Hampir setiap kata-kata, malah
setiap saat sekalipun, ketikamana saya berada di dalam kelas Kajian Teks
Usuluddin yang diselia oleh pensyarah Dr. Abdull Rahman Mahmud, saya pasti akan
tersentuh dan memuhasabah diri dengan setiap kata-kata yang ditutur oleh
beliau. Seolah-olah pada semester ini, Allah memberikan kepada saya kelas ini
sebagai muhasabah mingguan tentang keimanan dan akidah dalam diri. Kelas ini
mengajar saya menghayati kesucian dan kesempurnaan Allah sebagai Tuhan Sekalian
Alam.
Betapa Allah SWT itu
sesempurna di atas segala kesempurnaan. Hanya dua ayat yang diajar kepada kami
sepanjang kuliah diberikan, iaitu pemahaman dalam menghayati kalimah ‘LA
ILAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH.”
Kalimah ini bukan sekali dua
disebut dalam sehari, bahkan ia disebut sepuluh kali dalam sehari, itu pun jika
hanya dikira sebutan wajib dalam solat iaitu ketika tahiyyat tanpa tambahan
kepada mereka yang sering berzikir dan menyebut-nyebut kalimah suci ini. Namun,
sekali kita berzikir dalam menyebut kalimah ini, apakah yang dapat kita faham
tentangnya? Adakah kita memasukkan dengan kefahaman kita yang sebenar atau kita
hanya menyebut-nyebut kalimah itu tanpa penghayatan dan pemahaman yang sebenar?
Selalu kita faham, makna
kalimah LA ILAHA ILLALLAH ialah tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Namun
Imam Ibn Hazm dalam matan Ummu al-Barahin beliau mengatakan makna yang tepat adalah
TIADA TUHAN YANG WAJIB ADA MELAINKAN ALLAH SWT (namun beliau tidak menolak
makna tadi). Maka, dengan keadaan Allah yang wajib ada itu, menuntut kita untuk
menyembah dan mengharap dengan sepenuh pengharapan kepadaNya, kerana kita
hanyalah makhluk (harus wujud), yang tidak akan wujud melainkan dengan sebab
Allah SWT ingin mewujudkan kita dengan rahmatNya.
Penjelasannya begini, siapa
yang mampu mengangkat tangan dan mengaku bahawa dia yang menjadikan dirinya
sendiri? Pasti tidak ada kerana kita secara fitrah dan sains mengakui bahawa
kita adalah makhluk (yang dijadikan) oleh khaliq (yang menjadikan) dan dibentuk
oleh yang membentuk (al-musawwir).
Oleh sebab itu, secara logik akalnya, jika
kita yang menjadikan diri sendiri atau ibu bapa yang menjadikan kita, pastinya
yang menjadikan itu mempunyai kuasa untuk membentuk dan menentukan jantina,
raut wajah dan keadaan fizikal kita seperti yang kita inginkan. Dan selain itu
yang menjadikan juga pastinya berkuasa pada yang diciptakan. Namun hakikatnya,
diri kita sendiri tidak mampu mengawal setiap aliran darah dan degupan jantung
serta setiap kelipan mata. Nah, ini menunjukkan betapa kita ini sangat lemah
dan memerlukan kepada yang tidak lemah untuk bergantung dan berharap.
Maka, siapa mereka yang tidak
lemah dan maha berkuasa itu? Akal kita terhenti pada mencapai hakikat ini, maka
dengan sifat kerahiman Allah SWT, Dia mengutuskan nabi dan melalui al-Quran
sampai kepada kita memberitakan kesinambungan hakikat ini, iaitu Dialah Allah
Jalla wa ‘Azza yang Maha Berkuasa dan tempat setiap makhluk bergantung harap,
kerana Dialah Tuhan Yang Menjadikan kita.
ketika kita telah hilang kepercayaan kepada makhluk,
pasti kita akan kembali mempercayai bahawa,
Tiada Yang dapat diberikan sepenuh kepercayaan,
melainkan hanyalah kepada ALLAH.
Dan betapa pemurahnya Allah
SWT, Dia tidak meminta dan mengharap kepada makhluk atas segala nikmat dan
pemberian yang diberikan. Kerana sempurnanya sifat Allah SWT adalah dengan
berdiriNya dengan sendiri tanpa bantuan yang lain. Allah jua tidak memerlukan
kepada makhluk untuk beribadah kepadaNya. Akan tetapi, ibadah kita kepada Allah
adalah untuk menunjukkan rasa SYUKUR kita kepada Tuhan Sekalian Alam yang telah
menjadikan kita dan memberikan pelbagai nikmat dan kurniaan kepada kita sejak
kita lahir hinggalah kini. Setiap hembusan dan helaan nafas, degupan jantung,
aliran oksigen, darah dalam badan, keseimbangan badan, setiap saluran dan organ
yang tidak dapat dicapai oleh manusia, tapi dijaga dan diuruselia dengan
sungguh sistematik diberikan kepada manusia dan makhluk lain tanpa kita sedar
ini tidak langsung Allah menuntut pembayaran kepadaNya.
Tetapi, mengapa masih hannya
sedikit daripada kalangan hamba itu bersyukur??
Allah..
Semuanya ini menuntut
kesedaran dalam diri betapa sebenarnya makhluk khususnya manusia itu terlalu bergantung
harap kepada Allah. Tiada kita tanpa kasih-sayang Allah, hancurlah kita jika
Allah menginginkan. Walaupun kita sering bertindak lalai dan leka dengan segala
pemberian dan nikmat serta tujuan kehidupan ini, Allah tetap meneruskan
pemberian dan nikmat kepada kita tanpa pilih kasih. Menunjukkan peluang demi
peluang Allah berikan pada manusia untuk kembali kepadaNya walau beribu kali
dosa dan maksiat kita telah lakukan. Sekali lagi dalam entry ini, saya
mengatakan, sesungguhnya nikmat Allah itu sangat luas, dan sebagaimana kita
merasa luasnya nikmat ini, luas lagi pintu taubat dan keampunan yang Allah
bukakan kepada hamba-hambaNya yang ingin kembali kepadaNya.
Setakat ini sahaja untuk
perkongsian ini. Seterusnya akan disambung dalam entry seterusnya.
Wallahu a’lam..
0 suara pembaca:
Post a Comment
Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)