Sebenarnya dah lama sangat saya ingin menulis sesuatu pada
blog ni. Tapi mengenangkan kesibukan dan banyak lagi kerja lain yang lebih
patut dilakukan dan macam-macam hal lain menyebabkan niat tu hanya tinggal niat
dan tidak direalisasikan. Alhamdulillah, sedikit masa di rumah saya cuba
manfaatkan agar terisi juga blog ini dengan entry terbaru dan bermanfaat,
sama-sama berdoa moga ada nilaiannya di sisi Allah.
Untuk entry kali ini saya lebih ingin memfokuskan kepada kaum
hawa, namun jangan tersalah anggap dalam membaca. Saya bukanlah ingin
menyebarkan fahaman feminisme, cuma hanya ingin menyentuh satu sudut hati-hati
kaum hawa yang jauh dan lembut moga-moga entry ini membuat kita sama-sama
berfikir. Tidak lupa pada kaum adam yang membaca, ambillah manfaatnya buat
saudara-saudara perempuanmu dan yang akan menjadi teman hidupmu.
Kerana melihat dunia kini membuat saya semakin risau dan
bertambah risau dan kerisauan saya ini berlebih-lebih pada kaum hawa yang
dilihat semakin banyak cabarannya. Mengapa saya berkata demikian? Masyarakat kini
semakin cakna dan peka dengan situasi masyarakat sendiri termasuklah
pihak-pihak pemerintah dan lain-lain. Maka semua maklum dengan situasi
masyarakat kini. Perhatikanlah, berita apakah kini yang tidak dikaitkan dengan
keselamatan dan kehormatan wanita, termasuk pada akidah dan agama juga? Di dada-dada
akhbar pelbagai cerita dan berita yang berkait dengan wanita. Kes ragut, buang
anak, penderaan, sumbang mahram, murtad, lesbian dan sebagainya yang banyak
lagi tidak saya sebutkan. Membuatkan saya semakin takut dan rasa bimbang
mengenangkan kedudukan wanita kini.
Sungguh! Islam datang dan disebarkan kepada umat manusia
seluruhnya oleh yang tercinta Nabi Muhammad SAW secara rasminya mengangkat
martabat kedudukan wanita di sisi masyarakat. Wanita yang mana dulunya dihina
dan diperdagangkan, dibunuh dan diabaikan, dianggap membawa malang dan
sebagainya, tiada satu pun kedudukan wanita yang mulia melainkan dimanfaatkan
untuknya melahirkan zuriat. Akhirnya kedatangan Islam membawa keindahan dan
kehormatan buat wanita. Wanita selepas kedatangan Islam dihormati, ditempatkan
di tingkatan yang mulia, diberikan kedudukan dan disayangi. Maruahnya dijaga
dengan sebaiknya, keindahannya dipelihara. Sehingga terdapat surah dalam
al-Quran yang dinamakan surah wanita (Surah al-Nusa’).
Namun sedihnya kini, wanita seolah tidak menyedari kedudukannya
yang tinggi dan dipelihara Islam. Wanita kini seolah-olah merindui kedudukan
yang diberikan oleh Jahiliyah berbanding yang diberikan Islam. Lihat sahaja,
wanita kini mula menjual dirinya kepada lelaki perosak, wanita kini mula
menayangkan perhiasannya di sana sini, wanita kini mula berani-berani berzina
dan melakukan dosa-dosa besar tanpa segan-silunya. Bahkan, wanita kini lebih
teruk daripada wanita di zaman jahiliyah!
Bila dibelek-belek Facebook yang menjadi kegilaan platform
luahan perasaan pada masa kini, saya banyak membaca post yang beragama Islam
mula berani mempertikaikan tuntutan-tuntutan Islam kepada wanita. Bukan setakat
mempersoalkan hukum menutup aurat, hukum dan undang-undang Allah lainnya juga
dengan beraninya mereka mempersoalkan. Semua ini sangat-sangat menakutkan saya
yang mempunyai sedikit kefahaman tentang Islam. Membuatkan saya menjadi semakin
risau akan perihal wanita.
Wahai sekalian
wanita, khasnya yang merupakan seorang yang beragama Islam, bangkitlah kalian! Jangan
biarkan kalian berada di dalam alam kegelapan. Bangkitlah kerana dunia sangat
memerlukan kebangkitanmu. Keindahan wanita
itu janganlah sekali kau anggap bila mana kau menayangkannya kepada kaum lelaki
dan ketika mereka memujimu. Kecantikanmu pada kehambaanmu pada Allah. Ingatlah
wahai wanita kesayanganku, ramainya penghuni neraka daripada golongan wanita,
namun begitu juga mudahnya untuk menjadi penghuni syurga bagimu.
Peliharalah dirimu daripada dirosakkan oleh lelaki-lelaki
yang hanya ingin menghisap madumu, peliharalah dirimu daripada menjebakkan diri
daripada dosa-dosa besar, peliharalah akidahmu, nescaya akan selamat agamamu
dan sejahteralah hidupmu. Tagihlah cinta Ilahi yang tiada bertepi bautmu. Cinta
Ilahi yang tidak akan pernah luntur dan mati, yang akan mencintaimu selagi mana
kamu mencintainya, bahkan Dia kan lebih mencintaimu daripada cintaMu kepadaNya.
Sedarlah hakikat kehidupan yang sebenar, dunia ini hanyalah gula-gula dan
manisan yang sedap yang mana jika kita makan terlalu banyak akan menyebabkan
kemudaratan kepada kesihatan dan gigi kita. Janganlah wahai wanita, janganlah
memudaratkan diri sendiri, peliharalah diri dan saudaramu.
Ingatlah wahai kaum hawa! Andalah yang akan melahirkan
zuriat-zuriat warisan Islam, penyambung tali rantai perjuangan Nabi SAW. Tidakkah
anda menginginkan anak-anak yang soleh dan solehah? Maka mulakan dengan diri
anda daripada sekarang. Tingkatkan kualiti untuk menjadi wanita yang berkualiti
dan berguna kepada agama. Berubahlah daripada seorang yang kurang baik kepada
baik, baik kepada lebih baik. Berubahlah secara berperingkat. Rujuklah kepada
yang pakar untuk berubah jika anda tidak tahu kaedahnya. Rasailah kenikmatan cinta
Ilahi. Moga kita sama-sama dapat melahirkan ramai Sumayyah yang berani syahid
kerana agamanya, Aisyah dan Khadijah yang sentiasa menyokong perjuangan
suaminya, Asiah yang berjaya menjaga akidahnya di sisi suami yang zalim dan
ramai lagi.
Wallahu a’lam.
p/s: Maaf jika entry
ini mengguris hati mana2 pihak, tiada terniat untuk itu, hanya untuk manfaat
bersama. :)
0 suara pembaca:
Post a Comment
Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)