~sambutlah Ramadhan seperti menyambut Syawal~ |
Kehadiran Ramadhan pada kali ini entah kenapa membuatkan hati rasa tersangat sayu. Mungkin kerana mengenangkan keluarga yang lama ditinggalkan (walau hakikatnya xsampai sebulan pun), atau mengenangkan persediaan dalam menghadapi kehadiran Ramadhan kali ini adalah kosong, atau adakah juga kerana Ramadhan kali ini adalah kesempatan yang terakhir kalinya Allah berikan kepada saya? Wallahu a’lam, sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala ilmu tentangnya.
Pelbagai tazkirah, ceramah, dan termasuk juga mungkin khutbah esok yang akan kita dengar menceritakan tentang kelebihan-kelebihan pada bulan Ramadhan, ajakan-ajakan di dalam melaluinya, amalan dan ganjaran yang ada padanya yang mana apabila kita mendengarnya, kita menjadi seronok untuk melakukan amalan tersebut dan melalui bulan tersebut. Namun satu pandangan saya, kali ini saya merasakan sangat tidak bersedia menghadapi Ramadhan. Dalam bulan Rejab dan Syaaban, saya cuba memaksa diri untuk membiasakan diri dengan menganggap seolah-olah saya berada di dalam Bulan Ramadhan sebagai persediaan menemui Ramadhan yang sebenar (tapi takla saya berpuasa penuh setiap hari)…
Namun, kekangan masa, mungkin juga kesibukan-kesibukan yang lain (yang saya harap merupakan salah satu jihad dan diterima baik di sisi Allah) jua perkara-perkara lain membuatkan saya seolah-olah terhanyut dalam kesibukan hingga melupakan misi tadi. Pejam celik pejam celik, kini tinggal hanya beberapa hari sahaja lagi ( tidak lebih dari 3 hari) umat Islam di Malaysia insyaAllah akan menyambut kehadiran Ramadhan yang dinanti. Dan saya? Dimankah masa-masa sebelum ini telah saya habiskan? Apakah persediaan yang telah saya lakukan untuknya? Saya dakwa saya merindui Ramadhan, menanti-nanti kehadirannya…namun semua itu seolah-olah retorik dan cakap kosong semata-mata apabila saya tidak langsung bersedia menghadapinya dalam masa terdekat ini…
Bayangkan, apabila kita merindui seseorang (mungkin sahabat) kerana sekian lama tidak menemuinya, apakah persediaan kita jika telah ditentukan satu tarikh untuk kita menemuinya? Pasti kita akan bersedia dengan segala persiapan diri dan mungkin juga majlis menyambut kehadirannya yang kita bertungkus-lumus menyiapkannya sebelum tiba tarikh yang dijanji. Pasti kita inginkan yang terbaik pada hari pertemuan itu. Namun apakah yang terjadi apabila saya tidak melakukan perkara tersebut, padahal saya sering mengatakan kerinduan kepada Bulan Ramadhan…
Kekesalan sentiasa menyelubungi..tapi apakan daya…kini masa tersebut telah berlalu dan esok adalah hari yang pasti tiba, dan Ramadhan itu, pastikan tiba walaupun dalam keadaan kita bersedia atau tidak. Dalam masa berbaki 2-3 hari ini, saya seru pada diri sendiri, pada sahabat-sahabat yang sentiasa dekat di sisi, paksalah diri ini agar melakukan sedikit persediaan menghadapi Ramadhan yang semakin hampir (bak kata orang putih, around the corner) dengan amalan-amalan sunnah yang ditekankan dalam bulan kemulian, kerahmatan dan keampunan ini agar saya dapat membiasakannya ketika di dalam bulan tersebut. Moga kita semua tergolong dalam golongan yang berjaya melalui proses tarbiyah di dalam bulan mulia itu nanti. Wallahu a’lam…
0 suara pembaca:
Post a Comment
Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)