Tuesday, May 7, 2013

Kenangan Pilihanraya


Pilihanraya kali ini menunjukkan kemenangan masih berpihak kepada Barisan Nasional. Walaupun dikatakan beribu cara dan kaedah penipuan dimainkan oleh yang berpihak pada PRU kali ini untuk menjamin kemenangan mereka (pengundi hantu, peti undi hilang, black-out dsb). Walau berbagai cara dilakukan oleh rakyat untuk memastikan kebersihan proses pilihanraya ini, namun kemenangan masih berpihak kepada mereka. Saya, akur dengan keputusan ini. Tidak lain, ia juga berada di bawah keiizinan Allah. Maka, pasti Allah tidak dengan sia-sia memberikan kemenangan ini buat mereka. Samada ia adalah istidraj, peringatan buat yang kalah atau apa, hikmahnya Allah yang Maha Mengetahui. Bersangka baik pada Allah, itu adalah apa yang perlu dilakukan oleh seorang yang mengaku beriman dan berjuang untuk Islam.

Kecewa. Sedih. Terkilan.

Segala macam perasaan yang tidak boleh saya elakkan di kala saya mengetahui keputusan keseluruhan untuk PRU ke 13. Lagi-lagi rasa terkilan dengan permainan kotor macamni. Terbayang wajah-wajah pemimpin yang disayangi, yang semakin dimamah usia. Rasa nak menangis, namun ditahankan. Memikirkan, adakah mereka akan bersama kita lagi di saat-saat seterusnya nanti. Biarpun begitu, perasaan ini hanya sementara. Kerana ia bukanlah suatu perasaan yang baik untuk dibiarkan berlama-lama bersarang di hati, takut membawa impak negatif pula kepada perjuangan.

Nasihat dan kata-kata motivasi daripada pemimpin-pemimpin PAS terutama Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang mengubati rasa. Masakan kita yang baru setahun jagung dalam perjuangan, terus kecewa menerima kekalahan pertama. Walhal mereka telah berpuluh tahun di atas jalan ini, menerima berkali-kali kekalahan. Kekentalan jiwa dan rasa, menyebabkan sehingga kini kita berada di bawah kepimpinan mereka. Janji-janji Allah akan hadirnya kemenangan itu juga, berjaya merawati hati. Itulah namanya keyakinan. Ia mampu membuatkan kekecewaan berubah menjadi kekuatan.

Mengimbau kembali saat melalui fasa-fasa kempen bersama calon di N26 Bangi membuatkan saya terasa puas kerana mampu bekerja (walaupun taklah all-out sangat, masih ada juga masa kosong) membantu memperkenalkan calon dan mempromosi PAS. Kemenangan dengan majoriti besar di Bangi membuatkan saya merasa sedikit gembira. Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Selangor masih kekal di bawah PR. Fasa-fasa kempen, bila teringat kembali rasa seperti nak abadikan di dalam diari. Tapi, disebabkan tak berapa reti nak tulis diari, akhirnya biarkan saja ia sebagai satu kenangan di dalam memori kurniaan Ilahi. Mudah-mudahan gerak kerja ini berterusan dalam membantu memenangkan Islam, dan tidak hanya terhenti di sini. Risau juga akan istiqamah diri dalam perjuangan ini. Moga Allah tetapkan hati-hati kita untuk terus membantu agama Allah di atas landasan yang benar.

Bersama petugas dan isteri YB ShafieNgah (duduk di tengah)

Puas walaupun kalah.

Inilah rasanya bila kita cuba juga dengan apa cara sekalipun untuk membantu kemenangan Islam. Walau impak yang dapat dilihat tidak seperti yang diingini, namun mudah-mudahan ia menjadi jawapan kepada persoalan di Mahsyar kelak. Asalkan kita bekerja dan berusaha, kerana bukan keputusannya yang menentukan kedudukan kita di alam sana, namun usaha itu yang membantu kita. Jika ada usaha, adalah sahamnya, jika tiada usaha tiadalah imbalannya. 

Untuk saya, PRU kali ini adalah pengalaman pertama saya. Saya akui, PRU 12, saya tidak langsung mengambil bahagian, apatah lagi bergerak kerja. Sedikit pun tiada dalam memori saya untuk dikenang tentang persekitaran mahupun pengalaman secara langsung atau tidak langsung. PRU 12, tiada kesan buat saya. 

Di hari-hari terakhir, sebelum bergerak kempen..:)

Saya bersyukur untuk PRU ke 13 kali ini, Allah lorongkan saya memahami perjuangan, memahami tuntutan pengorbanan memperjuangkan Islam dengan wasilah PAS. Saya bersyukur. Bersyukur diberikan kesedaran ini, membuatkan saya tekad untuk tidak menjadi orang yang terdiam dan mendiamkan diri. Saya tekad untuk melibatkan diri. Dan Allah membantu saya dengan menyibukkan diri bersama team PAS Bangi. Pengalaman yang tidak boleh dibeli. Pengalaman yang tidak akan saya sia-siakan kerana mengenangkan jauh lagi perjalanan hidup ini jika diberi rezeki oleh Allah.

PRU 13 ini, banyak mengajar saya. Erti redha, erti penat lelah, profesionalisme, hormat-menghormati dan ketangkasan tindakan. PRU 13 ini saya kenal dengan ramai rakan seperjuangan. Ukhuwah bertambah lebar. Moga ia bermanfaat untuk PRU 14 nanti. Saya doakan, moga kita semua tetap bersama Islam, dan membantu perjuangan Islam walau di mana kita berada, walau di mana kita diletakkan.

Kenangan bersama Hilux calon, kini YB Adun Bangi. :)
"Dan janganlah bersedih, dan jangan berputus asa kerana kamu adalah orang-orang yang tinggi kedudukannya jika kamu beriman."

Bersama memartabatkan Islam.
^_^


1 comment:

  1. I love ωhat yоu guyѕ are up too.
    This ѕort of clеver work anԁ exposure!
    Keep uρ the supeгb ωorkѕ guys I've you guys to my own blogroll.

    Look at my webpage; side effects of hcg diet

    ReplyDelete

Sila tinggalkan pandangan anda kepada saya. Semoga menyumbang kepada penambahbaikan dan membantu saya sentiasa bersemangat!! Syukran. (^_^)