sini, redhalah dengan amanah ini dan laksanakanlah dengan sebagik mungkin serta
jadikanlah peringatan-peringatan dari Allah tentang tanggungjawab menjaga
amanah ini sebagai satu guideline supaya kita tidak tersasar dan tanpa
sedar mengabaikannya.
Amanah atau kuasa dalam
kepimpinan bukanlah satu kemuliaan, akan tetapi ia akan menjadi satu kejian dan
kesusahan bagi kita jika kita tidak melaksanakannya dan menunaikannya dengan
baik dan penuh integriti. Kesusahan dan kejian di dunia dan akhirat bagi yang
meremeh-remehkannya, dan menjadi satu kemuliaan dan kebaikan baginya jika dia
melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab dan kejujuran.
Saya mengucapkan selamat
berjuang kepada semua sahabat-sahabat dan khasnya kepada sesiapa jua yang
menjadi bakal-bakal pemimpin pada masa akan datang, semoga sentiasa istiqamah
dalam perjuangan. Segala yang terbaik Allah sediakan untuk Islam, maka anda dipilih
untuk menerajui kepimpinan gerakan Islam, maka anda pastinya adalah yang
terbaik, dan rancanglah yang terbaik untuk Islam. Moga kita diberikan
kesempatan oleh Allah untuk melihat kejayaan Islam di bumi Malaysia khasnya dan
seluruh dunia amnya. Amin..
Saya menutup artikel ini
dengan satu kata-kata yang sering saya dengar berkenaan kepimpinan ini :
خير
الأمير خادمهم
“ Sebaik-baik pemimpin
adalah khadam mereka “
Waallahu
a’lam..
0 suara pembaca:
Post a Comment
Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)