Friday, January 14, 2011

HADITH AL-IFK (Fitnah Terhadap Saidatina Aisyah r.a.ha) -Part 1-


Kisah mengenai berita bohong atau khabar palsu ini telah banyak diriwayatkan dalam hadith-hadith oleh para muhaddithin terdahulu. Kisah fitnah seperti ini juga pernah berlaku kepada Saidatina Maryam pada zaman Bani Israel dan juga pada Sita pada kepercayaan Hindu.

Aisyah r.a.ha dan kehilangan kalungnya.

Pelbagai sumber riwayat memberitakan bahawa setiap kali Rasulullah SAW ingin pergi ke satu-satu tempat atau berpergian jauh untuk memimpin tentera Islam dalam peperangan menentang serangan musuh Islam, baginda akan mengundi para isterinya, siapa di antara mereka yang akan mengikuti baginda. Maka, seperti biasa sebelum baginda berangkat memimpin kaum muslimin menentang dan mematahkan serangan Bani Mustaliq, undian dilaksanakan dan undian itu ternyata dimenangi oleh Saidatina Aisyah r.a.ha. dan ini membolehkannya berkesempatan untuk berdampingan dengan baginda SAW. Ketika itu beliau berumur 14 tahun. (Al-Hamid al-Husaini, 2007: 157).

Perang Bani Mustaliq yang juga dikenali sebagai Perang Muraisi’ terjadi pada bulan Sya’ban, tahun kelima Hijrah. Dalam peperangan ini, Rasulullah SAW membangunkan kubu pertahanan di sekeliling sebuah sumur yang disebut sumur Muraisi’ berhampiran Nejad. Di sanalah umat Islam berperang menentang kaum musyrikin. Pasukan kaum muslimin diperkuat oleh sekelompok orang munafiq yang tidak pernah turut serta dalam peperangan sebelumnya. Tetapi pada peperangan ini mereka menyertainya kerana mereka berkeyakinan bahawa umat Islam akan menang dan tidak akan ada peperangan berdarah. (Sulaiman, 2009: 119).

Ketika hendak bertolak ke lokasi berperang, Aisyah sempat meminjam kalung dari saudarinya, Asma’. Ia mengenakan kalung itu dilehernya dan berangkat pergi. Namun ketika dalam perjalanan pulang, kalung itu putus di tengah jalan. Selayak umurnya yang masih muda, beliau menganggap kalung itu yang merupakan perhiasan sederhana sebagai perhiasan yang sangat berharga, maka Aisyah pun cemas. Beliau mencuba mencari kalung itu tanpa mempertimbangkan nasibnya dan risiko yang akan dihadapi. (Sulaiman al-Nadawi, 2007: 119).

Dalam satu riwayat yang lain pula, menceritakan bahawa ketika dalam perjalanan pulang, Aisyah sedang membuang hajat d tempat yang agak jauh dari perkhemahannya. Haujad (tandu kecil di atas punggung unta) telah disiapkan dan beberapa orang anggota pasukan telah pun siap berdiri di samping unta Aisyah r.a.ha sambil menunggu panggilan tanpa seorang pun daripada mereka yang menyangka Aisyah tiada di dalam tandu itu. Lantas, apabila mendengar sahaja panggilan untuk bergerak, mereka terus berangkat tanpa memeriksa. Tidak mustahil juga mereka tidak menyedarinya kerana Aisyah merupakan seorang yang kecil dan ringan.

Maka ketika keluar daripada tujuannya tadi dan ingin pulang ke perkhemahan, Saidatina Aisyah r.a.ha meraba-raba lehernya dan menyedari bahawa kalungnya sudah tiada di lehernya. Beliau berfikir dan yakin bahawa kalung itu terjatuh di tempat beliau berhajat tadi. Lantas beliau berpatah semula ke tempat itu untuk mencari kalung kesayangannya itu. Ketika beliau sedang mencari-cari, beliau akhirnya menjumpai kalung itu tanpa menyedari pasukan muslimin telah meninggalkannya.(Al-Husaini, 2007: 158).

Setelah menemui kalung itu, beliau kembali semula kepada tentera muslimin, namun beliau mendapati mereka telah meninggalkannya dan beliau cuba mngejar dan mencari-cari mereka hingga keletihan, namun beliau tetap tidak menjumpai mereka. Lalu Aisyah r.a.ha pun kembali semula ke tempat asalnya tadi, dan duduk di sana menunggu dengan harapan tentera muslimin menyedari ketiadaannya, dan mencarinya di situ. Beliau menunggu sehinggalah beliau tertidur. Maka ketika inilah, Shafwan bin Mu’aththal al-Sulami al-Dhakwani memacu untanya mendekati beliau kerana melihatkan seolah-olah terdapat satu susuk tubuh seperti bayangan hitam. Ketika Shafwan makin menghampiri, beliau lantas mengenali Saidatina Aisyah r.a.ha kerana pada ketika itu perintah hijab belum disyariatkan lagi.

Oleh kerana terkejut melihatkan Ummu al-Mukminin Aisyah r.a.ha yang berada di situ, spontan beliau mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi raji;un.” Kerana beliau seolah-olah menjerit, Aisyah tersedar dari tidurnya dan menyedari Shafwan di situ, beliau lantas menggunakan hijabnya untuk menutupi muka. Maka, Shafwan turun dari untanya dan menundukkan untanya lalu Saidatina Aisyah r.a.ha menaiki unta itu dengan segera setelah Shafwan memberi isyarat. Lalu mereka pun berangkat dan Shafwan di depan menuntun unta tersebut. Di sepanjang perjalanan tiada perbualan atau suara di antara mereka melainkan suara jeritan kerana terkejut oleh Shafwan tadi sehinggalah mereka sampai ke tempat tentera muslimin berehat pada satu pagi yang terik. (al-Nadawi, 2007: 122). Itulah kisah sebenarnya yang berlaku antara mereka tanpa tambahan dan pembohongan.

Pembohongan Munafiqun.

Peperangan Bani Mustaliq ini disertai oleh ramai daripada kalangan munafiqun kerana mereka meyakini bahawa Islam akan memenangi peperangan ini dan akan mempunyai rampasan perang yang lumayan. Namun begitu, jiwa orang-orang munafiq ini tidak pernah merasa tenang ketika mereka melihat kemenangan Islam dari hari ke hari. Mereka merasa kedudukan mereka makin terancam, dan tidak disenangi oleh masyarakat. Oleh sebab itulah, mereka ingin menimpakan satu tamparan hebat kepada Nabi Muhammad SAW. (Ahmad Khalil Jam’ah, 2002: 239).

Ketika dalam perjalanan pulang daripada peperangan, golongan munafiqun berusaha melaga-lagakan dua golongan yang telah bersatu iaitu golongan Ansar dan Muhajirin. Mereka mencuba pengaruhi kaum Ansar untuk tidak lagi bersekutu dengan kaum Muhajirin, serta meninggalkan Islam dan kaum Muslimin. Mereka mendesak kaum Ansar untuk berhenti memberikan pertolongan kepada Muhajirin kerana sebahagian mereka berkata, berdasarkan yang diceritakan dalam firman Allah SWT :

tbqä9qà)tƒ ûÈõs9 !$oY÷èy_§ n<Î) ÏpoYƒÏyJø9$# Æy_̍÷ãs9 tãF{$# $pk÷]ÏB ¤AsŒF{$# 4

Maksudnya: “Sungguh, jika kita kembali ke Madinah (kembali daripada Peperangan Bani Mustaliq), orang yang kuat pasti mengusir orang yang lemah di sana.”

(Al-Quran: al-Munafiqun 63: 8)

Abdullah bin Ubay yang merupakan golongon munafiqun di Madinah merasa tidak puas hati dan apabila melihat Aisyah r.a.ha pulang bersendirian tanpa Rasulullah SAW di sisi, malah bersama seorang pemuda asing, dia merasakan telah menemui tanah yang subur dan peluang yang terbentang luas untuk menyebarkan malapetaka dan menimpakan tamparan kepada Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin. Ini kerana dia tidak rela Islam bertambah kukuh dan bersatu di Madinah. maka, Abdullah bin Ubay lantas mengarang cerita dan menyebarkan tuduhan terhadap Aisyah r.a.ha. Yang membuat dia semakin bertambah kuat ialah apabila usahanya itu telah mendapat sokongan dan dukungan daripada kaum munafiqun sesama mereka.

Ketika berita tuduhan dan fitnah itu sampai ke telinga umat Islam yang berpandangan bersih dan para sahabat yang terkemuka, mereka telah mengetahui bahawa perkara itu hanyalah rekaan dan fitnah semata-mata. Namun, tuduhan Abdullah bin Ubay telah dibenarkan oleh tiga orang lain iaitu Hassan bin Thabit, Hamnah binti Jahsy dan Mishtah bin Uthathah, padahal Hassan dan Hamnah tidak menyaksikan langsung peristiwa tersebut kerana keduanya tidak menurut serta di dalam peperangan Bani Mustaliq. Hassan bermotifkan permusuhan peribadinya dengan Shafwan dan iri hati melihatkan kaum Muhajirin mendapat posisi yang lebih terhormat berbanding dengan kaumnya sendiri di Madinah. (al-Nadawi, 2007: 120).

Manakala Hamnah binti Jahsy pula ialah seorang saudara perempuan kandung kepada Zainab binti Jahsy, isteri Rasulullah SAW. Beliau sangat mengetahui bahawa Rasulullah SAW lebih menyayangi Aisyah r.a.ha dan beroleh tempat istimewa di hati baginda berbanding saudaranya. Maka, untuk menjatuhkan martabat Aisyah di hati Rasulullah SAW dan mengalihkan cinta baginda kepada Zainab r.a.ha, Hamnah menyokong desa-desus yang tersebar mengenai keperibadian Aisyah r.a.ha. (Al-Husaini, 2007: 162).

Mishtah pula sokongannya terhadap fitnah dan pembohongan ini tidak dapat dipastikan kerana beliau tidak mempunyai motif yang jelas untuk membenarkan tuduhan ini. Disebabkan itu, semua orang bertanyakan hal ini dan menjadi hairan terutamanya kerana Mishtah itu pernah diasuh oleh Abu Bakar r.a iaitu ayah kepada Aisyah r.a.ha yang merasa kasihan melihatkan keadaan kehidupannya yang memerlukan perhatian. Apatah lagi, beliau masih lagi berhubungan rapat dengan Abu Bakar. Segalanya menjadi tanda tanya. (al-Nadawi, 2007: 124)

~hayati sirah, menuju masa depan penuh barakah~

0 suara pembaca:

Post a Comment

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)